Bab 10

HANA duduk di hadapan vending machine yang ada di lobby hospital. Dia menghirup kopi yang dibeli dari mesin itu. Perlahan keluhan dilepaskan. Dia teringat akan peristiwa ketika arwah Farish ditimpa kemalangan dahulu. Waktu itu, dia juga mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang tak dikenali menyatakan Farish terlibat dalam kemalangan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa Hana bimbang dan buntu tidak tahu apa yang perlu dia lakukan saat itu.

Dua hari dia menemani Farish yang koma di dalam wad icu. Keadaan Farish amat kritikal. Segala wayar berselirat di badan suaminya. Hana tidak henti-henti berdoa untuk Farish. Sampai satu masa, doktor memberitahu Hana bahawa Farish sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Hana tahu ketika itu dia perlu redha. Dia perlu lepaskan Farish dengan hati yang tenang.
"Abang, Hana sayang abang. Tapi, Allah lebih sayangkan abang. Hana redha kalau abang balik pada Allah. Dia lebih berhak. Hana doakan abang bahagia di sana. Abang tunggu Hana ye," bisik Hana ke telinga Farish. Tidak lama selepas itu, doktor mengesahkan Farish telah tiada. Air mata Hana meleleh tidak henti-henti. Tangisannya tidak bersuara. Waktu itu, tiada siapa menemaninya di sisi. Hanya Allah penguat hatinya.
Hana tersentak dari lamunan saat terasa bahunya disentuh seseorang. Serta merta dia menoleh ke arah susuk tubuh itu. Along!
"El macam mana?" Soal Hariz sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Hana.
"Baru sampai ke?" Tanya Hana tanpa menjawab soalan Hariz. Mereka bersalaman dan Hana mencium belakang tangan Hariz.
"Ya, baru sampai. Bilik El tingkat berapa?" Soal Hariz lagi. Wajah sayu adiknya direnung.
"Tingkat tiga nombor bilik 3A. Along pergi la naik jumpa dia," balas Hana tenang. Dia menghirup air kopi yang masih berbaki itu.
"Hana?" Soal Hariz apabila melihat Hana masih duduk di situ.

"Nanti Hana naiklah. Nak duduk sini kejap. Malas dengar El tu membebel macam mak nenek," rungut Hana sambil menarik muka masam. Hariz menggeleng dengan senyuman nipis. "Okaylah. Along naik dulu."

Tadi bukan main cemas siap menangis lagi masa call aku bagitahu El excident. Gerutu hati Hariz. Kemudian, dia berjalan menuju ke arah lif meninggalkan Hana sendirian di situ.

Sebaik sahaja dia di depan bilik wad, pintu diketuk perlahan dan Hariz masuk ke dalam. Kelihatan El sedang berbaring sambil menonton televisyen. Saat pintu terbuka, El menoleh ke arah susuk tubuh itu. Dia agak terkejut dengan kehadiran abang iparnya di situ. Ini adalah pertemuan mereka yang ketiga. Perlahan El bangun dari pembaringannya.
"Sorry. Along datang lewat macam ni. Along melawat site tadi. Banyak benda kena selesaikan," Hariz sekadar berbahasa. Sebenarnya dia juga agak kekok untuk berbual dengan adik iparnya itu.
"Aaa.. Takpa along. Lagi pun tak teruk sangat. Sikit je ni," balas El. Dia juga terasa janggal kerana mereka jarang sekali berjumpa.
"Hana call along siang tadi. Cemas along dengar dia menangis bagitahu kau excident," jelas Hariz tanpa ditanya.
"Menangis?" Soal El agak terkejut.

Kenapa dia menangis? Masa dia sampai tadi pun muka dia nampak cemas sangat. Bukannya aku mati pun.
"Hana tu fobia. Sebelum ni, arwah suami dia meninggal sebab excident juga. Tu yang dia risau sampai menangis bila tahu kau excident," tambah Hariz menjelaskan keadaan itu.
"Oh ye ke. Dia keluar tadi tak tahu pergi mana. Along duduklah dulu," pelawa El.
"Ada along jumpa dia dekat lobby tadi. Dia suruh along naik dulu," balas Hariz sambil punggung dihenyak ke sofa yang berada di ruangan bilik itu.
"Dekat lobby? Dia buat apa dekat situ?" Soal El. Dia mengerutkan dahinya.

Boleh dia tinggalkan aku sorang-sorang dalam bilik ni. Nampak sangat tak ikhlas nak jaga aku.
"Minum coffee. Hana tu coffee lover," balas Hariz bersahaja. "Kau accident dengan apa ni?" Soal Hariz mengubah topik perbualan.
"Salah saya. Masuk simpang tak bagi signal. Lepas tu, saya pula salah masuk lane. Tiba-tiba, sebuah kereta Myvi ni jalan, saya nak mengelak kereta tu. Pulas stereng habis-habis, terbabas naik divider," terang El sambil menunjukkan aksi bagaimana kemalangan itu berlaku.
"Allahuakbar. Nasib baik tak teruk sangat. Tapi, tak teruk pun berbalut juga tu," kata Hariz bersimpati atas apa yang berlaku. Kaki El yang berbalut dipandang. Mujur kecederaan itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
"Haaa.... Itulah," balas El sambil sekali sekala matanya melihat ke arah pintu.

Mana dia ni tak naik-naik dari tadi? Detik hati El menanti Hana masuk ke bilik.
"Hana tu kalau dia ada melawan cakap kau ke, degil ke, kau tegur je dia. Kadang-kadang dia suka menjawab. Along ni, sampai tak tahu nak cakap apa dah kalau datang perangai menjawab dia tu," Hariz mula membuka cerita tentang Hana. Dia mahu El mengenali sikap adiknya itu. El cuma mengganggukkan saat mendengar cerita Hariz.
"Dia manja sikit. Kau tahan je la kalau tengok dia sikit-sikit menangis. Muka je nampak tak kisah semua. Tapi, Hana tu banyak benda dia tak suka sangat nak kongsi dengan orang," tambah Hariz lagi. El terkebil-kebil beberapa detik. Apa yang Hariz ceritakan tidak sama dengan apa yang dilihat dari sikap Hana. Berbeza.
"Jarang dia menjawab kalau dengan saya, along. Selalu ikut je apa saya suruh," ujar El sambil tersenyum.

Ya, Hana jarang membantah arahan aku walaupun muka dia kelat semacam. Semuanya dia akan lakukan, termasuklah melayan karenah buah hati aku, Azura. Sikit pun dia tak pernah susahkan aku.

Hariz mengangguk tatkala mendengar penjelasan daripada El. "Lepas ibu dan ayah kami meninggal, along yang jaga Hana. Dia nampak kuat, tapi sebenarnya tak. Kalau ada masalah, dia susah nak luahkan. Dia lebih suka simpan sorang-sorang. Kalau ada benda yang Hana buat, sampai kau rasa susah nak tegur dia, kau bagi tahu along. Tahulah along nak nasihat dia," terang Hariz panjang lebar. Dia tahu El mungkin masih tidak tahu sepenuhnya tentang Hana. Sengaja dia jelaskan pada El, supaya lelaki itu tahu bagaimana mahu mengawal adiknya.
"Baiklah, along. Tapi, setakat ni Hana okay. Dia tak pernah susahkan saya," balas El dengan senyuman segaris.
"Masa dia masuk wad hari tu, kau tahu?" Soal Hariz cuba membuka cerita.
"Aaa... Tahu.. Tahu lepas dia dah keluar," jawab El tersekat-sekat. Wajahnya berubah riak. Pasti Hariz tertanya-tanya apa yang berlaku antara dia dan Hana waktu itu.

Dia mengadu pada along ke? Gerutu hati El.
"Along dah suruh dia beritahu kau masa tu. Tapi, dia tak nak. Hana tu degil sikit. Along harap kau boleh sabar dengan perangai adik along tu," tambah Hariz lagi. Dia bukanlah mahu mendedahkan sikap buruk Hana. Tetapi, dia cuma mahu El memahami dan bersabar dengan karenah adiknya itu.
"Dah lama sebenarnya dia tak kena tahan wad. Dulu masa zaman sekolah. Lepas orang tua kami meninggal, dia kerap masuk wad. Sebab gastrik teruk. Sampai tak boleh bernafas," sambung Hariz meneruskan ceritanya.
"Oh.. Ye ke? Teruk juga gastrik dia kalau macam tu," celah El. Patutlah lepas keluar wad tempoh hari, wajah Hana masih kelihatan pucat dan tidak bermaya.
"Teruk jugalah. Sampai pernah naik ambulance dari sekolah. Masa tu... Kami baru lepas kehilangan orang tua.. dalam kebakaran," jelas Hariz. Suaranya seakan tersekat-sekat menahan sebak didada. Wajah mula terasa berbahang dek kerana menahan perasaan sedih.
"Meninggal sebab kebakaran?" Ulang El dengan riak wajah yang terkejut. Dia tidak sangka di sebalik wajah Hana yang tenang itu, tersimpan seribu kisah duka.
Belum sempat Hariz meneruskan ceritanya, pintu bilik dibuka seseorang. Perbualan mereka terhenti saat melihat Hana masuk ke dalam ruangan itu. Serentak mereka memandang ke arah Hana. Terpinga-pinga Hana seketika saat mata kedua-dua lelaki itu melekat padanya.

Apahal pandang aku macam tu? Mesti mengata aku tadi ni. Tebak hati Hana.
"Lama dekat bawah. Tenung mesin kopi tu ke?" Usik Hariz sambil tersenyum. Hana cebik bibir. "Mengumpat orang la tu," balas Hana dengan jelingan tajam dihadiahkan pada Hariz.
"Jelinglah along, juling nanti baru tahu," usik Hariz lagi dengan gelak tawa yang menyakitkan hati Hana. El hanya tersenyum melihat kemesraan dua beradik itu.
"Uwekk," Hana menjelirkan lidah sambil mata dijulingkan sekali lagi dengan sengaja. Meledak tawa Hariz dan El saat melihat gelagat Hana. Hana pamer muka bosan. Kemudian, punggungnya dihenyak ke sofa.
Pertama kali El melihat Hana bersikap sebegitu. Kalau bersamanya, susah benar mahu melihat senyuman wanita itu apatah lagi bergurau.

She's cute. Bisik hati El secara spontan. Sedikit sebanyak gelagat Hana menarik perhatiannya.
"Buat la macam tu depan El. Dia cari perempuan lain nanti baru tahu," usikan along menyentap tangkai jiwa Hana.

El juga turut terkedu. Air liur ditelan terasa kesat. Wajah Hana di pandang. Namun, riak muka wanita itu nampak tenang.
"Tak heran," selamba sahaja Hana membalas.

Memang adik ipar along tu ada perempuan lain. Tak kan along tak tahu. Dia bukan nak kahwin dengan adik along ni. Dia terpaksa kahwin. Bebelan itu hanya diteruskan dalam hati.
"Eleh.. Tadi siap menangis bagitahu......," belum sempat Hariz menghabiskan ayatnya, pehanya ditepuk kuat.

PAP!!!

"Aduuuhhh... Sakitlah!!" Hariz mengaduh kesakitan. Pantas tangannya menarik telinga Hana.
"Aaa..... Sakitlah alonggg.. Along niiiii!!" Rengek Hana manja. Telinga yang ditutupi tudung digosok dengan wajah yang masam mencuka. Hariz ketawa melihat wajah cemberut Hana.
"Dahlah. Pergi balik. Takda rumah ke?" Seloroh Hana. Bahu Hariz ditolak dengan bahunya. Hariz ketawa lagi. El yang melihat gelagat dua beradik itu turut ketawa bersama. Baru dia tahu Hana memang manja orangnya dan suka bergurau.
"Suka-suka cakap along takda rumah ya," Hariz sekali lagi cuba menarik telinga Hana. Namun, tidak berjaya. Pantas sahaja Hana mengelak dan bangun dari tempat duduknya sambil ketawa besar.
"Dahlah along, pergi balik. Orang sakit nak berehat la. Nanti Hana suruh pak guard halau along. Suka sangat tarik telinga orang," Hana memuncungkan bibirnya geram dengan Hariz. Dia tidak mempedulikan kehadiran El di situ.
"Yelah.. Yelah.. Halau along. Along baliklah..," balas Hariz sengaja buat-buat merajuk. Kemudian, dia bangun dari situ sambil mengemaskan baju yang dipakai.
"Apa you cakap macam tu pada along. Takpa along, saya okay je along ada sini," celah El serba salah apabila Hana menghalau abang iparnya sebegitu. Hana kerut kening.

Eh dia ni. Tak reti bergurau ke? Bebel Hana di dalam hati.
"Takpa El. Hana bergurau je tu. Lagi pun along memang nak balik dah ni. Letih sikit, seharian dekat site," celah Hariz sambil menghampiri El. "Along balik dulu la. Semoga cepat sembuh," ucap Hariz kepada El. Tangannya dihulurkan.
"Terima kasih along datang melawat saya," balas El sambil menyambut tangan Hariz dan mereka bersalaman.
"Along balik dulu. Jaga El elok-elok. Syurga ni," pesan Hariz kepada Hana. El yang mendengar pesanan itu, tersentap seketika.
"Taulah," perlahan Hana menjawab.

Along selalu begitu. Pesanannya menusuk ke kalbu. Sewaktu aku dengan arwah abang Farish dulu pun itu yang selalu dia pesan. Suami itu syurga isteri. Aku tahu. Ketika bersama Farish aku masih boleh terima nasihat seperti itu. Tetapi, dengan El, agak susah untuk aku terima kerana dia sendiri tidak melayan aku dengan baik.
"El, kalau Hana buat perangai, bagi tahu along. Biar along tarik telinga dia panjang-panjang," sempat lagi Hariz mengusik Hana.
"Dah-dah. Pergi balikkk," pintas Hana sambil menolak badan Hariz menuju ke pintu. Mereka ketawa bersama-sama. "Drive kereta hati-hati. Dah malam ni," pesan Hana dengan penuh rasa kasihnya pada Hariz. Hariz mengangguk sambil tersenyum segaris. Kemudian, dia beredar dari tempat itu.
Selepas Hariz pulang, suasana kembali sunyi. Hana kembali membisu. Dia duduk di sofa panjang semula sambil melihat ke skrin telefon bimbitnya.
El merenung Hana. Kehadiran Hariz telah membuatkan El tahu sedikit sebanyak tentang wanita itu. Rupanya ada kisah sedih di sebalik wajah tenangnya.
"Tolong I boleh?" Soal El tiba-tiba.
"Tolong apa?" Soal Hana. Wajah diangkat dan matanya memandang tepat pada El.

Janganlah dia minta aku bawa dia pergi toilet. Doa Hana di dalam hati.
"Ada bawa minyak urutkan? Tolong urut tangan I ni. Rasa lenguh-lenguh pula," El memberi arahan. Badannya mula terasa sakit kesan dari kemalangan itu. Hana bangun dari duduknya dan berjalan ke arah beg pakaian. Tangan meraba ke dalam beg mencari minyak urut. Kemudian, dia mendekati El dan berdiri sambil mengurut tangan El.
"Duduklah. Katil ni tak roboh pun kalau you duduk," seloroh El cuba bergurau senda. Namun, Hana langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Dia hanya diam sambil meneruskan urutannya. El menarik nafas dalam.

Tadi kemain lagi bergurau dengan along. Dengan aku muka ketat je. Omelnya di dalam hati. Geram.
"I nak tanya sikit boleh?" Soal El sambil matanya tertumpu pada skrin televisyen.
"Apa?" Urutan diteruskan tanpa berhenti.
"Ada bawa underwear I?" Soal El. Pada awalnya dia mahu bertanya tentang keluarga Hana. Tetapi, entah mengapa soalan itu yang meluncur keluar dari mulutnya.
"Takda. Baju awak pun saya tak bawa," balas Hana selamba.
"Kenapa tak bawa???" Spontan suara El meninggi. Dia menoleh ke arah Hana.

Habis aku nak pakai apa balik nanti?
"Macam mana saya nak ambil baju awak? Awak tak bagi saya masuk bilik awak kan?" Balas Hana sambil menghentikan urutan.

Buat-buat terkejut pula. Kau yang bagi amaran jangan masuk bilik kau. Lupalah tu!
"Habis tu I nak pakai apa balik nanti? Baju you??" El mula geram saat mendengar jawapan acuh tak acuh daripada Hana.
"Esok saya balik, saya ambil. Ada apa-apa lagi ke? Saya nak tidur ni," malas mahu melayan bebelan yang tidak berkesudahan lelaki itu.
"You ni kan selalu buat sesuatu tak nak fikir. Masa dekat rumah tadi kenapa you tak call I tanya pasal baju?" El masih meneruskan bebelannya.

Sakit betul hati aku ni. Suka sangat buat sesuatu tanpa fikir.
"Terlupa," jawab Hana ringkas. Malas mahu berbalah lagi. Macam mana aku nak tidur atas sofa ni? Hana mengeluh saat melihat sofa yang keras itu.
"Apa yang you ingat?" Soal El dengan nada suara yang kuat. Dia bengang dengan jawapan Hana yang sambil lewa itu. Dahlah jawab tak pandang muka aku. Bebel El di dalam hati.
Hana tersentak tatkala mendengar nada suara El. Dia menoleh ke arah lelaki itu. Air mukanya berubah riak.

Apa lagi yang tak kena? Aku jaga kau dekat sini terima kasih pun tak. Membebel dari siang tadi. Dahlah kena tidur atas sofa keras ni! Marah Hana di dalam hati. Air mata mula bergenang. Sakit hati dimarahi lelaki itu.
El tersedar akan kekasaran kata-katanya. Wajah Hana yang sudah berubah riak itu dipandang. Mata wanita itu turut kelihatan berkaca. Dia tahu Hana terasa dengannya. Terus dia diam tanpa berkata apa-apa lagi. Suasana bilik menjadi tegang.
Hana terus merebahkan badannya di sofa yang keras itu. Badan dihadapkan ke dada sofa. Malas mahu melihat lelaki yang tidak reti menghargai dirinya. Malam itu, lenanya ditemani air mata.

Ya Allah aku lakukan semua ini kerana-Mu. Kerana mahu reda-Mu. Kau berilah aku kesabaran. Sayu doa itu diucapkan di dalam hati.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh