Bab 1

       SUASANA di majlis pernikahan itu menyerabutkan fikiran Ungku El Elyas Ungku Ibrahim. Semua tidak dapat diundur kembali. Hana Elyana telah pun selamat menjadi isterinya dengan sekali lafaz. Tidak terjangkau dek akal fikiran El yang segalanya akan terjadi seperti ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia meminta pertolongan dari Hana dan Hana menyetujuinya.

       Ketika majlis pembatalan air sembahyang, El langsung tidak melihat wajah Hana. Dahi Hana juga tidak dikucup. Mereka hanya bersalaman seperti biasa. Segalanya terjadi dengan begitu pantas. Hati El bercampur baur. Dia masih mengharap Azura akan datang dan menjadi isterinya. Tetapi, semua itu tidak mungkin terjadi, kerana lafaz akad tadi telah membuatkan Hana sah menjadi isterinya. Jika Azura muncul sekalipun, segalanya sudah terlambat.

       Ikram, sahabat baik merangkap rakan perniagaan cuba menenangkan El yang kelihatan sangat serabut selepas majlis akad itu. Jarang dia melihat pengantin yang tidak gembira di hari perkahwinan mereka.

       "Aku takde perasaan langsung pada dia, Ikram. Macam mana aku nak hidup satu bumbung dengan dia?" Wajah El kelihatan buntu dan serabut.

       Sungguh, aku pun tak faham apa yang aku dah buat pada hidup aku. Gila!! Kenapa aku ajak Hana kahwin dengan aku?? Kenapa bukan orang lain? Kenapa dia?? Tapi, kalau bukan Hana, siapa? Siapa yang boleh gantikan tempat Azura?? Ini semua sebab mommy desak aku selesaikan segalanya.

       Ikram tersenyum tawar saat mendengar kata-kata El. "Aku faham. Tapi, kau takde pilihan, El. Mana Azura?? Dah berapa kali dia buat kau macam ni? Mungkir janji. Tak kan kau masih harap dan tunggu dia lagi?" Ikram simpati. Namun, dia perlu sedarkan sahabatnya itu. Dia sendiri tidak sanggup melihat sahabatnya diperbodohkan oleh Azura, teman wanita Ungku El-Elyas Ungku Ibrahim.

       Apa yang kau nampak pada Azura sehingga dia berkali-kali mungkir janji pun kau masih percaya pada dia, El?

       "Aku yakin, Azura ada alasan tersendiri. Mesti dia ada masalah. Dia tak kan tiba-tiba diam macam ni. Kau ingat tak dulu? Sebab dia ada masalah family, dia jauhkan diri daripada aku. Sebab dia tak nak aku susah hati. I'm sure, dia bukan sengaja buat macam ni," El masih mempercayai Azura.

       Betul, aku pasti Azura ada masalah yang dia tak mahu aku tahu. Aku akan cari kau Azura. Aku tak kan biarkan kau hadapi masalah ini seorang diri tanpa aku.

       Ikram menggeleng kepala perlahan. "Aku dah tak tahu nak cakap apa dengan kau, El." Susah benar mahu menyedarkan sahabatnya itu.

       Azura bukan yang terbaik untuk kau El. Semoga kau boleh buka mata dan lihat kebaikan Hana. Seorang wanita yang baik pada mata aku. Namun Hana jadi jodoh kau El, bukan aku.

       Majlis perkahwinan yang dirancang bersama Azura telah menjadi majlis perkahwinan Ungku El-Elyas bersama pembantu peribadinya, Hana Elyana.

       "Aku tak kan cintakan Hana. Lagipun dia janda. Bekas orang. Kalau kau suruh aku terima Hana, aku rasa sampai bila-bila aku tak kan dan tak boleh terima dia. Aku cuma cintakan Azura," El masih berbicara dengan wajah yang buntu dan fikiran yang kosong. Dia seperti bermonolog dengan dirinya sendiri. Tetapi, cukup untuk didengari oleh Ikram dan tanpa mereka sedar kehadiran Hana di situ.

       Hana mendengar setiap kata-kata El dan Ikram tentang dirinya. Termenung Hana seketika. Dia sendiri tidak tahu dan tidak faham apa yang El mahukan. El sendiri yang meminta Hana untuk menjadi isterinya selepas Azura tidak dapat dikesan. Kini, El seolah-olah menyalahkan diri Hana atas apa yang berlaku. Sungguh Hana buntu dan tidak mengerti.

   Sebagai pembantu peribadi El, Hana bertanggungjawab untuk menguruskan majlis pernikahan antara El dan kekasihnya, Azura. Itu yang sepatutnya berlaku. Tetapi, sejak seminggu yang lalu, Azura hilang dari radar. Puas El menghubungi Azura. Hana juga cuba mencari wanita itu, namun, Azura gagal dikesan. Tetapi, El masih percaya bahawa Azura akan muncul di majlis perkahwinan mereka. Akhirnya, sangkaan El meleset. Azura tidak muncul dan Puan Mastura iaitu ibu El sudah mendesak agar segalanya diselesaikan supaya mereka sekeluarga tidak mendapat malu untuk kali yang ketiga.

       "Siapa pun yang jadi menantu mommy, mommy dah tak kisah. You kena bertanggungjawab dan selesaikan segalanya hari ini!" Tegas Puan Mastura. Penat memikirkan tentang anak sulungnya itu. Masuk kali ini, sudah kali ke tiga rancangan pernikahan El ditangguhkan. Sehingga naik malu Puan Mastura dan suaminya, Ungku Ibrahim untuk menjelaskan kepada sanak saudara. Kali ini, Puan Mastura sudah tidak peduli lagi dengan siapa pun El akan berkahwin. Dia cuma mahu majlis tersebut tetap berjalan seperti yang dirancangkan. Itu sahaja.

       Oleh kerana didesak sebegitu, El terpaksa meminta pertolongan Hana. Pada awalnya, Hana enggan kerana permintaan itu tidak masuk akal. Pada Hana, perkahwinan bukan sesuatu yang boleh di ambil mudah. Lagi pun, Hana pernah berkahwin dan jodohnya tidak kekal lama kerana suaminya telah meninggal dalam satu kemalangan jalan raya. Dan... dia masih mencintai arwah suaminya, Farish.

       Tetapi, apabila melihat wajah El yang benar-benar mengharapkan pertolongannya, Hana jadi kasihan dan menerima cadangan itu dalam keadaan terpaksa. Dia juga buntu dengan tindakan sendiri.

       Segalanya seakan dirancang kerana kebetulan abang kandung Hana iaitu Hariz ada bersama menemani Hana menghadiri kenduri itu dan entah mengapa juga Hariz bersetuju untuk mewalikan pernikahan mereka.

       "Along sebenarnya dari dulu risau tentang Hana dengan El. Sebab korang berdua, kalau outstation sama-sama. Along tak mahu timbul fitnah nanti. Eloklah kalau Hana berkahwin dengan El," Hariz meluahkan perkara yang selama ini terbuku di hati. Benar, dia bimbang kerana status yang dipegang Hana akan membuatkan orang lain memandang serong terhadap adiknya itu.

       Along tak fikir ke yang El terdesak kahwin dengan aku? Bukan sebab kami bercinta. Getus hati Hana.

Dia masih mengharap Hariz membantah keputusannya yang terpaksa itu. Tetapi, sebaliknya Hariz turut bersetuju. Hana termangu di belakang pintu. Masih memasang telinga mendengar perbualan El dan Ikram sejak dari tadi. Entah kenapa hatinya sedikit terguris saat mendengar kata-kata El.

       Kenapa aku mesti sedih? Aku bukan ada hati pada dia pun. Aku setuju kahwin dengan dia sebab kesian. Tapi, kenapa aku bodoh sangat tolong dia?? Tiba-tiba Hana berasa marah terhadap dirinya sendiri. Walaubagaimanapun, segalanya tidak boleh diundur lagi. Mereka telah sah menjadi suami isteri.

       "Aku rasa Hana adalah pilihan yang tepat untuk kau. Selama dia bekerja dengan kau pun, aku rasa dia perempuan yang baik. Jaga solat, jaga maruah dia, jaga batasan dia. Aku harap kau boleh bagi peluang pada diri kau sendiri untuk menilai Hana," pujuk Ikram lagi.

       Sebenarnya, Ikram sendiri sudah jatuh hati pada Hana sejak dari awal wanita itu mula bekerja di syarikat El. Tetapi, jodoh tidak menyebelahi Ikram. Ikram redha dan terima segala takdir. Cuma dia berharap sahabatnya itu dapat menghargai Hana.

Please El buka mata kau. Nilai sendiri antara Hana dan Azura. Detik Ikram di dalam hati.

       "Aku terdesak kahwin dengan dia Ikram. Aku tak mungkin cintakan dia. Dia bukan pilihan aku. Tak pernah terlintas di fikiran aku ni, nak kahwin atau jatuh cinta pada dia," El masih tidak dapat menerima kenyataan dengan apa yang berlaku. Dia lupa apa yang terjadi ini salahnya sendiri.

       Hana tersentak mendengar kata-kata El.

       Aku ke yang jerat diri aku sendiri? Persoalan itu mula bermain di fikiran Hana.

       Salah aku ke bila aku buat keputusan bersetuju untuk berkahwin dengan dia? Betul, bukan atas dasar cinta. Tapi, terdesak dan sebab nak tolong. Eh, apa kena dengan aku ni?? Seolah-olah semuanya dah jadi salah aku sebab cuba menolong dan akhirnya aku jerat diri aku sendiri. Satu keluhan berat dilepaskan dari dada yang kian terasa sesaknya.

       Perlahan Hana melangkah turun semula ke ruang tamu untuk bertemu dengan tetamu yang masih tidak surut sejak dari pagi tadi. Dia cuba memaniskan wajah menyapa setiap tetamu yang hadir. Mujur tiada suara sumbang yang menyindir tentang perkahwinan mereka. Jika tidak, pasti Hana semakin tertekan.

       "El mana? Ramai dah datang ni nak jumpa pengantin. Hana dah panggil dia?" Soal Puan Mastura sebaik sahaja melihat Hana turun dari tangga.

       Terkebil-kebil Hana saat disoal oleh mertuanya itu. "Saya dah panggil dia, puan. Eh, mommy. Kejap lagi dia turun," balas Hana agak kekok.

       Puan Mastura tersenyum. "Takpe, mula-mula tak biasa panggil mommy, lama- lama nanti, biasalah," ujar Puan Mastura mesra sambil menggosok bahu Hana dengan lembut. Hana tersenyum lega. Memang sejak dari dulu lagi Puan Mastura sangat sukakan Hana. Sudah beberapa kali dia berurusan dengan wanita itu. Puan Mastura jugalah yang mengesyorkan Hana pada El untuk menjadi pengurus peribadi El di pejabat. Puan Mastura juga tahu status Hana sebagai seorang balu yang kematian suami. Pada pendapatnya, tiada salah dengan status tersebut jika seseorang wanita itu pandai membawa diri. Dia juga sangat selesa dengan sikap Hana. Alhamdulillah, Hana selamat menjadi menantu Puan Mastura dengan izinNya.

       Hana bersyukur kerana Puan Mastura sangat baik dan kerana kasihankan wanita itu jugalah, dia bersetuju dengan perkahwinan itu. Puan Mastura juga yang membantu Hana mendapatkan pekerjaan disaat dia susah dahulu. Maklumlah, selepas kehilangan suami, Hana terpaksa bekerja untuk menampung dirinya sendiri. Walaupun Hariz mahu membantu, namun, Hana lebih selesa untuk berdikari.

       Sewaktu arwah suaminya masih ada, segala keperluan isi rumah disediakan oleh Farish. Alhamdulillah, arwah sangat baik orangnya, penyayang, lemah lembut dan menyantuni Hana dengan baik.

       Abang, betul ke keputusan Hana ni? Abang adalah lelaki yang terbaik dalam hidup Hana. Maafkan Hana sebab terima lelaki lain secara tiba-tiba. Hana buntu, abang. Hana rindu abang. Kenapa abang pergi tinggalkan Hana? Rintih hatinya yang mula diserbu kesedihan.

       "Kak Hana, are you okay?" Soal Ungku Nadia, adik perempuan El. Seorang gadis berusia 22 tahun yang masih menuntut di sebuah universiti tempatan di Malaysia.

       Seriously, she's better than another girl. I don't like Azura actually. Banyak kali dia berjanji dengan abang El tentang majlis kahwin ni. Then, she's broke the promise again! I don't think mommy and abah will forgive her. She's too much. Asyik malukan keluarga aku je! Bebel Nadia di dalam hati. Wajah kakak iparnya dipandang dengan senyuman manis.

     "Eh, Nad. Okay... akak okay. Cuma nak minta tolong Nad boleh?" Soal Hana sambil memegang tangan Nadia dengan lembut.

       "Boleh. Apa dia, kak?" Soal Nadia.

       "Panggilkan Abang El. Dia ada dekat atas rasanya," pinta Hana.

       Harap Nad tak syak apa-apalah. Aku tak mahu bersoal jawab dalam keadaan sekarang ini.

       Nadia ketawa kecil. "Oh, ingatkan apa tadi. Okay, Nad panggil Abang El. Akak pergi la kat luar tu, ramai nak jumpa pengantin perempuan yang manis ni," bisik Nad sambil tersenyum. Hana tersipu malu.

       Kak Hana, eemmm... how to describe her?? Wajahnya tidak secantik Azura. Tetapi, manis untuk ditatap. Sejuk mata memandang bak kata orang. Pertama kali berjumpa dengan Kak Hana, dia sopan ala-ala gadis kampung. Hormat semua orang dalam rumah ini. Bila dia mula bekerja dengan Abang El, dia kena ubah penampilannya sebab Abang El kata dia tak nak staff di syarikatnya tak pandai bergaya. Penampilan kena seiring dengan level education. Tapi, I just like the way she are. Cantik. Yess, dia janda kematian suami. Tapi, mommy selalu pesan, apa jua status atau pekerjaan yang seseorang itu lakukan, kalau dia pandai bawa diri, hormat orang lain, mereka juga berhak di layan seperti mana mereka melayan kita. Jadi, kesimpulannya, I like her.

       Mengikut perancangan asal, hanya majlis akad nikah dijalankan dan resepsi berlangsung beberapa bulan akan datang mengikut kehendak Azura. Tetapi, disebabkan pengantin perempuannya bukan lagi Azura, Puan Mastura bercadang untuk mengadakan majlis resepsi pada minggu hadapan.

       Jika sebelum ini, segalanya diuruskan oleh Hana, tetapi, kali ini, keluarga El sendiri akan menguruskan segalanya. Kalau ikutkan hati Hana, dia tidak mahu apa-apa majlis bersanding. Cukup lah apa yang berlaku membuatkan dia keliru dan menyesal.



MALAM itu, sanak saudara El beransur pulang. Keadaan di rumah Puan Mastura semakin sunyi. El juga tidak kelihatan sejak dari tadi. Entah ke mana lelaki tu menghilang. Hanya Hana sahaja yang masih disitu bersama Hariz melayani keluarga El.

       "Terima kasih puan sebab terima adik saya masuk dalam keluarga puan," ucap Hariz sambil tersenyum mesra. "Kalau ada apa-apa, Hana buat salah ke, puan tegur je dia," tambah Hariz lagi. Namun, Hariz tahu Hana pandai membawa diri. Hana tidak mungkin akan memalukan Hariz.

       Puan Mastura dan Ungku Ibrahim tersenyum pahit. "Sepatutnya kami yang ucap terima kasih pada awak. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Sebenarnya, ini kali ke tiga rancangan pernikahan El dengan Azura. Kami dah tak tahu nak sorok muka di mana. Asyik tak jadi. Kali ni kami tak boleh dah nak ikut kehendak El lagi. Terpaksa desak dia. Kalau tidak, entah berapa kali lagi perkara ini akan berulang," berat sungguh hendak diluahkan perkara sebegini. Perkahwinan bukan perkara main-main. Berkahwin bukan untuk sehari dua.

       Sebenarnya keluarga Ungku Ibrahim memang tidak setuju dengan pilihan El. Tetapi kerana kasihkan anak sulungnya itu, mereka ikutkan sahaja kehendak El. Namun, setelah berkali-kali perkara itu berulang, Ungku Ibrahim dan Puan Mastura sudah tidak tahan lagi. Mereka tidak percaya akan janji Azura. Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini.

      "Takpe tuan, saya faham. Bagi mereka peluang kenal hati masing-masing. Insya-Allah mereka akan serasi suatu hari nanti. Kita doakan yang baik-baik untuk mereka," Hariz cuba menenangkan Ungku Ibrahim dan Puan Mastura.

       "Kalau takde apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Dah lewat malam ni. Assalamualaikum," ucap Hariz sambil bersalaman dengan Ungku Ibrahim. "Waa'laikumsalam wbt," balas mereka serentak dengan senyuman manis.

       "Saya hantar abang saya ke kereta sekejap, mommy, abah," Hana membuntuti Hariz setelah Puan Mastura dan Ungku Ibrahim menganggukkan kepala tanda memberi kebenaran kepada Hana.

       Sesampainya di kereta, Hariz mengambil beg pakaian Hana dan diserahkan kepada adiknya itu. Kelihatan wajah Hana agak sugul dan suram. "Kalau ada apa-apa, bagitahu along," kata Hariz sambil menggosok lembut kepala Hana. Dia tahu adiknya itu resah dan buntu. Tetapi, dia yakin apa yang terjadi ada hikmah disebaliknya.

       Hana, along selalu doakan kebahagiaan adik along. Along risau kalau takde orang jaga Hana. Along bukan selalu ada dengan Hana. Along harap El pilihan yang tepat Allah berikan untuk adik along ni. Ya Allah, Kau berilah bahagia kepada adikku ini. Semoga mereka kekal hingga syurgaMu.

       Setelah bersalaman, Hariz terus memandu pulang ke kampung seperti rancangan asalnya. Tetapi, tanpa Hana. Hana cuma memandang dengan pandangan kosong sehingga kereta Hariz hilang dalam gelap malam. Kemudian, Hana menapak menuju ke halaman yang tersergam indah itu. Dia berhenti seketika sebelum kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Dia melepaskan keluhan berat yang entah kali ke berapa terlepas dari mulutnya hari ini.

       Sampai bila aku akan jadi sebahagian dari keluarga ini? Ya Allah, bantulah aku. Buntunya aku rasakan sekarang. Hati Hana meronta-ronta kegelisahan. Kemudian, dia melangkah lemah masuk ke dalam rumah agam itu.

       "Pergi naik bilik El, rehat. Esok pagi-pagi El kata nak balik KL, ada kerja urgent kata dia," tiba-tiba Puan Mastura yang muncul dari dapur menyapa Hana. Serta merta Hana menoleh ke arah suara itu. "Bilik El yang mana satu puan? Eh, maaf mommy," terasa kerongkong Hana seakan tersekat ketika menuturkan kata.

       Puan Mastura ketawa kecil. "Mari mommy tunjuk," lantas tangan Hana ditarik menuju ke tangga bilik. Hana akur. Dia membuntuti Puan Mastura ke bilik El.

       Berdiri sahaja di depan pintu bilik El, Puan Mastura mengetuk pintu tersebut sambil memanggil anak sulungnya itu. Beberapa saat kemudian, El muncul dengan wajah yang tidak beriak dan tidak berperasaan. Dia terus memberi ruang untuk Hana masuk ke dalam biliknya.

       Setelah itu, Puan Mastura turun semula ke bawah menyambung kembali kerja-kerja di dapur membantu orang gajinya. Maka, tinggallah Hana dan El di dalam bilik berdua. Pertama kali Hana masuk ke bilik El. Dia berdiri kaku di satu sudut tidak tahu mana mahu meletakkan barangnya dan di mana dia harus duduk. Dia dapat merasakan sikap dingin El terhadapnya, seolah kehadiran Hana mengundang rasa tidak selesa di ruang bilik itu. Telinga Hana menangkap keluhan yang terlepas dari mulut El.

       "Anyway, thanks for helping me solved my problem. But, I'm sorry make you in trouble. Actually, I... I can't accept you as my wife. I'm desperate. I hope you know your limits and don't put any hope from me. I'm still love Azura. She's my one and only," El menutur kata tanpa memandang wajah Hana.

       Aku minta maaf. Aku tak bermaksud nak pergunakan kau. Tapi, cinta aku hanya pada Azura. Azura, why are you doing this to me? Where are you, baby?

       Nafas ditarik dalam-dalam. "Saya faham Encik El. Kalau encik tak selesa saya ada dalam bilik ni, saya boleh tidur bilik lain," Hana menutur kata dengan berhati-hati. Dia faham dan dia sendiri tidak selesa berada di dalam bilik tersebut bersama lelaki itu. Janggal sungguh dirasakan saat ini.

       "No!! Mommy will kill me. Tidur je sini. You tidur atas katil. I tidur di sofa," pintas El dengan nada yang lemah. Jelas kelihatan riak muka lelaki itu sangat kecewa dan buntu. "Make yourself comfortable. I'm not 'disturbing' you," El cuba membuat Hana faham bahawa dia tidak akan mengganggu Hana. Jadi, tiada istilah malam pertama buat mereka seperti pasangan pengantin yang lain. El berjanji dengan diri sendiri bahawa dia tidak akan menyentuh wanita yang tidak dicintainya. Lantas El mengambil sebiji bantal dari atas katil dan tubuhnya direbah ke sofa. Wajah dihadapkan ke dada sofa supaya Hana berasa selesa untuk menukar pakaian.

       Hana bungkam seribu bahasa. Beberapa detik dia membeku di situ. Setelah melihat El berbaring membelakanginya, dia mengeluarkan pakaian tidur dan masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri.

       Aku tahu siapa diri aku. Aku faham. Ya Allah, kuatkanlah hatiku. Detik hati Hana sayu. Entah sampai bila semuanya akan berakhir kerana ini baru permulaan yang harus mereka berdua tempuhi.

       Perkahwinan secara tiba-tiba, tidak menerbitkan cinta. Cinta hanya datang tanpa disedari. Segalanya tidak mustahil tanpa izinNya. PercaturanNya adalah yang terbaik tanpa menganiaya hambaNya. Maka, percaya sahaja pada takdirNya. Ada hikmah disebalik semua yang terjadi.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh