Bab 19

Keesokannya, Hana bangun awal pagi dan membersihkan diri. Sementara itu, El masih lena diulit mimpi. Lama dia di dalam bilik air. Melihat wajahnya dicermin. Hana melepaskan satu keluhan yang berat.
'Diri ini yang kau hina, yang kau cakap geli nak disentuh. Jijik nak fikirkan tentang anak dengan aku. Tapi, kau juga yang memujuk mahu di layan,' bentak Hana di dalam hati. Air matanya mengalir membasahi pipi. Dia benci dengan El yang cakap tak serupa bikin.
Ungkapan cinta dan sayang tidak henti-henti El ucapkan kepada Hana semalam. Tetapi, sedikit pun tidak membuatkan Hana merasakan perasaan itu. Hana cuma anggap El hanya mahu memuaskan nafsunya sahaja dan dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Itu sahaja.
'Kau bukan cintakan aku pun. Hanya mahu aku layan nafsu kau je,' bentak Hana lagi. Kali ini tangisannya diiringi esakan. Cepat-cepat Hana membuka air sinki agar esakannya tak di dengari El. Dengan langkah yang longlai, Hana menuju ke shower dan duduk dibawah air yang turun dengan lajunya itu, selaju airmatanya.
Tok! Tok! Tok! Pintu bilik air diketuk.
"Sayang, subuh dah nak habis waktu ni," El yang masih mamai memisat-misat matanya. Dia menyedari Hana tiada di sisi dan apabila dia melihat jam di telefon bimbitnya, waktu Subuh sudah hampir di hujung waktu. Cepat-cepat dia bangun untuk membersihkan diri dan bersolat subuh. Tetapi, Hana masih di dalam bilik mandi.
Mendengar suara El di luar, cepat-cepat Hana mandi dan membersihkan dirinya. Dia mengambil wuduk untuk menunaikan solat subuh.
Sebaik sahaja Hana membuka pintu bilik air, El sudah tercegat di muka pintu sambil tersenyum mesra memandang Hana. Hana sedikit pun tidak melihat wajah El.
"Jangan sentuh saya. Saya dah ambil wuduk," ujar Hana apabila melihat El cuba memegang wajahnya.
"Sorry. Lepas solat boleh abang pegang?" soal El cuba bermanja. Dia tidak puas menatap wajah cantik isterinya itu. Sudah ada di depan mata pun rindu masih bertandang. Sungguh, wajah itulah menjadi mimpinya sejak beberapa minggu mereka berkahwin.
"Cepat mandi, waktu subuh dah nak habis," balas Hana tanpa menjawab soalan El. Dia berlalu pergi dan membentangkan sejadah dan memakai telekung.
Terkebil-kebil El melihat sikap dingin Hana itu. Dia merasa pelik kerana mata Hana kelihatan sembab dan wajahnya agak muram. Bermacam-macam yang bermain difikiran El. Tetapi, disebabkan kesuntukan masa, El cepat-cepat masuk ke bilik air dan membersihkan diri.



SETELAH selesai mereka bersolat subuh, El mengajak Hana untuk turun breakfast di cafe hotel.
"Abang pergilah. Saya selalu turun lewat," balas Hana tanpa memandang wajah El. Wajah Hana kelihatan muram sekali. Tak sanggup dia melihat wajah El setelah apa yang berlaku semalam. Lelaki yang menghinanya tetapi lelaki itu jugalah yang mahukan tubuhnya.
"Ada apa-apa yang tak kena ke? Kenapa tiba-tiba sayang macam ni? Nak tak nak layan abang. Ada benda yang abang buat sayang tak suka ke? Tak selesa ke? Atau ada mana-mana yang sakit? Abang kasar dengan sayang ke?" soal El bertalu-talu. Dia tidak betah melihat Hana tiba-tiba muram tanpa dia tahu sebabnya.
"Takde apa," balas Hana ringkas. Dia sedaya upaya menahan airmatanya dari gugur ke pipi. Dia menarik nafas sedalamnya agar air matanya tidak keluar bertakung di matanya.
"Don't lie," El menghampiri Hana. Dia melutut di hadapan Hana yang sedang duduk di birai katil. Dia memandang tepat ke wajah Hana.
Hana cuba mengalihkan wajahnya ke tempat lain. Dia terasa dadanya semakin sesak apabila kedua-dua tangan El berada di atas pehanya. Dengan perlahan Hana menolak tangan El dan dia cuba bangun dari situ namun, El menahan Hana.
"Salah apa abang dah buat ni? Abang betulkan. Jangan diam macam ni. Abang tak tahu apa salah abang. Let me know, please," rayu El sambil menggenggam erat kedua-dua tangan Hana.
"Kenapa tiba-tiba?" soal Hana sambil memandang tepat ke wajah El. Tangannya di tarik semula tidak selesa dipegang begitu.
"Tiba-tiba apa? I don't understand," soal El kembali. Dia mengerutkan dahinya dengan persoalan Hana itu.
"Tiba-tiba baik dengan saya. Tiba-tiba suruh saya panggil abang. Tiba-tiba tuntut hak abang sebagai suami. Semuanya tiba-tiba. Saya tak faham. Apa rancangan abang?" soal Hana tanpa berselindung lagi. Dia pasti El ada rancangan untuk mengenakan dirinya. Kalau tidak takkan tiba-tiba El berubah.
"Sebab hati abang dah terpaut pada sayang. Abang dah cintakan sayang. Sayangkan sayang. Tu je jawapan abang," balas El tanpa berkias-kias. Dia mahu Hana jelas dan tidak ragu-ragu pada dirinya mengenai perasaannya terhadap Hana.
"Dah lah. Pergilah turun breakfast. Azura dah tunggu abang dekat bawah agaknya," balas Hana mengubah topik perbualan. Sengaja dia menyebut nama Azura supaya El tidak lupa tentang Azura apabila dia menyebut cinta dan sayang kepada Hana.
"Abang nak breakfast dengan sayangg," rengek El sambil merenung wajah Hana yang masih muram itu.
"Temanlah abang breakfast. Kitakan tengah honeymoon. Mana ada suami isteri honeymoon breakfast asing-asing," tambah El lagi. Dia menggosok-gosok peha Hana yang gebu itu.
"Yelah!" cepat-cepat Hana menolak tangan El dari menggosok-gosok pehanya. Teraba-raba, miang sangat! Hana terus mencapai tudung sarungnya dan membontoti El.
"Senyumlah sikit. Nanti orang ingat kita kahwin paksa pula," kata El sambil meletakkan tangannya di bahu Hana. Dia tersenyum melihat wajah Hana yang masih masam mencuka itu.
'Muka masam pun comel. Muncung tu boleh sangkut hanger, 'detik hati El berbunga melihat wajah isterinya itu. El merasa lega setelah meluahkan isi hatinya pada Hana. Sekurang-kurangnya Hana tahu perasaan dia terhadap Hana.
'Memang kahwin paksa pun. Takkan dah lupa. Cepat betul hilang ingatan dia ni,' gerutu hati Hana. Dia menolak tangan El dari bahunya. Tidak selesa diperlakukan sebegitu.
Sedang mereka menikmati sarapan pagi, tiba-tiba Azura datang menghampiri mereka sambil melabuhkan punggungnya di sebelah El. El hanya memandang sekilas sahaja. Kemudian dia menyambung menjamah makanannya semula. Hana pula memandang Azura sambil tersenyum. Namun senyuman Hana tidak berbalas. Azura lebih tertumpu pada wajah El yang tidak mengendahnya.
"You pergi mana semalam? Lama i tunggu dekat restoren tu tau tak. You langsung tak datang. You pergi dinner dengan perempuan ni ke??" soal Azura menghamburkan kemarahannya.
"Kan i dah cakap, i tak nak keluar dinner dengan you. Don't you understand that? Ayat simple je i beritahu. I tak nak. Apa yang you tak faham??" balas El tanpa memandang wajah Azura. Apa yang kau nak lagi Azura? Aku dah move on dengan hidup aku.
"El, what's wrong with you, baby? I'm still love you. You tak pernah layan i macam ni. why you change like this? What's the problem?" rayu Azura dengan suara seakan mahu menangis.
'Kalau dia tak keluar dengan Azura semalam, habis dia pergi mana? Patut Azura ada call aku masa aku tidur semalam,' detik hati Hana.
"I'm done," Hana tidak mahu masuk campur dengan permasalahan mereka berdua.
"No. Sit," arah El sambil memegang tangan Hana. Dia tidak mahu Hana membiarkan dia berdua bersama Azura.
"El, tolong selesaikan masalah awak dengan Azura. Ok," Hana cuba memberi ruang kepada mereka berdua. Namun, dia tidak faham dengan sikap El yang mahu dia terus berada di situ.
"What? I can't hear you. Awak???" soal El dengan wajah yang berkerut. Dia panggil aku awak? Mentang-mentang dekat public berani dia panggil aku macam ni.
"You want me to kiss you here, sayang?" ugut El. Dia merenung mata Hana dengan tajam.
"I said sit, please," El menarik nafas dalam. Dia tidak mahu merosakkan mood Hana. El menarik Hana duduk di sisi merapati tubuhnya.
Hana akur dan diam membatu di sebelah El. Tidak berani dia melihat wajah Azura yang merenungnya tajam apabila melihat El memegang tangannya.
"Sayang?? Since when you panggil dia sayang?? Bukan you cakap you ge....," belum sempat Azura menghabiskan ayatnya, El memotong kata-kata Azura. Dia tidak mahu Azura mengungkit kata-katanya tentang Hana suatu masa dulu.
"Azura, please, I dah move on. I hope you too. Now i love Hana. I love my wife," El tidak mahu bergaduh atau meninggikan suara terhadap Azura. Dia mahu semuanya selesai secara baik.
"You love her?? I don't believed it. You cuma bernafsu pada dia je kan?? You tak cintakan dia pun," Azura terlalu yakin dengan kata-katanya.
"Baby, pleasee.. Jangan buat i macam niii...," rayu Azura sambil memegang tangan El.
El terus menarik tangan Hana dan beredar dari situ. Hana hanya mengikut rentak El tanpa banyak bicara. Dia malas mahu mencampuri urusan mereka berdua.
Sesampainya mereka di bilik, jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Mereka bersiap untuk ke tempat yang dijanjikan.


SEPANJANG perbincangan El dan ketua kampung serta beberapa ajk kampung tersebut, El telah bersetuju membiayai sepenuh pembinaan masjid tersebut tanpa sebarang bayaran. El berjanji akan memulakan projek pembinaan selepas dua minggu dari tarikh perbincangan.
"Terima kasih banyak-banyak Encik El. Budi baik encik tak dapat kami nak balas. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya," bersungguh-sungguh Haji Rosli mengucapkan terima kasih kepada El.
"Dah berkali-kali Tuan haji ucap terima kasih pada saya ni. Naik segan saya. Apa yang saya buat ni sikit je Tuan Haji," ujar El sambil tersenyum.
"Insya-Allah sebelum bermula projek ni, saya akan contact Tuan Haji. Tengok pada keadaan, kalau sempat saya akan pantau perjalanan projek. Kalau tak sempat, saya akan hantar staff saya untuk pantau semuanya," tambah El.
"Kalau encik El datang, bagitahu saya. Boleh singgah ke rumah saya. Kita makan-makan ke," ujar Haji Rosli.
"Insya'Allah Tuan Haji. Kalau saya datang sini saya beritahu," balas El sambil bersalaman dengan Haji Rosli.
Setelah El dan Hana menjamu selera hidangan yang disediakan oleh ajk kampung tersebut, mereka pun meminta izin untuk pulang.
Penduduk di situ memang semuanya ramah dan baik hati. Hana selesa dengan layanan mereka.
"Kita pergi jalan-jalan dekat pantai nak, sayang?" ujar El sebaik mereka masuk ke dalam perut kereta. Dia memandang Hana yang sedari tadi tidak banyak berbual dengannya.
"Okay," balas Hana tanpa memandang wajah El. Dia melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Melayani perasaan yang sejak dari pagi tadi suram.
"Berapa kali dah abang ingatkan, bila abang cakap, pandanglah muka abang. Apa yang susah sangat nak faham," rungut El dengan muka masam mencuka. Sengaja buat aku sakit hati. Mentang-mentang aku dah luahkan perasaan aku pada dia, dia seksa aku sebegini.
"Sorry," balas Hana sambil memandang wajah El sekilas. Kemudian dia memandang semula ke luar tingkap. Entahlah apa perasaannya pada El. Dia sendiri tidak tahu. Tapi, tak mungkin cinta kerana dia sendiri telah meletakkan batas perasaan sejak dari awal perkahwinan mereka lagi.
"Esok kita pergi Pulau Perhentian pagi-pagi. Tidur dua malam di sana. Bawa baju yang nak pakai je. barang yang lain tinggal je dekat hotel," El memberitahu rancangannya kepada Hana.
"Emmm....," balas Hana tidak berminat untuk mendengar rancangan El. Dia teringat akan kata-kata Azura ketika mereka bersarapan pagi tadi.
"You love her?? I don't believed it. You cuma bernafsu pada dia je kan?? You tak cintakan dia pun," kata-kata Azura itu bermain di fikirannya sepanjang perjalanan mereka. Hati Hana sakit.
'Takpelah. Kau gunalah aku puas-puas. Sampai masa kau dah tak perlukan aku, tinggalkanlah aku. Aku tak kisah,' kata Hana di dalam hati. Dia mengeluh.
El menoleh ke arah Hana apabila mendengar satu keluhan dari mulut Hana. Dia tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran isterinya itu.
"Abang dah tunaikan janji abang pada sayang," El cuba berbual dengan Hana.
"Janji apa?" soal Hana sambil memandang ke arah El sekilas. Kalau ikutkan hati malas dia nak melihat muka El. Tetapi, dia juga malas mahu bergaduh atau cari pasal dengan El. Nanti dia cakap aku takde adab lagi sebab tak pandang muka dia masa berbual. Dia ingat aku takde kerja lain, asyik nak tengok muka dia saja!
"Kan abang dah janji abang akan approved projek masjid tu. Abang approved sebab sayang tau," sengaja El mahu Hana merasa yang dirinya istimewa. Dia memegang tangan Hana sambil menciumnya.
"Oh..," balas Hana sambil menganggukkan kepala. Dengan perlahan dia menarik semula tangannya dari pegangan El. Dia kembali merenung ke luar tingkap kereta.
El melepaskan keluhan berat apabila melihat respon Hana yang sebegitu. Dia merasa sakit hati dengan sikap dingin Hana yang tiba-tiba itu.
"Kita balik hotel je la. Takde mood abang nak jalan-jalan," terus El membuat pusingan U di selekoh jalan.
Hana terdiam. Dia tahu El marah dengan sikapnya. Tetapi, dia juga sakit hati apabila teringat kata-kata El sebelum ini tentang dirinya.
'Geli dengan bekas orang konon. Tapi, nak aku jalankan tanggungjawab sebagai isteri,' bentak Hana di dalam hati. Kalau dah namanya lelaki, dah ludah boleh jilat balik. Hana membuang jauh pandangannya ke luar tingkap. Malas dia mahu melayan rajuk El.
Sesampainya mereka di hotel, El terus baring di atas katil sambil menonton television. Mukanya masam mencuka. Dia tidak mempedulikan Hana. Dia melayani perasaan marahnya.
"Hello, Azura. I nak jumpa you dekat lobby hotel," El menelefon Azura. Sengaja dia mahu menyakitkan hati Hana.
"Yess now," ujar El lagi. Sekali sekala matanya memandang ke arah Hana yang sedang duduk di sofa sambil melihat skrin telefon. Wajah Hana kelihatan tenang sahaja. Langsung tidak tertarik dengan perbualan El dan Azura.
Setelah menamatkan perbualan, El terus bersiap-siap untuk berjumpa dengan Azura.
"Mana file projek tadi? I ada benda nak bincang dengan Azura pasal projek masjid tu," El cuba menarik perhatian Hana. Dia mahu Hana memujuknya. Namun, Hana cuma menyerahkan file tersebut tanpa berkata apa-apa.
'Dia buat tak tahu dengan aku. Tanya apa-apa pun tak?' getus hati El sambil memandang muka Hana yang kelihatan tenang itu. Dengan kasar El mengambil kertas tersebut dan terus keluar dari bilik hotel.
Tinggal Hana sendirian di bilik. Dia termenung seketika. Tiba-tiba hatinya terasa sebak. Dia teringatkan arwah suaminya. Tidak pernah Farish melayannya kasar apatah lagi menyakitkan hatinya. Farish selalu mengucapkan kata sayang bukan kerana nafsu. Tetapi sayang yang lahir dari hati lelakinya terhadap isteri. Tetapi, El sangat berbeza. Sayang hanya kerana nafsu semata. Benarlah kata Azura. El hanya pergunakan Hana.


MALAM itu, ketika masih di dalam bilik hotel. El merenung Hana dengan tajam. Dia sakit hati melihat Hana diam dan langsung tidak bertanya apa-apa tentang pertemuannya dengan Azura.
"Awak kenapa? Kenapa layan abang macam ni?" El sudah tidak dapat menahan rasa sakit hatinya kepada Hana.

"Kenapa apa?" soal Hana bersahaja. Dia cuba berlagak tenang.
"Kenapa awak tiba-tiba dingin dengan abang? Awak marah sebab abang sentuh awak?" soal El tanpa berselindung lagi. Memang agak ketara selepas peristiwa malam semalam, Hana kelihatan muram sehingga malam ini.

"Abang berhak sentuh awak. Awak isteri abang," El cuba mempertahankan perbuatannya.
"Saya takde apa nak cakap," balas Hana. Matanya ditumpukan pada telefon bimbitnya. Iye, semua benda kau berhak buat pada aku. Sampai hina aku pun kau rasa itu hak kau. Teruskan dengan pertahankan hak kau.
"Okay, fine! Kemas! Kita balik KL malam ni!" El meninggikan suaranya. Dia terlalu sakit hati dengan sikap acuh tak acuh Hana kepadanya. Segala perancangan dibatalkan. Dia malas mahu mengadap wajah Hana yang masam mencuka dan terpaksa melayaninya itu.
Hana tersentap. Dia cuba menahan airmatanya dari mengalir. Dia tidak faham apa yang El cuba buktikan padanya.
Dengan perlahan, Hana bangun menuju ke almari baju. Dia keluarkan satu persatu baju yang tersusun itu dan menyimpannya di dalam beg pakaian. Air matanya mengalir deras. Esakkannya mula kedengaran. Dia mengesat airmatanya dengan telapak tangan.
El yang mendengar esakan itu melepaskan keluhan berat. Dia tidak sepatutnya melayani Hana sebegitu. Dia baru tersedar akan perbuatannya. Dia mendekati Hana dan melabuhkan punggungnya di belakang Hana. Pinggang Hana dirangkul kemas.

"I'm sorry. Abang tak patut layan sayang macam ni," El cuba memujuk Hana.
"Tak payah kemas. Kita sambung honeymoon kita di sini. Okay?" pujuk El lagi. Dia mengucup bahu Hana dengan penuh rasa sayang.
"Takpe la. Saya nak balik," balas Hana. Tangisannya sudah reda. Dia sudah tidak kisah dengan perancangan percutian El itu. Dia hanya mahu bersendirian sahaja.

"Abang minta maaf. Tolong lupakan apa yang abang cakap tadi. Let's enjoy the holidays," pinta El. Dia tahu bukan mudah untuk melupakan apa yang terjadi.
"Saya nak balik," Hana menangis semahunya. El terkejut. Dia panik melihat Hana tiba-tiba menangis.
"Dah lewat malam dah ni, sayang. Kita balik esok ye. Abang cakap je tadi. Esok baru kita balik. Okay," pujuk El. Dia rasa bersalah melihat Hana menangis teresak-esak.
Hana terus bangun menuju ke sofa. Dia terus berbaring menghadap ke dada sofa. Tangisannya masih berbaki.

"Sayang, tidur atas katil la. Sakit badan nanti tidur atas sofa ni," pujuk El lagi. Namun tiada balasan dari Hana. Dia tahu Hana merajuk dan terasa hati dengannya.
Setelah beberapa kali El memujuk, Hana masih tidak mengendahkan pujukan El. Akhirnya El membiarkan Hana melayan rajuknya.
Malam itu, tidur Hana bertemankan kesedihan dan tangisan. El pula diselubungi rasa bersalah.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh