Bab 24

BEBERAPA minggu selepas itu, El dan Hana bertolak ke Johor, bertemu keluarga Pak Ngah mewakili Hariz untuk berbincang tentang majlis pertunangan Hariz dan Wana. Namun begitu, Hariz tidak dapat pulang bersama.
Sesampainya El dan Hana di Johor, mereka disambut oleh keluarga Pak Ngah. "Amboi, handsome sungguh menantu Pak Ngah ni. Patut Hana sorok je susah bawa ke sini," usik Pak Ngah sambil ketawa besar.
"Pak Ngah ni, mana ada sorok. Hari tu Abang El tak dapat cuti la. Ni baru dapat cuti," balas Hana sambil menyambut huluran tangan Pak Ngah.
"Maaf Pak Ngah. Dah lama kahwin dengan Hana, baru hari ni dapat jumpa Pak Ngah," El turut menyambut huluran tangan Pak Ngah. Tersengih-sengih El saat dipuji sebegitu.
"Eh, takpa la El. Pak Ngah bergurau je. Pak Ngah saja mengusik Hana ni," balas Pak Ngah sambil ketawa besar. "Hariz outstation ke mana?" soal Pak Ngah lagi. Lantas dia menoleh pada Hana.

"Along outstation di Brunei. Dia minta maaf sebab tak dapat balik," balas Hana sambil meletakkan beg pakaiannya ke sudut pintu bilik.
"Amboi, handsome sungguhlah suami Hana," puji Mak Ngah pula yang baru datang dari arah dapur.
"Jangan puji lebih-lebih. Koyak seluar dia nanti," balas Hana agak menyampah melihat El tersengih-sengih macam kerang busuk ketika dipuji oleh Mak Ngah dan Pak Ngah.
"Oh, ni suami kau. Orang kaya ek?" ujar Sham yang tiba-tiba muncul dari bilik. Dia memandang El dari atas ke bawah.
"Apa kau cakap ni Sham. Hormat sikit suami Hana ni," marah Pak Ngah kepada Hisham.
El terpinga-pinga mendengar kata-kata Sham itu. Salam perkenalan Sham agak kasar baginya. El memandang pada Hana. Isterinya itu tidak memberi sebarang respon. Malah, reaksinya mukanya juga seakan tidak mengendahkan kehadiran lelaki itu di situ.
Hisham anak Pak Ngah yang sulung. Masih belum berkahwin. Dia masih menaruh hati pada Hana. Dahulunya sebelum Hana berkahwin, berkali-kali dia minta Pak Ngah masuk meminang Hana. Namun, Hana menolak. Oleh kerana itulah, Hariz menjodohkan Hana dengan Farish agar Hisham tidak terus mengganggu Hana.

"Taste orang kaya. Huh!" Tetap sahaja Sham berkata-kata walaupun sudah di tegur oleh Pak Ngah.
Hana hilang sabar, lalu dia membidas,"A'ah. Orang kaya. Aku kan memang suka kahwin dengan orang kaya," balasnya. Sinis. Malas mahu ambil pusing akan kata-kata Hisham itu.
"Jangan di layan Sham tu, Hana. Pergilah masuk bilik. Letak beg tu. Lepas tu, kita makan sama-sama," ujar Pak Ngah.
Hana mengangguk perlahan. Lalu dia terus berjalan menuju ke bilik mereka. El membontoti Hana.

Sesampainya di bilik, El merenung Hana. Dia mahu tahu mengapa Sham bersikap begitu pada mereka. "Kenapa Sham tu cakap macam tu?" soal El ingin tahu. "Dia memang macam tu. Suka bergurau," balas Hana. Malas mahu menerangkan dengan panjang lebar kepada El.
"Bergurau apa macam tu? Kasar sangat bunyinya," El masih tidak berpuas hati dengan jawapan Hana.
"Dia memang macam tu. Tak mesra dengan orang. Dahlah, buat tak tahu je dengan dia. Anggaplah fius otak dia dah terbakar," balas Hana bersahaja.
"Fius otak terbakar?" gumam El sendiri. Apa yang isteri aku cakap ni? Pelik-pelik je.
"Jom, makan. Lapar dah ni. Mak Ngah masak asam pedas sedap tau. Macam arwah ibu masak," jelas Hana dengan wajah yang ceria. Dia terus keluar dari bilik tersebut menuju ke dapur. Mahu atau tidak, El terpaksa menurut walaupun dia mula merasa tidak selesa berada di situ dek kerana lelaki yang bernama Sham tadi.
Sebaik sahaja berada di dapur, kelihatan Pak Ngah, Mak Ngah dan seorang lagi anak mereka sedang menunggu Hana di ruangan itu.
"Hana!!!" Jerit Dila. Gadis itu merupakan anak kedua Pak Ngah yang sebaya dengan Hana. Mereka memang rapat sejak daripada kecil lagi.

Dila dan Hana berpelukkan erat."Tahu je aku dah sampaikan? Mana anak kau?" soal Hana sambil mencari kelibat si kecil, Aura.
"Aku tak ambil lagi Aura dekat rumah pengasuh. Aku dari tempat kerja terus datang sini. Mak beritahu kau dah sampai dengan suami... tu yang aku terus datang sini," jelas Dila dengan panjang lebar. Dia tersenyum pada El yang sedang memandang ke arahnya.

"Oooo.... Sebab mak cakap aku dengan suami, kau terus datang sini? Sampai lupa nak bawa anak kau datang sekali? Pergilah ambil Aura. Aku rindu dia," ujar Hana. Dia mengambil pinggan dan diletakkan ke atas meja.
"Alaa.. Nanti laki aku pergi ambil dia dekat rumah pengasuh terus bawa sini. Malaslah aku nak ulang alik dua tiga kali," balas Dila sambil membantu Hana menghidang makanan.
"Abang, duduklah. Kenapa berdiri lagi tu?" Hana menegur El yang masih terpinga-pinga di situ.
"Orang kaya nak ke makan makanan orang kampung ni? Ke kau nak aku order makanan western untuk suami kau ni?" tiba-tiba Sham muncul dan terus melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan.
"Sham, hormat sikit tetamu," Mak Ngah malu dengan sikap Sham yang tidak sudah-sudah cakap lepas terhadap Hana.
"Suami aku tak makan western, dia makan orang. Ada ke orang yang boleh di makan dekat sini?" soal Hana dengan wajah yang tenang. Tanpa memandang pada Sham, Hana menyenduk nasi ke setiap pinggan yang ada.
El terpinga-pinga mendengar jawapan dari Hana. Namun, dia hanya mendiamkan diri. Dia mula berasa tidak selesa dengan kehadiran Sham di situ.
"Kau ni Hana, kalau tak buat kelakar, tak sah," celah Dila sambil ketawa besar. Dia tahu Hana marah dengan kata-kata alongnya, Sham. Tetapi, dia tidak mahu menegangkan lagi suasana tersebut.
"Janganlah marah. Aku cakap je," ujar Sham dengan senyuman sinis. Dia tahu Hana tidak suka dia terus menerus mengkritik El.
"Sudahlah tu, Sham. Depan rezeki ni. Tak elok bertegang urat," Pak Ngah menasihat Sham agar tidak terus menyakiti hati Hana lagi. "Maaflah, El. Sham ni memang suka cakap lepas. Tapi, dia takda niat apa-apa pun. El jangan ambil hati ye," ujar Pak Ngah apabila melihat reaksi El yang seakan tidak selesa itu.
"Aa.. Takpa Pak Ngah," balas El ringkas. Dia masih tidak dapat memahami apa yang berlaku sebenarnya. Mengapa Sham terus menerus menyerang Hana.
"Abang makan asam pedaskan?" soal Hana dengan mesra.
"Makan," jawab El. Dia melihat Hana meletakkan seekor ikan di dalam pinggannya.
"Terima kasih, sayang," balas El sambil tersenyum melihat pada Hana. Walaupun hatinya meronta-ronta ingin tahu mengapa Sham begitu, El tetap sahaja memaniskan wajahnya.

"Sayang? Sweet nya korang," kata Dila. Wanita itu tersenyum melihat kemesraan El dan hana
Sham pula hanya memandang sinis terhadap kemesraan pasangan itu.
"Makanlah. Sibuk je," balas Hana dengan selamba. Dila hanya ketawa apabila Hana berkata begitu kepadanya. "Aku tak sabar nak tunggu Ina datang. Ada geng nak mengusik kau," ujar Dila. Mengekek dia melepas tawa. Ina, adik kepada Dila. Beza usia mereka hanya setahun.
"Malas nak layan," balas Hana bersahaja. "Ya Allah, Mak Ngah, sedapnya asam pedas ni. Buat Hana terindu-rindu pada ibu," puji Hana. Dia tersenyum lebar. Sungguh, Hana rindu masakan ibunya dan masakan Mak Ngah saling tak tumpah seperti masakan ibu.

Sebab tu aku suka datang ke sini. Seolah-olah arwah ibu dan ayah masih hidup.
"Mak Ngah masak khas untuk Hana tu," ujar Mak Ngah. Dia tersenyum puas tatkala melihat Hana menjamah makanan dengan selera. "Petang nanti Pak Ngah buat kopi untuk Hana," celah Pak Ngah pula.

Mereka amat menyayangi Hana seperti anak sendiri. Hana juga menganggap Pak Ngah dan Mak Ngah seperti ibu dan ayah sendiri.
Setiap bulan, Hana dan Hariz akan mengirim sejumlah wang perbelanjaan kepada Pak Ngah dan Mak Ngah. Walaupun sudah berkali-kali mereka menolak pemberian tersebut, Hana dan Hariz tetap berkeras mahu memberi wang perbelanjaan kepada mereka berdua.
Pada Hana dan Hariz, itu sahaja cara mereka membalas jasa Pak Ngah dan Mak Ngah yang telah menjaga mereka selepas mereka kehilangan orang tua suatu ketika dahulu.
"Pak Ngah nak buat kopi? Tak sabarnya nak minum kopi Pak Ngah. Hari tu Hana terindu-rindu kopi Pak Ngah tau," balas Hana dengan ceria.
Pak Ngah dan Mak Ngah tersenyum melihat gelagat Hana. El pula terasa janggal dengan suasana tersebut ditambah pula dengan kehadiran Sham yang bersikap dingin itu.
Walaubagaimanapun, El tetap memaniskan wajahnya. Dia menjamah makanan dengan begitu berselera sekali. Benar kata Hana, memang sedap sungguh masakan Mak Ngah.


PETANG itu, mereka duduk bersantai di pangkin bawah rumah Pak Ngah. Seperti yang dijanjikan Pak Ngah, air kopi kegemaran Hana di hidangkan bersama pisang goreng dan sedikit kuih muih sebagai minum petang.
"Jemput minum kopi tu El. Jangan segan-segan. Kuih ni Dila beli tadi dekat kedai hujung kampung tu," ujar Pak Ngah ramah berbicara.
"Hana dah buatkan teh untuk Abang El, Pak Ngah. Abang El tak boleh minum kopi. Nanti dia pening," jelas Hana melarang El dari minum air kopi yang Pak Ngah hidangkan.
"Rasa sikit tak kan tak boleh," ujar Pak Ngah sambil menghulur air kopi tersebut kepada El.
"Boleh Pak Ngah," balas El mahu menjaga hati orang tua itu. Dia cuba mengambil kopi dari tangan Pak Ngah.

"Tak boleh la. Nanti teruk abang sakit kepala. Abang minum air teh ni. Jangan nak cuba-cuba air kopi. Nanti sakit macam hari tu," larang Hana sambil menepis tangan El dari mengambil air kopi itu.
'Selamba je dia tepis tangan aku depan Pak Ngah,' gumam hati El sambil memandang wajah Hana yang merenungnya tajam.
"Kalau tak boleh, jangan minum. Ada je orang tak boleh minum kopi. Mak Cik Leha yang rumah dia dekat simpang jalan tu. Langsung tak boleh minum kopi. Kalau dia minum sikit, terus pening muntah-muntah. Bau kopi pun dia tak boleh. Macam orang ada alahan mengandung tu haa. Sampai sekarang dia macam tu," terang Mak Ngah panjang lebar.
"Haa.. Dengar tu," ujar Hana sambil memandang wajah El. Kalau sakit dekat sini kang menyusahkan aku. Dah lah jenis bila sakit, nak bermanja je. Jenuh nak melayan.
"Kalau abang sakit, sayangkan ada," balas El sambil tersenyum segaris. Hana mencebik geram.
"Ke orang kaya tak minum kopi kampung?" celah Sham yang tiba-tiba muncul. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Hana.
"Sham, sudahlah tu. Tak selesa El dibuatnya. Dulu arwah Farish pun kau layan macam ni," Mak Ngah sudah tidak tertahan dengan sikap anaknya itu.
El hanya diam dan menjamah kuih yang terhidang. Hatinya sedikit panas dengan kata-kata Sham. Jelas terpancar di wajah El bahawa dia tidak selesa dengan kehadiran Sham di situ. Hatinya semakin sakit apabila melihat Sham duduk rapat di sebelah Hana.
"Along suruh Hana bincang dengan Pak Ngah tentang rombongan bertunang along nanti," ujar Hana malas mahu melayan sindiran Sham itu. Dia perasan wajah El berubah setelah mendengar kata-kata Sham tadi.
"Apa perlu Pak Ngah buat? Kalau nak kumpulkan adik beradik lain untuk rombongan bolehlah Pak Ngah uruskan," balas Pak Ngah.
"Hantaran tu semua macam mana?" Mak Ngah mencelah.
"Hantaran tu, Hana dengan Abang El uruskan. Along cuma nak tahu berapa ramai yang ikut rombongan. Sebab dia nak tempah homestay nanti," balas Hana. Sekilas dia memandang wajah keruh El. Dia perlu jelaskan pada El mengapa Sham berkelakuan begitu. Tidak mahu El terus bermasam muka. Mood suaminya perlu dijaga. Dia bimbang jika El tiba-tiba naik angin dan bergaduh dengan Sham.
"Oh, hal tu nanti Pak Ngah tanya yang lain-lain. Lepas tu, Pak Ngah akan bagitahu pada Hana," balas Pak Ngah sambil menghirup air kopinya. Lama mereka berbual di situ.

El pula sudah pun masuk ke bilik. Dia tidak betah berlama-lama di situ kerana Sham asyik merenungnya dengan sinis.
"Nasib baik aku hormatkan mak ayah kau. Kalau tidak, muka kau makan penumbuk aku," El bermonolog sendiri. Geram dan sakit hati dengan kata-kata Sham masih belum reda.
Beberapa minit kemudian, Hana masuk ke dalam bilik. Dia melihat El sedang menatap telefon bimbitnya. Sedikit pun El tidak menoleh ke arah Hana walaupun dia sedar akan kehadiran Hana di situ.
"Tadi along call. Dia suruh remind abang tentang tender dekat Banting tu. Dia kata company tu dah nak open tender minggu depan. Along suruh abang stand by kertas kerja," kata Hana. Riak wajah lelaki itu maish seperti tadi. Keruh.

Macam mana aku nak mula cerita tentang Sham ni. Tengok muka dia pun macam nak telan orang. Nasiblah kalau kena marah ni.
"Okay," balas El acuh tak acuh. Dia malas mahu bertanya tentang Sham kepada Hana. Sedaya upaya emosinya cuba dikawal agar marah tidak meladak.
"Saya minta maaf kalau abang tak selesa dengan Sham tu. Dia....," belum sempat Hana menjelaskan tentang Sham, El mencelah.
"Abang letih, nak rehat," ujar El sambil merebahkan tubuh di atas katil. Dia membelakangi Hana.
"Okaylah. Kalau abang nak apa-apa, abang beritahu saya ye,"balas Hana. Keluhan kecil dilepaskan. Dia tahu El marah. Tetapi, dia juga takut nak menerangkan hal itu kepada El. Dia bimbang El akan salah faham.
Lantas Hana keluar dari bilik tersebut dan berjalan menuju ke belakang halaman rumah. Kelihatan Dila dan Ina serta anak-anak mereka sedang bermain-main di situ. Hana tersenyum melihat gelagat mereka.
"Mana husband kau yang handsome tu?" soal Ina sambil menjengah kepala mencari susuk tubuh El.
"Dia tidur, letih drive tadi," balas Hana. Dia mendukung Aura, anak buahnya yang paling kecil sekali yang berusia setahun.
"Dah mandi ke sayang? Mak su rindu dekat dialah," Hana menggomol Aura sehingga dia menggekek ketawa. "Busuk masam lah dia ni," ciuman Hana pula hinggap di pipi si kecil. Gelagatnya diperhatikan oleh Dila dan Ina.
"Sorry lah Hana. Along aku tu kau tau lah dia tu. Masih tak move on. Masih mengharap pada kau," jelas Dila. Raut wajah Hana yang tenang direnung.

"Bila dia balik sini? Balik terus ke atau balik bercuti?" soal Hana pula.Pandangan ditala pada muka Dila.
"Balik terus. Company dekat Singapura tu dah nak tutup. Bankrup. Sekarang ni dia tengah cari kerja dekat sini," jawab Dila.
"Along tu kau tau je lah dia. Mulut tak reti nak jaga hati orang. Sebab tu sampai sekarang tak kahwin. Siapa tahan mulut cakap lepas macam tu," bebel Ina.
"Suami kau okay tak? Aku tengok dia nampak tak selesa dengan along," Kata Dila lagi. Dia kasihan melihat El yang terpinga-pinga setiap Sham menyindir Hana.
"Kalau aku tahu dia dah balik sini, aku datang dengan along aku," keluh Hana. Dia bimbang dengan El. Dia takut El semakin hilang sabar dengan sikap Sham.
"Dengan arwah Farish dulu pun, dia selamba cakap lepas," Ina juga merungut tentang Sham.
"Mak dengan abah aku tadi dah bising-bising pada Sham. Ni entah ke mana dia keluar. Bukan boleh ditegur," tambah Dila lagi. Dia kasihan melihat sepupunya itu.
Hana termenung seketika. Keluhan berat dilepaskan.
"Nanti korang berdua ikut tak rombongan bertunang along dekat Seremban nanti?" soal Hana menukar topik perbualan. Dia malas memikirkan tentang Sham.
"Tak tahu lagilah. Sebab aku dengan suami aku kerja. Apa-apa nanti aku beritahulah," jawab Dila sambil mendukung Aura.
"Samalah aku. Tak boleh nak janji. Nanti aku beritahu kau ye, Hana. Okay lah. Aku nak balik rumah ni. Dah nak Maghrib dah. Surau dekat rumah aku hari ni ada ceramah. Suami aku nak bawa kami anak beranak pergi surau," ujar Ina sambil memanggil anak-anaknya.
"Nanti aku datang lagi jumpa kau," tambah Ina lagi. Dia pulang bersama anak-anaknya.
"Aku pun nak balik rumah dah ni. Esok aku singgah sini lagi. Kau lambat lagi balik KL kan?" soal Dila. Anaknya diambil dan dikendong.

"A'ah, lambat lagi. Okay, jumpa esok," Hana bersalaman dengan Dila.
Tinggallah Hana bersendirian di situ. Mak Ngah dan Pak Ngah telah pun pergi ke surau. Hana melihat jam di tangan menunjukkan pukul tujuh malam. Dia mengeluh lagi. Takut mahu bertemu muka dengan El.
'Along, I need you,' keluh Hana di dalam hati. Kalau along ada, mesti Sham tak berani nak ganggu aku. Mesti Sham tak berani nak sakitkan hati El. 


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh