Bab 27

HAMPIR dua tahun usia perkahwinan El dan Hana. Setiap bulan El mengharapkan berita gembira untuk dirinya dan Hana. Iaitu cahaya mata. Tetapi, lain pula bagi Hana, dia tidak mengharapkan seperti apa yang El harapkan. Dia bimbang jika El meninggalkannya kerana sehingga sekarang, El masih menghubungi Azura walaupun hanya berkaitan dengan hal kerja. Hana masih ragu-ragu dan tidak yakin dengan cinta El.

Sepanjang pemaduan, alis mata El berkerut seribu memandang benda yang dia pegang sedari tadi. Ubat itu dijumpai di dalam beg tangan Hana dua hari lepas. Lantas El ke salah sebuah farmasi yang berdekatan untuk bertanyakan perihal ubat tersebut.
"Ini pil perancang, encik," kata ahli farmasi itu setelah melihat ubat yang El tunjukkan kepadanya.
El termenung sejenak. Nafasnya digali dalam. Hati mula terasa sakit. Perasaan marah cuba dikawal.
"Okay, terima kasih," balas El dengan senyuman pahit. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya waktu itu. Tetapi, tidak temui jawapan.

Kenapa dia buat aku macam ni? Kenapa dia ambil benda ni tanpa berbincang dengan aku? Sejak bila dia makan ubat ni? Aku mesti tanya pada Hana sendiri. Bertalu-talu persoalan itu menerjah benak fikirannya.
Sebaik sahaja sampai di pejabat, El terus bergegas masuk ke dalam biliknya. Tanpa menunggu lagi, dia memanggil Hana dan mengarahkan wanita itu berjumpa dengannya.
Selang beberapa minit, Hana masuk ke bilik El. Dia pelik melihat El yang memandangnya dengan riak yang serius.
"Macam mana meeting tadi? Sorry saya tak dapat ikut," ujar Hana. Duduk dilabuhkan dihadapan lelaki itu.

El membungkam.
"Abang, are you okay?" soal Hana apabila melihat El masih mendiamkan dirinya.
"Ni apa?? Explain to me. What is this?" Ubat tadi dicampak ke atas meja dan mendarat betul-betul di depan Hana. Dah berapa lama dia ambil benda ni tanpa pengetahuan aku! Bentak hati kecil El. Geram.

Dengan wajah yang tidak beriak apa-apa, Hana merenung ubat itu tanpa bicara. Nafas dihela berat.
Apa yang kau concern sangat dengan ubat yang aku ambil? Jujur aku tak tahu nak jawab apa. Sebab jawapan tu ada pada dia! Hati Hana membentak.
"Jawab! Kenapa ambil pil perancang tanpa pengetahuan abang? Tanpa izin abang? Sayang tahukan abang nak anak. Kenapa buat macam ni?" El tidak dapat menahan perasaan marahnya saat ini.

Ubat itu dijumpai ketika El mencari jam tangan milikinya yang Hana simpan didalam beg tangan milik wanita itu.
Sejak bila kau sibuk pasal semua hal aku? Jerit hati kecil Hana. Tapi, riak wajahnya masih tenang. Namun, sedikit pun Hana tidak menjawab semua pertanyaan itu.
"Kenapa senyap? Benci sangat ke awak pada abang? Sampai awak tak nak mengandungkan anak abang?" soal El dengan nada kekesalan.
"Kenapa tak berterus terang pada abang? Selama beberapa bulan abang mengharap awak mengandung, awak bodohkan abang?" sambung El lagi dengan nada yang lebih tinggi.
Sedikit pun Hana tidak memberi respon. Riak wajahnya masih kekal tenang seperti tadi. Kebisuan Hana membuatkan El bertambah sakit hati. "Keluar!" tegas El. Dia tidak mahu melihat muka Hana yang sedikit pun tidak menunjukkan rasa bersalah. Hatinya sakit melihat Hana seolah-olah tidak kisah tentang hati dan perasaannya.
Hana mengambil ubat tersebut, lantas dia keluar meninggalkan El yang masih belum reda marahnya itu. Dia kembali semula ke tempatnya. Pil perancang itu direnung lama. Ya, sejak beberapa bulan yang lepas, setiap kali Hana merasa tidak sihat dan lewat datang bulan, pasti El akan membeli pregnancy test. Lelaki itu akan memaksa Hana membuat urine test untuk pastikan sama ada Hana mengandung atau tidak. Tapi, setiap kali itu jugalah Hana cuba mengelak dari membuat ujian itu kerana dia tahu benda tu tak kan berlaku. Dia sudah lama makan pil perancang tersebut. Jadi, untuk dia mengandung agak mustahil. Tetapi, disebabkan El beria mahu Hana membuat test tersebut, mahu atau tidak, terpaksalah Hana turuti kehendak El. Dan setiap kali ujian itu menunjukkan keputusan negatif, riak wajah El kelihatan kecewa.
"Takpalah, sayang. Belum rezeki kita lagi. Nanti kita cuba lagi okay," El cuba memujuk Hana. Dahi wanita itu dikucup lembut.

Padahal, Hana sedikit pun tak kisah sebab dia tahu yang keputusan itu akan sentiasa negatif selagi dia masih makan pil perancang tersebut.
"Abang mahukan anak sebagai pengikat kasih sayang dan bukti cinta kita. Abang nak anak sebagai penyambung generasi kita. Anak yang buat kita rasa kasih sayang tu wujud sampai bila-bila," itu yang El ucapkan saat pertama kali mereka berbicara soal perasaan.
Ketika itu Hana langsung tiada hati untuk bercakap soal anak kerana kata-kata El sebelum ini masih terpahat di ingatannya.
Kau pernah cakap aku bukan selayaknya untuk lahirkan zuriat engkau. Nak pandang aku pun jijik, inikan pula nak sentuh aku. Tapi, kenapa sekarang kau sentuh aku? Lepas tu, kau nak aku lahirkan zuriat engkau? Sungguh kata-kata El waktu awal perkahwinan mereka dulu membuatkan Hana jauh hati. Apa yang berlaku antara mereka, Hana cuma menganggap tanggungjawabnya sebagai isteri. Tidak lebih dari itu.
Hana melepaskan keluhan berat. Terasa sesak dan sebak di dadanya. Dia sendiri tidak tahu apa pengakhiran hubungannya dengan El. Kalau boleh masa diundurkan, dia tidak akan setuju berkahwin dengan lelaki itu. Namun, semuanya mustahil.


PETANG itu, setelah selesai mesyuarat, Hana mengemas semua dokumen yang berselerak di atas meja. Setiap minit mesyuarat disimpan kemas. El telah pun masuk semula ke biliknya.
Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Staff di pejabat sudah beransur pulang.
"You balik naik grab. I nak keluar dengan Azura," tiba-tiba El muncul semula di bilik meeting. Kata-kata itu seolah sengaja mahu menyakitkan hati Hana.

Dari panggilan abang dan sayang, mula bertukar semula kepada you dan I. Itu menunjukkan El marah pada Hana.

"Okay," jawab Hana ringkas tanpa memandang wajah El. Kedengaran pintu bilik itu ditutup semula. Hana memandang kosong pada muka pintu yang sudah tertutup itu. Nafas ditarik dalam dan dihela perlahan. Dia tahu El masih marah padanya.
Setelah itu, Hana keluar daripada situ dan menuju ke mejanya. Punggung dihenyak ke kerusi sambil matanya terpasak pada skirn komputer yang gelap itu.
Aku dah agak. Dia masih dengan Azura. Lantaklah, bukan urusan aku. Detik hati Hana. Lantas dia bangun dan mengemas mejanya. Kemudian, dia berjalan keluar daripada bangunan pejabat itu. Baru sahaja dia hendak menempah kenderaan awam, telefonnya telah terpadam sendiri.
Aduhh... habis bateri pula. keluh Hana sambil melihat ke jalan besar kalau-kalau ada teksi yang kebetulan lalu di situ.
"You buat apa dekat sini? El mana?" soal Ikram yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Dahi lelaki itu berkerut nipis. Ikram pelik kerana selalunya Hana pulang bersama El.
"El keluar dengan Azura," balas Hana tanpa berselindung lagi. Senyuman hambar dihadiahkan pada Ikram. "Sorry? What??" soal Ikram seolah tidak percaya.
"You heard that, right?" Soal Hana dengan sinis. Dia dengar apa yanga aku cakap. Jelas rasanya. Tak perlu buat-buat terkejut. Kau lebih tahu kawan kau. Bebel Hana didalam hati.

Hana terus meninjau-ninjau ke jalan besar. Tak boleh jadi ni. Kena jalan depan sikit lagi rasanya ni. Detik hati Hana apabila melihat tiada satu pun teksi yang lalu di kawasan itu.
"So, dia suruh you balik sendiri?" Ikram masih cuba mendapatkan jawapan walaupun balasan Hana acuh tak acuh. Setahu Ikram, El dan Azura memang dah tiada hubungan melainkan hal kerja sahaja.
"As you can see, yes. Sorry, saya nak tunggu teksi dekat sana. Saya minta diri dulu," balas Hana. Belum sempat Hana melangkah, Ikram menghalang.
"Kalau macam tu I hantar you balik. Jom," Ikram menawarkan pertolongan.
"Eh, takpa. Saya balik naik teksi je. Lagipun, tak manis kalau saya tumpang awak. Saya isteri orang. Sorry, saya harap awak faham," tolak Hana dengan sopan. Walaupun El tengah bersuka ria dengan girlfriend dia, tak mungkin aku nak lakukan benda yang sama. Aku sedar yang aku isteri orang. Aku jaga diri bukan untuk El, tapi untuk diri aku sendiri.
"El keluar dengan perempuan lain, you tak marah? Tak cemburu?" dengan sengaja soalan itu diajukan pada Hana. Dia mahu mendengar respon wanita itu.

Aku tak tahu nak cakap kau ni perempuan yang macam mana Hana. Suami sendiri keluar dengan perempuan lain, kau masih nampak tenang dan tak kisah. Gerutu hati kecil Ikram.
"Saya tahu siapa saya di sisi El. Dia kan pernah cakap pada awak, dia tak kan dan tak boleh sayang atau cintakan saya. Sebab saya bukan pilihan dia. Dia kahwin dengan saya sebab terdesak. Lagipun, saya ni janda, bekas orang. Jadi, untuk saya cemburu tu, rasanya tak mungkin. Sebab saya ni bukan siapa-siapa pun pada dia," jelas Hana dengan tenang. Wajah Ikram dilihat agak terkejut.

Mungkin tak sangka dengan jawapan yang keluar dari mulut aku. Aku dah penat nak bermuka manis dan berpura-pura depan Ikram. Ikram ingat aku tak tahu apa yang El pernah cakap pada dia?
"Bila you dengar El cakap macam tu? Tapi, I rasa El dah berubah dan...," belum sempat Ikram menghabiskan ayatnya, Hana memintas. "Saya dengar semuanya. Semua, Ikram. Masa majlis nikah kami. El luahkan dengan awak. Ya, betul apa dia cakap. Saya ni janda dan bekas orang. Tak mungkin dan dia tak kan suka atau jatuh cinta pada saya kan?"

Entah kenapa aku luahkan segalanya pada Ikram. Hati kecil Hana bersuara.
"But, honestly saya tak kisah pun sama ada dia suka atau tidak pada saya. Cuma, saya harap dia tak lupa yang saya sendiri berkahwin dengan dia bukan atas kerelaan saya. Tapi, sebab saya kesian dan nak tolong dia. Itu sahaja," sambung Hana.
"Sorry, Ikram. Saya pun tak tahu kenapa saya cerita semua benda ni pada awak. Aib rumah tangga saya. Tapi, tolonglah nasihatkan kawan awak tu. Kalau dia rasa tak suka pada saya, dia tahu apa yang patut dia buat," Hana terus berlalu pergi meninggalkan Ikram terpinga-pinga di situ.
Dia dengar semuanya? Semua yang El pernah cakap pada aku? Ikram meraup wajahnya dengan telapak tangannya. Nafas digali dalam.

Hampir setengah jam Hana masih menunggu di situ. Namun, kelibat teksi satu pun tidak kelihatan.
Dah pupus ke semua teksi dekat sini? Gerutu hatinya. Dia melihat jam di tangan, waktu maghrib hampir habis. Mahu atau tidak, dia terpaksa berjalan kaki mencari surau berdekatan untuk menunaikan solat maghrib. Mujur ada stesen minyak berhampiran. Itu pun setelah 20 minit dia berjalan.
Lenguh kakinya bukan kepalang. Hana menyandarkan badan ke dinding surau selepas menunaikan solat maghrib tadi. Dia termenung mengenangkan nasibnya hari ini. Telefon bimbit yang terpadam dibelek-belek tanpa sebab.
Kenapa masa ni kau nak terpadam? Sebelum ni elok je kau bernyawa. Bebelnya di dalam hati. Disimpan semula telefon itu ke dalam beg. Entah berapa kali jam di tangan ditenung.

Lagi 10 minit nak masuk waktu isyak. Tunggu je lah sekejap. Sampai rumah nanti, mandi, terus tidur. Hana mengatur perancangannya sendiri.


"MANA dia pergi ni? Call tak dapat. Lari dari rumah ke?" El bermonolog sendiri.

Tak kan lari dari rumah? Baju dia semua ada dalam bilik. Gerutu hati kecil El.
Sebenarnya El langsung tidak keluar dengan Azura. Dia sengaja menipu Hana untuk menyakitkan hati wanita itu. Tapi, hatinya pula bertambah sakit apabila Hana masih tidak pulang. Puas dia cuba menghubungi Hana, namun panggil tidak dapat disambung.
Sejam kemudian, kedengaran pintu hadapan dibuka. Hana muncul dengan wajah yang letih. Sekilas dia memandang El yang sedang menonton televisyen. Tanpa menegur lelaki itu, dia terus menapak ke bilik.
El juga seperti tidak mengendahkan kepulangan Hana. Walaupun dalam hatinya meronta-ronta ingin bertanya kenapa sebegitu lewat baru sampai ke rumah. Tetapi, persoalan itu dibiarkan tertanam di benak fikirannya kerana ego mengatasi segala.


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.