KEESOKAN harinya, Hana bangun awal menyiapkan sarapan pagi. Mak Ngah dan Pak Ngah sibuk di surau kerana ada usrah pagi di situ.
"Mana suami kaya kau tu? Tidur lagi? Kau tak ajar dia bangun pagi-pagi ke? Ke kau merajakan dia?" soal Sham yang tiba-tiba muncul di dapur menganggu ketenteraman Hana.
Terkejut Hana dengan kehadiran Sham. Nafas digali dalam cuba berlagak tenang. 'Sabar Hana. Sabar,' pujuknya di dalam hati. Dia tidak mahu bergaduh dengan Sham di pagi hari sebegini.
"Aku tahu kau tak bahagia. Kau ingat aku tak tahu suami kau tu ada perempuan lain?" Sham menambah lagi setelah melihat Hana masih mendiamkan diri.
"Apa kau cakap ni?" soal Hana tersentak dengan kata-kata Sham. Apa yang dia tahu tentang El? Alis matanya berkerut seribu merenung tajam pada lelaki itu.
"Zaman sekarang ni semua dekat hujung jari. Tak kan kau tak tahu suami kau ada perempuan lain? Kemain mesra bergambar, berpeluk dengan perempuan tu," ujar Sham tersenyum. Jeratnya mengena.
"Aku tahu. Aku kenal perempuan tu. Kalau dia ada perempuan lain pun, takda kena mengena dengan kau. Yang penting aku bahagia dengan dia," balas Hana bersahaja. Mesti Sham tengok gambar El dan Azura di media sosial. Banyak betul masa kau menyiasat tentang hal kami.
"Jadi, memang kau kahwin dengan dia sebab duitlah? Sebab tu kau tak kisah dia ada perempuan lain?" tuduh Sham. Dia agak terkejut apabila melihat Hana tenang sahaja selepas dia memberitahu tentang hal itu.
"Terpulanglah kau nak cakap apa pun. Hidup aku takda kena mengena dengan kau," balas Hana tegas. Dia terus menyambung kerjanya. Malas nak berbalah lagi dengan lelaki itu.
"Kalau kau terima pinangan aku dulu, kau tak kan dapat suami yang macam sekarang ni. Curang dengan kau. Aku tahu kau tak bahagia. Mesra yang dibuat-buat. Kau ingat aku tak perasan semua tu?" Sham memprovok lagi.
Tanpa Hana dan Sham sedar, El terdengar perbualan mereka berdua. Hati El jadi panas.
"Aku takda apa nak cakap dengan kau. Terpulanglah kau nak fikir apa. Aku tak peduli," balas Hana tegas.
"Aku pasti kau dengan dia tak kan kekal lama. Macam mana kau dengan Farish dulu. Kau ingat tu!" ugut Sham. Dia terus pergi dari situ melalui pintu dapur sambil mendengus kasar.
Hana termenung seketika. Benar, apa yang Sham ucapkan. Mungkin hubungannya dengan El tak mungkin akan kekal. Hana sedar semua itu. Namun, Sham tidak berhak mencampuri urusan rumah tangganya. Hatinya terasa sebal.
Setelah selesai menyediakan sarapan, Hana menuju ke bilik untuk memanggil El. Ketika dia masuk ke dalam bilik, kelihatan El duduk di birai katil dengan muka yang marah. Hana merasa gusar tatkala melihat raut wajah lelaki itu.
"Oh, patut suka sangat balik sini. Ada buah hati rupanya dekat sini," sindir El. Suasana di dalam bilik itu terasa tegang.
"Apa abang cakap ni?" soal Hana cuba bertenang. Dia memandang wajah El yang merah padma menahan marah.
"Petang ni kita balik KL," tegas El. Dia sudah tidak dapat bersabar lagi dengan tingkah laku Sham. Sakit hatinya bertambah apabila melihat Hana berdua-duaan dengan Sham bercakap tentang dirinya di dapur itu tadi. Hati El bercampur baur. Cemburunya meluap-luap.
"Balik?" soal Hana. Baru semalam sampai dah nak ajak aku balik??
"Pilih. Nak ikut abang balik KL atau nak tinggal sini sampai bila-bila?" suara El agak keras kedengaran. Dia cuba mengawal kemarahannya.
Hana tersentap. Dadanya berombak kencang. "Kita kan baru sampai..," belum sempat Hana meneruskan kata-katanya, El memintas dengan muka yang menyinga. "PILIH!!!!" tengkingan El menyentap hati Hana. Lelaki itu merenung tajam tepat ke mata Hana.
Hana tersentap. Hilang kata-kata Dia terkejut dan tergamam. Lantas tubuhnya dipaling membelakangi El. Air mata di tahan dari gugur di hadapan lelaki itu.
Dengan lemah, dia mengambil beg pakaian dan mengemas semua pakaiannya. Air matanya tumpah seperti empangan pecah. Esakan ditahan sehabis mungkin.
El terus keluar dari bilik itu. Dia tahu Hana menangis. Namun, dia tidak mahu memujuk. El Bimbang akan berlembut hati dengan wanita itu. Kalau boleh, dia tidak mahu berada lagi di situ dengan lebih lama.
PAK NGAH dan Mak Ngah saling berpandangan apabila melihat Hana keluar dari biliknya membawa beg pakaian.
"Maaf pak ngah, mak ngah. Kami kena balik sekarang. Sebab Abang El ada hal penting kena uruskan," ujar Hana menahan sebak di dada. Sungguh dia sedih melihat wajah pak ngah dan mak ngah yang terpinga-pinga terkejut.
"Laa... Ya ke. Takpa lah kalau macam tu. Nanti masa Hariz bertunang kita jumpa lagi," balas pak ngah yang tidak mengsyaki apa-apa.
"Hana minta maaf sebab sekejap je duduk sini. Selalu dapat lama-lama dekat sini," air mata Hana sudah tidak tertahan lagi. Dia menangis teresak-esak sambil mengesat air matanya dengan telapak tangan.
"Alah.. Takpa Hana. Lain kali Hana boleh datang sini lagi," pujuk mak ngah. Tubuh kecil Hana dipeluk erat.
"Maaf, pak ngah, mak ngah. Terpaksa balik harini. Terima kasih tumpangkan kami," El mencelah. Dia tidak mahu menunggu lebih lama lagi. Dia terseksa melihat Hana bersedih sebegitu.
"Takpa El. Pak ngah faham," balas pak ngah.
Setelah mereka bersalaman, El dan Hana terus masuk ke perut kereta. Hana melambaikan tangannya ke arah pak ngah dan mak ngah. Hana tidak sempat berjumpa dengan Dila dan Ina kerana mereka masing-masing bekerja.
SEPANJANG perjalanan, Hana hanya mendiamkan diri. Dia berjauh hati dengan sikap El.
El pula langsung tidak memujuk Hana seperti selalu. Dia juga merasa sakit hati dengan apa yang berlaku.
Patut seronok sangat nak balik sini. Ada jantan lain tengah menunggu. Gumam El di dalam hati. Cemburunya tidak dapat di tahan.
Sebaik sahaja mereka sampai di rumah, Hana keluar dari perut kereta sambil mengeluarkan beg pakaian mereka. Dia terus membawa beg tersebut masuk ke dalam rumah.
Kedengaran El memandu keluar dari garaj rumah. Dia malas mahu bersemuka dengan Hana buat masa sekarang ini. Dia mahu mencari ketenangan di luar.
Hana menangis sendiri. Dia tak faham apa yang El marahkan. Dia sendiri tidak pernah mengharap apa-apa perasaan dari El. Dia juga berharap El lakukan perkara yang sama. Tapi, kini El seolah-olah menyalahkan Hana.
Hana terus masuk ke biliknya yang dahulu iaitu di dapur. Dia merajuk dan tidak mahu ke bilik El lagi.
Kalau ikutkan hatinya, ingin sahaja dia membawa diri jauh daripada hidup lelaki itu. Lelaki yang entah berapa kali melukakan hatinya.
Hana merenung bunga yang El berikan sewaktu dia merajuk dahulu. Bunga itu kian kering seperti hatinya sekarang. Dia terus bangun dan mencapai bunga itu. Lalu, bunga tersebut dicampak ke dalam tong sampah.
"Ingat aku percaya kau suka aku? Sikit pun aku tak percaya!" Hana membebel sendiri. Geram sungguh dirasakan dengan sikap El.
Kemudian, telefon bimbit dicapai dan dia terus menghantar pesanan melalui applikasi kepada Hariz.
HANA ^ Along, Hana dah ada dekat kl dah ni. El ajak balik
Selang beberapa minit selepas itu, Hariz membalas mesej Hana.
HARIZ ^ Eh, kata nak duduk empat hari dekat sana? El ada hal ke?
HANA ^ El marah pasal Sham. Sham asyik ganggu kami,
HARIZ^ Bila masa Sham ada sana? Masa along call Hana semalam dia dah ada ke?
HANA^ Dah ada. Dila cakap dia terus duduk Johor. Sebab company dekat Singapura tu dah nak tutup
HARIZ^ Kenapa tak beritahu along masa along call semalam?
HANA^ Kalau orang beritahu pun along boleh buat apa? Along ni, marah pula. Dahlah El pun marah Hana!
HARIZ^ Along tak marah, along cakap je. Sorry la. El ada situ?
HANA ^ Takde. Entah mana dia pergi. Biarlah dia!!
Hana menaip mesej tersebut dengan linangan air mata. Dia teresak-esak sendiri apabila mengingatkan kembali ketika El menengkingnya di rumah pak ngah pagi tadi.
HARIZ ^ Nanti along slow talk dengan El
HANA ^ Tak payah. Biarlah dia nak fikir apa pun!"
HARIZ ^ Mana boleh biar suami salah faham macam tu. Hana kena explain pada El. Berdosa buat suami macam tu
HANA ^ Oh, Hana je berdosa? Habis dia marah Hana tu? Tak berdosa ke?? Along selalu nak salahkan Hana. Dulu masa abang Farish takpa lah. Abang Farish layan Hana baik
HARIZ^ Okay, along minta maaf. Kalau Hana tak nak explain pada El, biar along yang explain pada dia. Along tak nak El salah faham dengan adik along ni
HANA^ Tak payah explain. Biar je dia nak fikir apa. Biar je dia nak tuduh Hana ni apa pun. Biar je!!"
HARIZ^ Janganlah macam ni, adik along"
Hana membiarkan mesej Hariz itu tidak berbalas. Dia menangis teresak-esak tanpa henti. Dia benci dengan El yang melayaninya seperti itu. Dia marah dengan Sham yang tak sudah-sudah mengganggu hidupnya. Dia geram dengan Hariz yang selalu menyuruh dia menjaga hati El, sedangkan lelaki itu asyik melukakan hatinya.
Akhirnya Hana terlena sendiri.
EL termenung di dalam biliknya. Sudah dia jangka, Hana tidak mahu tidur di bilik itu setelah apa yang berlaku. Dia merenung gambar kahwin mereka. Nafas dihela panjang.
Terbayang wajah sedih Hana ketika ditengking pagi tadi. Dia tidak berniat mahu melukai hati wanita itu. Tetapi, hatinya sakit mendengar segala perbualan antara Hana dan Sham.
Hana tidak pernah bercerita tentang Sham kepadanya. El merasakan Hana seolah-olah membelakangkan dirinya dalam setiap hal.
Telefon bimbit El berbunyi. Di skrin tertera nama Hariz. El dapat mengagak yang Hariz tahu akan pergaduhan antara dia dan Hana.
"Hello, along," jawab El.
"Along minta maaf call tengah malam macam ni," ujar Hariz.
"Takpa along. Saya tahu along nak cakap pasal Hana," balas El.
"Along tak tahu pula Sham tu ada di Johor. Sebelum ni dia duduk di Singapura kerja di sana. Kalau along tahu dia dah ada di Johor, along tak bagi korang berdua pergi sana tanpa along," jelas Hariz. Dia rasa bersalah atas apa yang berlaku.
"Takpa lah, along," balas El dengan tenang.
"Sham tu dari dulu lagi ada hati pada Hana. Tapi, Hana langsung tak suka pada dia. Hana anggap Sham tu macam adik beradik dia sendiri. Tapi, Sham tak nak terima kenyataan perasaan Hana pada dia tu," Hariz bersungguh menjelaskan perkara sebenar kepada El.
"Hana tak pernah cerita pada saya pun tentang hal ni. Kalau dia cerita dari awal, mungkin saya dah bersedia nak hadap Sham tu," ujar El sambil melepaskan keluhan.
"Hana sendiri tak tahu Sham dah balik sana. Lagipun kau tahu lah Hana tu. Susah sikit nak bercerita," kata Hariz. Dia sudah masak dengan sikap adiknya itu. Kemain susah nak bercerita tentang hal peribadinya walaupun pada suami sendiri.
"Saya minta maaf sebab marah adik along dan paksa dia ikut saya balik KL," kata El agak kesal dengan tindakannya sendiri.
"Takpa lah, El. Tadi, along pun kena marah dengan Hana. Tunggu dia sejuk la, baru pujuk dia. Hana tu kalau marah, along pun takut," ujar Hariz sambil ketawa.
"Okay, along," balas El dengan nada lemah.
"Kalau Hana lama sangat merajuknya, beritahu along. Nanti along cuba cakap dengan dia," pesan Hariz lagi sebelum mereka menamatkan perbualan.
El termenung jauh. Rasa bersalah menyerbu ke tangkai hatinya. Dia menyesal menengking Hana pagi tadi. Sepatutnya dia berbincang dan bertanya pada Hana tentang Sham. Namun, emosi mengatasi segalanya.
El terus turun menuju ke bilik Hana di dapur. Dia nekad mahu memujuk Hana dan meminta maaf dari wanita itu. Dia tidak mahu rasa bersalah menyelubungi hatinya.
Pintu bilik Hana diketuk, namun tidak dibuka. Berkali-kali El mencuba. Dia turut memanggil nama Hana. Namun, tiada sebarang respon dari wanita itu.
Akhirnya El mengalah dan naik semula ke bilik. Dia tahu Hana sedih dan marah dengan apa yang berlaku. Tetapi, dia juga terasa hati apabila Hana langsung tidak menjelaskan tentang Sham sebelum mereka pergi ke Johor. Jika Hana menjelaskan, pasti El akan faham dan tidak bertindak sebegitu.
Hati yang terluka berkali-kali tidak mungkin akan terus pulih. Jangan ditambah luka yang ada kerana bimbang tiada lagi tempat yang akan terluka. Bimbang tiada lagi ruang yang boleh dilukakan. Bimbang tiada lagi perasaan kerana luka itu tidak bisa pulih selamanya.