Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
61,752
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Sebelum pukul enam pagi, aku sudah mandi dan menukar pakaian yang memang kubawa semalam di dalam bilik air. Aku perlu bersiap awal sebelum pekerja lain datang. Entah apa reaksi emak aku tak pulang malam tadi mengamuk agaknya. Mungkin juga kena halau keluar dari rumah. Tapi kalau dihalau keluar buat hatiku lebih tenang, lebih baik, aku taklah kisah sangat walaupun aku risau yang mak bukannya sihat selalu. Kebelakangan ini emak selalu sakit-sakit kepala dan pening. 

Jam 7.20 pagi pejabat masih kosong. Aku sedang memakai pelembap bibir dengan perutku berbunyi lapar. Kebetulan ketika hendak keluar Mina baru sampai.

“Morning Mina…” sapaku macam pekerja paling rajin datang awal.

“Pagi, Lila. Awal hari ni,” tegur Mina sambil menyimpan barang-barangnya di dalam bilik props. 

“Kebetulan bas awal sampai,” aku sengaja berlagak macam biasa. “Saya nak pergi beli sarapan,” kataku mana tahu Mina hendak pesan apa-apa.

“Beli sarapan di mana? Temankan aku beli barang kejap ada barang yang lupa nak beli. Nanti Martin bising kalau barang tu tak ada,” ujar Mina yang mula kelam-kabut.

“Jomlah, saya tak ada kerja juga awal pagi ni.”

Sebaik keluar dari bangunan E-Rose TV Mina mengajakku naik keretanya, kami ke sebuah kafe berdekatan, kafe yang memang selalu jadi tumpuan pekerja-pekerja.  Bolehlah aku belikan Martin sarapan sekali. 

“Pasal idea kau yang suruh Juni lukis muka girlfreind dia yang macam alien tu, Martin suruh aku beli kertas lukisan banyak-banyak, mungkin minggu ni ada lagi scene lucu tu. Pandai awak buat idea Lila,” kata Mina ketika kami berdua melangkah masuk dalam kafe.

“Senang buat dialog kalau ada bahan lucu untuk talk show, tetamu pun tak rasa janggal,” jawabku.

“Betul.”

Aku sedang memilih bun keju untuk makan tengahari juga. Selain mahal dan nampak menyelerakan, aku pilih selera dulu. Bukan selalu dapat makan bun sedap. Selepas mengira bajet dalam poket aku mengambil bun dan sandwich berkhasiat untuk Martin ketika Mina datang menghimpit.

“Lila,” bisiknya dengan muka curiga. “Jangan tengok ke kanan.”

Aku terkejut dan tertanya-tanya kenapakah? Aku ada buat salah ke?

“Martin makan kat situ, nanti dia nampak kita.”

Ketika Mina memesan kopi untuk kami berdua aku tidak dapat menahan hatiku daripada melihat ke arah kanan. Lantas mataku menangkap sebahagian wajah Martin dari balik rak hiasan, dia sedang tersenyum mesra kepada Zara di hadapannya. Jadi, betullah yang dikatakannya semalam. Dia ada kekasih yang bekerja dengan E-Rose TV juga dan perempuan tu si Zara rambut merah rupanya. Patutlah masa Mystery Game tu semacam aje perangai Zara. Aku meletakkan kembali Sandwich ke dalam bekas semula dan cuma membayar bun untukku sahaja. Martin sudah sarapan!

Cepat-cepat aku bawa Mina keluar. Mungkin tak ada kena-mengena dengan alasan Mina yang bimbang Martin marah melihat kami berdua di kafe pada waktu bekerja. Langsung tidak. Sesuatu yang menyelinap diam-diam malam tadi kembali menghuni puncak hatiku, aku berharap masalah dalam kegelisahan hatiku tidak seserius itu.

Keluar dari kafe kami ke kedai Nusa Stationery bersebelahan sahaja. Setelah Mina mendapat semua keperluannya kami balik semula ke pejabat hampir pukul sepuluh pagi. 

“Dari mana?” tegur Suhan di pintu departmen.

“Lila temankan aku pergi beli barang props tadi,” jawab Mina.

Aku mengangkat kening dan melontar senyum pada Suhan lantas berjalan masuk ke bilik pejabat. Suhan mengekoriku. 

“Martin cari Lila tadi,” beritahu Suhan.

“Kenapa? Dia datang awal pagi ke?”

Suhan mengangguk. “Tiba-tiba aje dia datang awal, Lila tak jumpa dia kat luar?”

Aku menggeleng mungkin sebab aku dan Mina lebih awal keluar dari Martin. Jadi kami tak sempat bertembung. “Saya nampak dia breakfast dengan Zara,” sambil bercakap sambil aku berjalan ke meja.

“Zara datang ke sini tadi cari Martin lepas tu dorang keluar…” beritahu Suhan lagi.

“Dia tak pesan apa-apa untuk saya?” maksudku pasal kerja. Aku cuba untuk tak ambil peduli pasal Zara dan Martin.

“Tak, dia masuk dalam sini terus ke meja Lila, berdiri kat situ kejap entah tengok apa, angguk-angguk macam orang tak siuman.”

Aku ketawa, tiba-tiba aku rasa gembira Suhan kata Martin tak siuman. Kak Mimi dan Bella pun ikut ketawa.

“Dengar Martin nanti habis kau Suhan…” kata Kak Mimi.

“Ok…” aku menarik nafas sekejap. Mereka bertiga serentak memandang kepadaku. “Saya ada idea baru, kita berkumpul kat ruang perbincangan,” arahku kepada Kak Mimi, Bella dan Suhan. Kemudian aku mengambil buku nota dari dalam laci mejaku, beberapa kertas lakaran dan berjalan keluar. Aku singgah sekejap di bilik props. Mina dan Azila sedang menyusun barang.

Mereka berdua berpaling sebaik melihatku di depan pintu. “Boleh ke ruang tengah sekejap, nak bincang pasal idea saya,” kataku.

“Wah, yang ni aku tunggu-tunggu,” sahut Mina lalu mengganding lenganku.

Sebaik semua berkumpul aku mula membentangkan ideaku kepada mereka tanpa Martin. Dia hanya sebagai penilai samada ideaku itu boleh diterima atau tidak. Aku mula membentangkan kertas lakaranku di tengah meja.

“Program ni lebih kepada hiburan. Untuk idea awal rasanya saya perlukan… kalau boleh, selebriti atau komedian terkenal untuk tarik penonton ke kaca tv. Kalau bos besar bersetuju maknanya dia akan menyediakan wang kemenangan untuk peserta bertanding. Tetapi E-Rose TV akan dapat pulangan melalui undian penonton di luar dan juga iklan.” Jelasku sungguh-sungguh dengan mereka semua memerhatikan sahaja aku menggariskan beberapa lakaran lagi supaya mereka lebih faham apa yang aku mahu.

“Saya perlukan idea untuk permainan lucu setiap episod. Saya dah senaraikan game tapi tak cukup jadi saya minta kalau ada idea lain…” tambahku lagi.

“Macam mainan kita masa kecik-kecik dulu?” Suhan bersuara.

Aku mengangguk setuju cadangan Suhan itu. “Idea yang baik, bergantung pada props yang kita ada juga termasuk bajet.” 

“Kita pilih pelawaklah, senang sikit dah memang lucu.” Kak Mimi pula memberi idea.

“Selebriti yang pandai ikut skrip dan biasa dalam Variety Show pun boleh tentu lebih meriah,” jawabku.

“Bagus idea tu Lila. Kota Mediakan terkenal dengan rancangan Raja Pelawak dorang, mungkin kita boleh cuba tanya mana-mana pelawak dari rancangan tu, tapi idea awak ni nak kena buat dalam studio ke?” Bella bertanya.

“Lapan puluh peratus lokasinya di luar, macam game cari harta karun, tapi lebih humor atau realiti show, bergantung dengan jenis permainan,” jawabku lagi.

Mereka semua nampaknya bersetuju dengan ideaku. Sesi seterusnya bertukar menjadi bahan jenaka kami, Suhan bila datang gila-gilanya maka keluarlah aksi tidak masuk akalnya yang menjadi bahan ketawa semua orang. Macam-macam cadangan permainan apakah yang akan dimasukkan dalam rancangan itu.

“Kita sendiri yang cuba permainan tu dulu samada sesuai atau tidak,” jelasku lagi.

Suhan mencelah gembira. “Aku sukalah, bestnya, boleh kita keluar jalan-jalan, bosanlah duduk dalam office je kan?”

Semuanya mengangguk setuju kalau pasal jalan-jalan makan angin termasuk aku. Itu maksudnya kami semua akan kerja lebih masa untuk merealisasikan idea itu jika berjaya diluluskan.

“Lepas senaraikan game korang semua, saya akan susun balik semua rangka idea sebelum hantar kepada Martin untuk penilaian. Program ni bukan dalam masa terdekat cuma kita kena buat persediaan awal, sekarang saya sedang fokus nak buat Talk Show,” jelasku menutup perbincangan kami.

“Tak sabar nak buat rancangan ni, mesti seronok di lokasi nanti,” kata Kak Mimi dengan yang lain mengangguk setuju sebelum Bella tersentak melihat ke arah pintu. 

“Eh, Martin…” kata Bella yang lain pun turut berpaling ke kiri.

Aku ikut sama berpaling ke kiri dan melihat lelaki itu bersandar di tepi almari buku entah sejak bila. Wajahnya serius memandang kami semua. Tetapi pandangan seriusnya lebih tajam ke arahku. Aku langsung tak perasan dia berdiri dekat pintu masuk.

“Dah selesai meeting?” tanya Martin.

“Sudah.” Suhan yang membalas pertanyaannya.

“Boleh saya pinjam ketua awak ni sekejap?” Mina dan Suhan serentak berpaling ke arahku.

“Boleh, boleh saja,” sahut Kak Mimi pula.

“Silakan tuan direktor,” Suhan tersengih dengan ekor mata yang curiga.

“Lila, masuk bilik saya.” Arah Martin dan terus berjalan keluar dengan gaya sempurna seorang lelaki Eropah.

Sambil menggaru kepala aku berdiri. Rasa meluatnyaaa… bila aku teringatkan apa yang berlaku di kafe tadi. Oh Tuhan kau cemburu Lila? detus hatiku. Kenapa juga aku nak cemburu?  Aku tidak teringin melibatkan perasaan itu dalam kamus hatiku. Martin, seorang ketua dan aku patut meletakkan rasa setiaku terhadapnya sebagai orang yang bekerja di bawah arahan Martin. Jelas! Aku melangkah laju ke bilik Martin yang telah terbuka lebar. Abraham baru sahaja keluar dari situ.

Lelaki itu sempat melontarkan senyumannya kepadaku. Aku mengangguk sedikit dan membalas senyumannya. “Cantik hari ini Lila…” tegur Abraham tiba-tiba.

Aku apa… cantik ke? Lantas aku tunduk memandang baju panjang tangan yang ringkas berwarna merah jambu. Dia puji ke perli? Abraham mengangkat kening. Tanpa sempat melihat Abraham menutup pintu aku berpaling ke depan melihat Martin berdiri dengan tangan kirinya menyeluk poket sambil bersandar di tepi meja kerja. Dia memandangku dengan pandangan macam ketua menegur pekerja yang tidak menyiapkan kerja.

“Awak dah mandi ke?” soal Martin tiba-tiba. 

Mmm…? Sekali lagi dengan perlahan kepalaku menunduk dan mencium baju sendiri. Err… wangi, tak ada bau yang kurang menyenangkan pun. Aku mengangkat muka semula dan melihat riak Martin yang tidak berani kuramal. Dia marahkah?

“Saya tak jawab soalan peribadi begitu,” jawabku.  

“Oh jadi awak suka pujian Abrahamlah.”

Ada yang pelik dengan nadanya ‘Abrahamlah’ “Err, ada yang tak kena ke?” soalku.

“Agaknya apa yang tak kena?” tanya Martin, posisinya masih sama dan dia langsung tidak menyuruh aku duduk.

“Ada masalah pasal talk show… ke?” pelik rasanya kami berdua saling tertanya-tanya. Kenapalah dia tak berterus-terang saja. Aku bukannya kerja setahun dua, baru seminggu dualah.

“Tak. Awak dah breakfast Lila?” 

“Dah.”

“Kalau begitu mana breakfast saya?”

Gulp! Dia sudah bosan agaknya jadi lelaki yang cukup sempurna dengan apa yang dia ada. Berapa lagi kalori yang dia perlukan pagi ini selepas sarapan dengan Zara dua jam lalu. “Bukankah awak dah sarapan tadi?” melulu saja ayatku itu dan sebaik sedar aku terlambat menariknya semula.

“Hmm.” Martin tiba-tiba berubah posisi. Dia mula berdiri tegak menghampiriku sehingga aku dapat menghidu wangiannya yang nyaman seperti bau pudina dan kami saling berhadapan lebih dekat. “Macam mana awak tahu?” dia mula curiga.

Kau ni dah kenapa Lila? Aku macam nak tampar mulut aku sendiri waktu itu. “Sss… saya dan Mina ke… ke… kafe tu juga,” aku mula gagap lalu menggaru dahi yang tidak gatal. Dalam beberapa saat aku cuba mengawal rasa debaran sebelum berkata. 

“Kami nampak awak breakfast dengan Zara, jadi saya rasa awak tak perlukan breakfast pagi ni dari saya…” aku berterus-terang sahaja. Nanti Martin fikir lain pula.

“Bukankah awak masih ada hutang dengan saya?” Martin senyum sinis.

“Ya. Betul. Saya minta maaf. Nanti saya belikan lunch untuk awak,” mudahkan sahaja semua urusannya supaya aku selamat dari perasaan aneh yang semakin menyelubungi ragaku.

“Tak payah, pukul lima nanti awak temankan saya cari bahan mentah di pasaraya. Sebab awak lupa, awak kena masak. Saya dah jemput mereka semua ke rumah saya untuk makan malam. Kita boleh tengok Mystery Game tu sama-sama malam ni kat rumah saya.”

“Err… saya…?” kenapa pula aku kena masak adakah itu salah satu hukuman sebab melesapkan duit lima belas ribunya?

“Pukul lima. Empat petang kalau saya dapat kelepasan awal. Jangan lupa Lila.” 

Martin terus berpusing tanpa mempedulikan aku yang terkulat-kulat resah. Malas hendak membantah dan langsung tidak menyahut atau mengatakan ayat persetujuan aku pun berpusing hendak keluar. Cepat-cepat aku mencapai pemegang pintu dan mengenggamnya kuat. Menahan rasa marah yang mahu meletup sebelum aku sedar yang pintu aku tolak itu berkunci. Berkali-kali aku menolak dan menariknya tetap juga enggan terbuka.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.