Home Novel Cinta Dirgahayu Tuanku
Dirgahayu Tuanku
AnnSelasih
24/7/2019 18:48:58
16,362
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Bidasari melangkah malu-malu dari bilik belakang. Paman dan abang sepupunya, Siantan siap sedia menanti di luar rumah. Meleret senyuman Siantan melihat pakaian Pak Rasul di tubuh Bidasari.

"Aduh! Alangkah sedihnya rasa hati. Hilang sudah kejelitaan adindaku ini." 

Siantan gemar benar mengusik Bidasari. Di hadapan Paman mahupun di belakangnya, sikap Siantan sama sahaja. Bidasari mencebik. 

"Biar hilang kejelitaan di mata, asalkan kebijaksanaan masih kekal di sana." 

Bidasari mengetuk jari telunjuknya di kepala Siantan.

"Hamba sukakan kedua-duanya. Kejelitaan dan kebijaksanaan di dalam satu tubuh. Pasti menarik, bukan?" 

Bidasari berdiri di sisi pamannya sebelum menjawab.

"Pasti jelek jika kedua-duanya digabungkan dengan kehodohan, bukan?"

Kini, giliran Siantan pula mencebik. Tangannya pantas mahu merentap tengkolok Bidasari. Cubaannya gagal kerana Bidasari terlebih dahulu menyembunyikan diri di sebalik tubuh Paman. 

"Eh! Sudah! Sudah! Macam balam dengan ketitir pula kamu berdua. Bertikam lidah sampai ke pagi jika dibiarkan sedangkan kita bakal berhadapan dengan perkara penting sebentar nanti."

Pendekar Hasan memegang bahu anak arwah adiknya itu. Wajahnya penuh kebimbangan.

"Paman masih lagi berkira-kira mahu kamu ikut serta. Jikalau perkara ini adalah di dalam pengetahuan Paman, sudah pasti Paman tidak akan beri izin."

Bidasari tahu kasih Paman kepadanya bagaikan lautan tidak bertepi. Akan tetapi, buat malam ini Bidasari hanya memerlukan keyakinan pamannya sahaja.

"Paman masih ragu-ragu dengan segala ilmu persilatan yang Paman turunkan kepada Sari?" 

Keraguan Pamannya harus dilenyapkan. Untuk kebaikan Paman malah dirinya jua. Bidasari perlukan bekalan keyakinan yang mantap untuk berjuang sendirian nanti. 

"Semua ilmu itu gunanya untuk mempertahankan diri, Sari. Sedang kini medan tempur yang menanti. Kamu pula tiada langsung sebarang pengalaman untuk menghadapinya. Masakan aku tidak susah hati? Kamu satu-satunya peninggalan berharga adik aku. Seandainya terjadi... "

Sepantas kilat Bidasari memintas kata-kata pamannya.

"Paman bilang akan ada yang datang membantu Sari nanti, bukan? Jangan bilang sama Sari... Paman akan menghantar budak mentah seperti ini?"

Bidasari mengalih pandangan ke arah Siantan. Terhenjut-henjut bahu Siantan menghambur ketawa. Siantan tahu Bidasari hanya berseloka. Selaku pembantu utama ayahnya di gelanggang silat, tiada yang berani mempertikaikan kemahiran seni bela dirinya.

"Janji dengan Paman kau akan berhati-hati. Jangan terlalu berani. Utamakan keselamatan diri terlebih dahulu." 

Jari-jemari pamannya digenggam erat sedangkan mata cuba memahat keyakinan di hati pendekar terkemuka di daerahnya itu .

"Ya, Paman. Sari berjanji."


Pendekar Hasan beredar terlebih dahulu. Baru sahaja Bidasari mahu melangkah, lengannya disambar Siantan. Erat sungguh pautan tangan abang sepupunya. 

"Senantiasa berwaspada Bidasari. Gunakan sepenuhnya kebijaksanaan yang ada di kepalamu itu."

Bidasari mengecilkan bukaan mata. Semua orang-orang yang rapat dengannya meragui keupayaan diri Bidasari.

"Ya, ya. Itu sudah pasti kanda Atan." 

Bidasari cuba melepaskan pegangan sedangkan cengkaman Siantan semakin erat.

"Aku juga keberatan melepaskan kamu, Bidasari." Renungan Siantan bagaikan menorobos jauh ke dalam diri Bidasari. Bidasari cuba mengelak. Pandangan matanya dialih ke hadapan.

"Kanda sudah lupa, ya. Baru sahaja dua hari yang lepas Sari berjaya mengalahkan kekanda di gelanggang." 


Sudah pasti Siantan ingat benar akan kekalahan yang disengajakan itu. Dia gemar melihat senyuman yang berhari-hari bertandang di wajah Bidasari seandainya berjaya bergelar juara. Siantan juga suka mendengar celoteh Bidasari yang tahan berjam-jam lamanya menceritakan semula detik-detik kemenangan Bidasari di gelanggang silat. Dan kini, kebimbangannya kemuncak tatkala mengenangkan wajah yang sering membahagiakan hatinya itu mungkin tidak akan menjelma lagi esok hari. Hatinya amat gusar. Perasaan Siantan tertekan.

"Hanya doa yang mampu kanda iringkan. Semoga Tuhan melindungi kamu, Bidasari." 

Siantan melepaskan Bidasari dengan hati yang berat. 


Teratak usang di tengah hutan dara Bukit Jambul atau Bukit Siguntang gelaran orang-orang tempatan dapat dilihat dengan jelas dari celahan rimba. Pasukan peninjau berpatah balik ke tempat berkumpul. Datuk Lelawangsa serta Datuk Berahim telah tersedia menanti di situ bersama-sama Pendekar Hasan, Siantan dan Bidasari. Satu lagi pasukan sokongan lengkap bersenjata, juga telah berada di dalam kedudukan siap siaga. 

"Laluan ke sana telahpun kami persiapkan Datuk. Segala-galanya terkawal. Kita sudah boleh bertindak sekarang." 

Panglima Daim, selaku ketua barisan peninjau memberi penjelasan kepada Datuk Lelawangsa, ketua gerak gempur pada malam itu. 

"Bagus. Terima kasih Panglima." 

Sejurus selepas itu, dia merapati Bidasari bagi menyampaikan arahannya yang terakhir.

"Tujuan hamba memohon pertolongan kamu pada malam ini hanyalah untuk mengenal pasti barang itu. Adakah ia tulin dan asli? Atau hanyalah salinan daripada helaian asal. Atau ia adalah barang yang tiada kaitan langsung dengan tujuan kita pada malam ini. Sekiranya telahan kita benar, maka yang dicari bukanlah mereka yang berada di sana, akan tetapi dalang di sebalik semua rencana jahat ini. Tuan hamba mengerti?"

Bidasari mengangguk laju. Datuk Lelawangsa berpuas hati. Ditepuknya bahu Bidasari sambil berkata, "Semoga berjaya, anak." 


Pendekar Hasan dan Siantan menghantar Bidasari sehingga ke tempat persembunyian yang terakhir. Dada Pendekar Hasan sungguh gemuruh. Kepada Bidasari diulang kembali pesanan penting itu.

"Elakkan dari tertangkap. Mereka tidak ramai di dalam teratak itu, akan tetapi kita mahu menjauhi sebarang curiga. Mereka itu hanyalah pesuruh-pesuruh dan kuncu-kuncu bawahan. Ini akan memudahkan langkah kita seterusnya untuk mengekori jejak langkah rencana jahat mereka sehingga bertemu dengan durjana yang mengatur segala angkara." 

Bidasari memeluk Pamannya erat. Siantan yang hanya berdiam diri dari tadi bersuara perlahan kepada ayahnya. 

"Biar anakanda memberi tunjuk jalan kepada Bidasari." 

Pendekar Hasan mengangguk tanda izin. Siantan membuka arah jalan. Tangan Bidasari dipegangnya erat. Terbongkok-bongkok mereka menyusuri denai sehingga merapati pondok usang itu. Dikeluarkan golok kecil yang disisip di pinggang. Pintu kayu dapur diumpil perlahan sehingga terbuka. Sebelum berpatah balik dan meninggalkan Bidasari bersendirian, Siantan mengeluarkan sesuatu dari dalam bajunya dan disarungkan ke tengkuk Bidasari.

"Simpan serunai buluh ini baik-baik. Jangan sesekali kamu cicirkan. Sekiranya berlaku kejadian cemas, tiup sahaja serunai ini. Bantuan pasti akan datang. Jaga diri adinda baik-baik, Sari." 

Terlepas sebuah ciuman di kepala Bidasari sebelum Bidasari menghilangkan diri di sebalik pintu kayu di hadapan. Ringan sahaja kaki Siantan ingin mengekori Bidasari dari belakang. Sudah pasti hajatnya itu mustahil kerana dia terpaksa akur dengan kehendak ayahnya. 


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.