Home Novel Cinta Dirgahayu Tuanku
Dirgahayu Tuanku
AnnSelasih
24/7/2019 18:48:58
16,353
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Pasti kuat penangan sepakan Bidasari sehingga Raja Hussain jatuh tersungkur. Belakang tubuhnya melanggar peti kayu. Bunyi dentuman yang kuat mengakibatkan derapan tapak-tapak kaki menuju ke arah mereka semula. Tanpa berfikir panjang, Raja Hussain menarik tangan Bidasari memasuki peti kayu di belakangnya. 

Syukurlah peti kayu itu muat menampung tubuh mereka berdua. Kini, Raja Hussain pula yang bermandi peluh. Dada terasa sesak menampung berat pemuda yang berkasar dengannya. Jika tidak mengenangkan bahaya yang bakal ditanggung, sudah lama dia tusukkan bilah keris ke tubuh asing itu. 

Pintu bilik terkuak semula. Kedua pemuda tadi masuk memeriksa bilik dengan lebih teliti.

"Bunyi apa ya tadi? Kuat juga." 

Si badan gempal menggaru-garu kepalanya manakala rakannya cepat-cepat membuka bungkusan di atas para. 

" Masih ada di situ ?" Si gempal bertanya lagi. 

"Ya." Rakannya hanya menjawab pendek. Si gempal berundur kebelakang lalu menghenyak punggungnya ke atas peti tempat persembunyian Bidasari dan Raja Hussain. Tersentak dengan bunyi berkeriuk dari kayu papan yang melendut ke bawah, kedua tangan Raja Hussain serta merta melingkari tubuh Bidasari dengan lebih kemas menghalang sebarang pergerakan. Wajah mereka hampir bertaut. Mata bertemu mata. Mata Raja Hussain mengecil cuba menelah gerangan si pemuda. Sedangkan mata Bidasari semakin membesar, tidak menyangka kali kedua dia perlu berhadapan dengan keadaan yang amat memalukan ini. Dan dua pasang mata yang bertentangan berkalih arah pandang ke sisi tatkala mendengar bicara dari lelaki-lelaki dari luar peti.

"Tadi kau bilang apa?" 

Lelaki yang berada di atas kepala mereka bertanya.

"Kelak kita akan bertemu dengan ketua Pemburu. Masa itu barulah kita serahkan keseluruhan kitab itu sebagai tukaran emas yang dijanjikan," jawab rakan sekutunya. 

"Bila? Di mana?" Si gempal bertanya lagi. Lagaknya bagai penurut sahaja.

"Dua hari lagi. Di Rabung Gangsa, berhampiran lurah dua balung ayam." 

"Aku... takut. Ketua Pemburu itu... " 

Suara Si gempal bagai tersekat-sekat di anak tekak.

"Kau fikirkan sahaja keuntungan yang bakal kita perolehi. Tak habis-habis dimakan sehingga tiga keturunan tahu! Ketakutan itu kau tolak ke tepi dahulu. Lagipun, Rokan, Salang dan Duku kan ada membantu."

Kedengaran seperti lelaki itulah yang mengatur rancangan bagi mereka. Yang lain hanya menurut sahaja.

"Bolehkah jika aku ingin menarik diri? Aku tak sedap hati lah." 

Sudah keluar keresahan yang membelenggu dada Si gempal. 

"Ikut suka hati kau lah. Kelak, bukan aku yang rugi, kamu! Marilah kita keluar." 


Perlahan-lahan bunyi tapak kaki menghilang. Kali ini Raja Hussain menunggu lama sedikit sebelum melepaskan pelukan. Biar bahaya benar-benar jauh daripada mereka. 

Sedangkan Bidasari yang terbaring di atas tubuh Raja Hussain pula benar-benar sudah hilang sabar. Mata tak berkerdip mengacu pandangan tajam. Mulutnya juga sudah terbuka menunggu masa untuk menghambur api kemarahan. Ternyata semua perasaan yang menyelubungi Bidasari bagaikan bayang-bayang di tengah rembang panas. Langsung tiada kelihatan pada Raja Hussain. Dengan sebelah tangan menolak penutup peti kayu manakala sebelah tapak tangan lagi memenuhi keseluruhan wajah Bidasari, Raja Hussain tegakkan badan sambil menolak Bidasari ke belakang. 

Berang sungguh Bidasari apabila Raja Hussain dengan bersahaja melangkah keluar dari peti. Sedikitpun lelaki itu tidak menoleh ke arahnya. Dirinya bagaikan tidak wujud di situ!!


Amarah yang bertandang ternyata berupaya mengaburkan maksud kehadiran Bidasari ke situ. Dari belakang, lelaki itu tunduk merenung sesuatu di atas para. Bidasari menghitung langkah bagi melayangkan pukulan siku pula. Biar lelaki itu sedar akan adat yang dijulang di tanah orang-orang Melayu ini di dalam menghormati martabat wanita. 

Raja Hussain menjulang tangannya ke udara. Melayang semua kemarahan yang terkumpul di ruang dada apabila Bidasari menangkap kilauan keemasan di tangan Raja Hussain. Bulat mata Bidasari meneliti setiap huruf yang tercatit di lembaran kertas kayu itu. Diaturnya hela nafas yang mula tercungap-cungap. Kedua tangan Bidasari mencekup keseluruhan batang hidung dan mulut, menahan dengan kuat gelojak jeritan yang meronta ingin keluar dari peti suara. Lalu, suara yang terbit berjaya diperlahankan.

"Tinta emas dari istana..." 

Hela nafas laju Bidasari membuatkan Raja Hussin mencuri pandang. Hmm.. Sekali imbas sahaja Raja Hussain telah berupaya mengecam apa yang dia cari. Tiada apa yang istimewa pun.

"Tinta emas yang terhasil daripada tiga putik bunga sakti berwarna ungu dari Parsi. "

Tanpa disedari, jari Bidasari turut memegang lembaran di tangan Raja Hussain. Bersahaja kertas itu ditarik sehingga terlepas dari pegangan Raja Hussain. 

"Seandainya semua khazanah ilmu dari istana ditulis menggunakan tinta emas ini, betapa banyak kekayaan Melaka yang terpaksa dilebur hanya untuk menukil sebuah kitab."

Raja Hussain ketawa kecil sebelum bersuara.

"Tak sebanyak yang disangka berbanding dengan kekayaan perbendaharaan Melaka. Tanah orang-orang Melayu di rumpun ini mewah dengan galian bijih, emas, perak dan permata. Sedikit sangat tukarannya dengan barang-barang berharga dari Timur Tengah mahupun Barat."


Kata-kata Raja Hussain tidak diiyakan mahupun ditentang. Semasa mata diangkat ke wajah asing itu, barulah Raja Hussain menyedari bahawa dirinya sedang ditenung oleh pemilik bulu mata tebal. Lama juga mereka berbalas renungan. Masing-masing bagaikan cuba membaca niat dan isi hati, menelah gerangan di hadapan mata samada kawan atau lawan.

"Siapa tuan hamba?" soal Bidasari dengan tegas. 

Raja Hussain tidak menjawab. Muka yang dikalih ke belakang tiba-tiba sahaja berubah. Bidasari menurut arah pandang Raja Hussain. Dia juga nampak asap berkepul-kepul mulai masuk dari celah ruang kosong di bawah pintu bilik. Sekali lagi pandangan mereka bertemu sebelum kedengaran teriakan yang kuat di luar.


"Api! Api! Lekas padamkan sebelum merebak ke dalam pondok kita." 

Raja Hussin membuka pintu dan menjenguk ke luar. Asap menerjah masuk sehingga memenuhi keseluruhan ruang sempit di situ. 

"Mereka semua keluar ke belakang rumah. Ayuh kita keluar dari sini sekarang."

Itu kata-kata terakhir daripada Raja Hussain itu sebelum dia menghilangkan diri di sebalik pintu. Bidasari bergegas keluar menerusi pintu hadapan. Siantan segera menerpa dan mencapai tangan Bidasari sebelum menuntunnya semula ke tempat persembunyian mereka. 


Malim pula terhendap-hendap di sebalik belukar. Lebar sungguh senyumannya melihat putera rajanya selamat keluar daripada tempat merbahaya itu. Lantas dipeluknya Raja Hussain erat.

"Syukur Alhamdulillah.. Syukur Alhamdulillah, Ya Allah. Aduh! Bagai terbelit tali pusat patik menanti Tengku di sini." 

Raja Hussain hanya tersenyum. 

"Malim, kamu mahu terus berpelukan sebegini sehingga matahari naik atau kamu mahu pulang ke istana?"

Malim membalas senyuman sambil meleraikan pelukan. 

"Kamukah yang hidupkan api di belakang teratak itu?" Raja Hussain menduga.

"Benar Tengku. Hamba sudah habis ikhtiar. Angin bertiup agak kencang pula sehingga api marak. Bimbang sungguh hamba kalau-kalau Tengku tak sempat keluar tadi. Pasti selepas itu hamba pula yang kena bakar dek baginda Sultan."

Malim menggeleng-gelengkan kepala menghentikan bayangan ngeri. Kedua bibirnya diketap erat.

"Molek sangatlah jika kamu beringat sedemikian." 

Raja Hussain ketawa kecil. 

"Ayuh kita ke tempat simpanan kuda. Beta tak boleh lama-lama di luar istana."


Bimbang juga di hati Raja Hussain andai ketiadaannya di istana diheboh-heboh. Puas pula dia mencari alasan di hadapan ayahanda dan kekandanya kelak. 

"Tengku ada nampak orang-orang Datuk Lelawangsa dan Datuk Berahim tadi ?"

"Ya." Pendek sahaja Raja Hussain menyahut meskipun akalnya sudah panjang memikir. Sudah tentu Malim juga perasan akan kehadiran kedua pembantu Datuk Temenggung tadi ketika mereka bersembunyi di atas pokok. Dan kerana itu jugalah dia berusaha menolong lelaki yang dijumpai di dalam bilik tadi. Mungkinkah lelaki itu orang-orang Datuk Lelawangsa dan Datuk Berahim? 

Raja Hussain tersenyum lebar kerana dia telah tahu cara untuk membalas tendangan keras di perutnya tadi.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.