Home Novel Cinta Dia Pemilik Cintaku
Dia Pemilik Cintaku
Andayu
11/10/2024 21:52:41
1,325
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Nazrul memberhentikan kereta di hadapan rumah sewa Haura. Dia bagaikan orang gila mencari Haura. Setelah tidak berjaya menghubungi gadis itu. Dia terpaksa ke pejabat agama bagi menyelesaikan kes khalwatnya bersama Syaza.

Setelah menyelesaikan urusan di pejabat agama dia segera mencari Haura. Namun panggilannya tidak dijawab. Dia melangkah masuk ke dalam kawasan rumah sewa Haura. 

"Fat!" Panggil Nazrul sambil mengetuk pintu rumah. "Fat! Fathonah!" Jeritnya.

"Ada apa Naz?" Soal Suraya setelah membuka pintu.

"Fat mana?"

"Apa yang bising-bising tu Su?" Soal Maisarah lalu menghampiri Suraya.

"Naz ni cari Haura?" Ujar Suraya dengan rasa hairan.

"Fat mana Sarah?"

Maisarah mengerutkan dahinya. "Bukan Haura dah janji nak jumpa Naz ke?"

"Dia tak balik lagi ke?"

"Kereta pun tak ada. Tuan puan mestilah tiada," jelas Maisarah.

Nazrul mendengus geram. Dia segera melangkah masuk ke dalam keretanya. Dia tidak menunggu lama dan terus memandu kereta ke tempat yang pernah di kunjungi oleh dia dan Haura sebelum ini. Dia berharap agar dapat menemui gadis itu di sana.


HAURA menyapu air mata yang masih tersisa pada wajahnya. Jam menunjukan pukul sembilan malam. Enjin kereta dimatikan. Dia melangkah perlahan-lahan keluar dari dalam perut kereta. Matanya mencari kereta milik Syaza. Dia menarik nafas lega apabila mendapati gadis itu belum pulang ke rumah. Dia tidak mahu melihat perempuan yang telah menghancurkan kebahagiaannya.

Haura meniti anak tangga. Dia masuk ke dalam bilik lalu mengambil bagasi. Tanpa melengahkan masa dia mengambil beberapa pakaian miliknya lalu dimasukkan ke dalam beg. Dia tidak sanggup lagi untuk tinggal di rumah ini bersama dengan Syaza.

"Nak pergi mana?" Soal Suraya apabila melihat Haura mengemaskan pakaiannya.

"Aku nak balik kampung?"

"Bukan kau balik esok ke?"

Haura diam. Dia cuba mengawal emosinya. Dia tidak mahu menangis di hadapan Suraya. "Aku balik awal sikit," ujar Haura lalu membawa beg turun ke tingkat bawah.

"Naz cari tadi. Kau ke mana?" Soal Maisarah menginginkan kepastian. "Bukan kau ada date dengan dia nk pergi butik ke hari ni?" Ujar Maisarah yang telah mengetahui jadual Haura. Rakan serumah yang baik akan mengambil tahu bilakah rakannya akan pulang ke rumah. 

"Aku balik kampung. Kau orang tolong kunci bilik aku. InsyaAllah ada masa aku akan datang ambil lagi barang-barang yang lain."

"Kau nak pindah ke?" Soal Suraya.

"Mungkin? Aku pergi dulu," ujar Haura lalu melangkah ke luar bersama beg pakaiannya. Dia memasukkan beg ke dalam kereta. 

"Haura beg," panggil Maisarah sambil menunjukkan beg tangannya yang tertinggal. 

Haura mendengus marah. Dia sebolehnya tidak mahu keluar lagi dari dalam kereta setelah melihat Syaza yang baru tiba di hadapan rumah mereka. Dia menghela nafas. 

Langkah kakinya diatur dengan lemah. Dia mengambil beg tangan daripada Maisarah tanpa banyak bicara. Wajah Syaza dipandang dengan jelingan mata yang tajam. Mahu saja dia mencekik leher gadis itu. 

Suasana tegang seketika.

Maisarah dan Suraya tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku. 

Syaza berjalan perlahan-lahan ingin masuk ke dalam rumah. Dia tidak menghiraukan pandangan Haura. 

Aku peduli apa kalau kau marah? Apa yang penting Nazrul akan jadi milik aku, desis hati kecil Syaza.

"Aku balik dulu," ujar Haura lalu membuka langkah kakinya. 

Pang!

Satu tamparan singgah pada pipi Syaza. Perasaan marah akhirnya meletus jua. Haura benci bergaduh. Dia paling benci bergaduh sesama wanita hanya disebabkan lelaki. Namun, dia tidak mampu menahan perasan marah ketika ini.

"Selamat pengantin baru. Anggaplah tamparan ini hadiah perkahwinan daripada aku!" Kata Haura lalu melangkah ke arah kereta.

Syaza diam. Dia hanya menyentuh pipinya yang terasa pedih dek tamparan Haura.


NAZRUL memberhentikan kereta dihadapan pintu pagar rumah sewa Haura. Dia segera melangkah keluar dari kereta lalu mendapatkan Haura.

Haura terus melayangkan tangan pada wajah Nazrul sebaik sahaja lelaki itu menghampirinya. Dia menolak tubuh Nazrul yang menghalangnya masuk ke dalam kereta.

"Bagilah peluang untuk Naz jelaskan," rayu Nazrul agar Haura memberi peluang kepadanya.

"Tiada apa yang perlu dijelaskan. Hubungan kita berakhir di sini. I hate you," ujar Haura lalu melemparkan cincin tunang mereka kepada Nazrul.

Haura masuk ke dalam kereta. Dia mengundurkan keretanya untuk keluar dari kawasan rumah. Kereta Nazrul yang menghalang laluannya terus dilanggar tanpa mempedulikan kerosakan pada kereta kesayangannya.


"NAZRUL!" Panggil Syaza lalu mendapatkan lelaki itu setelah Haura berlalu pergi.

Nazrul tidak mempedulikan panggilan Syaza. Dia  berlari ke arah keretanya. Niatnya ingin mengejar Haura. 

Syaza memegang tangan Nazrul. "You buat tak tau aje I panggil?!"

Nazrul merentap tangannya. "Nak apa?!" Marahnya. Dia mula benci dengan Syaza.

"I nak you!"

"Aku benci kau lah! Kau punca aku gaduh dengan Fat!" Kata Nazrul lalu masuk ke dalam kereta dan beredar dari situ.

"Naz! Nazrul!" Marah Syaza. Dia menghentak kakinya apabila Nazrul lebih memilih Haura berbanding dia. 

Maisarah dan Suraya saling berpandang antara satu sama lain. Mereka agak terkejut melihat drama siaran langsung pada malam ini.

"Kenapa Syaza?" Soal Suraya ingin mengetahui apa yang telah berlaku.

"Kau buat apa dekat Haura? Sampai dia marah macam tu sekali?" Soal Maisarah pula.

Syaza melangkah masuk ke dalam rumah. Maisarah dan Suraya tidak dipedulikan. Dia meniti anak tangga ke tingkat atas. 

"Syaza!" 

"Apa kena dengan dia tu?" Soal Suraya apabila Syaza tidak menjawab pertanyaan mereka.

"Entahlah. Cuba Su Call Haura?"

Suraya mencapai telefon bimbitnya. Nombor telefon Haura di dail. Dia gagal menghubungi Haura kerana telefon telah dimatikan.

"Tak dapat."

"Sarah call pun tak dapat?"

"Su harap Haura berada dalam keadaan selamat," doa Suraya. Dia risau akan keselamat Haura. Dia bimbang Haura memandu kereta dalam keadaan marah boleh mengundang bahaya. 

Ya Allah lindungilah sahabatku, Haura walau di mana jua dia berada. Engkau berilah kekuatan dan kesabaran kepadanya dalam menghadapi segala ujian yang diberikan, doa Suraya di dalam hati.


KERETA yang dipandu diberhentikan di hadapan pintu belakang Hospital Sultanah Nur Zahirah. Dia melepaskan tangisannya. Matanya tidak mampu menahan lagi air mata yang ingin mengalir. Dia memarkirkan kereta di tepi pantai Batu Buruk. 

"Aku tak boleh balik kampung," katanya perlahan sambil mengelap wajahnya yang lencun dengan air mata. "Aku tak boleh biarkan ibu dengan ayah tengok aku sedih macam ni," katanya lagi. Dia berfikir di manakah dia harus tidur malam ini.

Perutnya yang lapar mula berbunyi minta diisi. Sejak petang tadi dia belum sempat menjamah apa-apa makanan lagi. Dia keluar dari kereta lalu melangkah menghampiri gerai makanan yang berada di sekitar pantai itu. 

Dia mencuba menghiburkan hatinya dengan membeli pelbagai makanan. Dia mahu melupakan segala masalah yang dihadapi dengan menikmati makanan yang dibelinya.

Setelah selesai membeli makanan Haura duduk di atas bangku yang telah disediakan. Satu persatu makanan dinikmatinya. Dia tidaklah mengemar makanan yang dibelinya pada hari ini. Dia sekadar cuba rasa sahaja. Dia membeli pelbagai makanan serba sedikit.

Suasasa malam semakin gelap. Dia berfikir ke manakah hala tujunya selepas ini. Air mata yang kering kini kembali menitis apabila mengingati memorinya bersama Nazrul menikmati kek di sini beberapa bulan yang lalu.

"Bencinya aku!!" Dia melepaskan kemarahannya sambil melemparkan cawan minumannya yang telah habis. Haura mengesat matanya dengan lengan baju. Dia mengambil sosej lalu makan.

"Banyaknya makan," sapa Zakuan.

Haura berhenti mengunyah. Zakuan dipandang dengan jelingan mata yang tajam. Dia tidak menghiraukan lelaki itu dan menghabiskan makanannya. 

"Saya tumpang duduk di sini boleh?" Zakuan duduk di atas bangku yang sama dengan Haura.

Haura diam. Dia mengambil sosej pulut lalu di makan tanpa mempedulikan lelaki asing itu. Sos melekat pada pipinya.

Zakuan secara spontan ingin menyapu sos yang melekat pada pipi Haura.

"Apa?" Terkejut Haura dibuatnya.

"Saya nak lap sos kat pipi awak," ujar Zakuan lalu menghulurkan tisu kepada Haura.

"Awak ni tak tahu halal haram ke? Sesuka hati nak sentuh saya!" Marah Haura lalu mengelap sos dengan lengan bajunya.

"Tak. Saya nak bagi tisu aje," jelas Zakuan membetulkan ayatnya. Dia suka melihat gadis itu makan. Sudah hampir satu jam dia memerhati Haura makan.

"Hmm...," Haura mendengus marah. Dia tidak suka dengan tindakan lelaki itu. Dia mengambil air mineral lalu mencuci tangan dan mulutnya setelah selesai makan. Dia mengemas tempat duduknya. Semua plastik makanan diletakkan dalam satu plastik lalu dibuang ke dalam tong sampah. Dia juga tidak lupa mengutip semula cawan minuman yang dibalingnya.

Air mineral yang tertinggal di atas bangku dicapai. Setelah itu dia melangkah ke arah kereta yang diparkirkan tidak jauh dari tempatnya duduk. 

"Er... Cik! Cik!" Panggil Zakuan.

Haura mempercepatkan langkahnya apabila mendengar lelaki yang menegurnya panggil. Dia bimbang lelaki itu berniat jahat dengannya. 

"Cik!" 

Langkah kaki Haura tersandung batu. Dia jatuh. "Tolong! Tolong! Ada orang jahat!" Jeritnya apabila melihat lelaki yang tidak dikenali mendekatinya.

"Siapa?"

"Yang mana satu cik?"

Orang ramai mula memerhati Haura apabila dia menjerit meminta tolong.

"Tu!" Haura menunding jari kepada Zakuan.

Zakuan senyum. "Kunci," ujarnya sambil menunjukkan kunci kereta milik Haura. "Maaf semua. Salah faham aje. Saya tak berniat jahat pun. Saya nak bagi kunci kereta dia tertinggal," jelas Zakuan kepada orang ramai yang mula memandang serong terhadapnya.

"Okey."

"Cik okey tak? Boleh saya tolong?" Soal Naim penjual makanan di situ. Dia cuba membantu Haura apabila mendengarnya menjerit.

"Tak apa. Terima kasih. Saya boleh bangun sendiri."

Naim akut dengan keputusan Haura lalu meninggalkannya. 

Zakuan menghulurkan tangan ingin membantu gadis itu bangun. Namun Haura memilih untuk tidak menyambut huluran tangan itu demi menjaga batas aurat. 

"Ini kunci kereta awak," ujar Zakuan lalu memberikan kunci kereta kepada Haura.

Haura berlalu tanpa mengucapkan terima kasih. Dia memandu kereta menuju ke Hotel Primula yang berada berdekatan dengan pantai batu buruk. Dia menginap di dalam hotel itu pada malam ini. Dia perlu menenangkan diri sebelum pulang ke kampung pada keesokkan harinya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu