"Minum air ni abang," ujar Puan Fatimah dengan lembut apabila mendengar suaminya batuk. Dia duduk disebelah Iman Shafie. Dia mengusap belakang suaminya dengan perlahan-lahan. "Petang ni tak perlulah ke surau. Abang rehat aje kat rumah."
Iman Shafie menggelengkan kepalanya. Dia meletakkan gelas diatas meja. "Abang tak apa-apa Imah. Batuk sikit aje."
"Tapi Imah risau bimbang jadi apa-apa dekat abang masa ke surau nanti," balas Puan Fatimah. Sejak akhir-akhir ini kesihatan suaminya agak merosot. Namun, sikap suaminya yang bertegas mahu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai iman di surau kampung membuat hatinya gusar.
Iman Shafie tersenyum ke arah Isterinya. Dia mengusap bahu Fatimah perlahan. "InsyaAllah abang baik-baik saja," ujarnya perlahan.
"Amin."
"ALHAMDULILLAH keadaan Puan Haura tidak begitu serius. Dia cuma perlu rehat yang secukupnya." Kata-kata doktor Elly masih segar dalam ingatan Fateh.
Wajah Haura dielus lembut. Terubat jua kerinduannya dapat membelai pipi isteri yang disayangi. Fateh memegang erat tangan Haura lalu menciumnya. "Maafkan abang, sayang. Abang janji akan jaga saya dengan lebih baik lagi. Abang cuai," ujarnya sambil menahan tangis.
Air mata lelakinya jatuh lagi. Dia tidak sanggup melihat isteri yang dikasihi terbaring lesu. Dia menyalahkan dirinya sendiri atas apa yang berlaku. Dia terlalu sayangkan Haura sehingga tidak dapat mengawal perasaan cemburunya. Dia akui perasaan sayang dan cintanya untuk Haura tidak mampu dibandingkan dengan sesiapa.
Kepala Haura diusap perlahan. Selimut ditarik menyelimuti badan Haura sehingga paras dada. Suhu badan Haura telah menurun setelah diberikan rawatan. Dia duduk diatas kerusi lalu meletakkan kepalanya diatas tilam. Akhirnya dia terlena disamping Haura.
ENJIN motosikal dimatikan. Iman Shafie melangkah perlahan-lahan ke arah surau. Dia terbatuk kecil beberapa kali. Dadanya yang berasa sakit diurut perlahan. Peluh didahi mula merencik. Cuaca agak panas ketika waktu Zuhur.
"Assalamualikum Iman," sapa Bilal.
"Waalaikumussalam," jawab Iman Shafie perlahan. Nafasnya mula tersekat.
"Iman okey?" Soal Bilal apabila melihat wajah Iman Shafie seperti sedang menahan sakit. "Haji," panggil Bilal apabila melihat Haji Khairul yang baru tiba di hadapan surau.
Nafas Iman Shafie mula turun naik. Akhirnya dia rebah diatas tanah. Haji Khairul segera mendapatkan Iman Shafie yang hampir pitam. Dia segera membantu Iman Shafie duduk di atas tangga Surau. Tanpa membuang masa dia terus menghubungi anaknya untuk mendapatkan bantuan.
FARAH mengatur langkah ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah. Dia terkejut apabila ibunya memaklumkan keadaan abahnya beberapa minit yang lalu. Dari jauh dia melihat ibunya duduk diatas bangku.
"Abah macam mana umi?" Soal Farah dan Kamal serentak. Farah duduk lalu merangkul tubuh Puan Fatimah. Dia tahu ibunya susah hati memikirkan keadaan bapanya.
"Doktor masih merawat abah kat dalam," jelas Puan Fatimah.
"Angah mana?" Soalnya apabila melihat ketiadaan Fateh ketika ini.
"Adik dah call tadi tapi tak dapat. Angah tak kerja hari ni?"
"Huh? Tak kerja?" Soal Farah hairan. "Dah lama along tak jumpa angah. Ingatkan dia sibuk kerja."
Haji Khairul sekadar mendengar. Dia berasa serba salah pula tidak memberitahu keberadaan Fateh ketika ini. "Fateh ada kat JB," ujarnya dengan tenang. Fateh telah memaklumkan dia telah sampai di Johor Bahru semalam. Semua mata memandang ke arah Haji Khairul.
"Angah buat apa kat sana?" Soal Farah dengan penuh persoalan.
"Ada kerja katanya," balas Haji Khairul.
"Jauhnya. Tak beritahu pun?" Ujar Farah hairan. Fateh akan memaklumkan ke mana dia akan pergi sebelum ini.
"Waris Encik Shafie?" Panggil Doktor Akhmal.
"Ya," balas Kamal.
"Bagaimana dengan abah kami?" Soal Fahim.
"Alhamdulillah keadaan Encik Shafie dah mula stabil. Tapi..."
"Tapi apa doktor?" Soal Farah.
"Kami masih perlu buat pemantauan lagi. Jadi Encik Shafie akan kami masukkan ke dalam wad CCU."
"Teruk sangat ke keadaan suami saya doktor?" Soal Puan Fatimah pula.
"InsyaAllah dengan mendapat rawatan yang sebaiknya keadaan Encik Shafie akan kembali pulih. Doakan yang terbaik."
"Terima kasih doktor."
"Sama-sama. Saya minta diri dulu. Pesakit kami akan pindahkan nanti."
"Baik doktor," balas Farah. "Adik cuba call angah lagi. Dia yang sepatutnya rawat abah?!" Ujar Farah. Dia mula marah dengan Fateh kerana tiada ketika bapa mereka memerlukan rawatan daripadanya. Fateh menjadi doktor kerana janjinya ingin merawat kedua ibu bapanya. Itulah niat yang Fateh bicarakan sebelum berjaya menjadi seorang doktor yang bertauliah sekarang.
DOKTOR ELLY senyum ketika membuat pemeriksaan ultrasound pada Haura. "Alhamdulilah babies sihat," jelasnya.
"Alhamdulillah. Terima kasih doktor," balas Haura lalu mengelap gel pada perutnya dengan tisu.
"Suami puan dah tahu ke?"
"Tahu apa doktor?" Soal Haura lalu bangkit daripada pembaringannya.
"Tentang kandungan puan?"
Haura diam. "Doktor ada beritahu ke?"
"Saya tak maklumkan lagi tentang kandungan puan adalah kembar."
Haura menarik nafas lega. "Sebolehnya biarlah saya sendiri yang beritahu pada suami saya nanti."
"Okey. Saya hormati keputusan puan. Tapi saya nasihatkan jangan sampai darah tinggi naik lagi. Tak bagus untuk puan dan juga kandungan. Apatah lagi puan mengandung anak kembar."
"InsyaAllah saya akan jaga diri dengan baik lagi selepas ini," balas Haura sambil mengusap perutnya.
"Jika puan memang tinggal di sini. Saya akan tahan lagi untuk beberapa hari."
Haura tersenyum sumbing. Dia amat malas bermalam dihospital terlalu lama. "Keadaan saya masih belum sihat ke doktor?"
"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini. Puan perlu rehat yang banyak. Terutama bila mengandung anak kembar. Sebolehnya puan dah boleh berhenti kerja sehingga melahirkan."
"Tapi kandungan saya baru empat bulan."
"Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sepanjang lima bulan akan datang. Saya cadangkan puan berehat demi keselamatan kandungan puan."
Haura mengeluh berat. "InsyaAllah saya akan pertimbangkan cadangan doktor?"
"Saya harap puan ambil secara serius. Ini demi nyawa anak-anak puan!" Tegas Doktor Elly.
Haura angguk. "Saya faham doktor. Terima kasih."
"Pastikan puan dapatkan rawatan susulan di hospital Terengganu nanti."
"Okey," balas Haura lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia melangkah perlahan-lahan kembali ke wad. Kakinya yang cedera telah kembali pulih. Kini dia mampu berjalan dengan baik semula.
FATEH menyusun langkah ke arah wad Haura. Dia mengukirkan senyuman melihat Haura sudah kembali ke katil. Dia meninggalkan wad ketika doktor memanggil Haura untuk membuat pemeriksaan.
Fateh menghulurkan coklat kepada Haura. "Sayang nak tak? Abang buka kan?"
Haura diam. Dia masih belum dapat melupakan kata-kata Fateh tempoh hari.
Fateh melabuhkan punggung diatas tilam. Dia membukakan coklat kepada Haura. "Sedap," ujarnya setelah mengigit sedikit coklat bar sebelum diberikan kepada Haura.
Haura mengambil coklat dari tangan Fateh tanpa banyak bicara. Sejak mengandung dia memang gemar akan pelbagai coklat dan manisan. Alhamdulillah dia tidak menghidapi penyakit kencing manis ketika mengandung. Namun, dia tetap perlu menjaga pemakanannya.
Pinggang Haura dirangkul. "Abang minta maaf, sayang." Kata Fateh lalu mencium ubun-ubun Haura.
Coklat yang belum habis dimakan diletakkan diatas meja. Haura mencapai air mineral lalu menenguknya perlahan. Wajah Fateh dipandang sepi. Dia melentokkan kepalanya diatas bahu Fateh. Tangan Fateh diraih lalu diciumnya. "Sayang minta maaf."
"Syhhh...," Fateh meletakkan jari pada bibir Haura. "Abang yang salah."
"Sayang minta maaf sebab keluar rumah tanpa minta izin."
"Abang maafkan," ujar Fateh lalu menyapu air mata Haura yang mula mengalir membasahi pipi isterinya.
Haura memeluk tubuh Fateh dengan erat. Dia melepaskan tangisannya. Fateh membalas pelukan Haura. Hatinya lega apabila Haura sudi memaafkannya.
"Maafkan abang sayang."
"Janji takkan buat sayang sedih lagi."
"Abang janji," balas Fateh sambil mengusap belakang Haura.
Haura senyum.
Kring! Kring! Kring!
Fateh meleraikan pelukan apabila deringan telefon bimbitnya berbunyi. "Along call," ujarnya sambil memeluk pinggang Haura.
Haura meletakkan kepalanya pada bahu Fateh.
"Assalamualaikum along."
"Abah kritikal?"
Fateh terkejut mendengarnya. "Apa?!"
"Fateh bila nak balik?"
"Okey, angah balik sekarang. Apa-apa perkembangan tentang abah tolong beritahu," balas Fateh lalu mematikan talian telefon.
"Kenapa abang?" Soal Haura apabila melihat Fateh cemas.
"Abah sakit. Kita balik sekarang."
"Okey," balas Haura lalu mengemas barang-barangnya.