Home Novel Cinta Nak Pilih Yang Mana?
Nak Pilih Yang Mana?
14/9/2013 20:00:35
18,292
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

BAB 3

Hari yang dinantikan akhirnya tiba juga. Pagi-pagi lagi tika segaris putih fajar masih menghiasi kaki langit selepas solat Subuh Zulaikha sudah siap bersedia untuk ke tempat kerja barunya. Dia berjalan kaki ke perhentian bas yang tak jauh dari rumahnya. Jarak perjalanan hanya mengambil masa lima minit saja dari rumah. Angin pagi yang dingin menjamah tubuh Zulaikha. Hidungnya yang mancung itu menjadi merah sedikit disapa bayu pagi yang dingin. Waktu pejabat akan bermula pada pukul 9.00 pagi dan balik pukul 5.30 petang. Zulaikha yang berbadan tinggi lampai itu sangat manis dan ayu bila mengenakan kurung moden berwarna biru laut. Menyerlahkan lagi warna kulitnya yang putih kemerah-merahan. Rambutnya yang panjang beralun melepasi bahu disisir rapi dan dihiasi dengan pin rambut berbentuk rama-rama. Disepitkan dibahagian kanan rambut. Dia kelihatan sungguh ayu.

Dikala mentari gesit masih merangkak perlahan-lahan mendaki ke dada langit, Zulaikha sudah siap terpacak bagai tiang lampu di hadapan pejabat barunya. Dia merupakan orang yang paling awal tiba. Tidak ada orang lain selain hanya dia. Zulaikha benar-benar sangat awal tiba untuk hari pertama dia bekerja di bank itu. Sungguh berkobar-kobar sekali semangat Zulaikha untuk memulakan tugasnya. Almaklumlah, pekerjaan yang pertama bagi Zulaikha, sesudah menganggur selama empat bulan. Itulah erti penantian satu penyiksaan buat Zulaikha. Sampaikan kena ugut nak dikahwinkan dengan sepupu sendiri barulah rezekinya menampakkan diri. Terkenangkan hal itu, dia melepaskan segumpal nafas dengan spontan. Zulaikha berazam untuk bekerja bersungguh-sungguh dan menghargai rezekinya yang telah dikurniakan oleh ALLAH SWT ini kepadanya.

Cadangan Mak Zara nak kahwinkan dia dengan sepupunya Kamal Nazrin muncul di fikirannya tiba-tiba. Wajah Kamal yang terkenal serius itu berubah tersenyum sambil mengenyitkan mata kepada Zulaikha dalam layar mindanya. Zulaikha berdecit perlahan menahan geram. Hish! Menyampah, kenapa muka dia pulak yang terjengol dalam kepala aku ni? rungut Zulaikha. Potong stim betullah mamat tu. Perasaan gembira Zulaikha bertukar menjadi meluat. Jelas terbayang pada air mukanya yang tiba-tiba berkerut dan masam. Pakcik guardyang menjaga bank itu tersenyum-senyum kepada Zulaikha. Mungkin dia pun perasankan perubahan rona wajah Zulaikha yang tiba-tiba telah bertukar menjadi kelat dan tidak ceria. Zulaikha jadi termalu-malu sendiri berdiri di tepi pintu depan bank itu. Dia cuba tersenyum, namun senyumannya tak mekar indah malah bagai kek bantat yang baru keluar dari oven gamaknya.

Pak cik guard itu tersenyum kepada Zulaikha. Agaknya pakcik tu ingat aku ni tak betul. Tu yang dia tersenyum-senyum tu. Nak perli akulah tu, teka Zulaikha. Pada masa yang sama Zulaikha membalas senyuman ala kadar sahaja. Tetapi sangkaan Zulaikha tu salah. Meleset sama sekali. Tak baik berprasangka terhadap orang. Mana tahu pakcik tu sebenarnya ikhlas. Hish, dapat dosa kering jer kau ni nanti Zu. Zulaikha menegur dirinya sendiri dalam hati.

“Anak ni orang baru ke?” sapa pakcik guard tu lembut. “Baru masuk kerja hari ni ye?” Ramah orang tua itu menyapa. Pakcik itu menganggap Zulaikha sama macam anak-anak dia saja.

“Ya pakcik, ni hari pertama saya kerja kat sini,” jawab Zulaikha agak malu-malu dan pertuturannya di susun rapi supaya bersopan dengan orang yang lebih tua darinya. Dia cuba berbasa-basi. Walaupun dia hanyalah pengawal saja di situ, namun orang yang lebih tua harus dihormati. Zulaikha menghadiahkan senyuman manis kepada pakcik itu. Jantungnya berdebar laju. Jarang sekali Zulaikha berbicara dengan orang luar selain dari jiran setamannya.

“Awal anak sampai ni, awal sangat. Kalau anak sampai pukul 8.30 pagi pun masih sempat lagi nak masuk pejabat.” Pakcik guard tu memberitahu Zulaikha yang sedang memandangnya sambil tersenyum. Pakcik itu memandang jam tangannya. Pukul 7.50 pagi. “Hem...awal lagi.”

Zulaikha hanya tersenyum dan menunduk. Cuba nak sembunyikan malu yang sedang bertandang. Dia memandang jari-jemarinya. Dia tak tahu apa yang hendak dia buat bagi memenuhi waktu sementara sedang menunggu itu. Masih ada lagi tiga puluh minit lagi sebelum pintu grill bank dibuka. Naik segan-silu pula dia berdiri di situ sorang-sorang. Keadaan sekeliling semakin beransur cerah. Jalan raya mula dipenuhi dengan kenderaan yang bersimpang siur hendak menuju ke destinasi. Zulaikha menarik nafas dalam-dalam untuk menenangkan debarannya.

“Selalunya pekerja yang lain sampai pukul berapa pak cik?” tanya Zulaikha untuk kepastian. Bila dah tahu nanti senang untuk dia merancang masa. Tak perlu datang terlalu awal sangat macam hari ini.

“Selalunya ada seorang pekerja lelaki cina. Namanya Lim Chun Meng, dia selalunya orang pertama yang akan sampai dulu. Itupun dalam pukul 8.15 pagi. Kadang-kadang tu 8.30 jugalah,” jelas pak cik guard sambil jari-jemarinya cekap mengelap cermin matanya yang sudah di selubungi sedikit minyak dari mukanya. Tangannya pantas mengelap. Usai perbuatannya mengelap dan membersihkan cermin dengan teliti lalu cermin mata itu dipakainya semula. Zulaikha hanya memerhati. Angin pagi yang lembut menyapa tubuhnya.

“Tapi anak ni dah terlalu awal sangat ni. Dah minum ke?” tanya pakcik guard tu.

“Kalau belum, baik pergi minum dulu. Awal lagi ni.” Pak cik guardtu memandang jam tangannya sekali lagi. Hai? Pak cik guard ni macam nak menghalau aku je. Ada apa-apa ke? Zulaikha meneka-neka dalam hatinya sekadar hendak menghilangkan debar rasa dadanya yang mula menyesakkan.

“Ha’ah yelah,” jawab Zulaikha akur dengan cadangan orang tua itu. Sekilas matanya memandang sekeliling melihat-lihat kalau-kalau ada kedai yang boleh dia tuju untuk menunggu masa berlalu. Zulaikha melangkah laju melintas jalan meninggalkan tempat itu. Dia berjalan mengarah ke kedai makan tempoh hari. Tetapi niatnya dibatalkan, malu pulak rasanya nak duduk di kedai makan tu sorang-sorang macam ni. Zulaikha merubah langkahnya melencong ke kedai buku yang berada bersebelahan kedai makan itu. Zulaikha lantas mencapai sebuah majalah, gambar depannya wajah Wardina…ikon kegemarannya.

Di luar sedar Zulaikha, ada sepasang mata sedang asyik memerhatikan setiap pergerakan Zulaikha. Yang empunya mata itu amat tertarik dengan gadis manis bertubuh tinggi lampai yang sedang berada depan matanya ketika itu. Dia meneliti lagi gadis itu bagai ingin dimeteraikan dalam memorinya dalam-dalam. Berkulit putih kemerahan, hidung yang kecil comel lagi mancung, pipinya licin kemerah-merahan dan berbibir kecil penuh serta berwarna pink merah semulajadi itu sedang menyelak-nyelak majalah. Inilah kali pertama empunya mata itu ternampakkan kelibat gadis cantik ayu bagai gadis kacukan Asia berbaju kurung moden biru laut itu di kawasan sini. Jantungnya berdebar.

‘Budak baru ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni?’ detik hati jejaka yang empunya mata. Pemilik mata itu terus memandang Zulaikha tanpa berkalih pandang. Dia tekun memandang Zulaikha yang berdarah campuran cina dan mamak di sebelah bapanya itu. Sedangkan Zulaikha pula sejak dari tadi sangat leka dengan majalahnya. Pemuda itu masih pegun memandang Zulaikha buat beberapa ketika lagi sebelum minuman yang di pesan oleh jejaka itu tiba.

Zulaikha dibawa berjumpa dan berkenalan dengan semua pekerja di dalam bank tersebut, hatta dengan makcik cleaner sekalipun. Dalam bank ini ada seramai 35 orang pekerja termasuklah Zulaikha. Zulaikha diletakkan di bawah pemerhatian dan tunjuk ajar seorang kerani wanita cina bernama Mis Ting Su Ling dan hanya di panggil sebagai Mis Ting saja. Zulaikha dapat tahu bahawa kerani wanita di mana Zulaikha bertanyakan kerja kosong tempoh hari itu bernama Mala. Bahkan dia merupakan seorang gadis Melayu! Dia belum berkahwin lagi, masih single. ‘Patutlah sombong semacam dan kerek saja. Macam anak singa.’ Getus Zulaikha dalam hati. Masih lagi menyimpan sedikit rasa meluat.

Zulaikha ditempatkan di Jabatan Saving dan Current Account dimana Zulaikha bertanggung jawab untuk membantu pelanggan yang hendak membuka akaun simpanan dan akaun semasa. Untuk hari pertama Zulaikha, Mis Ting telah mengajar bagaimana nak ‘print’ buku saving dan memeriksa nama pelanggan yang ingin membuka akaun simpanan sama ada pernah mempunyai akaun sebelum ini atau pun belum. Zulaikha juga diajar cara- cara macam mana membuka sistem komputer perbankan dan memeriksa wang dan laporan adalah tally dan seimbang.

Waktu makan tengahari pukul satu, Zulaikha sedang bersiap-siap berjalan untuk keluar. Klip rama-rama dirambutnya dibetul-betulkan kedudukannya. Lagi beberapa ela sebelum sampai ke pintu dia telah disapa oleh seorang pekerja lelaki bank itu juga. Pantas Zulaikha menoleh untuk melihat siapa gerangan jejaka yang sungguh berani itu .

“Kita makan sama-sama nak?” tiba-tiba pekerja lelaki itu mengajak Zulaikha dengan nada yang ramah. Macam sudah kenal lama pula. Anak mata Zulaikha telus memandang mata pemuda itu. Sungguh terpempan Zulaikha sekejap. Sepasang mata itu membalas renungan mata Zulaikha tanpa berkelip. Jejaka itu memang yakin.

“Hai! Saya Mazli.” sambil menghulurkan salam perkenalan kepada Zulaikha. “Saya dari Jabatan Loan perumahan dan kredit.”

“ Eeer... Saya Zulaikha.” sambut Zulaikha ringkas akan salam perkenalan dari Mazli, jejaka berkulit hitam manis dan berkumis nipis serta berdahi luas. Orang tua-tua kata, pemilik dahi yang luas ni panjang akal orangnya. Sempat juga Zulaikha meneliti sebentar pemuda itu sebelum berkalih pandang ke luar pintu kaca. Fikiran Zulaikha tiba-tiba ‘blank’ hanya rasa lapar saja yang membantunya berpijak di bumi nyata memacukan langkah kakinya mencari kedai makan.

“Macamana hari pertama awak kat sini? Susah tak? Miss Ting ajar senang faham tak?” persoalan demi persoalan ditanya oleh Mazli tanpa sempat Zulaikha memberi jawapan. ‘Hey! Satu-satulah dulu tanya pun, mamat ni. Aku backhand kan juga dia ni kat sini juga.’ Jerit hati Zulaikha tetapi mulutnya masih sempat mengukir senyum. Sekadar untuk berbahasa dan respect pada seniornya.

“Bolehlah…pengalaman baru. Emm..En Mazli…” lembut jawapan Zulaikha berbasa-basi. Matanya menyorot pandang ke arah jalan depannya. Kenderaan sedang banyak bersesak-sesak mengisi laluan jalan. Terik mentari berjaya menjamah kulit putih Zulaikha membuatkan dia berasa sedikit kurang selesa.

“ Eh, tak payahlah berencik- encik dengan saya, kita sama level. Kerani... emm... ini first job awak ke?” Mazli menyambung sesi soal-siasatnya.

“Ha’ah.” Jawab Zulaikha ringkas. Tangannya sibuk mengepal bag tangannya. Berasa agak kurang selesa berjalan dengan ditemani jejaka yang kurang di kenali. Seiring-sejalan lagi tu... oh please!

Sambil berjalan beriringan ke kedai makan bertentangan dengan bank, Zulaikha agak malu-malu semasa mereka duduk semeja. Mazli memilih meja yang setentangan dengan dinding agak jauh dari pintu dan tersorok dari pandangan luar. Pesanan makanan sudah dibuat. Sementara menunggu, Zulaikha memerhatikan keadaan sekeliling. Suasana hingar-bingar. Kedai ini menjadi tumpuan orang-orang yang bekerja di pejabat dan syarikat berdekatan kawasan sini. Aroma Maggie goreng, mee goreng stail mamak dan kari memenuhi rongga hidung Zulaikha. Terliur dibuatnya. Sementalah perutnya sudah kelaparan minta diisi.

Mazli hanya memandang gadis manis yang sedang berada di hadapannya tika ini sepuasnya. Dalam hatinya sedang berkira-kira untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi dengan gadis comel yang berwatak agak pendiam dan pemalu ini. Dalam bank yang memiliki pekerja seramai 35 orang itu, hanya empat orang sahaja lelaki yang masih bujang dan enam orang perempuan lagi yang masih single.

Lebih baik aku masuk jarum dulu sebelum gadis cantik manis depan aku ni terlepas… Mazli mula merancang langkah seterusnya di dalam hati sambil bibirnya mengukir senyum. Matanya masih melirik kepada Zulaikha yang sedang tunduk membetulkan bajunya.

Sepuluh minit kemudian makanan yang dipesan pun sampai, mereka masing-masing terus saja menjamah makanan tanpa berkata apa-apa. Laju saja Zulaikha menyuap nasi ke mulutnya. Memang lapar betul perutnya. Pagi tadi dia hanya bersarapan sekeping roti dan secawan milo saja. Nervous punya pasal. Sekarang ni tak perlu nak kawal-kawal ‘ayu’. Bukannya makan dengan special boyfriend pun!

“Zulaikha baru lepas belajar ke?” Mazli mula memancing ayat. Matanya tak mengerdip memandang Zulaikha. Pada Mazli setiap tingkah-laku Zulaikha semua anggun pada matanya.

“Taklah baru, dah lamalah juga dalam empat bulan macam tu,” jawab Zulaikha sambil menguis-nguis daun kari dari pinggannya lalu ditolak ke tepi keluar dari pinggan.

“Kerja di sini cik abang sayang dah tahu ke belum?” sengaja Mazli mengadun ayat bagi memasang perangkap untuk meneruskan langkah selanjutnya. Gelagat Zulaikha diperhatikan. Dia cuba membaca gerak tubuh gadis itu.

“Kita mana ada abang sayang, kita single lagi. Muda lagi, buat apa nak ada pakwe cepat sangat?” Zulaikha terus memberikan jawapan straight to the point. Tak ada tapis-tapis lagi. Memang Zulaikha berasa sangat menyampah dengan soalan yang sengaja nak membongkar tentang statusnya. Mulutnya mencemik. Matanya tidak beralih dari pinggan di hadapannya. Perasaan geram dipendam kemas.

Kenapalah semua lelaki yang dijumpainya pasti akan mengeluarkan pertanyaan seperti itu? Tak ada modal lain ke? Kalau nak kawan dengan perempuan mesti nak dijadikan special girlfriend saja ke? Kenapa tak boleh hanya berkawan biasa saja dengan perempuan? gerutu hati Zulaikha sambil mulutnya yang comel itu mengunyah nasi. Hai, nampak sangat mamat depan aku ni nak pancing ikan. Ya ALLAH, tolonglah hamba Mu ini. Tiba-tiba tersembol pula muka Kamal Nazrin dalam kotak fikirannya semula, sedang tersengih mengejek. Aduh! Satu lagi bala yang bakal mengundang. Nak lari dari kena kahwin paksa kini datang pula jejaka nak cuba-cuba memancing dia pula. Sudahnya, kerana malas nak layan Zulaikha mula mengaktifkan rona muka selamba ‘badak’ macam Mak Zara selalu gunakan. Muka toye...hehehe.

Melihatkan riak wajah Zulaikha yang bagai tiada perasaan itu, Mazli terdiam. Namun, jawapan yang diberikan Zulaikha tadi telah membuatkan hati Mazli kembang kuncup tak terhingga. Dia mula menggantungkan harapan nak memikat Zulaikha yang menawan ini. Nasi yang dimakannya hari ini tiba-tiba pula terasa lebih lazat dari hari biasa. Terbayang di kepalanya sekarang akan Zulaikha sebagai girlfriendnya sedang berjalan beriringan sambil mereka mesra berpegangan tangan. Alangkah bahagianya hati Mazli disaat itu.

“Dah habis, belum?” tanya Zulaikha agak kasar. Namun, tidak diperasankan oleh Mazli yang sedang ditimpa perasaan itu. Dia mula malas hendak menunggu. Zulaikha selagi boleh hendak cepat-cepat menjauhkan diri dari Mazli yang dianggapnya telah mengganggu konsentrasinya dengan soalan yang sensitif pada hari pertama dia mula bekerja. Perasan! Gerutunya dalam hati.

Jarum jam sudah menganjak ke pukul lima petang, Mis Ting dengan cekapnya telah mengajar Zulaikha bagaimana untuk membuat balancing duit dan mengikat duit untuk disimpan dalam peti besi. Mis Ting memberitahu, pengiraan wang untuk balancing perlukan konsentrasi, perhatian dan komitmen yang tinggi agar tidak berlaku kesilapan, jika tersilap padah jadinya. Silap-silap kena potong gaji atau lebih teruk lagi diberhentikan dari kerja dua puluh empat jam kalau tidak tallydengan report.

Kerana tuntutan kerja yang penting ini, dapatlah Zulaikha melupakan peristiwa tengahari tadi. Kalau tidak dia akan berasa tidak selesalah sepanjang hari itu. Dalam fikirannya Zulaikha sedang tercari-cari jalan macamana nak mengelakkan diri dari menjadi tumpuan gangguan Mazli. Jejaka perasan, jolokan nama yang Zulaikha berikan. Masakan tidak? Sejak balik dari kedai makan tadi, pemuda bernama Mazli itu asyik lalu lalang saja berhampiran kaunter tempat dia bertugas. Ya ALLAH, naik rimas dibuatnya. Nak saja rasanya Zulaikha membaling kasut tumit tinggi yang sedang dipakainya tika itu ke arah mamat perasan tu! Sabar, sabar Zulaikha ini baru hari pertama. Baru seorang perangai manusia yang kau jumpa. Belum lagi 35 orang lagi yang bakal kau jumpa. Sabar sahajalah!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.