Home Novel Cinta JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
painarena
10/1/2022 02:07:29
150,312
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

JANJI mengorek time capsule akhirnya tiba. Farid, Batrisya,Aqi dan Umar dah berdiri di belakang vila bersama cangkul dan penyodok masing-masing. Tak sabar untuk sama-sama mencangkul keluar kapsul masa yang dah disimpan sejak zaman tak ingat. Nick, Mimi dan Maya pula sekadar duduk di pintu dapur, enggan mengotorkan diri dengan tanah. Anak-anak remaja itu lepak di dalam vila, tidak berminat untuk ikut serta dalam sesi sentimental ibu ayahmereka.

Hampir sejam setengah mengorek dan mencari, barulah harta karun itu ditemui, yakni berupa sebuah toolbox kuning Mr. DIY. Apa-apapun, keempat-empatnya tetap bersorak macam Malaysia dah menang World Cup.

Dengan lafaz bismillah, toolbox dibuka. Didalamnya ada tiga bungkusan coklat. Setiap bungkusan ditulis nama Farid, Umar dan Batrisya dan tahun ditanam, iaitu 19 tahun lepas.

“19 tahun lepas... masa tu aku Form 5...” ujar Umar, kini berisi teruja yang cukup asing kerana nak membuka sebuah objek yang melalui zaman silam ke hari ini. Efek bertambah kerana dia betul-betul dah lupa apa didalamnya.

I’m so excited,” ujar Maya, terloncat kecil hingga Farid terpaksa menahan bahunya. Sabar sayang, sabar.

Umar tersenyum melihat kakak iparnya. Maya belum ada bersama mereka ketika kapsul masa ini ditanam, tapi melihat isteri Farid berkongsi keterujaan suaminya membuat Umar turut gembira. Aqi pun bukan main lagi sengihnya sampai nampak seluruh barisan gigi. Mata hitam yang galak itu dah macam memancar spotlight sampai silau! Umar menoleh pada Mimi pula, mengharap keterujaan yang sama, tetapi tiada pada wajah isterinya.

“Sayang, awak tak excited?” soal Umar dengan gaya ceria.

“Em? Benda takda kena mengena dengan sayang, nak excited apa.”

Lalu Umar menelan senyum sendiri.

Farid membuka bungkusannya terlebih dahulu. Di dalamnya, terdapat sebuah kotak kecil yang berisi beberapa keping gambar serta sebuah kamera kodak. Beberapa filem negatif juga masih ada. Umar tertawa melihat gambar-gambar tersebut.

“Ni gambar masa suami akak jadi prankster sepenuh masa…” Diserahkan memori itu pada Maya. “Ni semua rekod jenayah dia. Abang longgarkan skru ramp dekat budak-budak skater yang kacau Kak Bat sampai mereka masuk hospital, simbah cat minyak dekat kereta polis, buat kawan dengan gangster supaya boleh jaga kawasan dia…”

Maya merenung suaminya dengan muka tak percaya. Farid hanya menayang gigi.

“Maya harap Junior tak ikut perangai abang...” keluhnya sambil membelek gambar-gambar lain. “Perempuan ni siapa?” soalnya, mengenal pasti wajah seorang wanita barat muda yang cantik dan seksi di dalamnya. Farid sedang memeluk bahu wanita itu.

“Dalam banyak-banyak gambar, itu yang tarik perhatian awak?” desis Farid.

“Siapa dia?” soal Maya, masih dengan nada tegang.

“Alice Hunt,” sampuk Aqi yang kebetulan berada di sebelah Maya dan turut melihat gambar yang sama. “Partner in crime Bang Farid. Bukan someone yang akak perlu risaukan,” tambahnya bersama senyum. Bila perasan Farid dan Nick merenungnya dengan muka terkejut, Aqi mengerutkan dahi. “Kenapa?”

“Macammana kau kenal Alice?”

“Dia kawan abang. Mestilah Aqi kenal!”

“Kau tak sepatutnya kenal dia. Sebab abang tak pernah kenalkan kau dengan dia... dia datang ke Malaysia lepas Umar ceraikan kau. Lepas tu kau tak pernah balik sampai sekarang.” Datar sekali mengingatkan.

Mulut Aqi terbuka. Perut dah mula terasa berlipat, lagi-lagi bila Nick dan Farid terus merenung Aqi dengan pandangan curiga.

Batrisya memanjangkan kepalanya, turut mengintai gambaritu. “Umar pernah jumpa dia ni juga, kan? Mungkin Umar yang kenalkan dekat Aqi?” tambahnya pula.

Giliran Umar pula mencapai gambar itu. Memori yang tertimbus jauh, dikorek sehabisnya. Kawan prankster Farid ehh... “Rasanya Mar ingat... dia pernah datang ke sini semata-mata nak tolong cari Hadi...” ujarnya sebelum menoleh pada Aqi yang dah pucat lesi. “Kau ingat Hadi?” soalnya, namun Aqi hanya mendiamkan diri. “Tak perlu ingat pun takpa. Aku dah belasah dia kaw-kaw lepas kita... happened...” Tak sanggup nak sebut cerai dan berpisah.

“Kenapa belasah dia?” soal Maya.

“Dia buat jenayah dekat Aqi sampai Mar langsung tak boleh nak ampun. Mar harap dia dah mampus sekarang.”

“Dia masih hidup Mar. Dekat penjara,” Farid menambah laju, membuat mereka semua menoleh. Umar hanya mendengus.

“Cis. Mati lagi elok.” Gambar itu diserahkan pada Batrisya. Langsung tidak menyedari Aqi, Farid dan Nick bertukar pandangan yang sukar dibaca. Farid seterusnya memberi isyarat pada Aqi yang dia mahu berjumpa dengan wanita itu selepas ini. Aqi buat-buat bebal tak faham isyarat itu hingga Farid geram.

Batrisya pula dah membuka bungkusannya tanpa menyedari pertelingkahan senyap dua orang tu. Di dalamnya ada satu buku.

“Ahh... diari. Semua peristiwa penting dalam life Bat sepanjang duduk kat vila, dari kenal Danny, kenal Aqi, sampailah Danny meninggal dan akak kahwin dengan Nick. Everything is in here.” jelas wanita itu tanpa sempat mereka bertanya.

“Bapak sentimental…” ujar Umar, membelek diari tersebut.Terjumpa satu gambar. Kembang hatinya lalu. “Tengok,” ujarnya, terus menghulur gambar tersebut pada Aqi.

Gambar itu memaparkan ibu bapanya semasa mereka masih hidup, Farid dan Batrisya yang masih muda belia, Danny arwah suami Batrisya ada sekali, serta Umar dan Aqi yang paling muda dan berada di hadapan sekali. Dia dan Aqi cukup rapat ketika ini, terbukti kerana mereka memeluk bahu masing-masing dengan sengih luas di muka serta memberi peace pada gambar.

“Pendeknya rambut aku…” Aqi tertawa tak percaya.

“Hah! Kau tak ingat kau pernah jadi tomboy?” tegur Umar, juga dengan ketawa.

“Masalahnya aku betul-betul macam lelaki ni ha!”

“Perangai pun jantan. Bergaduh sana sini macam samseng sangat. Mujur kau cute, tau dak! Kalau tak, aku memang taknak pedulikan kau!”

Aqi mencebirkan bibir, sengaja buat muka sengal. Umar membalas dengan meniru tingkah laku itu. Bergaduh macam budak semata-mata nak menang perbalahan kosong. Tak perasan langsung tingkah laku mereka diperhati yang lain, terutama Mimi yang tengah menahan pedih di hati.

Farid mencapai gambar tersebut. Selajur, senyumannya merekah hingga menghadir riak sayu pada kenangan lama. Memori menyerbu masuk macam tsunami menimpa Acheh. Ganas sekali serangan itu hingga membawa tangis. “Damn,aku dah tua gila berbanding masa ni… kau pandai pilih barang untuk disimpan dalam time capsule, Bat,” ujarnya pada si adik perempuan. Air mata yang nak menitis, terus diketis sebelum menoleh pada Umar dan Aqi. Senyuman lembut dilakar buat keduanya, sebuah rias yang jarang sekali terlukis pada wajah. “Kau berdua... jangan bergaduh lagi, tahu? Jangan berpisah, jangan bertekak, jaga relationship baik-baik. Kalau tak, jantung abang tak tahan...” Dada diusap, sekaligus membuatkan Maya terus mendapatkan suaminya.

Umar dan Aqi serentak berpandangan, manakala Mimi makin sakit hati. Semakin lama mereka mengimbau kenangan lama, semakin jauh dirinya dikaitkan dengan keluarga ini. Tadi Umar cakap mereka membungkus time capsule ini semasa lelaki itu Form 5, bukan? Ketika itu Aqi tiada, dan Umar pula bercinta dengannya. Mungkin time capsule dari Umar akan menghangatkan memori antara mereka pula?

“Buka la itu pula,” pinta Mimi sambil mengisyaratkan bungkusan coklat di tangan suaminya. Doanya supaya barang itu sesuatu yang bermanfaat!

Lelaki bermata hazel itu menyerahkan diari pada Maya yang tengah memujuk sendu Farid sebelum membuka kapsul masanya. Debar dan teruja bercampur aduk macam cocktail. Bila melihat item didalamnya, dahi Umar berkerut terus. Itu ialah sebuah flip phone Motorola yang sudah tidak wujud di pasaran.

“Ini je?” soal Umar pelik. “Apa benda yang aku fikir masa tu? Tak kreatif langsung!”

“Akak tak nafi kau memang bodoh lain macam masa zaman sangap dulu,” sahut Batrisya berpeluk tubuh, disambut jeling oleh Umar dan ketawa oleh yang lain.

“Atau mesej sebenar ada dalam phone tu?”

Phone mati. Mar pula tak letak charger...” Bungkusan kosong dibelek sehabisnya.

“Kau memang reti spoil mood orang,” getus Aqi sambil merampas phone tersebut. Macam kenal.

Umar melepas dengus sampai jatuh bahunya. Tak berpuas hati dengan hanya phone Motorola. Abang dan kakaknya berjaya menghantar memori mereka ke masa depan, tetapi dia pula hanya menghantar gajet yang dah tak berguna. Terasa bodoh benar.

“Mar, kau zaman sangap ada simpan nota dalam phone ni,” ujar Aqi tiba-tiba, memanggil perhatian mereka semua. Wanita itu mengeluarkan sekeping kertas kecil di sebalik penutup bateri.

“Aku letak nota kat situ?” soalnya semula sambil melihat ke dalam bungkusan coklat. “Kenapa aku bersusah sembunyikan dalam handphone berbanding letak dalam sampul?” Makin hairan dengan tingkah lakunya sendiri semasa zaman muda.

“Aku baca boleh?” pinta Aqi lagi.

“Bacalah.”

Aqi mendehem. “Mar, mudahan kau masih handsome macam aku sekarang—pfft bhahaha!!” Kepala terdongak terus ke langit. Farid dan Batrisya turut pecah ketawa. Gema itu bercantum memecahkan damai vila.

Umar menahan malu. Tak habis-habis menjadi mangsa bila mereka bertiga bergabung! Baru saja nak merampas nota tersebut, Batrisya lebih tangkas mencapai bahan buat lawak itu dari tangan Aqi yang dah terduduk melutut kerana ketawa yang tak berhenti. Senak perutnya hingga perlu ditekan dengan tangan!

“Biar akak baca sampai habis hahaha...”

“Nota tu Mar yang punya!”

“Aku kakak!” Mata dicerlangkan, membuatkan Umar mendesis. Beberapa baris perkataan pertama dibaca flash read. “Eh Aqi, nota ni cakap phone tu engkau yang punya!”

Mata Aqi bersinar terang. “Aku dah agak! Patutlah familiar benar! Aku tertinggal handset ni kat vila sebelum aku terbang ke German!” Motorola diangkat ke langit. Ini ialah harta dia dari 19 tahun lepas, bukan Umar! Yay!! Lalu dipeluk handphone itu penuh suka.

“Kenapa Umar hantar harta Aqi berbanding dia sendiri?”soal Maya pelik.

“Mar pun baru nak tanya...” sambut Umar pula, makin keliru dengan tindak tanduknya semasa Tingkatan Lima. Kalau tak silap, masa tu dia fokus SPM sebab Farid mengugut nak menghantarnya ke rumah anak yatim jika SPMnya gagal macam PMR. Aqi tiada dalam hidup kerana berada di German, jadi dia boleh fokus belajar dan melayan Mimi. Walaupun sekali sekala dia tetap rindukan Aqi. Tapi ah, dia tak ingat sangat... Melihat Aqi masih memeluk Motorola dengan senyum yang tak pudar, kening kiri dijungkit. “Kau dah kenapa suka sangat?”

Senyuman Aqi berjangkit ke matanya. “Handset ni arwah Danny yang hadiahkan. Aku mati-mati ingat hilang. Aku tak sangka kau simpankan untuk aku...” Hampir pecah suara kerana sebak yang hadir. Liur ditelan.  “Thank you so much,Mar... aku tak tahu macammana nak balas budi kau....”

Dan barulah senyum terbit di bibir si lelaki. Dadanya turut merasa denyut yang cukup asing. Lalu digaru. “Aku masih tak puas hati... tapi nampaknya aku maybe fikir pasal kau masa aku buat kapsul masa ni.”

Kepala Mimi terjatuh spontan sebelum meraup muka dengansebelah tangan. Untung badan, Farid bertanya bagi pihaknya.

“Kau tengah hangat bercinta dengan Mimi masa tu sampai abang paksa kau putus dengan dia 5 bulan sebelum SPM. Kejadah kau buat kapsul masa untuk Aqi pula?”

“Mar takda jawapan! Mar tengah lalui zaman sanga—zaman bongok with peak hormone masa tu! Mar sendiri tengah terkilan sekarang ni!” Mata dicerlangkan.

“Kau zaman bongok with peak hormone ada explain kenapa kau hantar kapsul masa dekat Aqi, Mar...” sampuk Batrisya sambil menunjukkan nota di tangan. Mereka semua menoleh lagi. “Tapi kau takkan suka apa yang kau sendiri tulis.”

“Dia tulis benda bodoh apa lagi?” soal Aqi bersama sengih kelakar.

Batrisya merenung adik angkatnya sebelum menjeling padaMimi. Liur ditelan, bersedia membacakan apa yang baru dibaca dan mematahkan hati adik iparnya itu sekaligus.

“Mar, mudahan kau masih handsome macam aku sekarang. Handset ni Aqi yang punya. Dia tertinggal masa dia ikut Zach dengan mak dia ke German. Kalau ada jodoh kau dengan dia, pulangkanlah balik. Aku harap masa tu kau dah kuat nak bagitau yang kau cintakan dia.”

Umpama kilat memancar ke laman belakang vila dan menyambar kepala otak keenam-enam individu di situ. Darah masing-masing terasa kering. Aqi membatu manakala Mimi lemah lutut, hampir terduduk. Maya pula spontan memegang tangan Farid, menahan rasa terkejut yang paling terkejut yang pernah dia rasai. Ini perkara besar!

Batrisya menyambung tanpa mempedulikan reaksi mereka. “Dia jenis yang mudah luka walaupun dia cakap dia kuat. Dia ingat dia kuat tapi sebenarnya dia degil. Itu yang buat aku... kau tau, lah. Aku akan belajar bersungguh-sungguh supaya kita boleh jadi manusia berguna dan kumpul banyak duit supaya aku boleh terus jaga dia. Protect dia dari Vicky. Bagi dia makan supaya dia berisi sikit. Aku rindu gila dekat dia sekarang, dowh. Tiap kali aku tengok anak Mimi, aku kerap terfikir macammana pula rupa anak Aqi, lepas tu aku fikir aku taknak lelaki lain yang buat dia beranak pulak.”

Maya spontan menutup mulut, kelakar mendengar kata-kata yang agak kebudak-budakan itu. Tetapi niat Umar jelas sekali walaupun sejak dua dekad yang lepas. Muka lelaki itu juga dah merah padam. Batrisya masih terus membaca.

“Jadi aku harap masa kau buka surat ni, kau dengan Aqi dah secure. Tapi kalau Aqi kahwin dengan orang lain... aku harap akulah orang lain tu wahaha. Kalau tak, aku boleh je consider Mimi. Tengok dulu macammana.”

Serentak mereka semua memandang isteri Umar dengan pandangan yang sukar ditafsir. Walau sejak 19 tahun lepas, Mimi ialah pilihan kedua. Lelaki bermata hazel itu pula meraup muka. Bahang panasnya tidak terkata. Berkali-kali lafaz zikrullah meniti di lidah, terlalu terkejut dengan apa yang baru didengari dari dirinya sendiri pada zaman remaja. Jantungnya berdebar kuat. Sampai rasa nak meletup rasanya! Ya Allah, apa benda yang berlaku ni??

“Siapa Vicky?” bisik Maya pada suaminya.

“Samseng sekolah Umar. Musuh ketat dia. Suka pukul Aqi sebab Umar akan mengamuk tiap kali Aqi luka lebam.”

“Oh...” Wanita itu mengangguk perlahan sambil memandang adik iparnya kembali. Umar masih mengulang zikrullah sambil mengusap dada sendiri. “Terkejut benar, Mar?” tegur Maya, hairan.

Matanya masih terbuntang pada rumput, langsung gagal berkelip. “Sebab Mar lupa langsung pasal ni... pasal surat tu... pasal Aqi...” Kenapa dia langsung tak ingat... sedangkan 90% kandungan surat itu ialah luahan perasaannya semata!

Batrisya bertukar kesian. “Mungkin sebab kau pernah amnesia, Mar.... Hadi, penjenayah gila tu... langgar kereta kau dengan lori masa kau on the way pergi kerja.... Lepas kau hospitalised, masa tu lah dia culik Aqi.” Surat dihulur pada Aqi, penerima sebenar surat tersebut. “Berbulan juga kau koma. Tapi bila kau bangun, kau hilang ingatan. Kau jadi budak-budak semula. Baran. Bodoh. Akal pendek. Relationship kau dengan Aqi compromised... kemudian berakhir dengan cerai...” Anak mata adik lelakinya direnung sayu.

Hebatnya rasa terkejut yang dirasai hingga dia lupa cara nak bernafas. Aqi dikerling lalu. Wanita itu sedang merenungnya dengan pandangan yang sukar ditafsir. Kerut pada kening itu memberi makna sayu. Melankolik. Lalu Aqi memberi isyarat mata pada Mimi yang berdiri di sebelahnya, kemudian pada surat di tangan. Dibaca sekali lagi dalam hati sambil cuba menenangkan ribut di hati bahana luahan seorang budak lelaki 17 tahun. Aqi memejamkan mata. Selajur, surat cinta 19 tahun itu dikoyakkan.

Sekali lagi mereka semua terperanjat.

Umar menelan liur yang terasa kelat. Surat yang berisi luahan perasaannya terus dikoyakkan lagi dua tiga kali sebelum dibuang ke tanah. Sebuah analogi yang sempurna – perasaannya dilayan macam sampah.  Tanpa melepaskan renung pada cebisan surat itu, rahangnya mengetat, seakan cuba menahan pedih di hati. Lalu Aqi dipandang lagi. Air muka itu nampak sayu, tetapi Aqi memberi isyarat mata sekali lagi pada Mimi.

Ah. Umar faham mesej tanpa kata itu. Perasaannya 19 tahun lepas tiada guna, kerana cinta Umar ialah untuk perempuan lain sekarang. Lalu Mimi pula dipandang. Mukanya merah dan berkerut menahan tangis. Tapi siapa boleh salahkan Mimi? Kini semua orang tahu dia ialah spare tyre sebelum kisah cinta Umar dan Aqi bermula!

Dia mahu melontar kata-kata kasar ke muka Aqi, menuduh Aqi sengaja menggoda Umar darinya. Menuduh perempuan jalang ini merampas hati Umar dengan sihir atau apa-apa cara kotor yang lain hingga membuatkan Umar langsung tak mampu melihat dia – tetapi nota itu ialah bukti Mimi kalah dari dulu, malah bukti susulan bahawa perasaan suaminya pada Aqi masih kukuh sehingga sekarang... dan itulah yang menyentap hatinya ketika ini.

Bersama tangis yang tertahan, dia berkalih. Terhenti bila lengan ditarik. Dia menoleh, melihat Aqi mencengkam lengannya. Sedih bertukar amuk.

“Kau dah kenapa pegang-pegang aku?!” Lengan ditarik kasar.

“Kau nak lari kemana?”

“Takkan kau masih tak faham? Umar cintakan kau dari dulu sampai sekarang! Aku kalah tanpa bertanding! Kau nak sakitkan aku macammana lagi?! Kau dah menang, ambiklah menang kau!” Motorola di tangan Aqi dirampas, lalu dibaling tepat ke muka wanita itu. Aqi mengaduh tetapi tidak melepaskan pegangannya pada Mimi.

“Kau rilek kejap tak boleh ke?! Bawak bertenang, bawak bernafas. Istighfar banyak-banyak, sampai kau nampak kertas tu ialah nota dulu, masa otak Umar duduk dalam seluar macam Junior sekarang! Jangan merasa kalah hanya sebab surat 19 tahun. Hampir dua dekad for God sake… takkan kau nak biarkan kau kalah dengan sejarah? Jangan kalah dengan bayangan lama aku, Mimi.” Umar yang sedang merenungnya, dipandang. “Kau pun sama, Umar. Aku ialah sejarah. Mimi ialah zaman sekarang, dan masa depan kau. Aku tak tahu berapa kali aku nak ulang ayat ni, tapi aku tak balik semula ke sini sebab nak rampas kau! Aku cuma rindukan kau, rindukan Bang Farid, Kak Bat… rindukan vila. Rindukan memori aku sepanjang aku hidup dalam vila ni… I want that life back, for god sake… all the laughter and fun that I’ve missed out for the past 14 years… aku cuma nak bahagia hanya dengan being a part of this family again…” Suaranya bertukar serak. Air matanya jatuh sebutir demi sebutir sambil berpaling pada Mimi. “Kau pun dah jadi a part of the family, jadi aku merayu sangat-sangat, tolong terima aku sebagai ahli keluarga kau, bukan lawan,” pintanya lagi. Kali ini hingus cair turut meleleh. Rawan mula merasuk.

Mimi mencemik. Umar pula merapat.

“Tak payahlah menangis…”

Namun Aqi terlalu rabak kali ini. Ada sesuatu yang merasuk hatinya hingga dia benar-benar lemah. Kecewa kerana niat baiknya dipandang serong. Marah, kerana menyedari dia benar-benar telah melepaskan peluang untuk bersama dengan Umar dan kini hanya mampu menyokong kehidupan lelaki itu dalam jarak dekat, melihat Umar berbahagia dengan orang lain. Sedih, kerana dia mengerti dia telah dirompak peluang tersebut oleh keputusan yang dibuatnya pada 12 tahun lalu – bila dia memutuskan untuk menikahi lelaki yang tidak dicintai malah didera dan menderita. Seolah-olah semua kesedihan yang ditanam sejauh-jauhnya selama 14 tahun kini dikorek semula seperti kapsul masa itu. Dikeluarkan dan dijadikan tontonan umum.

Dia juga menemui kapsul masanya, tetapi berupa kekecewaan dan fakta bahawa dia telah menghabiskan masa dengan lelaki yang salah.

Kalaulah dia diberi peluang kedua, dia akan menggunakan peluang itu sebaik-baiknya. Kalau ada peluang kedua, dia mahu balik ke pangkuan Umar semula. Kalau ada peluang kedua antara mereka…

‘Kalau’ cumalah angan-angan, kerana realiti lebih pedih dari itu.

Hatinya pecah remuk. Bahunya bergegar, dan muka juga dah berkerut merut menahan tangis yang pecah tanpa henti. Mulut ditutup dengan sebelah tangan. Dengan dada yang penuh berasak, kepala dipaling-paling mencari seseorang untuk dipeluk. Dia perlukan seseorang. Sebuah sokongan.

Tapi tiada.

Lekas, seseorang. Tolong datang untuk bagi sokongan! Siapa? Umar? Batrisya? Maya? Farid? Namun bukan seorang pun dalam kalangan mereka yang boleh dirasakan untuk memberi comfort. Dia berseorangan lagikah dalam kumpulan manusia yang dia sayang?

“Emir… mana Emir…”

“Aqi…” Umar cuba mencapai wanita yang tengah pecah mental itu. Namun Aqi mengelak. Bila Emir memuncul, lekas Aqi mendapatkan anak lelakinya. Muka dihumban ke bahu yang masih membesar itu. Rawan dilepaskan sepuas hati. 

Previous: Bab 14
Next: RAYA-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh painarena