Hakim Nuqman mengambil telefon
bimbit lantas mendail sekali lagi. Dia merengus kuat bila sahaja panggilan yang
di buat tiada jawapan. Mengapa Sarah Adelina langsung tidak mahu menjawab
panggilannya?. Dia tidak mampu untuk menjawabnya. Gambar kenangan sewaktu reunion dua minggu lalu di tatap buat
sekian kalinya. Satu persatu matanya memandang pada bekas rakan sekelas.
Semuanya nampak berbeza selepas enam tahun. Akhir sekali matanya jatuh pada
seraut wajah ayu berhijab biru muda sedang tersenyum seolah-olah memandang ke
arahnya.
Fikirannya
jatuh kepada gadis bernama Sarah Adelina. Gadis yang menjadi dambaan hatinya
buat sekian lama. Hakim Nuqman terus diulit kenangan.
“Sarah. Sarah
Adelina kan?.” Dia bagaikan tidak percaya gadis bermata redup itu bertambah
ayu. Lesung pipit di pipi kiri nampak jelas saat dia tersenyum. Wajah Hakim
Nuqman nampak bercahaya. Bukan susah hendak mengenali Sarah Adelina, bisik
hatinya.
“Ya.
Sarah.”
Wajah Sarah terus berubah. Dia
tidak nampak teruja sepertimana bertemu dengan rakan-rakan yang lain. Jasmin
yang tadinya ada di sisi sudah hilang entah ke mana sebaik sahaja dua sahabat
itu bertemu.
“Sarah.
Awak apa khabar?.” Hakim Nuqman bertambah ceria.
“Sihat,
alhamdulillah.” Suara Sarah kedengaran lemah, tidak seperti tadi.
“Lama
kita tak jumpa kan,” Hakim Nuqman terus-terusan menyoal.
“Iya,
empat tahun.”
Hakim masih berdiri tegak di
hadapan Sarah. Masing-masing bagaikan terpaku dengan pertemuan hari itu. Ya,
empat tahun selepas meninggalkan sekolah. Dua tahun mereka rapat dan mesra
menjadikan usia perkenalan mereka menjadi enam tahun sebenarnya.
“Sarah…
awak makin cantik.” Pujian ikhlas dari Hakim Nuqman membuatkan Sarah tertunduk.
Tunduk bukan disebabkan perasaan malu dipuji sedemikian tetapi kerana seperti
mahu sahaja dia memuntahkan segala isi perutnya yang ada.
“Sarah,
awak datang seorang sahaja?.”
“Jasmin.
Awak pula?.”
“Seorang
sahaja. Masih belum ada yang sudi untuk temankan saya lagi.” Jawapan Hakim
penuh dengan kiasan. Mata nakalnya sesekali melirik pada wajah Sarah. Rindunya
dia pada gadis itu serasa tidak mampu untuk di ungkap lagi.
“Hakim.
Hakim Nuqman kan?.” Hairi menepuk belakangnya. Mereka berpelukan mesra sebagai
sahabat lama. Sarah menarik nafas lega. Jadi, dia tidaklah tersangkut berdua
sahaja dengan lelaki itu.
“Eh,
mana isteri kau?,” lancar sahaja soalan itu keluar dari mulut Hakim Nuqman. Dia
sememangnya tahu kerana laman facebookHairi
seringkali menunjukkan gambar dia bersama anak dan isterinya.
“Tu.
Bawah pokok sana dengan anak-anak,” jawab Hairi jujur.
“Kau
pulak?. Mana isteri kau?.”
“Ni,
aku kenalkan bakal isteri aku. Sarah Adelina.” Hairi tersenyum memandang Sarah
yang nampak kebingungan.
Berderau darah Sarah sebaik sahaja
mendengarnya. Dia sedikitpun tidak menyangka Hakim Nuqman akan
memperkenalkannya sebegitu pada Hairi.
Mata Hairi memandang mereka berdua
silih berganti. Ada senyuman yang terukir di bibirnya.
“Wah!
Kiranya perjumpaan kita hari ni memang kauorang bawa berita gembiralah ya?.”
“Ehhh…
Jangan dengar cakap Hakim ni. Kau dengar dari Hakim saja Hairi. Bukan dari
aku,” terus sahaja Sarah menyangkal kata-kata Hakim sebentar tadi.
“Marah
betul kau ni Sarah. Kenapa?.”
“Haha…
Aku bukannya apa Hairi. Kalau bakal suami aku dengar nanti, tentu dia marah.”
Selamba sahaja jawapan yang meluncur keluar dari mulutnya. Dia cuba
menyembunyikan getar di dada sebenarnya. Sarah terus meninggalkan mereka
sejurus kemudian. Dia tidak mahu dengan kehadirannya di situ akan merungkai
banyak lagi kisah silam mereka.
Bakal suami?. Hakim tergamam
seketika. Maksudnya Sarah sudah berpunya?. Atau lebih tepat lagi Sarah sudah
bertunang?. Jika betul, siapa tunang Sarah?.
“Lama
tak jumpa kau Kim. Aku dengar bos besar kau sekarang.”
Soalan Hairi menyentak lamunan
Hakim yang menyoroti langkah Sarah meninggalkan mereka.
“Taklah
besar mana kalau dibandingkan dengan kawan-kawan lain.” Dia cuba merendah diri.
“Hakim,
kau bila nak kahwin ni?.”
“Kenapa?.”
Memang itu antara soalan yang paling digemari jika semua bertemu.
“Siapalah
yang nak kan aku ni Ri.”
Demi mendengar sahaja jawapan dari
Hakim Nuqman, Hairi tertawa besar. Terasa sahabatnya itu cuba untuk menipu.
“Kau
ni Kim, tipulah kalau tak ada siapa yang nak kan kau. Kau jangan cakap tak ada
siapa yang hendakkan kau, tapi hakikatnya Sarah yang ada dalam hati kau tu.”
Hakim Nuqman bagaikan terpukul
dengan kata-kata Hairi. Wajahnya sedikit berubah. Bagaimanalah dia mahu
mengiyakan sedangkan baru seminit dua tadi Sarah sudah menjelaskan yang dia
sudah berpunya.
“Eh,
relaxlah Kim. Kau ni nampak semacam
aje bila aku sebut nama Sarah. Kenapa?. Betul kan apa yang aku cakap?. Ala Kim,
aku tahu sangat apa yang ada dalam hati kau tu. Kim… Sarah tu baru bertunang,
belum berkahwin lagi. Kau masih ada peluang.”
Hakim diam. Sedikit sebanyak
kata-kata Hairi termakan olehnya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya.
“Eh,
isteri dan anak aku dah datang tu. Aku
gerak dulu lah. Lagipun sekejap lagi majlis nak mula ni.” Hairi menepuk bahu
Hakim sebelum beredar.
“Hakim…
Tempat jatuh lagikan dikenang.”
Hakim Nuqman berpaling memandang
Hairi. Hairi tersenyum penuh makna, bagaikan tahu ada gunung berapi yang
kembali aktif dalam hati Hakim yang perlahan-lahan sudah mula mengeluarkan
laharnya.
PUKUL LIMA PETANG. Hakim Nuqman bergegas
mahu pulang. Dalam kepalanya ligat merancang sesuatu. Jika boleh dia mahu
segera keluar dari pejabatnya tanpa dikesan sesiapa terutamanya oleh Dato’
Zubir.
“Man.”
Demi mendengar sahaja namanya di
panggil, Hakim Nuqman segera berpaling. Jika tadi niatnya mahu terus sahaja
keluar dari pejabat tetapi kini dia hanya mempunyai 90% sahaja harapan.
“Man.
Jumpa saya sekejap.”
Antara hendak dengan tidak, Hakim
Nuqman terpaksa akur. Langkah yang tadinya agak deras kini menjadi longlai. Dia
sedikit kecewa bila sahaja wajah Dato’ Zubir yang tersembul di muka pintu
memanggilnya.
“Man,
ada masalah tak dengan projek kita di Klebang?.”
Hakim Nuqman menarik nafas panjang
sebelum menjawab persolan Dato’ Zubir.
“Masalah
tentang pembekal yang membekalkan simen palsu sahaja Dato’.”
Itu adalah isu lama dan pihak
syarikat dikatakan dalam proses untuk melantik peguam bagi kes tersebut untuk
menyaman syarikat pembekal.
Helaian kertas di tangan Dato’
Zubir diselak satu persatu. Dia sebenarnya baru sahaja mendapat laporan
daripada pekerja yang berada di sana tentang terdapat retakan pada bangunan
yang hampir separuh dibina.
“Kamu
dah semak pelan bangunan?.”
Hakim Nuqman hanya mengangguk. Dia
sudah memastikan semua berkaitan projek berkenaan adalah kesilapan daripada
pihak pembekal dan bukan dari pihak syarikat.
“Esok
saya mahu kamu ke alamat ini untuk berbincang dengan panel lawyeryang syarikat kita baru lantik untuk failkan saman.”
Kad kecil bertukar tangan. Ada
sinar gembira di wajah Hakim Nuqman sebaik sahaja dia melihat alamat yang
tertera.
“Esok
pukul berapa Dato’?.”
Dia seakan teruja menerima
perkhabaran itu. Terasa tidak mampu untuk menanti hari esok lagi.
“Kalau
boleh sebelah pagi. Man boleh dapatkan dokumen daripada Syila. Saya mahu awak
teliti terlebih dahulu sebelum jumpa lawyer
esok.”
Hakim Nuqman tersenyum sebaik
sahaja diberikan arahan itu. Tiba-tiba sahaja perasaan tidak sabarnya menerpa.