Home Novel Cinta Getar Hatiku
Getar Hatiku
SRI WAHYUNI
4/9/2014 22:15:10
4,880
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
SATU

Sarah Adelina tidak senang duduk. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Dia cuba mengawal resah di hati. Telefon bimbit berbunyi minta diangkat, namun langsung tidak diendahkan. Bukannya dia tidak mahu menjawab panggilan itu tetapi nombor yang tertera itu mengingatkan dia kepada seseorang hampir empat tahun yang lalu.

“Sarah! Sarah!.”

Laungan nama Sarah langsung tidak diendahkan. Masakan tidak, laungan itu di dalam suasana yang hingar-bingar. Waktu itu adalah waktu pertukaran kelas antara Bahasa Inggeris kepada matapelajaran Sejarah. Sarah bersama Jasmin sedang berjalan menuju ke arah bilik guru.

“Sarah, macam ada orang panggil nama kau.” Sesekali Jasmin menoleh ke belakang untuk memastikan panggilan itu untuk sahabat karibnya.

“Kau ingat, dalam sekolah ni aku seorang sahaja ke nama Sarah?.”

“Eh, betullah. Hakim tu. Dia panggil kau.”

“Kau ni jangan nak perasan sangat boleh tak?. Entah-entah dia panggil si Nor Sarah, Saerah ke. Tak pun tu ha dia panggil si Saravanan tu agaknya.” Laju sahaja mulutnya menuturkan kata apabila dia nampak Saravanan pelajar tingkatan 4 Adil membawa buku latihan menuju ke kelas.

“Hisy kau ni. Betul ni. Aku tak tipu. Hakim tu melambai-lambai tangan lagi panggil kau.” Jasmin menoleh lagi. Memastikan bahawa tanggapannya tidak meleset.

“Tak percayalah aku Min. Mana mungkin pelajar hot tu nak panggil aku. Entah-entah dia lambai Cikgu Siti Sarah tu.” Secara kebetulan Cikgu Siti Sarah sedang berjalan masuk ke kelas tingkatan 3 Cemerlang.

“Engkau ni… Aku tahulah dalam sekolah ni ada lebih kurang sepuluh orang pelajar nama Sarah. Tapi, kesepuluh mereka itu tak seorang pun bernama Sarah Adelina tahu tak.”

Mereka berdua meneruskan perjalanan hingga ke bilik guru bertemu dengan Cikgu Zaiton. Seperti kebiasaannya mereka akan membawa buku-buku latihan yang telah selesai disemak dan juga peralatan mengajar yang lain. Setiap hari dua orang pelajar akan bergilir-gilir membantu Cikgu Zaiton.

Cikgu Zaiton berjalan di hadapan manakala mereka berdua membuntuti di belakang bersama buku dan peralatan yang dibawa. Sewaktu melintasi kelas tingkatan 3 Bijak, seseorang sedang berdiri di pintu belakang dan menghulurkan sesuatu.

‘Hakim.’

Mata Sarah Adelina bertembung dengan lelaki itu. Lelaki itu seperti biasa nampak segak dengan baju pengawasnya. Dia hanya tersenyum dan meminta agar huluran itu disambut segera.

Sarah mengambil dengan pantas sambil diperhatikan oleh Jasmin. Lekas-lekas lipatan kertas bersama dengan kotak kecil berbalut dengan buku latihan sekolah itu dimasukkan ke dalam kocek. Bimbang kalau Cikgu Zaiton perasan perbuatannya sebentar tadi.

“Betul tak apa yang aku cakap?.” Jasmin berbisik sambil tersenyum nakal. Puas hatilah tu kerana telahannya betul.

Lipatan kertas dan bungkusan kecil yang tanpa diketahui isinya itu terus tersimpan kemas di dalam kocek baju putihnya. Sepanjang hari perhatiannya kurang tertumpu pada pelajaran tetapi terus-terusan berdoa agar kelas cepat berakhir.

“Sarah. Bukalah apa yang Hakim beri pada kau tadi?,” ujar Jasmin sewaktu pulang. Ketika itu Sarah hampir melupakan tentang lipatan kertas yang diberi oleh Hakim sewaktu sesi pertukaran kelas pagi tadi.

Kayuhan mereka terhenti. Perlahan-lahan lipatan kertas itu dibuka. Sepucuk surat dari Hakim untuk dirinya. Hati rasa berbunga bila membaca.

“Eh, Sarah. Surat tu nantilah kau baca. Panas ni. Apa bendanya dalam kotak tu?.”

“Hakim bagi akulah. Bukannya engkau.” Geram pula dia melihatkan Jasmin yang seakan tidak sabar melebihi dirinya.

Perlahan-lahan bungkusan kecil itu dibuka. Isinya adalah dua butir coklat kisses. Bertambah berbunga hati Sarah melihatkan isinya.

“Wah! Coklat. Kau satu, aku satu,” Jasmin hampir mencapai coklat dalam genggaman Sarah.

“Eh, mana boleh. Ini Hakim beri pada aku tau.”

“Eleh. Sudahlah kau. Kedekut.” Muncung mulut Jasmin melihatkan Sarah. Kalau dia tahu tadi, elok dia beritahu cikgu Zaiton. Biar sama-sama tidak merasa. Jasmin terus mengayuh basikalnya kembali. Meninggalkan Sarah yang masih terpinga-pinga ditinggalkan.

‘Jasmin. Jasmin. Merajuklah tu konon’, bisik hati Sarah. Kemudian dia menyusul dengan basikal mini merahnya mengejar Jasmin yang jauh di hadapan.


Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.