Home Novel Cinta Unforgettable Love
Unforgettable Love
Mastura Abdullah
19/6/2020 15:23:20
45,307
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

 

 

MATA itu belum dibuka semenjak kemalangan berlaku. Itu kata doktor yang merawat wanita yang dilanggar oleh Hud tiga hari lalu. Dia hanya diam seperti tunggul kayu disebalik perbualan di antara Zain dan doktor. Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar daripada bibirnya semenjak mereka tiba lebih kurang lima minit yang lalu.

Yang ada hanyalah pergerakan matanya, merayap ke wajah yang dipenuhi luka itu.

“Dia ada kecederaan dalaman... banyak jugak. Kesian saya tengok dia sebab orangnya sangat muda. Suara Doktor Zaidah kedengaran lagi, seperti mahu memberitahu bahawa dia tak patut melanggar wanita muda itu.

Hud terus memilih untuk berdiam diri.

“Teruk ke, doktor?”

“Patah kedua-dua belah bahu, leher retak. Luckily tak mengenai spinal cord,” jelas Doktor Zaidah serba ringkas.

Rasanya penjelasan tidak perlu panjang lebar kerana keadaan fizikal pun nampak menyedihkan. Paling mengesankan hatinya, mangsa dilanggar ketika cuba melintas jalan. Dia tahu kereta dipandu laju. Jika tidak, kecederaan wanita itu takkan seberat yang mereka lihat ketika ini.

“Apa rancangan doktor?”

“Perlu buat plastic surgery di bahagian muka dan betulkan semula tulang bahunya tu.”

“Bila surgery tu doktor?”

“Secepat mungkin. Masalahnya kami tak ada kebenaran ahli keluarga. Sampai hari ni tak ada ahli keluarganya datang melawat kecuali awak berdua.”

Hud mengangkat wajahnya, mencari reaksi Zain yang berdiri di sebelahnya.

“Ini bakal suaminya, laku tak tandatangannya?” usik Zain dalam riak serius.

Siot! Hud menyumpah dalam hati. Zain tak habis-habis mengenakannya. Apa dia tidak tahu ke betapa seriusnya dakwaan itu.Aku bakal suaminya? Aku kenal dia pun tidak. Macam mana nak mengaku bakal suaminya? Buatnya wanita itu betul-betul ada bakal suami, mati katak aku dikerjakannya. Sumpah, Hud tidak mahu cari pasal.

“Tandatangan bakal suami tak laku, kecuali betul suaminya,” jelas Doktor Zaidah.

Diam-diam Hud tarik nafas lega.

“Saya cari keluarganya. Pasal kos, sayaakan tanggung. Doktor cuma perlu jalankan tugas doktor.” Akhirnya Hud mengulas sebelum meninggalkan bilik itu.

Terpulang kepada Zain sama ada dia mahu mengikut atau tidak. Dia akan pulang sendirian ke pejabat jika Zain belum muncul lima minit berikutnya. Putusnya lantas menarik door handle.

Sementara menunggu kelibat Zain, Hud leka berfikir cara untuk mencari keluarga wanita itu sebelum memutuskan mendapatkan maklumatnya dari balai polis berhampiran.

Jam di dashboard dikerlingnya sepintas lalu. Ah, Zain! Rungutnya lantas memandu perlahan meninggalkan kotak parkir Pantai Hospital, Kuala Lumpur.

“Aku balik dulu,” ujarnya ketika panggilan disambut Zain.

Perkara pertama yang dia buat adalah menghubungi Sarjan Ismail kalau-kalau dia mempunyai maklumat tentang keluarga wanita yang dilanggarnya tiga hari lepas.

“Ada...saya dah maklumkan pada keluarganya.” Suara Sarjan Ismail masih terngiang-ngiang di telinganya ketika kereta membelok masuk ke pekarangan Ibu Pejabat Polis, (IPD) Cheras.

Jawapan itu tidak memuaskan hati Hud. Jika telah dimaklumkan, mengapa tidak ada yangdatang melawat wanita itu di hospital? Bagaimana pembedahan hendak dijalankan jika tidak ada waris yang memberi kebenaran? Masakan wanita yang masih koma itu boleh bangun untuk tandatangan sendiri borang kebenaran pembedahannya?

Sedikit sebanyak ada juga rasa simpati terselit di dalam hati. Sebenarnya, dia ingin hal itu selesai segera kerana ada hal lain lebih serius yang perlu diselesaikannya. Urusan hidup dan mati. Selagi semuanya belum berakhir, selagi itu hidupnya tidak tenang.

“Sarjan,boleh saya jumpa sarjan sekejap?” sapa Hud ketika panggilannya disambut si empunya nombor.

“Kalau tak keberatan, boleh saya tahu apa sebabnya?”

“Saya perlukan alamat atau nombor telefon mangsa yang saya langgar tiga hari lepas.”

Private and confidential, Encik Hud!Saya tak boleh dedahkan sesuka hati.”

Jawapan yang diterima mengecewakan. Terdiam Hud dibuatnya.

“Berkenaan hidupnya, Sarjan Ismail. Ada beberapa kecederaan dalaman termasuk bahu patahdan leher retak. Doktor perlukan kebenaran waris untuk buat pembedahan.”

Dalam enggan melibatkan diri, Hud melanggar juga prinsip peribadinya.

“Saya harap taklah serius seperti itu. Kalau melibatkan kematian, kes Encik Hud akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta 333.”

Berdesing telinganya menerima jawapan itu. Bukan dia hendak membunuh wanita itu. Tidak terlintas di fikirannya hendak melanggar, apatah lagi menyebabkan kecederaan fizikal wanita itu. Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba tanpa dijangka.Mengapa Sarjan Ismail membangkitkan hal itu hingga ke peringkat mati pula?

“Saya cuma nak tolong wanita tu, Sarjan.”

“Saya dah sampaikan kejadian ni kepada keluarganya. Keluarganya dah tahu pun.”

“Tapi belum ada sesiapa yang datang melawatnya,”

“Maaf...saya tak dapat bantu Encik Hud. Lain kali tolonglah berfikir bijak ketika memandu. Bila dah jadi macam ni, nak salahkan siapa?” tanya pegawai itu, ibarat petir yang memanah telinganya.

Bukan bebelan yang diperlukannya ketika ini. Mahu saja mulutnya menjawab seperti dia selalu menjawab sindiran Zain. Tetapi ini bukan masa yang sesuai untuk memburukkan keadaan. Jika dia punya kuasa untuk membekukan masa, sudah tentu peluang itu akan digunakan sepenuhnya untuk mengembalikan ahli keluarganya kedunia, apatah lagi hendak melanggar wanita itu. Tentu ia tidak akan berlaku.

“Terima kasih, Sarjan,” ucap Hud mengalah.

“Sama-sama.”

Tangannya terus menolak gear undur sambil kaki memainkan peranan menekan pedal minyak. Hud memecut keretanya untuk kembali ke pejabat.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.