Sementara menanti Dhia mencuba
baju pengantin yang sudah siap dijahit, Qara hanya duduk santai sambil tangan
lancar menyelak helai demi helai gambar baju pengantin milik Butik Pengantin
Nelly. Ada pelbagai warna dan fesyen. Daripada baju pengantin yang lengkap
untuk para Muslim dan Muslimah, sampailah kepada baju pengantin ala Barat yang
singkat, sendat dan jarang.
Kalau dikenakan ke tubuh, dia
tidak tahu bahagian mana dulu yang dilihat oleh tetamu yang datang. Muka
pengantin yang tentunya berseri-seri kerana bergelar raja sehari, atau tubuh
pengantin yang hampir-hampir menampakkan apa yang tidak patut diperlihatkan
pada orang.
“Macam nak tayang kat orang aje,”
kata Qara perlahan. Kemudian dia tergelak sendiri.
“Apa yang kelakar sangat tu Qara?”
tanya Akid tiba-tiba.
Qara berpaling ke belakang.
Terkejut bila disergah secara spontan. Melihat
Akid berdiri tegak dengan dahi berlapis-lapis sedikit, dia
tersenyum. Sangkanya siapalah yang tahu
namanya di sini selain daripada Dhia dan Nelly. Namun melihat seraut wajah
tenang di sisi tunang Dhia itu, senyumnya mati. Haq! Lelaki itu hanya
memandangnya sekilas sebelum mengalihkan pandangan ke kawasan sekitar.
Kenapa mesti dia dipertemukan
dengan Haq sekali lagi? Sampai ke hari ini, malunya pada Haq tidak pernah
hilang.
“Kau buat apa kat sini Akid?”
“Tak mungkin aku datang sebab nak
makan nasi kan?” Akid cuba membuat kelakar.
Haq yang masih berdiri, hanya
tersenyum. Geli hati bila Akid selamba saja mengenakan Qara yang mungkin tidak
bersedia. Adiknya itu memang tahu bagaimana hendak membuat loyar buruk.
“Buat kelakar eh?” Qara geram.
Ketawa Akid lepas bebas walaupun
tidak sekuat mana. “Hidup kita ni terlalu singkat Qara. Jadinya, kita mesti
selalu senyum dan ketawa.”
Akhirnya Qara tersenyum juga. Ya,
hidup ini memang singkat. Lantaran itu, dia harus membuat keputusan yang paling
baik untuk dirinya. Sama ada Dhia setuju atau tidak, dia akan tetap menyambung
pelajarannya ke luar negara. Negara mana, masih belum diputuskan. Mungkin
selepas majlis perkahwinan Dhia dan Akid nanti dia harus melihat-lihat negara
mana yang sesuai untuknya.
Tentang Dhia, dia yakin Akid akan
menjaga Dhia dengan baik.
“Dhia kata kau tak dapat datang,
sebab tu aku temankan dia,” kata Qara.
“Meetingaku selesai awal. Tu yang berkejar ke sini, terpaksa heret
abang aku sekali.”
Dia menjeling Haq sekilas. Abangnya
itu hanya diam, langsung tidak membuka mulut seperti selalu. Spontan cadangan
untuk menyatukan Haq dengan Qara menjengah benaknya. Dhia nampak tidak
bersetuju dengan ideanya, tapi tidak juga melarang. Mana tahu, memang jodoh
abangnya dengan kawan Dhia itu.
Haq dapat isteri. Irham dapat ibu.
Dan Dhia, tidak perlu lagi susah hati kalau-kalau Qara hendak belajar di luar
negara.
“Mana Dhia?”
“Cuba baju kat dalam sana. Kalau
masih ada yang tak puas hati, sempat betulkan lagi.”
“Kau dah tengok ke baju Dhia tu?”
“Tak lagi.”
“Kenapa?”
“Nanti masa korang kahwin, aku
tengoklah. Kalau tengok sekarang takut seri Dhia hilang pula,” gurau Qara
selamba. Usai berkata, dia tergelak. Dia cuba bertingkah seperti biasa dengan
Akid, seolah-olah yang ada di ruang yang dipenuhi barang dan baju pengantin
itu, hanya ada dia dan Akid. Namun tetap juga terasa kejanggalannya. Haq
benar-benar telah menjadi gangguan dalam hidupnya.
Mendengar ketawa Qara yang pertama
kali, Haq pandang muka wanita itu. Lunak saja suara itu di telinganya
membuatkan dia terasa seperti dipukau. Mahu mendengar lagi dan lagi ketawa itu.
Huh... gila! Kenapa aku boleh
fikir yang bukan-bukan ni?
“Aku pergi tengok Dhia kejaplah.
Kau duduk sini temankan abang aku tau!”
Belum sempat Qara menjawab, Akid
sudah melangkah laju. Dadanya berdebar-debar. Tidak selesa ditinggalkan hanya
berdua dengan Haq. Matanya melingas mencari pekerja butik yang selalunya ada,
tapi seorang pun tidak ada. Masing-masing bagaikan berpakat membiarkan dia dan
Haq di situ.
Haq duduk di sofa berhadapan
dengan Qara. Wanita itu dilihat kembali tunduk memandang album di tangan.
“Ehem...” Haq berdehem. Cuba
menarik perhatian Qara. Rimas, bila berdiam diri begini.
Qara panggung kepala. Kemudian
tersenyum, kelat.
“Sihat?” tanya Haq perlahan. Lembut
saja nada suaranya.
“Alhamdulillah, sihat seadanya.”
Haq senyum. Bila Qara kembali
menjatuhkan kepala ke bawah, dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Qara
nampak ramah dan mesra bila dengan Akid.
Namun wanita itu jadi sedingin ais bila berhadapan dengannya. Mulut Qara nampak
berat hendak membalas pertanyaannya.
“Tak nak cuba baju pengganti?” Haq
cuba memancing bual.
“Nak buat apa? Belum nak kahwin
lagi,” balas Qara pantas. Dia memandang Haq.
Haq senyum tapi dia tidak tahu
untuk apa dia tersenyum. Bukan ada yang lucu pun dengan kata-kata Qara. Hari
ini wanita itu mengenakan seluar jean hitam dan blaus berwarna merah hati yang
dipadankan dengan selendang bercorak abstrak. Cantik saja lilitan selendang itu
membelit kepala Qara.
Agaknya, rambut Qara macam mana
ya? Lurus, keriting halus atau ikal mayang?
Haq gigit bibir. Tidak faham
dengan fikiran sendiri. Makin lama makin banyak saja hendak tahu tentang Qara.
“Kenapa belum nak kahwin? Umur
sama dengan Dhia, kan?”
“Belum jodoh, nak buat macam
mana?”
“Ke... memilih sangat?” duga Haq.
“Setiap orang, terutamanya
perempuan, mengimpikan untuk berkahwin sekali aje dalam seumur hidup. Jadi,
salah ke kalau saya memilih?”
Haq geleng. Qara kelihatan sedikit
tegang. Beberapa hari lepas Akid memberitahunya tentang Qara yang pernah
bercinta dengan Syahil. Kemudian Syahil menolak Qara kerana diugut Datuk Kamil
dan Datin Jalilah. Cerita itu membuatkan dia teringat pada hinaan Datuk Kamil
pada Qara. Tanda tanyanya sudah terjawab kini.
Masih bersedihkah Qara kerana ditinggalkan
Syahil? Tapi lelaki seperti Syahil itu sebenarnya tidak layak menerima
kesedihan Qara.
“Hidup ni tak boleh dijangka,
Qara. Kita memang boleh buat pilihan, tapi pada akhirnya belum tentu pilihan
kita tu akan kekal jadi pilihan kita,” luah Haq tenang. Dia terkenangkan diri
sendiri.
“Maksud awak?”
Belum sempat Haq menjawab
pertanyaan Qara, muncul Nelly. Melopong mulut wanita elegan itu melihat Qara
bersama-sama seorang lelaki.
“Qara?” Tajam mata Nelly menatap
Qara.
“Apa?” tanya Qara pelik. Riak
Nelly nampak lain macam. Yakin, Nelly sedang cuba membaca fikirannya. Sepupu
Dhia itu bukannya boleh dipercayai sangat. Mudah saja membuat andaian. Bila
mata Nelly sekejap padanya dan sekejap pula pada Haq, dia sedar. Nelly sudah
salah sangka!
“Yang handsomeni siapa?”
“Dia ni abang...”
“Hai... saya, Haq. Apa khabar?”
Haq pantas memotong kata-kata Qara. Reaksi Qara yang nampak kalut, mencuit
hatinya.
“Sihat. I, Nelly sepupu Dhia.”
Ramah Nelly memperkenalkan diri.
Haq senyum nipis. Padanlah Qara
kalut semacam.
“Boyfriend baru Qara ya?”
“Kak Nelly...” Mata Qara sudah
membulat.
“Diamlah! Kak Nelly bukan tanya
pada Qara pun, Kak Nelly tanya pada Haq. Kalau Kak Nelly tanya pada Qara,
bukannya mudah dapat jawapan.”
“Kak Nelly...” Qara terasa seperti
hendak menangis. Tidak suka dengan mulut lepas Nelly. Segannya dia pada Haq
bukan kepalang. Kalaulah dia tahu dia bakal menghadapi situasi seperti ini, dia
lebih rela mengikut Akid melihat Dhia mencuba baju pengantin. Lepas ini tentu
Haq akan menganggap yang bukan-bukan padanya.
Haq tergelak perlahan. Merah padam
pada muka Qara buat dia rasa lucu.
“Datang sini nak cuba baju
pengantin ke? Bila nak langsungnya? Nak yang macam mana?” Bertalu-talu soalan
di bibir Nelly. Dia langsung tidak memberi peluang pada Qara untuk bersuara.
Baginya, Haq jauh lebih menarik
dibandingkan Syahil. Air muka pun tenang, apalagi dengan rupa yang sedap mata
memandang. Meskipun agak terkejut kerana semudah itu Qara mendapat pengganti,
dia tetap mendoakan yang baik-baik untuk Qara. Syahil menolak Qara, bukan
bermakna dunia Qara sudah berhenti berpusing.
Dan bagaikan berjanji, Syahil dan
Elma tiba-tiba saja muncul di dalam ruangan yang sama. Muka Qara pucat tidak
berdarah. Nelly kelihatan terpanar, terkejut kerana baru saja difikirkan
sepupunya itu. Sedangkan Haq tetap juga mempamerkan air muka tenang. Lewat ekor
matanya, dia memandang Qara.
Sungguh... ada simpati membenih
dalam hatinya kala ini. Kenapa mesti ada lelaki yang menganggap hati seorang
perempuan itu murah?
“Kau nak apa datang ke sini?”
tanya Nelly dengan nada kurang mesra. Meskipun Syahil itu sepupunya, dia tetap
tidak suka dengan apa yang dibuat pada Qara.
Syahil pandang Qara sekilas,
dadanya yang ketat sejak Qara pergi beberapa hari lalu terasa seakan-akan
lapang. Kemudian matanya jatuh ke arah Haq.
Tidak mengerti, mengapa Haq ada di sisi Qara? Apa pula tujuan mereka
berdua ke sini? Mencari baju kahwin seperti dia dan Elma?
Tapi... sejak bila pula Qara dan
Haq bercinta? Atau selama ini, dalam diam Qara berlaku curang padanya?
Syahil kembali memandang Qara.
Kali ini tajam matanya. Dia inginkan penjelasan daripada Qara. Sedangkan Haq
hanya menjadi pemerhati. Dia nampak betapa canggungnya Qara. Mana ada perempuan
yang gembira melihat bekas kekasih datang ke butik pengantin dengan kekasih
baru.
“Nak cari baju pengantinlah. Itu
pun masih nak tanya ke?” Elma menjawab meluat.
“Aku tak tanya kaulah!”
“Syahil jawab ke, aku jawab ke,
tetap juga tak ada beza sebab aku dan Syahil tak lama lagi akan jadi suami
isteri. Kami akan jadi pasangan yang paling bahagia dalam dunia ni.”
Qara gigit bibir. Kata-kata Elma
menggores hatinya.
“Tak payah nak menunjuk
sangatlah!”
Muka Elma berubah. “Kau ni... nama
aje cousin Syahil tapi tak pernahnya
nak menyenangkan hati Syahil,” kata Elma geram.
Nelly hanya mencebik. Sejak zaman
sekolah lagi dia memang tidak pernah sukakan Elma. Bakal isteri Syahil itu suka
membangga diri. Bagi Elma, dengan adanya wang ringgit apa pun boleh dilakukan.
“Kak Nelly... kalau Dhia dah
selesai cuba baju, Kak Nelly bagi tahu dia yang saya tunggu dia kat luar.”
“Tapi kan Qara dengan Haq nak...”
“Saya keluar dulu,” potong Qara
pantas. Tidak mahu mendengar kata-kata Nelly.
Lantas, kaki terus diayun pantas.
Dia seperti ingin meraung di hadapan mereka semua kerana luka hatinya yang
belum pun sembuh, ditoreh lagi. Bukannya dia tidak tahu Elma sengaja mahu
menyakitkan hatinya. Kalau Nelly tidak ada, tentu lebih teruk lagi dia
dikenakan bakal isteri Syahil itu.
“Ni semua kau punya pasal!” marah
Nelly pada Elma.
Terus Syahil mengayun langkah, mengejar
Qara. Dia perlukan penjelasan.
“Syahil, you nak ke mana tu?”
jerit Elma kuat.
Syahil dengar, tapi dia tidak
langsung berpaling. Marah dan rajuk Elma akan dipujuk dan kerja itu tidak
sukar. Namun marah dalam hatinya akan bertukar menjadi api jika tidak tahu
cerita sebenar. Bertanya pada Haq, tidak mungkin. Satu-satunya yang boleh
diharap hanyalah Qara. Yang pasti, dia tidak rela sepanjang bergelar
kekasihnya, Qara juga berkasih dengan Haq. Dia rasa dikhianati!