Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 9

Bab 9


MASAM mencuka muka Thia tatkala kereta Toyota Harrier milik Rizqi sudah mencecah di depan pintu pagar rumahnya. Dia menjeling ibunya yang tersenyum-senyum saja sejak tadi. Hampir setengah jam dia bertikam lidah dengan ibunya. Dia benar-benar tidak setuju ibunya sanggup ‘menyerahkan’ dia kepada lelaki asing yang langsung tidak dikenali hati budinya.

‘Ibu ni dah kena ubat guna-guna agaknya. Sampai hati ibu biarkan Thia dengan lelaki asing, yang ajnabi! Ibu tak takut ke? Kalau dia buat tak elok dengan Thia, macam mana?’ hatinya masih merungut sendiri.

Rizqi keluar dari perut kereta. Dia memakai t-shirt lengan panjang berwarna krim dan memakai cermin mata hitam menyerlahkan lagi kekacakannya. Dia melemparkan senyuman kepada dua orang wanita yang leka memandangnya dari jauh. Seorang mukanya berseri-seri menanti. Seorang lagi mukanya macam nak pergi merompak rumah orang.

Cepat-cepat Thia masuk ke dalam rumah buat seketika ingin membasahkan tekak. Panas dia melihat wajah Rizqi yang ceria semacam. Dia mengipas-ngipas mukanya dengan tangan seolah-olah ianya dapat mengurangkan suhu takat didih dalam tubuh badannya.

Akhirnya Thia berada di dalam kereta bersama Rizqi. Pastilah ia suatu kemenangan buat Rizqi namun suatu kemalangan buat Thia. Dia kini benar-benar tersentap. Jiwanya gelisah dan tidak selesa apabila berdua-duaan dengan Rizqi. Sepi bermaharajalela antara mereka. Kelat sungguh riak pada wajah Thia.

“Thia panas ke? Nak saya kuatkan air-cond?” Rizqi bersuara memecahkan keheningan yang kian menyesakkan dadanya. Dia melihat dahi Thia berpeluh-peluh. Panas barangkali namun dia sendiri sudah berasa cukup sejuk. Mungkin kulit Thia, kulit getah beku.

Namun Thia hanya menggelengkan kepala. Pandangannya jatuh ke luar tingkap. ‘Sekarang aku tak ada mood nak bercakap. So, jangan nak macam-macam dengan aku. Kau pandu aje diam-diam,’ hati Thia mendongkol geram. Terasa ingin terjun tingkap pun ada.

“Saya tahu Thia sekarang tak selesa. Insya-ALLAH saya tak mendatangkan bahaya kepada Thia. Selagi Thia ada dengan saya, keselamatan Thia adalah tanggungjawab saya,” tutur Rizqi perlahan. Cuba meraih perhatian Thia. Namun masih tidak dihiraukan oleh Thia. Hati kering betul.

Diam lagi. Suasana menjadi semakin tegang. Rizqi seakan bingung melihat Thia yang terus-terusan mendiamkan diri. Dia cuba menyabarkan hatinya kerana dia tahu Thia masih sukar menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang.

Kemudian, Rizqi memasang radio untuk menutupi keluh-kesahnya. Dia terkial-kial mencari siaran radio. Lagu yang diperdengarkan semuanya tak kena masa. Ada lagu rock yang menjerit membingitkan telinga, ada lagu yang terlalu sentimental pula sampai rasa nak tertidur dan akhirnya ada lagu Hindustan yang rancak. Thia mahu mendengarnya tetapi Rizqi sudah pun menukar siaran radio yang lain. Lagilah dia bengang!

Rizqi juga sempat memeriksa penyaman udara di hadapan Thia. Bimbang sekiranya ia tidak berfungsi dengan baik menyebabkan Thia berpeluh dingin.

Tiba-tiba tercuit rasa kasihan kepada Rizqi. Thia tahu Rizqi sedaya upaya membangkitkan suasana ceria antara mereka berdua. Sebenarnya Thia sedar ada keikhlasan dan ketulusan di sebalik suara garau lelaki itu. Hanya dia yang enggan menerima persahabatan yang cuba dihulurkan oleh lelaki yang berlesung pipit di sebelahnya. Dengan itu, Thia segera menoleh ke arah Rizqi.

Rizqi yang tumpu penuh perhatian pada jalan raya tersentak. Dia membalas pandangan Thia. Namun sekejap cuma.

“Umur Encik Rizqi, berapa?” soal Thia spontan. Dia sendiri tidak rancang untuk mengemukakan soalan itu. Matanya masih tak berganjak daripada memandang Rizqi.

“Hah?” Rizqi masih terkejut.

“Umur Encik Rizqi berapa?” tukasnya lagi.

Err… sorry. What did you say?” Rizqi benar-benar diserang penyakit sawan pekak.

Thia jadi bengang. Tidak tahu pula dia Rizqi seorang lelaki yang mengalami cacat pendengaran sementara.

“Umur… dengar tak ni? Umur Encik Rizqi berapa? Umur…umur…” Ditambah dengan gaya tangan sekali Thia menerangkan soalannya tadi. Kalau dia tak dengar jugak, baik bunuh diri ajelah, rungutnya.

“Oh, sorry tak jelas sangat suara Thia tadi. Umur saya tiga puluh,” jawab Rizqi mesra. “Thia pulak?” Rizqi bertanya kembali kepada Thia. Dia tidak menyangka… akhirnya Thia sudi memulakan bicara.

“Lapan belas. Hmm… dua belas tahun beza umur kita, kan? Sepatutnya bukan panggil Encik Rizqi tapi Pak Cik Rizqi,” selorohnya selamba. Dia gelak. Begitu juga Rizqi yang meledakkan ketawa lepas. Tidak sangka Thia pandai bergurau sebegitu.

“Mudanya. Kalau macam tu, Thia tak bolehlah panggil saya Encik Rizqi,” tegur Rizqi sambil melirik senyuman nakal.

Then, shall I call you Pak Cik Rizqi?” duganya pula.

Nope. Itu tua sangatlah bunyinya. Tak sesuai. Yang lebih tepat, Thia kena panggil saya, abang,” jawab Rizqi tanpa menoleh. Bibir asyik tersenyum saja. Bahagia.

Thia melongo. Abang? Eh, dia ni cuba menggoda aku ke? Thia menggumam dalam hati. Mula mengesyaki yang bukan-bukan. Sebenarnya dari awal lagi dia dapat rasakan Rizqi seperti suka kepadanya. Tetapi dia tidak ambil peduli pun. Suka sahaja. Bukan ajak menikah lagi.

Sekilas, Rizqi memandang Thia yang keras di sebelahnya. Thia pula hanya melemparkan senyum kelat. Tidak terasa mahu membalas kata-kata Rizqi tadi. Namun anak mata Rizqi itu seperti memaksanya bercakap juga.

“Err… abang tu macam mesra sangat bunyinya. Tak apalah. Cancel. Saya nak panggil Encik Rizqi balik.” Thia berasa menyesal pula berseloroh tadi. Lelaki ni bukan boleh dilayan sangat, omelnya.

“Ala… apa salahnya Thia panggil saya, abang? Kan saya lagi berumur daripada Thia. Kenapa? Thia malu dengan… abang ke?” usik Rizqi dengan suara manja.

Pantas Thia menjuih bibirnya. Hee! Meremang bulu tengkuknya. Lidahnya kelu untuk membalas kali ini. Dia kembali melontarkan pandangan ke luar. ‘Inilah padahnya. Tegur salah, tak tegur salah. Dah tegur macam ni pulak perangainya,’ bebel Thia di dalam hati saja.

Melihat Thia yang kembali mendiamkan diri, Rizqi pantas menutup silapnya.

“Thia, saya gurau ajelah tadi. Please… don’t take it serious. Thia boleh panggil saya apa-apa saja yang Thia suka tapi jangan berencik-encik. Too formal. Thia bukan staf saya,” ujarnya lembut berbaur pujukan.

Thia berasa lega. Sekurang-kurangnya Rizqi tidak memaksa seperti Hafiz, kasanova! Nafas lega segera ditarik puas. “Okey, nama penuh awak siapa?” Dia bertanya lagi.

“Muhammad Amir Rizqi,” jawab Rizqi sambil mengerutkan dahinya.

Thia berdehem. “Kalau macam tu, saya panggil awak Amir sajalah. Terbelit lidah saya nak panggil awak, Rizqi. Saya ni tak suka sebut ‘R’. Leceh!” beritahu Thia selamba. Bagaikan meluncur laju ayat itu diluahkan. Ya, kadang-kadang Thia terlalu jujur.

Okay, nice. Lepas ni kalau ada sesiapa panggil saya Amir, saya tahulah siapa orangnya.” Rizqi melirik senyuman sambil menjeling Thia dari ekor matanya. Dia terasa puas melihat Thia memberi reaksi positif dari yang sebelumnya. Matanya sekali lagi nakal melewati Thia yang sedang menyisir rambut dengan jari.

Sebelum ini, dia melihat Thia bertudung ayu. Namun Thia yang berada di sebelahnya kini ialah seorang gadis yang cantik menawan dan sangat berani membebaskan rambutnya. Benar-benar menonjolkan keaslian rambutnya yang berombak itu.

“Em… Thia?” Suara Rizqi lembut memanggil Thia.

Thia pantas menoleh apabila namanya dipanggil. “Ya?” Anak matanya bersabung dengan anak mata Rizqi. Sekadar memandang kosong.

Entah mengapa, Rizqi terpana seketika. Sempat dia memandang ke arah kening, meleret ke mata, hidung dan berakhir di bibir Thia. Kaku dan terkunci di pemanduannya. Sesaat cuma. Kemudian cepat-cepat dia mengalihkan tumpuan pada jalan raya.

“Awak ada benda nak cakap ke?” tekan Thia apabila dia lihat Rizqi hanya tersenyum macam orang gila yang perlukan bantuan seseorang untuk dihantar semula ke pusat pemulihan.

“Thia sekarang study course apa?” Rizqi akhirnya menyuakan soalan. Matanya tertumpu pada pemanduannya sahaja. Bimbang jika ketelanjurannya memerhatikan Thia akan mengakibatkan keretanya menjunam ke dalam gaung.

“Sains aktuari. Baru semester pertama,” jawab Thia mudah.

Rizqi menganggukkan kepala lantas dia teringat sesuatu. “Oh, actually my brother sekarang pun further study tempat sama dengan Thia tapi course tak sama dengan Thia. Hari ni dia balik ke Perlis juga. Dia drivesendiri,” terang Rizqi tanpa disoal.

Kelihatan Thia sekadar menganggukkan kepala. ‘My brother? Lelaki? Confirmaku tak kenal. Course pun lain, memang haram aku nak ambil tahu,’ Thia bermonolog.

“Ingatkan keluarga kaya macam awak ni semua nak study abroad. Yalah, duit dah banyak. Mana-mana pun boleh study. Tak mainlah nak study dekat universiti tempatan, kan?” sindir Thia separuh berani.

Rizqi ketawa kecil. “Thia fikir macam tu?” soal Rizqi bagaikan menolak tanggapan Thia yang kurang sahih itu. Adakah dirinya diperli Thia?

Thia menjongketkan bahu seolah-olah mengiakan tetapi tidak secara terang-terangan. Rizqi membuat andaian bahawa dirinya memang sedang disindir. Jadi, dia bersuara lagi.

“Tak semestinya, Cik Thia. Adik saya tu susah nak control sikit. Dia degil. Dia buat apa yang dia rasa nak buat. Parents saya ada juga suggestkan dia study dekat luar negara tapi dia yang tolak. It means, he rejected the offer. See, how the perception is different now? 

Kaya tak semestinya boleh berlagak sesuka hati. Nonetheless, you rightly say it.Rich people are often associated with insolent, pride. Dah kaya hidung makin tinggi mencecah ke langit.Saya mengaku kami dari keluarga yang berada tapi saya bersyukur dengannya, dan parents saya cukup mengajar kami apa itu bersyukur. Bersyukur dengan rezeki yang ALLAH limpahkan. 

That’s why, until now we hold that concept, thankful.Insya-ALLAH, jika kita berpegang teguh dengan konsep ini, kita tidak sekali-kali bermegah dengan segala kekayaan yang dipinjamkan oleh ALLAH,” bidas Rizqi panjang. Bibirnya tersenyum nipis.

Thia terpempan dengan ayat yang keluar dari mulut Rizqi. Dia menelan air liurnya sebiji-sebiji. Dia benar-benar rasa terpukul. ‘Memang kau kalah, Thia. Dia tu lawyer! Pandai berkata-kata. Kau, apa?’ gumam Thia.

Yeah right,” ringkas balasan Thia sambil tersenyum pahit.

Rizqi tahu Thia terasa dengan kata-katanya sebentar tadi namun dia tidak setuju dengan tanggapan Thia yang menganggap orang kaya itu semuanya berlagak. Yang paling penting dia mahu Thia tahu bahawa dia ikhlas bersahabat dengan Thia.

Sekali lagi Thia memalingkan mukanya ke arah tingkap. Itu sajalah yang dia mampu buat. Mana boleh pusing kepala ke belakang pula.

“Thia, maaflah kalau kata-kata saya tadi buat Thia condemned tiba-tiba. I’m really really sorry, okay?”Rizqi sekali lagi memujuk Thia. Dia tidak mahu Thia hilang suara kembali.

“Tak adalah, Amir. Betul apa yang awak cakap tu. Kaya tak semestinya berlagak dan miskin tak semestinya akan merendah diri. Kan, kan?” Thia bermain kata-kata. Dia kini mula menyukai sikap Rizqi yang jujur menyuarakan kebenaran dan tidak menurut sahaja apa yang dirasakan tidak benar.

Rizqi ingin berterus terang lagi tapi rasa malu menahannya.

“Thia, sudi tak Thia jadi kawan saya?” Dalam malu-malu terkeluar juga pertanyaan itu dari mulut Rizqi. Khuatir sekiranya selepas pertemuan ini, Thia tidak sudi lagi bertegur sapa dengannya. Daripada perasaannya digamit rasa resah dan terus memendam rasa, lebih baik dia berterus terang.

Thia mendiamkan diri. Wajahnya jelas menunjukkan dia sedang berkira-kira sama ada mahu menerima ataupun tidak. Lima minit soalan Rizqi dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Rizqi di sebelah sudah tidak senang duduk. Thia seakan menolak persahabatan yang belum lagi dimulakan. Maknanya dia langsung tiada harapan. Kalah sebelum bermula. Tidak, aku tak boleh berputus asa!

“Thia?” Rizqi menyeru lembut nama Thia namun ia kedengaran lebih kepada menagih jawapan bagi soalannya yang tidak berjawab tadi.

Thia menoleh, tenang melihat wajah Rizqi yang kacak.

“Err… sekarang ni kita belum berkawan lagi ke?” Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh Thia namun sangat bermakna buat Rizqi.


LIMA jam kemudian, Thia selamat mencecahkan kaki di hadapan pintu pagar asramanya. Thia mengucapkan syukur kerana selamat tiba meskipun pada awalnya dia bagai memperjudikan nasib dirinya pada Rizqi, seorang lelaki yang tidak dia kenal hati budinya.

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tetapi dalam konteks Thia, setelah dia mengenali Rizqi, maka ia sekali gus merubah pandangannya terhadap lelaki. Tidak seperti sebelum ini.

“Thia dah call ibu?” Tak tahulah berapa ratus kali Rizqi bertanya soalan itu kerana lenguh juga tangannya asyik mengangkat telefon daripada Puan Seha. Ingatkan sejam sekali, rupanya setengah jam sekali Puan Seha yang menelefonnya dan bukannya dia.

“Masa kita singgah makan tadi ibu ada call saya. Tak apa. Kejap lagi sampai bilik saya call ibu balik.” balas Thia. Segera Rizqi membawa turun beg Thia keluar dari bonet keretanya. Thia mahu menolong namun bingkas ditahan oleh Rizqi.

“Tak apa. Biar saya aje yang bawa turun. Thia berdiri diam-diam kat situ. Bukan banyak sangat. Lagipun Thia seorang perempuan tak boleh bawa barang berat sangat. Ia boleh effect pada rahim Thia.” Rizqi bersungguh-sungguh tidak membenarkan Thia membawa turun beg.

Err, for me 18 is still a little young to start worrying about that, right? Hmm… lagipun bukan selalu saya bawa barang yang berat,” ulas Thia, segan.

Rizqi sekadar tersenyum. Setelah selesai mengeluarkan semua beg, dia berdiri berhadapan dengan Thia. Diperhatikan dalam-dalam wajah gadis itu.

Thia menundukkan sedikit wajahnya. Segan direnung sebegitu.

“Thia, saya harap lepas ni Thia tak serik nak tumpang kereta saya lagi. Manalah tahu kan, lepas ni Thia tak nak dah tengok muka saya. Jumpa di luar jangankan tegur, terus lari pulak kalau terserempak dengan saya. Penat saya nak kejar Thia,” gurau Rizqi sambil ketawa kecil. Thia juga ketawa. Dia selesa berbual dengan Rizqi kerana Rizqi tidak terlalu hambar dan pandai mengambil hati.

“Tak adalah. Saya mesti akan tegur awak. Thanks for sending me here safely. Jauh pulak tu. Betul-betul menyusahkan awak,” ujar Thia mesra. Selebihnya dia diserang rasa bersalah kerana menabur syak wasangka pada Rizqi pada mulanya. Sewajarnya dia berfikiran sebegitu kerana Rizqi masih asing dalam hidupnya. Tidak mungkin dia terus meletakkan kepercayaan seratus peratus pada Rizqi.

It’s not a big deal. Tak salah membantu orang yang dalam kesusahan. Saya tahu Thia tiada ayah yang boleh menghantar dan menjemput Thia balik, kan? Selagi ia tak menimbulkan beban pada saya, Insya-ALLAH saya akan bantu mana yang saya mampu,” balas Rizqi sambil menyarungkan cermin mata hitam.

Reaksi Rizqi diperhatikan oleh Thia. Dia suka dengan cara Rizqi. Terpancar keikhlasan dari setiap ayat yang dilontarkan. “Em… okeylah saya naik dulu. Anyway, thanks once again. Drive carefully.” Thia segera berpaling namun sepantas itu Rizqi menahannya. Masih ada satu permintaannya.

“Err… Thia! Sekejap. Boleh tak kalau saya nak minta nombor telefon Thia supaya mudah kita contact nanti,” luah Rizqi lambat-lambat.

Pantas saja Thia menjeling tajam. Bukan marah tetapi mendambakan alasan yang lebih kukuh untuk dia bagi nombor telefonnya kepada Rizqi dan Rizqi faham dengan reaksi Thia itu.

“Thia boleh anggap saya sebagai abang Thia sendiri. Saya ikhlas nak berkawan dengan Thia lagipun Puan Seha baik dengan saya. Tak salah kalau saya berbaik dengan anaknya pula. Betul tak?” jelas Rizqi lagi. Dia nampak ada senyuman yang meniti di bibir gadis manis di hadapannya. Cantik dan memukau.

Okay, if you say so. Saya boleh bagi lagipun saya… suka cara awak layan saya,” luah Thia di luar kesedaran. Dia pantas terbeliak mata sebab sudah tersasul tadi. Rizqi pula kaget dengan apa yang dia dengar dari mulut Thia itu. Dia menjeling nakal pada Thia.

“Suka cara saya layan Thia?” usik Rizqi sengaja dilunakkan suaranya. Matanya menjamah rakus wajah Thia. Sedikit menggoda.

“Saya tak ada maksud lain, okey? Jangan nak pandang saya macam tu pulak. Isy! Tak apalah, saya tak jadi bagi nombor telefon saya,” ulasnya berbaur ugutan. Sebenarnya dia segan dengan Rizqi. Dia sudah terlepas cakap! Lantas dia memeluk tubuh.

“Cik Thia, saya bergurau ajelah. Janganlah macam ni. Tak baik tau buruk siku.”

Thia kembali memandang tepat pada muka Rizqi. “Eh, apa benda buruk siku? Saya belum bagi apa-apa pun pada awak. Tak ada pun istilah buruk siku timbul di sini. Mentang-mentang awak lawyer, awak ingat semua benda yang awak cakap tu betul lah?” Giliran Thia pula hendak tunjuk pandai. Sebelum ini, asyik dia saja yang kena bidas. Kesempatan yang ada tidak akan disia-siakan.

Rizqi ketawa lepas. Suka melihat Thia marah. Comel.

“Hmm… Thia serius ke tak nak bagi saya nombor telefon Thia?” soal Rizqi sekali lagi, mencuba nasib buat kali terakhir. Jika Thia tidak sudi, dia tidak mahu lagi memaksa. Dia tidak mahu kelihatan terlalu gopoh.

Thia menggelengkan kepala sebagai jawapannya.

Rizqi terkedu melihat Thia menggeleng lantas dia pamer muka sedih. Dia ingatkan Thia hanya bergurau saja. Rupa-rupanya Thia memang serius tidak mahu memberi nombor telefon kepadanya. Dia mengeluh lembut. Tuah masih tidak berpihak padanya.

“Tak apa. Mungkin Thia ada sebab tertentu. Saya faham. Thia naiklah dulu. Nak Maghrib dah ni. Take a good care of yourself. Nanti kita jumpa lagi. Assalamualaikum,” berhati-hati Rizqi mengatur kata. Ayatnya bergetar menahan rasa kecewa. 

Thia yang melihat rasa mahu tergelak pun ada. Jelas terpancar kekecewaan di raut wajah Rizqi.
Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin