CUACA pada malam itu sejuk
sekali. Angin yang bertiup lembut melalui celah kaca
jendela menyentuhi tubuh Yanti. Dari
jendela kaca yang terbuka, ma-tanya sesekali merenung bulan penuh yang
caha-yanya kadangkala menyinari halaman rumah. Sesekali bulan tenggelam kerana
dipeluk awan-gemawan yang bergumpal.
Halaman rumah pun didakap kegelapan.
Hampir dua jam dia mengadap
komputer peribadi di dalam bilik bacaan suaminya. Lenguh juga jejarinya
mengetuk papan kekunci. Malam semakin larut. Bunyi cengkerik sesekali mencecah
gegendang telinga. Kawasan rumahnya yang terletak dipinggir bandar sering saja
menjadi tempat sang cengkerik berpesta dan berlagu. Namun, lagu itu seolah menjadi hiburan
walaupun iramanya sumbang.
Selepas menidurkan anak-anaknya
kira-kira pukul 10.30 malam tadi, Yanti terus bertekad untuk memulakan
karangannya. Sesuatu yang amat lucu baginya. ‘Yanti mengarang’.
‘Bagaimana harus kumulakan cerita
ini. Bagaimana aku harus mengarangnya seperti yang diharapkan oleh sahabatku,
Lidya. Sungguh aku tidak tahu. Namun,
bolehkah aku teruskan sikap tidak tahu itu tanpa mencuba terlebih dahulu.’
Begitulah bisik hati Yanti.
Kotak fikirnya terus berkata sambil
jejari tangan memetik papan kekunci selepas isyak tadi.
Perbualannya dengan Lidya siang tadi seakan terngiang di
telinga.
LIDYA, teman sekelas dan rakan karibnya sewaktu
bersekolah dulu. Tidak tahu apa yang tersembunyi di dalam aturan ALLAH, mereka
diketemukan semula selepas berpuluh tahun berpisah.Sebaik sahaja tamat tingkatan lima,
masing-masing membawa haluan sendiri.Walaupun sekampung, masing-masing merantau jauh dan langsung tidak bertemu.
Pertemuan
semula itu berlaku di hospital. Secara kebetulan Yanti melawat jiran yang
sedang sakit di hospital itu. Tidak
sangka pula, jiran sebelah katilnya adalah sahabat lamanya. Lidya. Sejak hari
itu dia sering mengunjungi Lidya untuk menghiburkan hatinya, sambil mengenangi
nostalgia manis sewaktu persekolahan dulu.
“Yanti!
Kau tolonglah aku. Tuliskanlah kisah ini!
Tolonglah.”
Begitu rayu Lidya kepada Yanti yang datang melawatnya di
hospital. Tangannya menggenggam tangan Yanti dengan erat.
Yanti
merenung wajah Lidya yang sayu. Mata
yang tidak lagi bercahaya seperti waktu dulu. Lidya yang dikenalinya adalah
seorang yang amat periang, kelakar. Dia
gemar ketawa tetapi lurus bendul orangnya.
Wajahnya selalu berseri kerana keriangan yang ditunjukkannya. Lidya disenangi oleh semua penghuni kelas
mereka pada waktu itu. Namun kini,
segalanya berubah. Lidya bagaikan sebatang pohon yang tumbuh di tanah yang
gersang. Kurang air, tanpa baja. Lalu pohon itu hidup tak sepenuhnya. Kering,
layu.
“Lidya...
kau ni bergurau yang bukan-bukan pulak! Kan sewaktu sekolah dulu, karangan yang
cikgu suruh buat pun, kau yang karangkan untuk aku!” ucap Yanti sambil ketawa
dan mengusap-ngusap lengan Lidya yang semakin menampakkan tulangnya. Tulang
yang bersembunyi di sebalik kulitnya yang agak kering.
“Aku
tidak boleh mengarang lagi Yanti. Puas aku cuba, tetapi karya yang kuhasilkan
seolah-olah tidak berjiwa. Hampir
setahun aku cuba mengarang kisah ini, tetapi aku tidak mampu. Ilhamku tandus. Jiwaku kering. Semangatku lenyap,” kata Lidya dengan suara
yang tersekat-sekat mengatur bicara.
Matanya menatap wajah Yanti. Bibirnya tersenyum, cuba memujuk.
“Lidya,
yang pergi tu tetap pergi. Dia hanya bawa dirinya, jasadnya, rohnya, amal
ibadatnya... seperti apa yang ditentukan oleh TUHAN. Idham tak bawa kau bersamanya. Semangat kau masih ada. Jiwa kau masih
milikmu.” Yanti cuba memberi
nasihat. Wajah bujur sirih Lidya
direnungnya lama-lama. Rambut Lidya yang ikal, terjurai ke paras leher.
“Bukan
kerana Idham, tetapi kehilanganku ini sudah lama. Sudah bertahun aku hidup
seolah tiada berjiwa, tiada semangat.
Aku manusia mati yang masih melata di bumi. Sewaktu Idham masih ada, aku harus
menyembunyikan segalanya. Aku harus
menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang isteri untuk memberi kebahagiaan
kepadanya, walaupun sebenarnya batinku dimamah derita setiap saat.” Lidya mengesat air mata di pipi kirinya dengan
lengan baju yang dipakainya iaitu seragam hospital yang berwarna merah jambu.
“Aku
tidak mahu mengecewakan Idham di hujung-hujung usianya,” suaranya seakan
berbisik. Bisikan itu bagaikan untuk dirinya sendiri.
“Aku
korbankan segalanya untuk Idham. Usia mudaku, wang ringgitku, keluargaku,
bahkan segala-galanya. Tidak mengapa aku
berkorban untuk kebahagiaan orang lain sehingga ke akhir hayat mereka, walaupun
mereka tidak pernah untuk memikirkan atau berkorban untuk kegembiraanku walau
sesaat,“ suaranya perlahan dan tertahan-tahan. Dia seolahnya telah kecewa
dengan kehidupan yang pernah dilaluinya.
Kata-kata
yang diungkapkannya begitu menyentuh hati Yanti. Wanita itu tidak dapat menahan
sebaknya lalu air mata yang bertakung dipenjuru matanya merembes juga membasahi
pipi. “Lidya.” Lalu tubuh Lidya
dipeluknya.
Lidya
masih cuba menahan tangisannya. Bibirnya bergetar. Pandangan matanya menikam ke dalam mata
Yanti, meraih simpati wanita itu. “Berjanjilah, Yanti! Kau akan karangkan untuk
aku. Aku mahu dia tahu bahawa aku terlalu menyintainya. Tidak pernah aku
membencinya. Aku menyintainya sehingga ke saat ini. Aku tidak pernah
melupakannya walaupun sedetik. Apa yang aku lakukan adalah pengorbanan yang
telah memakan diriku sendiri untuk kebahagiaan orang lain.”
“Lidya, Idham sudah mati. Bagaimana seorang yang sudah
mati boleh membaca manuskrip yang bakalku karang ini, sekiranya ia diterbitkan
menjadi sebuah novel?” Buntu fikiran
Yanti dengan bicara Lidya. Wanita tinggi lampai dan berwajah bujur itu
merenungi Lidya lama-lama. Cuba membaca isi hati sahabatnya itu di sebalik
wajahnya yang muram.
“Aku
bukan cuba bercerita kepada Idham. Aku akan pergi kepadanya tidak berapa lama
lagi.” Lidya menelan air liur. Dia begitu yakin, kematian akan
mengunjunginya dalam waktu yang terdekat.
“Habis
tu, siapa lagi kalau bukan Idham?” Yanti merenung mata Lidya
dengan pandangan lembut. Pada
fikirannya, Lidya sedang meracau atau tertekan atau terganggu perasaannya lalu
membicarakan yang bukan-bukan.
“Syamil!”
Lidya menundukkan wajahnya. Tangannya mengurut-ngurut dadanya yang semakin
leper tidak berdaging. Dia terus tunduk untuk beberapa ketika tanpa suara.
Bibirnya bergetar seolah ingin menyatakan sesuatu, tetapi tidak ada perkataan
yang keluar dari bibir kering itu.
“Syamil?
Siapa Syamil, Lidya? Eh! Kau tidak pernah bercerita tentangnya kepada aku
sebelum ini.” Separuh berbisik, Yanti mengutarakan pertanyaan kepada
Lidya. Dahinya berkerut dan merenung
Lidya yang tersandar pada bantal yang disendengkan di kepala katil.
Wajah mendung Lidya semakin gerhana. Yang Yanti tahu, Lidya menikahi Idham
15 tahun yang lalu. Lidya memang sudah mengenali Idham semenjak di sekolah
menengah lagi. Mengapa pula harus ada Syamil?
“Yanti, di akhir-akhir waktu ini aku terlalu merinduinya. Rindu yang teramat sangat. Rindu yang terlalu
dalam.” Lidya mengesat air mata yang
terus mengalir di pipinya. Air mukanya
membayangkan penderitaan batin yang ditanggungnya.
Simpati Yanti terhadap Lidya semakin menggunung.Keinginan untuk membantunya
bertandang di ruang hati. “Lidya, kau tahu dimana Syamil berada?” Melihat kesedihan yang terukir di wajah
sahabat lamanya itu, meronta-ronta hatinya untuk membantu sebanyak yang
boleh.
Lidya memandang Yanti dengan pandangan sayu. Tangan kanannya memegang tangan Yanti dan
membawa ke dada kirinya. Dibiarkan melekap di atas payudaranya yang semakin
tidak berisi. Kedua-dua tangannya menindih tangan Yanti. “Syamil sentiasa
berada di sini, Yanti, di hatiku sehingga aku memejamkan mata buat kali
terakhir.” Ada sendu di hujung bicaranya.
Dia berkata sambil memejamkan matanya.
Seolah-olah cuba membayangkan Syamil.
Merapatkan Syamil dalam dakapan hatinya.
“Lidya, jangan disebut perkara yang akan melemahkan jiwamu.” Yanti cuba
mententeramkan perasaan Lidya.
Belakangnya diusap dan dibelai perlahan-lahan.
“Yanti, jiwaku dah tak ada lagi!”
Lidya terus merepek.
Yanti memandang ke arah Lidya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja Lidya
berubah sikap. ‘Semalam aku ada datang melawatnya. Kelmarin pun aku tidak lupa
untuk menjenguknya. Namun hari ini,
Lidya kelihatan berbeza benar. Mungkin fikirannya gelisah kerana menyimpan
rahsia derita yang maha dalam. Dan hari ini, dia meminta aku mengisahkan
sejarah lukanya. Aku serba salah,’
ujarnya di dalam hati.
“Lidya, aku takut karanganku nanti tidak dapat menepati kehendakmu! Karyaku
tidak dapat mencapai maksud yang kau ingin sampaikan.” Akhirnya dia cuba
menolak kehendak Lidya dengan suara yang amat perlahan. Wajah Lidya kelihatan
semakin muram dan sayu, lalu meranumkan rasa simpati Yanti terhadapnya. Serta
merta mencairkan rasa keras hati Yanti. “Baiklah, sayang! Demi kegembiraanmu
aku akan karangkan, tetapi dengan satu syarat!”
Dia memeluk tubuh Lidya sekali lagi.
Lidya tidak membalas pelukan itu.“Apa syaratnya? Kau perlukan upah?” Dia memandang Yanti
dengan mata yang sedikit bercahaya. Senyuman hambar terpalit di bibirnya yang
kering.
Yanti mengeleng tanda tidak bersetuju untuk menerima sebarang upah.
“Aku karang dan engkau semak!” Yanti
mengenggam tangan Lidya.
Lidya mengangguk tanda bersetuju. Tangan Yanti digenggamnya kembali.
“Terima kasih, Yanti. Malam ini enkau mula karang, ya? Minggu depan jika ada
waktu terluang untuk melawat aku, kau print dan aku akan baca karangan
itu.” Senyumannya mula berseri.
“Okey... kalau begitu, sekarang kau kena ceritakan serba sedikit apa yang
harus aku karang.Aku hendak mula di mana? Siapa wataknya? Bagaimana jalan
ceritanya?” Yanti terus memberi Lidya harapan.
“Baik, aku akan ceritakan. Aku akan
ceritakan daripada mula. Bagaimana kaum lelaki
telah memakaikan aku dengan pakaian derita. Dan pakaian itu tidak boleh
aku tanggal hingga hari ini!” Ungkap
Lidya penuh pengertian.
Yanti melihat wajah Lidya sekali lagi. Rasa simpatinya terhadap wanita itu
semakin memenuhi seluruh ruang hati.
“Mula-mula aku akan ceritakan
tentang Wahid, bekas tunanganku.”
Genggaman tangan Lidya semakin erat.
Yanti
hanya mengangguk-angguk tanda menyetujui.