Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
82,426
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14


Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam sayang dan salam perkenalan dari saya :)


MALAM itu selepas kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat isyak, Hadi menghantarku pulang ke butik.

“Terima kasih sebab belanja saya makan,” ucapku.

Hadi melemparkan senyuman. 

“Sama-sama Hana. Mulai esok, setiap hari saya akan temankan awak makan, boleh?” 

Lelaki itu membuat satu permintaan yang berat untuk aku tunaikan. Aku sekadar tersenyum. 

Selepas meminta diri, aku keluar dari tempat duduk penumpang dan menuju ke arah pintu masuk butik yang sudah gelap kerana waktu operasi perniagaan telah tamat pada jam 7.00 malam tadi.

Kereta yang dipandu Hadi bergerak meninggalkan aku. Tiba-tiba aku teringat akan sesuatu. Sebenarnya, sejak dari siang tadi tekakku teringin benar untuk merasai aiskrim perisa strawberi, namun keinginanku itu hilang apabila Amar tiba-tiba saja muncul.

Aku tidak jadi membuka pintu butik dan memasukkan semula kunci ke dalam beg galasku. Langkah aku aturkan untuk menyeberangi jalan menuju ke sebuah kedai serbaneka. Tiba-tiba, mataku tertancap ke arah sebuah kereta berwarna kelabu yang diparkir tidak jauh dari butik. Kereta itu seperti kereta milik Amar yang pernah aku naiki sebelum ini, namun nombor pendaftaran keretanya tidak pula aku ingati.

“Tak mungkinlah… lelaki itu sedang berbahagia melayani tetamu-tetamu di majlis resepsinya,” omelku dalam rasa benci.

Selesai membuat pembayaran di kaunter, penutup aiskrim perisa strawberi itu segera aku buka lalu terus aku sua ke dalam mulut. 

“Hmm… sedapnya aiskrim ni, kan baby?” kataku dalam senyuman sambil sebelah tanganku mengusap bahagian perut.

Aku leka menyudu aiskrim itu sambil langkah aku aturkan menuju ke arah jalan raya. Aku memandang ke arah kiri dan kanan sebelum melintas jalan dan aku dapati tiada kenderaan yang mendekat. 

Namun, ketika aku melepasi jalan raya besar dan memasuki jalan di hadapan butik, tanpa aku sedari ada cahaya terang yang datangnya dari sebuah kereta berwarna putih semakin menghampiriku.

Aku berdiri kaku tanpa sempat berfikir untuk berganjak menyelamatkan diri. Segala-galanya berlaku dengan terlalu pantas apabila aku berasakan tubuhku melambung tinggi sebelum badanku terhempas kuat ke atas jalan bertar. 

Darah panas sedang mengalir deras keluar daripada celah-celah tudungku. Di dalam pandangan mata yang berpinar-pinar, aku terlihat ada seseorang sedang keluar dari tempat duduk pemandu kereta berwarna kelabu yang diparkir berdekatan denganku. Aku cuba amati wajah lelaki yang sedang berdiri di sisi keretanya itu.

“Amar...” Aku menyebut namanya perlahan. Namun, lelaki itu tetap tidak berganjak dari situ. Dia hanya memerhati aku yang sedang terbaring kesakitan bersama lumuran darah.

Air mata kesakitan mengalir menuruni pipiku sambil wajah lelaki itu terus aku pandang. 

“Tolong saya...” Aku merayu. Dengan tangan yang menggigil-gigil, aku memegang bahagian perutku yang terasa perit. 

Namun, lelaki itu kelihatan tergesa-gesa memasuki ke dalam kereta semula sebelum memecut pergi. Tiba-tiba aku berasakan yang aku semakin sukar untuk bernafas. Nafasku terasa pendek dan pandangan mataku semakin kabur.

Sebelum kedua-dua belah mataku tertutup rapat, aku sempat melihat kelibat Hadi sedang berlari mendekatiku sambil menjerit-jerit memanggil namaku. 

Sejurus itu, pandanganku berubah kelam dan bermula saat itu aku seakan-akan berada di dalam satu dimensi rehat yang panjang.


“IBU… cantiknya bunga-bunga di dalam taman ni.” Seorang anak kecil menunjukkan kepadaku sebuah taman yang dipenuhi bunga berwarna-warni yang sungguh harum baunya.

Aku tersenyum girang sambil mencium bau bunga mawar yang mekar dan juga bunga lavender kesukaanku. Aku kemudian duduk di sebuah bangku bersaiz sederhana besar dan apabila aku toleh ke arah kiri, anak kecil yang sedang berlari-lari tadi duduk di sana sambil tersenyum ke arahku.

“Adik ni siapa? Kenapa panggil saya ibu?” soalku dalam senyuman. Kanak-kanak itu hanya tersenyum dan soalanku dibiarkan tanpa jawapan.

“Taman ni adik punya?” soalku lagi sambil menikmati pula angin sepoi-sepoi yang menyapa wajah. Sungguh, aku suka benar berada di dalam suasana yang nyaman dan tenang seperti ini.

“Bukan… ini rumah ibu. Ibu dah lama tinggal di sini,” kata anak kecil yang tidak aku ketahui namanya itu.

Aku berasa pelik dengan jawapan yang diberikan.

“Rumah saya? Tapi, saya rasa ini baru kali pertama saya berada di dalam satu taman yang sungguh indah seperti ini.” 

Anak kecil itu menggeleng. 

“Kenapa ibu tak nak balik? Emak ibu rindu sangat pada ibu. Ibu terlalu asyik bermain-main di dalam taman ini dan tidak mendengar sebenarnya banyak suara yang sedang memanggil ibu untuk kembali,” ujarnya.

Aku terfikir akan kata-kata kanak-kanak lelaki itu. 

“Jadi, ni bukan rumah saya?” soalku.

Kanak-kanak yang mengenakan baju putih itu menggeleng sekali lagi. Aku tiba-tiba teringatkan raut wajah emak yang sedang menangis kerana merinduiku dan entah mengapa, aku bagaikan tersedar daripada sebuah khayalan panjang yang tidak berpenghujung.

“Emak… emak… Hana ni. Mak dengar tak suara Hana?” Emak di mana?” Aku memanggil-manggil emak. 

Sungguh, sebenarnya aku rindukan emak namun keindahan taman ini sangat melekakan. Tiba-tiba aku terdengar akan suara emak yang sayup-sayup kedengaran. Aku amati suara itu, aku berlari dan aku mengejar suara yang kedengaran semakin jauh daripada pendengaranku itu. 

Taman yang indah tadi telah aku tinggalkan dan kini aku sedang berlari di dalam kegelapan tanpa sedikit pun kehadiran cahaya. Hanya suara emak yang memanggil-manggil namaku menjadi peneman dan penunjuk arah.

Tiba-tiba aku terlihat akan satu lorong cahaya tidak jauh di hadapan lalu aku mempercepatkan langkah untuk mendekatinya, namun cahaya terang yang datang dari arah lorong itu mempinarkan pandangan mata lalu kedua-dua belah mata aku pejam rapat.

Perlahan-lahan aku cuba membuka kedua-dua belah mata yang terasa perit dan berat. Sejurus aku membuka mata, imej pertama yang menerjah masuk ke dalam iris mataku adalah sebuah ladang lavender berwarna ungu yang sangat memukau. Lama aku amati ladang lavender itu sebelum mindaku mula menghantar isyarat untuk aku segera keluar dari zon di luar sedar yang sedang aku alami. 



Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam sayang dan salam perkenalan dari saya :)

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.