Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
82,418
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12


Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam sayang dan salam perkenalan dari saya :)


BEG besar yang aku jinjit sejak tadi aku letakan ke lantai. Mataku melilau memandang ke arah persekitaran bilik yang berada di bahagian atas butik perkahwinan milik Kak Hayati. Petang semalam selepas aku meluhkan secara jujur masalah yang sedang aku hadapi, wanita itu masih menerimaku untuk bekerja di butiknya. Aku bersyukur kerana dipertemukan dengan wanita sebaiknya yang sanggup mendengar dan membantuku di dalam kesusahan walaupun kami saling tidak mengenali.

Aku duduk di birai katil. Entah mengapa, aku berasa selamat berada di tempat ini dan ianya bagaikan sebuah tempat perlindungan untukku. Menurut Kak Yati tadi, hari ini aku boleh berehat dan mengurus barang-barang keperluanku dan esok baru aku akan memulakan tugas sebagai pembantu di butik ini.

Telefon bimbitku tiba-tiba berdering. Aku capai telefon bimbitku di dalam beg galas dan nama mak lang tertera di atasnya. Aku berasa serba salah untuk menjawab panggilan itu, namun apabila terkenangkan mungkin ada perkara kecemasan yang berlaku di kampung, punat hijau di skrin telefon bimbit itu aku tekan.

Belum sempat aku memberi salam, Mak Lang terlebih dahulu menerjahku. 

“Hana! Cepat datang ke pejabat Tuan Amar. Emak Hana datang nak serang Tuan Amar ni,” ujar mak lang panik.

Aku terbangun daripada dudukku. 

“Hah! Emak datang jumpa Tuan Amar?” soalku tidak percaya dengan apa yang menerjah pelupuk telingaku.

“Emak Hana terjumpa diari dalam laci dan dia baca semua yang Hana tulis dalam tu. Sekarang ni, mak Hana sedang mengamuk. Mak lang takut apa-apa terjadi pada mak Hana  atau Tuan Amar aje ni,” Tambah mak lang.

“Mak lang cuba tahan emak dulu ya? Hana datang sana segera,” kataku sebelum mematikan talian.

Aku tinggalkan bilik dan segera keluar dari butik itu. Aku menahan sebuah teksi yang kebetulan melalui jalan utama di hadapan butik dan destinasiku adalah ke bangunan The Gold Summit Group.

Sampai saja di lobi bangunan itu, aku cuba menelefon semula mak lang, namun tidak berjawab. Aku semakin resah dan mindaku mula memikirkan pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi. Tanpa menunggu lama, aku menuju ke arah lif dan tingkat yang menempatkan pejabat Amar menjadi tujuanku.

Jantungku berdegup pantas dan berdebar-debar saat lif yang membawaku naik semakin menghampiri pejabat yang menempatkan lelaki yang sedang diburu oleh emak itu. Aku segera keluar dari perut lif dan mempercepatkan langkah menuju ke bahagian kanan tingkat itu.

Telingaku seakan dapat mendengar kekecohan yang sedang berlaku dan hatiku kuat mengatakan yang emak sedang ‘menyerang’ Amar, pemilik tempat ini. Benar telahanku tatkala sepasang mataku tertancap ke arah emak yang sedang membaling fail ke arah Amar yang sedang berdiri tegak di hadapan staf-stafnya.

“Aku nak kau bertanggungjawab atas apa yang kau dah lakukan pada anak aku!” tengking emak. 

Tiba-tiba mataku bertaut dengan anak mata Amar. Aku dapat lihat ada bara kemarahan di dalamnya.

“Saya dah cakap banyak kali pada mak cik, saya tak bersalah atas apa yang berlalu. Kalau mak cik tak percaya, mak cik tanya pada anak mak cik tu.” Amar menudingkan jari telunjukknya ke arahku yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka.

Emak menoleh ke arahku. Air mataku tumpah tatkala melihat raut wajah sayu emakku. Lantas, aku menghampiri emak namun lidahku masih kelu disebabkan aku telah menjadi perhatian utama pekerja-pekerja di ruang pejabat itu.

“Emak… kita bincang di ruang yang tak ada orang ya?” pujukku.

“Yes! Itulah yang aku cuba sampaikan dari tadi, tapi emak kau ni tak dengar langsung apa yang aku cuba jelaskan. Sekarang, boleh kita masuk ke dalam pejabat saya mak cik?” Amar bersuara sinis.

Aku mengekori langkah Amar, emak dan mak lang menuju ke bilik lelaki itu dan pintu ditutup rapat. Kini hanya ada kami bertiga di ruangan itu. 

Amar mencapai alat kawalan jauh di dalam laci dan segera menggawangkannya ke arah peti televisyen.

“Saya nak mak cik tengok rakaman CCTV ni dan mak cik tengok sendiri apa yang anak mak cik lakukan di dalam rumah saya,” ujar Amar. 

Emak memandang ke arahku bersama riak terkejut.

“Mak… Hana gantikan mak lang memasak di dalam rumah tu sebab mak lang nak balik  kampung membantu persiapan perkahwinan mak usu,” jawabku.

“Kau boleh buktikan yang kau hanya memasak dan berada di kawasan dapur saja?” soal Amar.

Aku mengangguk.

Amar senyum senget. Mata tajamnya menikam ke arah wajah aku dan emak silih berganti. 

“Tadi kat luar sana, mak cik terjerit-jerit menuduh saya mengandungkan anak mak cik depan staf-staf saya. Saya tanggung malu yang teramat sekarang ni! Jadi, sekarang ni saya nak mak cik tahu anak mak cik ni sebenarnya yang dah perangkap saya! Malam kejadian tu, dia yang masukkan sesuatu dalam minuman saya. Sebab tulah saya tak sedar apa yang terjadi seterusnya.” 

Tuduh Amar Taufiq yang membuatkan aku tercengang-cengang.

“Apa yang awak merepek ni, Amar? Saya tak perangkap awak. Awak sendiri pun tahu,” sangkalku.

Amar menggeleng.

“Kenapa kau tuduh Hana pulak? Apa maksud kau Hana masukkan sesuatu dalam minuman kau?” sampuk emak. 

Aku yang berdiri di sebelah emak memegang tangan ibuku itu berharap kemarahan emak menjadi sedikit lega.

Amar mendengus.

“Hanya dia yang keluar masuk ke dalam rumah saya  tanpa pengetahuan saya. Siapa lagi yang boleh saya salahkan kecuali dia? Dalam rakaman CCTV tu jelas menunjukkan beberapa kali dia masuk ke dalam rumah saya tanpa kebenaran. Apa yang Hana boleh masukkkan ke dalam minuman saya yang boleh buat saya hilang pertimbangan? Dadah!”

Sesungguhnya pertuduhan yang dilemparkan oleh Amar terhadapku sangat melampau. Lelaki kejam itu pasti akan mereka-reka alasan untuk melepaskan dirinya daripada bertanggungjawab terhadapku. Tanpa sedar, air mata yang aku tahan sejak tadi mengalir di pipi. Kini, emak pula yang terpaksa menelan pahit atas apa yang telah menimpaku.

“Apa bukti kau tuduh Hana yang rancang semua tu?” soal emak bernada tegas.

“Saya rasa rakaman CCTV ni dah jelas menunjukkan Hana masuk ke dalam rumah saya melalui pintu belakang tanpa pengetahuan saya. Sekarang ni, saya nak mak cik tahu yang anak mak cik ni dah perangkap saya menggunakan dadah! Dia telah memasukkan benda tu ke dalam minuman saya sehingga saya berada di luar sedar malam tu.” 

Tuduhan lelaki itu membuatkan darah di dalam urat nadiku terasa membuak-buak.

“Saya tak buat semua tu. Tolong jangan tuduh saya macam tu, Amar,” teriakku di dalam tangisan.

Namun lelaki ego tinggi dan berhati batu itu terus mempamerkan wajah sombongnya. Rayuan dan tangisan aku langsung tidak berkesan di hatinya. Aku menyedari lelaki itu bukan calang-calang manusia. Dia telah menyediakan bukti-bukti yang boleh mensabitkan aku sebagai pesalah di atas kejadian yang berlaku di antara kami.

Amar Taufiq menghampiri pintu biliknya. 

“Silakan beredar. Saya ada mesyuarat penting selepas ni dan saya tak nak hal remeh macam ni menjejaskan imej syarikat saya.” Angkuh kedengaran tutur katanya.

Terkedu aku apabila emak merapati dan tiba-tiba melulut di hadapan Amar. 

“Mak cik merayu tolonglah bertanggungjawab ke atas Hana. Kasihanilah anak mak cik. Dia masih muda dan ada cita-cita. Musnahlah hidup dia kalau Amar biarkan dia sendiri. Ada anak yang perlu dijaga. Itu anak kamu, Amar.” Emak merayu dalam esakan yang meruntun hatiku.

Amar melepaskan sebuah keluhan. 

“Mak cik… anak mak cik ni dah bernasib baik sebab saya tak laporkan kepada polis kerana menceroboh masuk ke dalam rumah saya. Jadi, sebelum saya hilang sabar… baik semua yang ada dalam bilik ni beredar sekarang,” arahnya.

Aku mendekati emak dan memapah emak keluar dari ruang lelaki itu. Sesungguhnya, aku tidak sanggup lagi untuk terus menyaksikan emak merayu dan melulut di kaki lelaki tidak berhati perut itu. Luluh hatiku melihat air mata emak yang merayu-rayu kepada lelaki yang amat aku benci.

Wajah Amar aku tatap penuh dendam. 

“Hidup ni jangan sentiasa menongkat langit. Sesekali kena pandang ke bawah juga. Jangan terbang terlalu tinggi sebab bila jatuh nanti sakitnya tak terperi.” Sebuah peringatan aku lemparkan tepat kepada lelaki itu sebelum aku memimpin tangan emak keluar dari situ.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.