Home Novel Cinta Cinderlisa
Cinderlisa
Meja Editor
11/11/2024 09:36:59
1,656
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Calon isteri untuk diupah!

Tertekan memikirkan soal jodoh?

Keluarga asyik menekan supaya cepat-cepat mencari jodoh?


BILA nak kahwin? Umur kamu dah lanjut!”

Tak pun ….

“Bila nak kahwin? Mak pun nak merasa timang cucu sendiri. Kawan-kawan mak semua dah berderet cucu!”


Atau mak cik, pak cik, kaum kerabat dan 

sahabat yang tak habis-habis tanya bila

nak kahwin setiap kali raya?


“Dah 30 kali raya. Kau tak kahwin-kahwin lagi ke?

Janganlah memilih sangat, nanti jadi anak teruna tua.”

Tak pun .…

“Baju raya dah 30 kali tukar. Tapi, kau single lagi. Bila nak kahwin?”


JANGAN RISAU!

SAYA SUDI MEMBANTU ANDA!

Bujang belia, solo, tak laku atau bujang

terlajak dijemput untuk mendapatkan

khidmat calon isteri upahan. Hubungi

saya di talian yang tertera.

0176517777- ALISA.


“ASTAGHFIRULLAH! Kau ni dah terencat ke apa Medina Alisa, oi? Calon isteri untuk diupah? Dah terdesak sangat ke nak pakai duit sampai buat benda bodoh macam ni?” bebel Kak Hanan.

Hampir saja telefon cabukku dicampak ke dinding. Aku pun apa lagi, terus tersengih tujuh sentimeter panjang sambil kelip-kelip mata tanda minta kasihan. Buat muka comel!

“Tak adalah terdesak sangat. Saja nak cari side income!” 

Side income celah ketiak kau! Ini jual badan namanya!”

“Hisy, akak ni! Agak-agaklah kalau ya pun. Apa pula jual badan? Alisa tahulah mana boleh, mana tak boleh. Sekadar berlakon jadi calon isteri orang yang upah tu supaya keluarga dia berhenti tanya pasal kahwin, tu aje ….” Aku jawab sambil memintal hujung bantal petak yang sepatutnya tengah sedap landing atas sofa ruang tamu rumah kakak aku.

Jual badan? Aku ini jual khidmat sahaja. Badan-badan ini jangan buat main, okey! Aku bukan perempuan murahan hingga sanggup nak jual badan demi sesuap nasi! Kiranya, ini satu servislah, kan? Servis jadi calon isteri upahan.

“Alisa oiii … kenapa kau kena buat benda-benda tak masuk akal macam ni? Kau pergilah keluar cari kerja. Ada

juga faedahnya.” 

Aku merampas semula telefonku apabila Kak Hanan mula menunjal skrin berulang kali. Sudahlah telefon cabuk. Kalau rosak, mana aku nak cari duit beli yang baru? 

“Bukan tak nak cari kerja, kak. Belum ada yang terima! Semua tolak sebab tak ada pengalaman. Sia-sia aje berhutang dengan PTPTN untuk sambung belajar. Akhirnya, semua company nak cari pekerja yang ada pengalaman! 

Macam mana kita orang ni nak ada pengalaman kalau tak diterima bekerja? Terimalah dulu! Nanti adalah pengalamannya. KN  Properties yang baru-baru ni Alisa minta pun, tolak mentah-mentah. Kalau minta kerja yang biasa-biasa macam kerja di restoran, mereka kata kelulusan tinggi pula! Tak ada tempat kosong untuk jawatan bersesuaian. Jadi, apa lagi adik akak yang cantik ni boleh buat?” Aku mula karang kisah sedih hidup seorang Alisa yang penuh dengan penolakan.

Dengan kakak aku yang satu ini memang payah sikit! Apa saja yang aku buat mesti ada saja yang nak dikomennya. Ada ke patut Kak Hanan kata aku jual badan? Gila ke apa? Kalau dapat tahu dek ibu, memang mampuslah aku kena ikat pada batang pokok lalu aku dibantai ibu di situ juga. Ibu bukannya kira! Mentang-mentanglah bekas cikgu disiplin, hingga dah bersara ini pun ibu angkat sekapal bakat nak mendisiplinkan orang. 

Belum lagi aku cerita tentang saiz rotan-rotan yang tergantung cantik dalam bilik ibu. Daripada yang senipis-nipis, sehinggalah yang setebal-tebalnya. Cakap aje nak ukur lilit berapa, ataupun nak tahu berapa tahun rotan itu berkhidmat dengan ibu dan bahagian mana yang selalu jadi mangsa. Namakan sahaja. Fuh, dah boleh letak filter macam dalam Shopee. Semuanya ada!

“Banyaklah kau punya dongeng ya, Alisa? Apa kata kau pergi masuk uji bakat Maharaja Lawak Mega? Untung-untung boleh jadi pelapis Jihan Muse tu. Daripada kau duduk rumah dan buat lawak dengan keluarkan iklan promote diri sendiri macam ni. Calon isteri upahan? Tahu dek ibu dengan ayah nanti memang pusing satu Puchong mereka berdua kejar kau, tahu?” bebel Kak Hanan lagi.

Nampaknya, Kak Hanan masih tak puas hati dengan kerja gila aku yang ideanya datang sebaik sahaja aku bangun untuk solat subuh pagi tadi. 

Hidayah!

Tahu … aku tahu. Tapi, apa salahnya mencuba? Orang kata, belum cuba belum tahu. Dah cuba nanti, barulah buat keputusan sama ada nak menyesal atau nak bersyukur sebab realisasikan idea gila macam ini. Bersuka-suka dahulu, menyesal kemudian. Hihihi!

“Jangan beritahu ibu dengan ayah tau, kak? Aku tak cukup tenaga lagi nak lari satu Puchong tu. Nanti aku pekena Kacip Fatimah banyak-banyak, lepas tu baru aku sedia untuk kena bantai dengan ibu,” rayu aku.

Paha Kak Hanan, aku cuit-cuit manja. Memujuk walau dalam takut-takut. Takut kalau Kak Hanan ayun kuali yang dia baru beli dalam TikTok Shop dua minggu lepas itu atas kepala aku.

Mahu aku kena masuk ICU malam ini.

Kak Hanan ini pun bukan boleh dibuat main. Perangai cikgu disiplin ibu memang turun seratus peratus kepada dia. Cuma, Kak Hanan ini terpesong sikit bidangnya daripada ibu. Jika ibu cikgu disiplin, Kak Hanan ini cikgu kaunseling. Jadi, jangan peliklah bila Kak Hanan berleter 1001 patah perkataan sehari. Cukup sifat untuk buat satu karangan lengkap subjek Bahasa Melayu budak tingkatan satu.

Tapi jika nak diceritakan serba sedikit tentang keluarga aku, aku boleh kata yang keluarga aku ini dimonopoli oleh para guru. Ayah, ibu, Kak Hanan dan abang long, semuanya cikgu. Ayah bekas guru Bahasa Melayu. Ibu pula bekas guru Sains merangkap guru disiplin. Kak Hanan memang guru kaunseling semata-mata, tetapi ada masa kena jadi cikgu terjun a.k.a cikgu ganti. Along pula guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Aku? Fuh … kirim salam awal-awal dengan apa-apa yang bergelar tenaga pengajar ini. Mahu mati kena cekik anak orang aku kerjakan kalau aku jadi cikgu. Tak sesuai! Aku ini baran dan tak reti sabar orangnya. Lagipun, perangai aku ini dua  kali lima dengan budak darjah satu.

Masuk air tahap kronik. Macam mana nak jadi cikgu? Silap-silap nanti, budak-budak itu bersembang dengan kawan-kawan tentang Doraemon, aku pun join sekali sambil puji Dekisugi yang bijak pandai itu.

Kak Hanan menjeling aku sekilas. Jelingan geram. Tapi, lambat-lambat Kak Hanan mengangguk tanda bersetuju dengan rayuan manja aku tadi. Laju aku tersengih. Inilah kuasa anak bongsu! Sentiasa disayangi dan dituruti.

“Tapi, ada syarat,” kata Kak Hanan.

Aku pandang Kak Hanan dengan dahi yang berkerut bagai sudah pasang aura untuk membangkang.

“Syarat apa?” Hilang senyuman aku tadi.

“Senang aje. Syaratnya, kau tak boleh balik lambat. Paling lambat pukul 12.00 malam. 12.01 malam pun tak boleh! Kena sebelum 12.00 malam juga. Lambat, aku report dekat ibu semua kerja gila kau ni. Faham?”

“Hah? Dah macam Cinderella! Kak … Alisa dah besar panjanglah. Bukan 17 tahun lagi.” 

Kalau kuasa anak bongsu itu disayangi dan dituruti. Kelemahannya pula yang inilah … tak pernah dianggap dewasa! Tak pernah dan takkan pernah. Balik sebelum jam 12.00 malam? Aduhai.

“Ada aku kisah? Besar mana pun kau, kau tetap perempuan. Sekarang kau bujang, tugas aku dan along untuk jaga kau. Nanti kau dah berlaki, tugas laki kau pula jaga kau. Hidup kau memang akan jadi macam Cinderella sampai bila-bila. Tak payah banyak bangkang. Kalau tak nak aku beritahu ibu dan ayah, baik kau ikut aje.”

Itu dia! Authority seorang kak ngah dah mai! Ini belum lagi along. Kalau along punya kuasa, mahu menyorok bawah katil dah aku sekarang ini! 

Aku mengeluh. Memang kena ikut jugalah sama ada aku nak atau tak nak. Atau sebenarnya sama ada aku nak atau nak! Kerana tak nak itu tak pernah ada dalam skema jawapan Kak Hanan. Take it or leave it! 

Okay, fine. Asalkan jangan beritahu ibu dan ayah. Hah! Kalau boleh, along pun jangan beritahu. Takutlah, kak .… Nanti along mengamuk pula! Tahu ajelah dia tu macam mana. Garang! Macam manalah kak long boleh tahan dengan dia? Sekali tengok dah macam Incredible Hulk bila marah. Nasib baik tak tukar warna aje.”

Sekali lagi Kak Hanan sedekah jelingan geram. Tapi sama seperti tadi, lambat-lambat Kak Hanan mengangguk juga tanda bersetuju.

“Dah! Aku nak pergi masak sekejap. Layan kau ni memang sampai ke subuh pun tak habis.”

Tengok … nak minta diri untuk pergi masak pun Kak Hanan sempat berleter lagi. Tak apalah Kak Hanan, oi! Nak membebel pun, membebellah! Asalkan aku dapat izin itu.

Apabila bayangan Kak Hanan menghilang di sebalik dinding pemisah antara ruang tamu dan dapur, terus aku hidupkan telefon yang sudah selamat ditunjal tadi. Aku semak semula ejaan dan penggunaan bahasa yang rasanya memang hancur berkecai itu terlebih dahulu sebelum dengan lafaz bismillah, aku ketik butang send pada kekunci di skrin telefon. Besar-besar artikel “Calon Isteri Upahan” muncul pada skrin telefon aku sebaik sahaja selesai dimuat naik.

Harap-harap along, kak long, ibu atau ayah tak terjumpa artikel ini sekalipun artikel ini akan tular kerana kegilaan melampau sang Alisa. Semoga artikel ini akan ghaib sendiri. Tak pun, bateri telefon mereka mati setiap kali artikel ini di media sosial mereka. Tak kisahlah apa saja cara, asalkan makhluk-makhluk ALLAH ini tak baca artikel aku.

Jika artikel ini dibaca oleh orang-orang yang aku senaraikan itu, confirm cair tahi telinga akibat kena bebel. Mahu Kak Hanan tumpang sekaki bebelkan aku! 

Itu tak apalah lagi. Setakat membebel, masih dalam kawalan dan boleh dihadap. Bergelar anak bongsu yang terlalu banyak akal ini, aku sudah terbiasa dengan bebelan. Tapi, kalau sampai ibu dan ayah buat kerja gila pergi kahwinkan aku dengan lelaki yang sudi untuk ambil aku jadi calon isteri upahan dia itu, macam mana? Memang menangis tepi bucu katillah aku jawabnya.

Jangan fikir yang mustahil ibu dan ayah buat benda-benda macam itu pula! Jangan pula kata ibu dan ayah macam itu hanya wujud dalam novel dan drama slot Akasia dan Samarinda semata-mata. Sebab ibu dan ayah aku ini memang sebiji macam mak bapak dalam novel itu! Copy paste! Macam beranak keluar dari novel itu pun ada juga!

Ting! Ting!

Nada notifikasi menyedarkan aku daripada lamunan panjang. Tengok skrin telefon yang menyala itu, ada beberapa pemberitahuan dari media sosial yang aku gunakan untuk hantar iklan promote diri sendiri bak kata Kak Hanan tadi.

Ada 21 sukaan dan enam perkongsian. Hah … kongsilah selagi boleh. Tapi jangan sampai kau share pada ibu, ayah atau along sudahlah. Memang tamat riwayat aku nanti.

Ada lagi pemberitahuan masuk. Kali ini, ada satu komen tertera pada skrin telefon. Dengan penuh teliti, aku baca komen itu.


Banyak sangat tengok drama kau ni. Tak pun, ni

salah satu daripada cebisan manuskrip untuk

hantar dekat penerbit! Nanti aku beli ya!

- Mawar Berduri.


Fuh … memang betul-betul berduri komen kau, kak! Tertusuk jantung ana yang lemah ini. Tapi tak apalah! Novel tak novel, asalkan duit masyuk. Bak kata Awi Rafael, kalau aku kaya! Aku beli segalanya! Bil-bil jiran keluarga, aku belanja selamba!

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.