Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
15,725
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Pemandangan di sekitar begitu mendamaikan jiwa. Dia tetap berhati seorang perempuan walaupun berlagak kasar. Buat apa peduli dengan kata-kata orang sekeliling? Bukan tidak ada orang mengatanya, “Anak dara apa ni?” “Kasar!” “Harap muka aje lawa.” Selalu terngiang-ngiang di telinga jika bertandang ke mana-mana rumah kenduri di sekitar kampung. 

Sudahnya, dia menghentikan aktiviti bertandang. Puas emak mengajak, tetap dia menggeleng hingga habis daya emak memujuk. Tidak kuasalah, mahu mendengar kata-kata yang banyak negatif daripada positif.

Tangan berjari runcing sedang galak mengocak air sungai yang sangat jernih. Dia selalu mengambil angin di sini. Hati rawannya selalu ditenangkan dengan ketenangan yang dapat diresapi dari sekitar. 

Kelihatan kawanan ikan, berenang-renang dengan bebas di dalam sungai. Geram pula dia melihat gelagat sang ikan, seakan-akan tahu tidak akan menjadi habuannya hari ini. Jika batang kail ada bersama, jangan harap pula ikan-ikan itu mahu menghampiri. 

“Amboi, ambil angin bukan nak ajak aku sama.”

Safa Hawani terkejut, lekas-lekas berpaling. Mulut disengetkan sebaik pemuda yang menegur, dipandang.

“Kenapa kena ajak pula? Boleh aje kau datang sendiri.” Safa Hawani lantas mencebik.

“Ish, kenalah ajak. Bukan senang tau, tunggu kau ajak aku dating.”

“Ei, gelilah aku. Nak muntah. Dating? Tidak hingin aku kalau dengan kau.”

“Yelah, yelah. Aku sedar, aku ni siapa? Mat patah. Manalah padan dengan kau yang lawa, kan?”

“Dah merajuk tu sudahlah, siap perli aku lawa. Apehal kau ni?” Safa Hawani merengus halus.

“Biarlah, mulut aku. Nak perli, nak mengata kau. Apa kau kisah, Safa?” Monyok di muka, ditambah lagi. 

“Betul ni, kau merajuk?” Lirikan mata ditala ke arah pemuda patah.

“Kau peduli apa?” Muka Ahmad Iqbal semakin monyok. Biar Safa Hawani tahu, dia memang merajuk betul-betul.

“Serius ni, Iqbal?” 

‘Eh eh dia ni. Dah aku kata merajuk, merajuklah.’ Ahmad Iqbal menjeling tajam. 

“Merajuklah Iqbal oi. Aku... tak kuasa nak pujuk.”

“Yelah. Aku sedar, siapa aku ni? Kau, memang tak pernah kisah pasal aku. Aku aje, selalu terhegeh-hegeh kat kau.” Ahmad Iqbal mengetap gigi sebaik melihat Safa Hawani meletuskan tawa. 

“Iqbal, Iqbal. Dahlah tu. Simpanlah sikit merajuk kau dalam poket. Mengada-ngada.” Safa Hawani mencebik.

“Tak kuasa sudah!”

Masing-masing menjelir lidah. Namun tidak lama acara jelir-menjelir itu berlaku kerana kedua-duanya sudah ketawa. Beginilah warna-warni hubungan mereka. Keakraban mereka sejak dari sekolah rendah mampu membuat beberapa insan merasa cemburu. Walaupun masing-masing sudah besar, hubungan mereka masih erat. Masih ada batasan antara mereka.

“Boleh aku join?” 

Dengan serentak, mereka berdua berpaling. Membulat mata masing-masing sebaik melihat keselambaan susuk yang menegur tanpa dipelawa, terus melabuhkan duduk di sisi kanan Ahmad Iqbal. 

Ahmad Iqbal melirik pula ke arah Safa Hawani yang duduk di sebelah kiri. Dia sebenarnya duduk di tengah-tengah, antara si penyampuk dengan Safa Hawani. 

Safa Hawani mendiamkan diri. Terasa janggal. Sejak pertelagahan kecil dengan Hana tempoh hari, dia cuba meneliti apa yang dikatakan oleh Hana. Sedikit sebanyak, dia dapat mengesan tingkah Aiman seperti mahu meraih perhatiannya. Pelik? Apa, dah semakin pupuskah gadis sejati lagi jelita dalam dunia ini hingga Aiman mahu mendekatinya? Atau... dia yang perasan lebih sebenarnya?

“Diam aje. Aku, kacau daun?” 

Senyap.

Ekor mata Aiman ditujukan ke arah gadis yang diam tidak berkutik di sebelah sana. Kalau dulu, dia tidak pernah teringin mahu memandang gadis yang terkenal dengan lagak kasar. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, apabila berdepan Safa Hawani, jantungnya bergetar dengan kuat. 

Walaupun hanya sekadar bayangan Safa Hawani dilihat, detak di jantungnya sungguh rancak. Sebelum ini, dengan gadis lain walau cantik sekalipun tidak pernah pula jantungnya berdetak sebegini rupa. Dia mengerling sekilas. Dari kaca matanya, kecantikan Safa Hawani kian menyerlah dan ‘kekerasan’ semakin mengurang.

“Macam mana kau tahu kami ada kat sini?” Pertanyaan Ahmad Iqbal memecah kesunyian.

Aiman sengih. 

“Kau ni kenapa, Aiman? Tersengih-sengih. Mabuk kerang busuk? Berapa kilo kau dah telan?” Ahmad Iqbal mengerutkan dahi.

Aiman tidak membalas. Malu pula mahu mengatakan bahawa dia mengekori Ahmad Iqbal tadi. Malu juga mahu mengakui bahawa dia selalu melintas di hadapan rumah Safa Hawani. Bak kata orang, tidak dapat tengok orang, bumbung rumah pun jadilah. 

Dia sudah dilanda, ‘virus angaukan Safa’ dan semakin parah sejak kebelakangan ini. Mahu meluahkan isi hatinya kepada Safa Hawani, bimbang akan mendapat tumbukan padu tepat di muka pula nanti. Tapi belum cuba belum tahu, kan?

 ‘Kau memang cantik, Safa,’ desis hati lelakinya. Semakin tenggelam punca pula sebaik melihat Safa Hawani melirik padanya. Saat pandangan bertembung, debaran di hati bertambah rancak apabila panahan gadis bermata bulat dengan anak mata hitam penuh, menikam tepat ke jantung. 

“Wei, Aiman! Kau ni kenapa?” Ahmad Iqbal menggeleng perlahan. Semakin pelik melihat ulah Aiman.

“Tak ada apa-apa.” Aiman menunduk sedikit.

Senyap.”

“Apa aktiviti korang hari ni?”

“Kenapa tanya?” Sambil melihat Aiman, Ahmad Iqbal menjongketkan kening kiri. Gaya Ziana Zain yang terkenal dengan lagak itu, dibuatnya.

“Aku..aku,”

“Aku apa?” sergah Ahmad Iqbal.

“Aku suka Safa.” Aiman menekup mulut. Boleh pula dia melatah.

“Hah!” Dengan serentak Safa Hawani dan Ahmad Iqbal menuturkannya. Terbeliak mata masing-masing.

‘Ceh, betul apa aku jangka dua tiga hari ni. Masalah betullah dengan dia ni,’ gumam Safa Hawani. 

“Kau... apa Aiman?” Ahmad Iqbal mahu ketawa besar, terbantut sebaik melihat muka ketat Safa Hawani.

“Aku... yelah, aku mengaku. Aku nak ngurat Safa. Puas hati?” Keberanian sudah merasuk Aiman. Sambil menelan liur, kepalanya dipaling memandang ke arah mereka berdua.

“Wah tak sangka, dalam diam kau menaruh hati kat kawan aku ni. Tidak takut kena penumbuk Safa?” Ahmad Iqbal memerli. 

“Berani kerana benar.”

“Apa kau melalut ni, Aiman?” Ahmad Iqbal sudah bantai gelak. Kuat pula tu.

“Aku tak main-mainlah, Iqbal. Safa, boleh tak saya nak kawan dengan awak?” Muka beriak kejung, dikerling.

“Nak kawan, kawan ajelah!” Safa Hawani membalas dengan nada kasar. Bersaya pula Aiman dengannya.

Safa Hawani merengus perlahan. Entahlah, dia kurang gemar keadaan ini? Dari dulu lagi, pantang benar dia jika ada lelaki, kata suka padanya. Apa, tidak boleh tunggu hingga habis sekolah kalau nak bercintan-cintun? Gatal! Bibir dicebik.

“Okey, aku tak nak campur urusan ni. Jadi apa-apa nanti kau jerit nama aku ye, Safa. Aku ada kat sana,” kata Ahmad Iqbal sambil memuncungkan mulut ke arah tempat yang dimaksudkan.

“Kau kenapa lari Iqbal? Cubalah duduk sini. Tunggu aku.” Mencerlung mata Safa Hawani memandang sahabat bertuah. Geram betul dengan tindakan Ahmad Iqbal, meninggalkannya berdua-duaan dengan Aiman. 

“Yelah. Sebelum apa-apa jadi, baik aku blah dulu. Dahlah aku duduk kat tengah-tengah. Ta..ta.” Sambil melambai tangan dengan gaya patah Ahmad Iqbal bergerak menjauhi Safa Hawani dan Aiman. Dia mahu memberi sedikit ruang kepada mereka berdua, menyelesaikan isu berbangkit.

“Kaukan Iqbal...” Safa Hawani menjeling tajam. Rasa geram sedang menghuni hati.

“Pandai-pandailah kau, Aiman. Jangan nanti penumbuk Safa hinggap kat muka kau pula.” Sambil melangkah pergi Ahmad Iqbal menuturkannya. 

Teringat pula Ahmad Iqbal pada kejadian berlaku tahun lepas. Seorang pelajar lelaki senior telah meluahkan perasaan kepada Safa Hawani dan akhirnya pemuda itu menerima tumbukan sulung Safa Hawani. 

Salah pelajar senior itu juga, pegang tangan Safa Hawani. Mujurlah terjadi ketika hari terakhir di sekolah kerana cuti penggal akhir tahun bakal bermula. Pelajar senior pula adalah penuntut tingkatan lima.

Beberapa bulan selepas kejadian itu, Ahmad Iqbal ternampak pelajar senior tersebut datang ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan. Dia memerhatikan gelagat senior dari jauh. Nampak saja Safa Hawani terus pelajar senior itu menyorok. Hampir dia gelak berguling-guling. 

Sejak kejadian itu, tidak ada pelajar lelaki berani mengurat Safa Hawani. Paras rupa Safa Hawani boleh menandingi kecantikan mana-mana gadis di dalam sekolah tetapi ia seolah-olah tersembunyi kemas di sebalik ‘kekerasan’ yang ditonjolkan oleh Safa Hawani. Nasib baiklah Ahmad Iqbal ‘lemah gemalai’ orangnya. Jadi tiada halangan dia mendampingi Safa Hawani.

Aiman, sekejap-sekejap menjeling Safa Hawani yang kini sudah berada di sebelah. Nama saja duduk bersebelahan tetapi jarak antara mereka, bagaikan seekor gajah boleh lalu. Gerun mahu duduk dekat-dekat. Sejarah silam Safa Hawani dengan senior mereka masih segar-bugar di ingatannya. Bimbang pula sejarah lain akan tercipta nanti.

“Awak, marahkan saya?” Padahal terang dan nyata mimik marah jelas dilihatnya. 

Senyap.

“Safa, saya dah lama sukakan awak.” Mata Aiman sekejap-sekejap memandang Safa Hawani dan kemudian menyambung, “Saya tak nak pendam lagi. Biar saya luah hari ni.” Aiman menelan air liur. Kelat pula rasa air liurnya.  

Safa Hawani merasa kekok. Melentik naik bulu romanya kerana meremang. Lain macam nada suara Aiman. Tiada lagi perkataan kau, aku dengannya.  Sudahnya, dia diam tidak berkutik. Pandangan masih di halakan ke arah sungai di depan. Ungkapan daripada mulut Aiman... haish menyeramkan betul. Kalau dirinya yang dulu, muka Aiman pasti sudah kena penumbuk. 

Dulu, dia sering bertindak tanpa berfikir panjang. Darah mudalah katakan. Sebab itulah, tiada lelaki berani mendekatinya kecuali mat patah tu. Terasa kelakar pula apabila mengenangkan sikapnya dulu. Dia mahu tergelak terpaksa membantutkan hasrat kerana Aiman ada berdekatan. Ramahnya hanya dengan Ahmad Iqbal saja.

“Safa.” Aiman sedikit gusar. Kesenyapan Safa Hawani sedikit meresahkan.

“Aiman, aku tak suka semua ni.” 

“Tapi kenapa?” Aiman tidak puas hati.

Senyap.

“Sampai bila awak nak keraskan hati, Safa?”

Safa Hawani hanya menjongketkan bahu sebagai balasan. 

“Sampai bila, Safa?” 

“Aiman, sudahlah! Kau nak desak aku, kenapa? Suka hati akulah. Yang keras hati tu, aku.” Kan, sudah terpanjang leterannya. Rimas!

“Saya ikhlas sukakan awak.”

“Ikhlas atau tak, aku tetap kata... tak nak! Bukan masa untuk aku fikir soal cinta sekarang ni. Harap, kau faham bahasa!” 

Aiman mati kata-kata. Hatinya hancur dengan respon Safa Hawani. Bukan senang, mengumpul kekuatan untuk meluahkan isi hati. Egonya tercalar. Kalau diikutkan, dia lebih kacak daripada Ahmad Iqbal dan lebih ‘sejati’. 

Mengapa mat patah itu juga menjadi pilihan Safa Hawani? Mengapa pemuda patah itu saja yang boleh mendampingi Safa Hawani? Sering perasaan cemburu timbul apabila melihat keakraban dua sahabat itu. Mahu saja diajak pemuda patah membuat perhitungan tapi untuk apa?

“Aku harap, kau tak kecil hati.” Safa Hawani menjeling sekilas ke arah Aiman. 

Aiman gelak sinis.

“Awak kata jangan kecil hati, Safa? Ke mana hilang hati dan perasaan awak, Safa? Sampai hati buat saya macam ni? ” Aiman masih berbasa-basi. Manalah tahu, lembut hati Safa Hawani.

“Siapa kau nak tanya aku soalan macam tu?” 

“Memang saya bukan sesiapa dengan awak tapi saya nak tahu apa sebabnya, Safa?” 

“Tak payah sibuk hal aku, Aiman!” 

“Sampai hati awak, Safa. Saya ni, tak cukup layak untuk awak?”

Senyap.

“Kenapa beria-ia menolak saya?” Kembang kempis hidung Aiman. Hatinya hancur.  Cinta sucinya, ditolak mentah-mentah oleh Safa Hawani. 

“Kau tak ada hak tanya!” 

Sepi. 

Safa Hawani menarik nafas dalam-dalam. Perasaan marah semakin memenuhi di segenap ruang sanubarinya cuba dihambat sejauh mungkin. Malas mahu bertikam lidah dengan Aiman, dia bingkas bangun. Langkah di hayun laju, mendekati Ahmad Iqbal dan dia terus melabuhkan duduk di sebelah mat patah. 

“Safa, tak baik buat Aiman macam tu.” 

“Ada aku kisah?”

“Payah betul cakap dengan kau ni.” 

“Kalau payah cakap baik kau diam aje, Iqbal.”

Safa Hawani mengerling ke arah Aiman nun di sana. Dia melihat pemuda itu juga bangun dan mengatur langkah ke arah motorsikal yang diparkir tidak jauh dari situ. Dia juga  nampak, betapa merah muka Aiman yang berkulit cerah itu. Ya, dia tidak nafikan Aiman memang kacak. Namun semua itu tidak cukup untuk menggetarkan hatinya. 

Ahmad Iqbal pernah berkata kepadanya, “Satu hari nanti Safa kalau kau jumpa dengan lelaki idaman, jantung kau mesti bergetar hebat. Percayalah cakap aku.” Sumpah, sampai hari ini, jantungnya tidak bergetar langsung dengan mana-mana lelaki yang pernah dia jumpa. 

Adakah Ahmad Iqbal hanya main-main dengannya? Dan dia pula, mengapalah terlalu mempercayai kata-kata Ahmad Iqbal yang memang tidak masuk akal itu? Dia memalingkan muka menghadap Ahmad Iqbal. 

“Kenapa sengih, Safa? Ni mesti ada apa-apa? Kau mengata aku dalam hati, ya?” Ahmad Iqbal sudah mengerutkan kening. 

“Tak ada apa-apalah.” Safa Hawani mengutip batu-batu kecil di sisi. Dilontar batu itu ke dalam sungai satu-persatu. Sang ikan yang sedang berenang dengan tenang, pantas mengelak. Semakin seronok pula dia membaling batu-batu kecil itu.

“Sayanglah pula, Safa.”

“Sayang apanya, Iqbal?”

“Taklah. Kenapa kita tak bawa batang kail sama tadi? Banyaklah pula ikan hari ni. Geram aku tengok.”

“Hmm memanglah banyak. Kau ingat, ikan-ikan tu tak cerdik? Nampak bayang kita, terus bertempiaran lari.”

Ahmad Iqbal ketawa besar. Ketawa yang selama ini puas ‘dikepit’ habis berterabur hingga berair kedua mata. 

“Kau dah kena sampuk, Iqbal? Mengilai teruk daripada aku.” Terbeliak sedikit mata Safa Hawani dengan tingkah yang belum pernah ditonjolkan oleh Ahmad Iqbal. 

“Lawaklah kau ni, Safa.” Lawak Safa Hawani hari ini memang betul-betul membuatkan hatinya digeletek dengan kuat sekali.

“Selalu aku buat lawak, tak pernah kau gelak sampai macam ni. Eh, kau mimpi dapat hidayah apa semalam?”

“Hidayah?” Ahmad Iqbal berhenti gelak, keningnya sudah bertaut. Safa Hawani, banyak pula berkias hari ini.

“Hidayah apa pula, Safa?” 

“Hidayah. Kotlah nak jadi lelaki sejati?”

Ahmad Iqbal meletuskan gelak besar lagi.

“Aduh senak perut aku ni. Lawak betullah kau hari ni, Safa.” Sambil mengesat tubir mata, Ahmad Iqbal menyambung gelaknya. 

‘Buang tabiat kot kawan aku ni?’Safa Hawani mencebik.

“Kau nak gelak kat sini sampai malam? Dah nak Maghrib ni. Tak reti nak balik?”  

Safa Hawani sudah berdiri, menepuk-nepuk seluarnya yang melekat dengan rumput-rumput kering. Dia memandang Ahmad Iqbal yang masih gelak. Entah apa tidak kena dengan Ahmad Iqbal hari ini? Dia pula, bukan tidak mahu gelak, hari tenangnya sudah tamat. Mood  gembiranya terbantut dengan kehadiran Aiman. Jika tidak sudah pasti dia akan tumpang sekaki, bergelak tawa dengan mat patah itu.  

“Takkan dah nak balik, Safa?” 

“Dahlah, Iqbal. Simpan sikit gelak kau tu untuk esok. Banyak gelak pun tak elok. Lekaslah, nanti hari gelap pula.” Geram pula melihat Ahmad Iqbal buat tidak endah dengan kata-katanya.

“Ei lekaslah, Iqbal!”

“Yelah, yelah. Jom.” 

Masing-masing mula mengatur langkah, jalan beriringan. Safa Hawani menunggang basikal tua manakala Ahmad Iqbal dengan motorsikal, mengekori Safa Hawani dari belakang. Keselamatan gadis itu sering menjadi tanggungjawabnya.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.