Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
15,722
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Pagi walaupun masih awal tidak pernah membebankan Safa Hawani. Sejak dari dulu, rutin dia sekeluarga akan menunaikan Solat Subuh secara berjemaah. Elok selesai, dia dan adik-adik akan bersiap ke sekolah pula. 

Tahun ini, sangat penting baginya. Perjuangan sebagai pelajar di medan peperiksaan besar perlu dihadapi beberapa bulan sahaja lagi. Walaupun dia merupakan salah seorang antara calon pelajar cemerlang, semua itu bukanlah tiket untuknya mendabik dada. 

Safa Hawani semakin melajukan langkah masuk ke dalam kawasan sekolah. Kantin, destinasi utama kerana setiap pagi dia dan Ahmad Iqbal akan berkumpul di sana.

“Buku sejarah aku, bawa tak?” Soalan pertama diajukan sebaik sampai.

“Ada dalam beg ni. Jangan risau.” Ahmad Iqbal menepuk-nepuk beg sekolah yang ditarik ke depan. Kening pula sudah dijongketkan berkali-kali. Sedang bibir, sengih.

“Bukan apa, rasa tak sedap hati pula. Jangan tertinggal pula buku aku tu. Naya nanti.” 

“Alah, jangan risaulah.” 

Ahmad Iqbal melangkah pergi begitu juga Safa Hawani. Loceng sudah kedengaran. Sudahlah subjek sejarah yang diajar oleh Cikgu Jamilah bermula di awal waktu kelas mereka.

Ketika di dalam kelas, ketua kelas melaungkan salam. Semua pelajar lain turut sama mengucapkan salam. Biasalah, zaman sekolah. Selamat pagi, cikgu. Terima kasih, cikgu. Walaupun nampak basi, sudah menjadi satu budaya.

“Macam mana dengan latihan saya bagi semalam?” Cikgu Jamilah memandang muka pelajar-pelajar di hadapan. 

Bermacam-macam ragam dilihat. Ada yang tersengih. Ada yang mengangkat bahu. Dia tertawa di dalam hati. Tidak pernah lagi dizahirkan ketawanya kerana dikenali sebagai seorang guru yang garang. Memegang jawatan guru disiplin, memaksanya berlakon garang sedangkan dia tidak begini jika di luar sekolah. 

Budak-budak sekarang sudah terlajak pandai. Dijentik sikit pun akan menjadi berita sensasi, inikan pula jika dirotan. Sedaya upaya dia cuba melakukan yang terbaik.

“Baiklah. Aiman. Kutip semua buku latihan. Letak atas meja saya.” 

Selang beberapa minit, Cikgu Jamilah menjeling sekilas ke arah timbunan buku latihan disusun bertingkat-tingkat oleh Aiman selaku ketua kelas. Dia kembali mengarahkan pandangan ke muka-muka di hadapan.

“Ada sesiapa tak hantar?” Matanya menghala ke arah Aiman pula.

“Iqbal dengan Safa, cikgu.” 

Serentak, semua mata di dalam kelas memandang ke arah mereka berdua yang duduk berasingan di meja belakang. Silih berganti mata-mata memandang mereka berdua. Kali pertama perkara seumpama ini berlaku dan mereka tidak menjangkakan sama sekali dua sahabat sejati akan dihukum.

“Safa, Iqbal. Ke depan!” Cikgu Jamilah melihat kedua pelajar itu melangkah longlai. Saling menjeling dia melihat gelagat mereka berdua. 

“Mana buku latihan kamu, Safa?”

“Tertinggal.”

“Cikgu, jangan salahkan Safa. Sebenarnya, saya yang pinjam buku dia. Tak tahulah macam mana boleh tertinggal sebab saya dah letak dalam beg pagi tadi.”

“Banyaklah awak punya alasan, Iqbal. Tunggu apa lagi. Buatlah denda macam selalu.”

Menyenget sana sini mulut Safa Hawani kerana membebel dalam hati. Tidak termasuk lagi sumpah seranah tapi bukanlah ayat teruk. Sekejap-sekejap menjeling tajam Ahmad Iqbal di sebelah. Geram. Beria-ia tadi mengatakan, “Jangan risau.” “Buku kau ada dalam beg ni.” Sekarang? Ada juga kena tunjal dengannya nanti. 

‘Aduh. Lenguh gila kaki aku ni.’ Safa Hawani mengeluh halus.

“Sorrylah, Safa. Pasal aku, kau kena denda. Seingat aku, dah letak buku kau dalam beg. Pelik, macam mana boleh tak ada?” bisik Ahmad Iqbal.

“Sorry? Naik lorilah!” Safa Hawani mengetap kuat gigi.

Tidak pasal-pasal terpaksa mencangkung di depan kelas. Sudahlah tu, hanya mereka berdua sahaja. Pandangan sinis rakan sekelas... ah, bikin hati perempuannya panas. Dia merengus. Menjeling tajam yang entah untuk ke berapa kali ke arah pemuda patah di sebelah. Kecil dia melihat Ahmad Iqbal walaupun agak sasa.



Detap langkah semakin laju. Berpuluh-puluh meter jarak memisahkannya dengan Ahmad Iqbal. Langsung tidak menghiraukan suara kepit sedang memekik-memekik, memanggil-manggil namanya dari belakang. Mata milik beberapa orang di sekitar yang memandang... ah ada dia kisah? Muncung pula sudah sedepa panjang. Belum lagi ditambah monyok di muka.

“Ei kau ni, perlahanlah sikit jalan. Penat aku kejar tau. Kuat kot suara aku tadi. Takkan tak dengar aku panggil?” Walaupun sedang termengah-mengah, Ahmad Iqbal berjaya menuturkan dialog yang panjang.

Safa Hawani mengecilkan mata. Memandang geram pemuda di hadapan yang berjaya memintas. Tidak faham bahasakah orang tengah marah? Dia merengus. Sudah berapa puluh kali dia merengus kerana geram. Sudahlah kena tebalkan muka. Jika ada topeng mampu menukar rupannya, kan senang? Kedua bibir sudah digigit kuat. Rasa marah cuba disalurkan ke situ.

“Safa, kau ni kenapa marah-marah?”

“Kau boleh tanya aku kenapa?” Luas biji mata Safa Hawani. Kalaulah dia seekor singa, sudah lama mamat patah dibahamnya.

“Salah soalan aku tu?” Ahmad Iqbal berlagak selamba walhal kecut perut sebaik melihat muka di depan sangat ketara menunjukan reaksi marah. Air liur ditelan dengan payah.

“Kau dah nyanyuk? Atau, kepala kau tu terhantuk kuat kat mana-mana tadi?” Muka Safa Hawani merah. Lagak bersahaja Ahmad Iqbal membuat darahnya mendidih.

“Alah, bawa bertenanglah Safa. Nanti, diorang semua lupalah apa jadi kat kita tadi.” Dia menyulam sengih berserta kening dijongket berkali-kali. Memang beginilah tabiatnya jika mahu memujuk Safa Hawani. Alah Safa, nampak garang, berlagak keras tapi berhati lembut.

“Banyaklah kau punya bertenang, Iqbal. Malu aku tau tak? Nak-nak dengan Aiman tu. Kau tak nampak, cara dia senyum kat kita tadi? Tersengih-sengih macam telan kerang busuk. Muka kau tu tampal dengan kulit apa, hah? Tak tahu malu?” Dia merengus kasar.

“Amboi lasernya mulut dia. Kulit muka aku ni special tau. Susah nak dapat sebab tu aku buat tak tahu aje. Alah biarkanlah Aiman tu. Mulut dia, lantaklah. Takkanlah kau nak aku kata kat dia, “Hei Aiman, jangan sengih!” Cubalah logik sikit Safa.” Boleh pula Ahmad Iqbal sengih sebaik selesai bercakap.

“Kau nikan, sekali-sekala cuba cakap guna otak. Ni tak, guna kepala lutut. Dahlah, malas nak layan kau.” Safa Hawani terus berpaling dan melajukan langkah. 

“Safa, aku nak tebus salah kat kau ni. Aku belanja kau makan, ya?” Ahmad Iqbal kini sudah berjalan beriringan dengan Safa Hawani.

“Tak nak! Potong selera aku.”

“Aku nak belanja juga.”

“Jangan harap aku nak makan.”

“Tak kira, nak belanja juga.”

“Tak nak! Ei kau ni, tak faham bahasa?”

“Ada aku kisah. Tak kira, nak belanja...”

“Iqbal oi... susah-susah sangat, belanja aku ajelah. Habis cerita.” 

Dengan serentak mereka berdua berhenti melangkah dan dengan perlahan-lahan menoleh.

Bulat mata Safa Hawani sebaik empunya tubuh dikenali. Serta-merta, semakin panjang depaan muncung di mulut. Lekas-lekas mengalih muka. Memandang ke depan, ke kolam ikan buatan yang terdapat di sekolahnya. Lagi baik pandangan di hala ke sana daripada menghadap muka si penyampuk itu.

“Kau apa hal, Aiman?” Ahmad Iqbal merengus halus. Dia lantas melabuhkan duduk ke atas kerusi berdekatan.

“Yelah. Buat apa bertekak lama-lama? Belanja aku aje, habis cerita.” Sambil berkata, lirikan mata Aiman ditujukan ke arah Safa Hawani yang kini telah duduk di sebelah Ahmad Iqbal.

“Sibuk aje!” Safa Hawani mencebik. 

Serta-merta teringatkan bagaimana Aiman tersengih-sengih dalam kelas tadi. Hatinya, benar-benar sakit. Aiman, memang selalu mengusik tetapi usikan hari ini menyentap hatinya. Tahulah dia didenda mencangkung di depan kelas, tak payahlah sengih hingga ke tulang hitam sengalnya terasa. Huh!

“Hai Iqbal, marah betul kawan baik kau tu?” Semakin galak Aiman mengusik. Selama ini, begitu payah sekali mahu melihat Safa Hawani yang terkenal dengan lagak kasar, merajuk. 

“Marahlah. Siapa suruh kau gelakan kawan aku?” Bermuncung mulut Ahmad Iqbal mengatakannya sambil menggayakan liuk-lentuk tubuh patah sana-sini, menzahirkan rasa marah.

“Lah, aku sengih aje pun. Tu pun salah?”

“Sudahlah, Iqbal. Loyar buruk pula dia. Tidak payah layan ketua kelas kita yang senget tu.” Safa Hawani menjeling tajam. 

Sekali lagi dia dan Ahmad Iqbal berpaling serentak. Mencerlung mata mereka berdua melihat Aiman sedang terbahak-bahak ketawa pula. 

“Aduh, senak perut aku dengan korang berdua ni.”

“Apa lawak sangat ni?” Safa Hawani mengetap gigi. Dia tidak puas hati, rasa geram semakin melimpah-ruah. Sabar semakin ditinggikan had. Ada juga kena pelangkung betul-betul nanti.  

“Okey, okey. Aku minta maaf, Safa. Aku janji, lain kali tak buat lagi.”

“Jadi, kau sukalah aku kena denda selalu. Hampeh betullah kau ni, Aiman.”

“Opss, tersilap cakap pula. Safa, aku minta maaf.” Aiman menyudahkan tawa yang  bersisa bukan separuh, banyak lagi rasanya.

“Dahlah, duduk sini lama-lama bagi aku sakit hati aje.” Tanpa banyak soal Safa Hawani mengangkat kaki, pergi dari situ. 

‘Sembanglah kau Iqbal dengan ketua kelas senget tu sampai muak,’ gumamnya pula sambil melangkah. 

Safa Hawani meneruskan langkah menuju ke kelas. Waktu rehat berbaki tidak banyak. Makan, sudah putus selera dengan kejadian memalukan. Mujurlah dia membawa bekal roti. Langkah tiba-tiba terhenti kemudian dia merengus. Tajam matanya memandang susuk tubuh di depan. Pantang betul jika jalannya dihalang.  

“Kau dah kenapa?” Safa Hawani mengecilkan mata. Susuk tubuh sedang berdiri di depan sambil mencekak pinggang, dipandang atas bawah. 

‘Ingat dia model? Bergaya macam aku hadap sangat!’ gerutu Safa Hawani. Menyampah.

“Apa Aiman buat kat sana?”

Sambil mata mengerling ke arah Aiman dan Ahmad Iqbal sedang bergelak tawa, Safa Hawani berkata, “Manalah aku tahu?” Dia merengus lagi. Makhluk di depan memang sengaja cari pasal nampaknya Haish!

“Aku tengok sekarang ni, Aiman selalu dengan kau.” Sinis ayatnya begitu juga dengan pandangan yang dilontarkan ke arah Safa Hawani. Dari dulu lagi, dia memang meluat sangat dengan Safa Hawani. Selalu menjadi penghalang cita-citanya. Selalu sahaja dia di belakang dalam banyak hal.

“Kau dengan Aiman... ada apa-apa?” Kali ini, riak muka pula dizahirkan secara sinis.

Safa Hawani menjulingkan mata ke atas. Jengkel. Selalu rasa itu bertandang jika berhadapan dengan gadis yang dicanang sebagai diva sekolah. Dia mencebik. Meluat, menyampah, berebut-rebut mahu bertenggek di tangkai hati. Hampir sesak nafas, menahan geram tatkala proses penyebatian rasa-rasa itu berlaku jauh di lubuk hati.

“Takkan dah pekak? Aku tanya kau, bukan tunggul kayu!” Geram betul dia dengan muka yang selalu beriak tenang.

“Kau nak apa sebenarnya, Hana? Kenapa tak tanya sendiri kat Aiman tu?” Safa Hawani malas mahu melayan kerenah gadis diva sebenarnya. Tidak kuasa betul. Kalaulah dia juga berperangai seperti Hana, boleh bergaduh nanti Berguling-guling atas rumput. Gaduh cara perempuan, tarik-tarik tudung. Aku cakar kau, kau cakar aku. Boleh macam tu?

“Kau buta? Takkan tak perasan langsung, perubahan si Aiman tu?” Hana panas hati. Safa Hawani, walaupun berlagak keras, tetap cantik. Kalaulah Safa Hawani tidak ‘sekeras’ sekarang, boleh tergugat gelaran diva disandangnya. Gadis di hadapan, punyai aura hingga mampu membuatkan dia cemburu. 

“Kaukan Hana, kenapa tak pernah cakap elok-elok dengan aku? Apa, kau ingat aku tak ada hati, tak ada perasaan? Ingat aku tunggul kayu? Sesuka hati kau nak tengking! Apa masalah kau?” Safa Hawani masih berlagak tenang sedang dalam hati, suhunya seperti air panas mendidih. Selama ini, dia banyak mendiamkan diri tapi Hana semakin memijak kepalanya pula. 

“Apa masalah aku? Kau boleh tanya apa masalah aku? Hei, dengar sini, Safa! Aku tak suka kau rapat dengan Aiman...”

“Chup..chup! Rapat dengan Aiman? Kau sihat tak, Hana? Demam kepialu jenis apa dah hinggap kat kau sampai meroyan macam ni? Sejak bila aku rapat dengan Aiman?” Hana, seperti sengaja mencari pasal dengannya hari ini tetapi apabila dikenang kembali, pernahkah Hana baik dengannya? 

“Aku tak suka tengok Aiman dengan kau, tau tak!”

“Tolong sikit ya, Hana. Kau pergilah tambat kekasih hati kau tu kalau tak nak tengok dia menempek dekat aku.” 

Hana menjeling Safa Hawani yang sentiasa tenang walaupun kata-katanya boleh mengundang pergaduhan. Ilmu apa agaknya diguna pakai oleh Safa Hawani? Tahap kesabaran gadis itu selalu tinggi bertingkat-tingkat walaupun sudah puas dia memprovokasi. Ah, mana mungkin dia mengalah.

 “Ingat pesan aku, Safa. Jangan cuba rapat dengan Aiman. Aiman tu, aku punya!” 

 “Hana, kau ambillah Aiman tu. Tak hingin aku kalau bagi free sekalipun. Kau aje layak dengan dia. Satu lagi, jangan kerana kaum lelaki, kita kaum perempuan ni merendahkan maruah. Bergaduh sesama sendiri. Buat malu aje. Orang lain dah bertamadun, kita pula jangan makin mundur. Ingat, tak payah pesan kat aku lagi. Dah tak kuasa aku nak dengar pesanan kau tu.” Safa Hawani terus berlalu pergi.

Berdesing telinga Hana dengan apa dikatakan oleh Safa Hawani yang telah dicap sebagai musuh tegar sejak dari dulu lagi. Terkebil-kebil mata melihat musuhnya berlalu pergi. Rona-rona merah sudah terbit dan mula bertebakan ke seluruh muka. Jauh di sudut hati, ada benar kata-kata Safa Hawani. Nak mengakui... jangan harap. Egonya, tetap perlu dijaga.




Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.