Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
109,970
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

 

 

ASREL memandangke wajah Nurin. Muram saja wajah itu dilihatnya. Pasti ada kena-mengena dengan Puan Noraishah. Bukannya dia tidak tahu tentang hubungan Nurin dan Puan Noraishah. Wanita itu membenci Nurin selepas pemergian Encik Nazaruddin.

Asrel menghela nafas berat. Kata-kata Diana terngiang-ngiang dalam minda. Dia buntu. Jika dia berterus-terang, apa yang akan terjadi kepada persahabatan mereka berdua?

Sudah lama dia berkawan dan dia tidak mahu merosakkan hubungannya dengan Nurin. Dia juga tidak mahu mengecewakan Nurin. Pasti Nurin akan membencinya selepas mengetahui perkara yang sebenar.

Asrel mengeluh berat. Dia meraup wajah. Bagaimana untuk berterus-terang kepada Nurin? Hanya kepada Allah, dia memohon petunjuk.

“Asrel!” Nurin memanggil. Sejak dari tadi dia melihat Asrel seakan termenung.

Asrel tersentak. Lamunan pendeknya termati di situ sahaja. Dia memandang ke wajah Nurin yang sedang asyik memandang wajahnya.

“Kau menungkan apa?” tanya Nurin pula.

“Haa… Menung?” balas Asrel sedikit tersentak.

“Abaikan sajalah,” kata Nurin. Asrel masih terpinga-pinga.

“Kau kenapa?” Asrel pula bertanya. Wajah Nurin dipandang.

“Ada perkara yang menggusarkan hati aku sekarang ni.” Nurin berterus-terang. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi.

“Perkara apa?”

“Mak aku.”

“Kenapa dengan mak kau?”

“Kenapa mak aku kata aku bawa malang pada dia dan arwah ayah aku?”

Asrel yang mendengar terkejut.

“Kenapa mak aku kata aku bawa malang pada dia dan arwah ayah aku?” ulang Nurin pada pertanyaanya tadi.

“Mak kau gurau saja kut, Nurin. Janganlah ambil serius,” kata Asrel sekadar menyedapkan hati Nurin.

“Sejak kematian arwah ayah aku, sejak itu mak aku membenci aku. Nak pandang muka aku pun dia tak nak apatah lagi nak bergurau,” tukas Nurin berserta gelengan di kepala.

Asrel tergamam. Kata-kata Nurin ada benarnya.

“Aku perlu tahu kenapa mak aku cakap macam tu pada aku,” suara Nurin lagi. Dia mengeluh berat untuk kesekian kalinya.

“Tak ada apa kut, Nurin.Kau tak perlulah fikirkan sangat.” Asrel masih cuba untuk menyedapkan hati Nurin. Gadis itu masih bermuram wajah.

“Aku blah dulu. Nak tenangkan fikiran,” ujar Nurin bingkas bangun dari duduk. Dia perlu menenangkan hati dan perasaannya.

Asrel tidak membantah. Dia turut sama bangun dari duduk. Matanya memandang langkah Nurin yang sedikit menjauh.

“Nurin!” panggilnya kemudian.

Nurin mematikan langkah. Dia menoleh ke belakang.

“Aku ada kalau kau perlukan seseorang untuk jadi pendengar,” beritahu Asrel berserta senyuman di bibir.

Nurin sekadar tersenyum. Dia beredar dari situ.

“Aku akan cari jawapannya, Asrel. Aku tak akan berhenti selagi aku tak dapat jawapannya,” azam Nurin sendirian. Semoga apa yang dicari selama ini terjawab.

 

 

NURIN menyusuri deretan kedai di pasar raya. Entah ke mana hala tuju dia sendiri tidak tahu. Kata-kata Puan Noraishah masih lagi terngiang-ngiang dalam minda. Atas sebab yang kukuh, dia tidak membenarkan Puan Noraishah pulang ke kampung.

Lagi pun, rumah di kampung sudah lama dijual selepas pemergian Encik Nazaruddin. Tidak ada apa yang tinggal di kampung lagi. Hanya kenangan pahit yang akan diingat sehingga ke akhir hayat.

Nurin menghentikan langkah. Matanya menangkap sesusuk tubuh lelaki yang sedang membelek pakaian. Diamati tubuh lelaki itu dari arah belakang sambil cuba mengintai untuk melihat wajah lelaki tersebut.

“Farid Aiman?” sebut Nurin sebaik sahaja lelaki itu menoleh.

Tanpa menunggu, dia segera masuk ke dalam kedai pakaian tersebut lalu berpura-pura memilih pakaian. Sekadar untuk mendekati Farid. Dia mencuri pandang ke wajah Farid di sebalik cermin yang terdapat di dalam kedai itu.

“Dia yang tegur aku malam tu. Dia juga yang aku kejar hari tu,” bisik Nurin kepada dirinya sendiri. Dia masih mencuri pandang wajah Farid

“Raut wajah yang sama,” bisik Nurin lagi. Dia mengekori langkah Farid sambil otaknya memikirkan sesuatu.

“Maaf!”

Teguran seseorang mematikan fikiran Nurin. Dia menoleh ke arah yang bersuara. Alangkah terkejut tatkala wajah Farid menyapa mata.

“Cik nak beli ke baju tu?” tanya Farid, ramah.

“Haaa…” Nurin kurang faham.

“Cik nak beli ke baju tu?” Farid bertanya buat kali yang kedua. Dia mengunjuk ke arah baju yang dipegang oleh Nurin.

Nurin tidak membalas. Dia memandang wajah Farid tidak berkelip.

“Cik?” tegur Farid berserta kerutan di dahi. Wajah gadis di hadapannya itu dipandang. Pelik melihat pandangan gadis tersebut.

“Ya!” balas Nurin sedikit tersentak.

“Cik nak beli ke baju tu?” Untuk kali yang ketiga Farid bertanya. Namun, gadis itu tidak juga menjawab pertanyaannya.

“Baju? Baju ni?” tanya Nurin sedikit kalut.

Farid menganggukkan kepala. Dia tersenyum melihat wajah kalut Nurin.

“Beli! Eh, tak!” Nurin masih kalut. Tidak menyangka yang Farid akan menegurnya.

“Kalau cik tak nak beli, saya nak beli baju tu,” suara Farid lagi. Wajah kalut Nurin masih lagi dipandang.

Nurin memandang baju yang berada di tangan.

So?” Farid mengangkat kening.

“Saya nak beli baju ni,” jawab Nurin, laju.

Tanpa menunggu, dia segera ke kaunter membuat pembayaran. Dia menyentuh dadanya yang terasa berdebar. Pandangan Farid turut menggusarkan.

“Kenapa hati aku berdebar-debar?” soal Nurin masih memegang dada. Dipukul lembut dadanya itu. Sekadar untuk meredakan debaran dalam hati.

“Dia tak kenal aku,” sebut Nurin lagi.

Farid hanya memandang. Berkerut dahinya melihat tingkah laku gadis itu tadi. Seperti pernah melihat gadis tersebut sebelum ini.

“Biarlah! Maybe dia ada masalah,” putus Farid lalu beredar dari situ.

Seminit kemudian, dia menghentikan langkah. Matanya ternampak sesuatu di atas lantai. Lantas, dia menunduk untuk mengambilnya.

Key chain siapa ni?” tanya Farid sambil melihat key chain tersebut. Dibelek dan dilihat penuh minat.

“Nurin?” sebut Farid kemudian.

 

 

“YA ALLAH! Kenapa aku rasa berdebar-debar?” soal Nurin sebaik sahaja keluar dari kedai pakaian itu. Dia memukul perlahan dadanya sendiri. Sekadar meredakan degupan jantung yang sedang berdetak laju.

“Kenapa ni?” tanya Nurin lagi. Dia menghentikan langkah lalu duduk di atas kerusi. Sekadar untuk meredakan perasaan.

“Dia tak kenal aku?” kata Nurin lagi. Ingatannya memutarkan semula pertemuan sebentar tadi. Sungguh, dia terkejut berhadapan dengan Farid.

“Mustahil dia tak kenal aku?” sambung Nurin lagi. Dia mengeluh ringan.

“Cik!” panggil Farid, tiba-tiba.

Nurin yang baru hendak menunduk mengangkat wajah. Dengan pantas dia bangun dari duduk tatkala wajah Farid menyapa mata.

“Cik!” Farid memanggil lagi.

Nurin tidak membalas. Dia beredar dari situ dengan berlari anak.

Terkejut Farid melihatnya. Langkah gadis itu dipandang tidak berkelip.

“Pelik! Aku ni hantu ke sampai dia takut nak tengok aku?” kata Farid berserta gelengan di kepala.

“Tak pun aku ni handsome sangat sampai dia terkejut,” puji Farid kepada dirinya sendiri. Dia ketawa kecil tatkala teringatkan tingkah laku gadis itu tadi.

Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Ada baiknya dia pulang memandangkan barang yang ingin dibeli sudah pun ada.

“Key chain?” sebut Farid tatkala teringat tentang itu. Dia mengeluarkan key chain dari dalam poket seluar.

“Nurin?” Farid mematikan langkah sebaik nama itu meniti di bibir.

 

 

FARID menyandarkan tubuh ke kepala katil. Terasa tenang hatinya selepas menunaikan kewajipan terhadap Allah. Dia mencapai telefon bimbit dari atas meja. Mesej kiriman Dahlia dibaca berserta senyuman di bibir.

Farid turun dari katil. Dia melangkah ke meja kerja lalu melabuhkan duduk di atas kerusi sambil memikirkan sesuatu.

“Bukan dia ke yang aku jumpa masa cari pam station hari tu?” Farid bertanya tatkala mengingati peristiwa tersebut. Dia cuba mengingati raut wajah gadis itu.

“Dia juga yang aku nampak di luar restoran hari tu.” Farid menggelengkan kepala. Entah kenapa gadis itu berlegar-legar dalam mindanya saat ini.

Farid menghela nafas ringan. Permintaan Tuan Haji Zuhuri supaya dia mencari seseorang meniti di minda pula. Dia sudah pun berjanji untuk membantu Tuan Haji Zuhuri dan dia akan mengotakan janjinya itu.

“Sederhana tinggi. Kurus dan bertudung. Memiliki sepasang mata yang cantik,” sebut Farid akan maklumat yang diberitahu oleh Tuan Haji Zuhuri.

“Kalau setakat ini saja maklumatnya, macam mana aku nak carinya?” Farid bersuara. Dia mengeluh berat.

“Aku perlu selesaikan secepat yang mungkin. Aku perlu tunaikan janji yang telah aku buat pada datuk.”

“Mungkin aku perlu dapatkan lagi maklumat daripada datuk,” suara Farid tatkala teringatkan TuanHaji Zuhuri.

Tanpa berlengah, dia bangun dari duduk. Dia perlu bertanya daripada Tuan Haji Zuhuri serba sedikit tentang maklumat yang sedang diusahakannya itu.

Farid memulas tombol pintu. Dia terkejut tatkala wajah Tuan Haji Zuhuri menyapa mata sebaik sahaja pintu bilik dibuka.

“Datuk tak tidur lagi?” tanya Farid selepas itu.

Tuan Haji Zuhuri masuk ke dalam bilik sambil dibantu oleh Farid. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi. Farid turut bertingkah laku yang sama. Dia duduk di hadapan datuknya.

“Bila ayah balik, datuk?” Farid berbasa-basi.

Dia teringat pertemuannya dengan Encik Amir tempoh hari. Ayahnya tidak ke Kedah seperti yang diberitahu oleh Tuan Haji Zuhuri. Pasti ada sebab kenapa Encik Amir tidak jadi ke Kedah dan dia akan menyiasatnya sendiri.

“Macam mana dengan syarikat, Farid?” Tuan Haji Zuhuri menolak pertanyaan Farid.

So far tak ada masalah datuk. Kita dah dapat beberapa pembekal untuk bekalkan kita stok. Harga yang ditawarkan berpatutan. Kita juga dah dapat tempahan daripada beberapa client untuk rekaan terbaharu kita yang akan keluar pada hujung bulan ni,” jawab Farid  dalam nada tenang.

Tuan Haji Zuhuri mengangguk perlahan. Farid dan Amir tidak ada bezanya. Bijak dalam berniaga. Tidak sia-sia dia menyerahkan syarikat kepada anak dan cucunya.

“Datuk jangan risau. Farid akan cuba buat yang terbaik untuk syarikat,” kata Farid lagi. Sekadar memberi keyakinan kepada Tuan Haji Zuhuri.

“Datuk tahu Farid tidak akan mengecewakan datuk termasuklah ayah Farid. Sejak dari dulu lagi ayah Farid berusaha untuk memajukan syarikat dan datuk kagum dengan usaha dan kesungguhan ayah Farid,” beritahu Tuan Haji Zuhuri. Wajah cucunya dipandang kasih.

Farid hanya mendengar. Dia mengangguk perlahan. Tidak dinafikan dengan kata-kata Tuan Haji Zuhuri. Ayahnya seorang yang tegas dan serius dalam bekerja.

“Macam mana dengan permintaan datuk hari tu, Farid?” Tuan Haji Zuhuri bertanya. Wajah cucunya masih dipandang.

Farid tergamam. Pandangan Tuan Haji Zuhuri dibalas berserta riak tenang.

“Farid tak boleh tolong datuk?” tanya Tuan Haji Zuhuri lagi.

“Farid… Farid…” Farid tergagap-gagap.

“Datuk minta tolong sangat pada Farid. Kalau boleh, tolong tunaikan permintaan datuk. Hanya Farid yang dapat tolong datuk.” Tuan Haji Zuhuri berharap.

“Farid akan cuba, datuk. Bagi Farid masa. Insya-Allah, Farid akan selesaikannya.”

Farid sekadar memberi keyakinan kepada Tuan Haji Zuhuri. Walaupun agak sukar untuk diselesaikan, dia akan cuba demi Tuan Haji Zuhuri.

Tuan Haji Zuhuri tersenyum. Dia menyeluk poket baju melayu lalu mengeluarkan seutus rantai dari dalamnya. Diserahkan kepada Farid selepas itu.

“Rantai siapa ni?” tanya Farid sambil membalas huluran. Diamati rantai itu penuh minat sambil menanti jawapan daripada Tuan Haji Zuhuri.

“Cucu angkat datuk,” balas Tuan Haji Zuhuri, tenang.

“Cucu angkat?” ulang Farid sedikit terkejut.

 

 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.