Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
22,346
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

MEGDELINA tiba di sebuah flat kos rendah setinggi lima tingkat. Dia memanjat anak tangga dengan barang-barang dijinjing di kedua-dua belah tangannya. Tiba di tingkat satu dia terus mendapatkan rumah yang pintunya berjeriji hijau.

Salam diberi dan pintu terkuak dari dalam. Wajah seorang lelaki yang agak berusia terjengul. Lelaki itu menguak senyum sebaik sahaja melihat Megdelina. Terpaku seketika kerana teruja dengan kehadiran si gadis.

“Bukalah gril ni, abah!” panggil Magdelina dengan mulut menyenget menahan berat beg plastik yang dijinjingnya.

Tergesa-gesa lelaki di dalam rumah membuka gril dan memberi laluan untuk anaknya masuk. Kaki diayun terus ke dapur dan Megdelina meletakkan barang-barang itu di dapur. Matanya liar memandang keadaan dapur yang tidak terurus.

Singki penuh dengan cawan dan pinggan kotor. Manakala sampah hampir termuntah dari tong. Ada agas sedang menghurungi sisa-sisa makanan yang dibuang. Dia melepaskan keluhan. Sikap abahnya makin berubah. Dia tidak sepembersih dulu. Abahnya kini semakin lalai dan sering lupa.

“Abah tak sihat lagi ke? Abah makan ubat tak?” tanyanya sambil menutup pintu. Rumah flat begitu tidak boleh dibiarkan ternganga pintunya kerana sering saja jurujual akan datang hendak mempromosikan barang mereka. Daripada penjual karpet hinggalah kepada penjual perabot.

Lelaki itu mengangguk. Bibirnya dijuihkan ke arah sebuah meja kecil di tepi sofa. Satu bekas ubat tersusun di situ.

“Ikut macam yang Meg cakap?”

Lelaki itu mengangguk.

“Abah dah makan?”

Lelaki itu menggeleng. Lalu Megdelina bangkit dan membuka bungkusan plastik lalu mengeluarkan dua bungkus nasi lemak sederhana besar. Nasi lemak ayam itu kegemaran abahnya yang dibeli dalam perjalanan tadi. Dia mencapai pinggan dan sudu garfu.

Dicapai pula kertas surat khabar dan dibentangkan di atas lantai ruang tamu. Dia mengatur pinggan dan nasi lemak. “Jom kita makan,” pelawa Megdelina sambil memandang abahnya yang masih duduk di sofa yang sudah usang. Perutnya sudah berkeroncong.

Segera dia mengatur pinggan untuk abahnya. Lelaki itu pantas bangkit dari sofa dan duduk bersila dan membuka bungkusan nasi lemak.

“Air?” Lelaki itu memandang Megdelina.

Gadis itu mengangguk.

Lalu si abah bangkit lalu menuju ke dapur. Seketika dia muncul semula bersama sebotol air masak dan dua gelas.

Kedua-dua beranak itu makan dengan begitu selera. Memang sudah lama mereka tidak makan bersama. Selalunya Megdelina membiarkan saja abahnya makan seorang diri. Namun, kali ini dia menahan diri daripada sarapan di pasar semata-mata mahu makan bersama abahnya.

“Mak Cik Jah kata abah banyak menung.” Megdelina bersuara usai suapan terakhir.

“Ah, dia apa tahu?” balas si abah acuh tidak acuh. Sebutir nasi melekat pada dagunya. Pantas Megdelina mencapai nasi itu lalu dibuang ke dalam bungkusan surat khabar yang sudah renyuk.

“Dia kata dah seminggu abah tak pergi kerja, betul ke?” soal Megdelina lagi.

Lelaki yang bernama Megat Jazlan itu mengangguk.

Megdelina bersuara lagi, “Kenapa abah tak beritahu penyelia? Kata Mak Cik Jah, penyelia tu marah-marahkan abah sebab tak datang.”

“Aku demam. Tak larat nak kerja. Takkan itu pun dia nak marah?” tingkah Megat Jazlan dengan nada yang tinggi. Dahi berkerut-kerut menahan panas hati.

“Berhenti saja kan senang? Tak ada orang nak marah,” Megdelina meleraikan isi ayam daripada tulang.

“Kalau berhenti, aku nak makan apa?” Bulat mata Megat Jazlan memandang si anak.

Megdelina mengangkat muka. Sudah berkali-kali soalan itu yang didengarinya. Setakat makan, berapa banyak sangatlah yang dapat ditelan oleh abahnya. Dia mampu.

“Meg hantar barang basah setiap minggu. Ikan dan sayur ada dalam peti ais. Abah masaklah sikit-sikit.”

“Huh! Malas aku nak masak,” balas Megat Jazlan.

“Abah nak Meg duduk dengan abah ke?” Megdelina cuba menggali apa yang tersimpan di dalam benak abahnya.

Lelaki itu terdiam. Seketika kemudian dia memandang Megdelina. “Tempat kerja kau jauh, macam mana nak duduk sini?” ujarnya.

“Meg carilah kerja kat sini. Kat sini pun banyak nurseri,” ujar Megdelina penuh yakin. Memang seboleh mungkin dia mahu mencari pekerjaan lain. Tidak kuasa lagi dia meneruskan baktinya di Taman Botani Indah. Semakin hari, semakin parah luka di hatinya dek herdikan Tengku Muaz.

“Tak payah!” bantah Megat Jazlan dengan mata yang dikecilkan dan tajam merenung ke dalam mata anaknya. Kemudian dia menambah. “Zaman sekarang bukan senang nak dapat kerja. Kau jangan nak fikir pasal berhenti!”

“Habis tu, kalau abah malas masak, abah nak makan apa?”

“Aku beli lauk. Bawa balik rumah. Nasi dah masak dari pagi.” Perlahan suara Megat Jazlan menjawab. Itulah yang dilakukannya selama ini sejak kematian isterinya lebih 20 tahun yang lalu.

Megdelina mengangguk sambil tersenyum. Ingatan abahnya masih kuat dan bukan nyanyuk seperti yang disangka. “Tapi abah jangan beli banyak sangat. Nanti membazir.”

“Tengoklah kalau aku rajin, aku masak,” balas lelaki yang pernah bekerja di sebuah syarikat korporat itu acuh tidak acuh.

“Abah kenalah ringan tulang. Duduk seorang diri tak ada siapa nak tolong. Rumah kena kemas juga.” Sambil mengemas bungkusan nasi lemak yang sudah licin, Megdelina terus-terusan mengomel dan berpesan kepada abahnya.

“Jah selalu datang tolong,” beritahu Megat Jazlan seraya bangkit menuju ke dapur untuk membasuh tangan. Sudu dan garfu yang diambil oleh anaknya tadi langsung tidak digunakan. Dia lebih selesa makan dengan tangan.

Megdelina mengerising lalu terus mengusik abahnya. “Ke... dia ada hati dengan abah?”

“Huh! Muka macam tu, jual lelong pun orang tak mahu.” Lelaki yang masih segak itu menjuihkan bibirnya.

“Eleh, memilih konon. Macamlah abah tu muda lagi...” Megdelina mengejek sikap abahnya yang sering memberitahu dia tidak berkenan dengan jirannya yang bernama Khatijah biarpun wanita sentiasa memberi perhatian padanya.

“Memanglah aku dah tua tapi aku handsomelagi. Cuba kau bandingkan aku dengan orang tua-tua di sini, siapa paling handsome? Bukan saja janda, anak dara pun nakkan aku tau!”

Berderai tawa Megdelina tatkala mendengar komen abahnya. “Abah ni pandai betul melawak. Dah berkedut macam ni… mana ada handsome?”

“Kau saja yang cakap aku tak handsome. Ramai perempuan kat sini nak kahwin dengan aku tau.”

“Yalah tu. Kalau ramai, takkan seorang pun tak sangkut? Dah bertahun-tahun abah duduk sini. Mak Cik Jah yang gedempol tulah yang selalu sibukkan abah.”

“Ah, janda tu memang aku tolak mentah-mentah! Mulut murai. Membebel saja. Itu tak kena. Ini tak betul. Bosan. Sebab itu laki dia lari.” Megat Jazlan tidak mahu kalah.

Mengdelina tertawa. “Eh, tak baik tau mengata orang macam tu. Sekurang-kurangnya hidup abah terjaga. Dia yang selalu telefon Meg cerita pasal abah. Nak harapkan abah telefon Meg, jangan mimpilah.”

“Aku malas. Kau kan sibuk? Selagi aku tak telefon tu maknanya aku sihat.”

“Sihat apa kalau sampai seminggu demam?” Kali ini memang Megdelina serius menempelak abahnya. Geram dengan sikap keras kepala abahnya.

“Alah, demam sikit saja. Jah yang sibuk sangat. Macamlah aku ni dah nak mati,” rungut Megat Jazlan antara dengar dan tidak.

“Dia risaukan abah.” Ada getar pada suara Megdelina. Bukan Khatijah sahaja yang risau, dia lebih-lebih lagi risau.

“Alah, buat apa dia nak hiraukan aku? Hiraukan anak dia yang menagih dadah tu lagi bagus.”

“Siapa? Harun?” soal Megdelina terkejut.

“Yalah… siapa lagi? Dia bukan ada anak lain pun.”

Megdelina menggeleng. Kenal benar dia dengan Harun. Lelaki itu rakan sekolahnya sewaktu di menengah atas. Harun selalu temankan dia ke sekolah. Malangnya selepas tingkatan enam, Harun terjebak dengan budak-budak nakal. Sesekali bila pulang, abahnya ada bercerita yang Harun sering mencuri, menghidu gam dan bergaduh.

“Abah ada jumpa Harun?”

Lelaki itu mengangguk. “Ada minggu lepas terserempak dengan dia di tangga. Dia minta aku sepuluh ringgit. Lepas tu dia beritahu yang dia ada nampak Eeza ikut seorang budak lelaki. Dia kenal budak tu… tak elok kelakuannya.”

Megdelina terkejut sekali lagi. Setahunya Harun menganggur dan sering bergaul dengan rakan-rakan ‘sepejuangannya’. Jadi, macam mana dia boleh terserempak dengan Emmareeza kalau adiknya itu tidak bergaul dengan kelompok mereka? Dadanya mula berombak. Memikirkan yang bukan-bukan.

“Aku tak sedap hati bila dia cerita macam tu. Aku takut Eeza terjebak dengan budak-budak nakal dan hisap dadah.”

Berderau darah Megdelina dengan kata-kata abahnya. Begitu lancar abahnya melahirkan kebimbangan bagaikan perkara yang disebut itu perkara biasa. Sedangkan pada Megdelina, membayangkan pun dia tidak berani. Inikan pula menyebut. Minta dijauhkan ALLAH.

Selesai mengemas dan bersolat zuhur, Megdelina meminta diri untuk pulang.

“Jaga diri elok-elok dan tolong tengok-tengokkan adik kau tu. Mana tahu dia mahu dengar cakap kau. Kalau dengan aku langsung dia tidak endah. Entah bilalah dia nak anggap aku ni abah dia.”

“Tak payahlah abah nak risau sangat pasal dia. Takkan dia sanggup rosakkan hidup sendiri? Lagipun sampai bila dia nak benci abah? Dia tetap perlukan abah terutama bila dia nak kahwin nanti,” balas Megdelina.

“Budak tu pendek akal sikit. Dia bukan macam kau. Sebab tu aku risau,” ujar Megat Jazlan sambil melepaskan pandangan keluar menerusi tingkap nako yang berdebu.

Megdelina diam. Dicapaikan beg sandang lalu dikeluarkannya dompet. Dihulurkan wang kertas RM200 kepada abahnya.

Lelaki itu segera menyambut dan mengucapkan terima kasih. Senyumannya tawar. Tidak gembira dengan keadaannya yang dirasakan sering menyusahkan Megdelina.

“Abah tahu kan yang Eeza tidak suka diganggu? Tapi tak apalah... bila senang nanti, saya pergi tempat dia.” Mengdelina mengukirkan senyuman namun senyuman itu pun tawar kerana tugas untuk berdepan dengan Emmareeza bukan mudah baginya.

Berilah kerja yang berat bagaimanapun, dia sanggup. Namun untuk tugas yang satu itu, memang hatinya sebal. Penolakan Emmareeza terhadapnya sangat kuat. Setakat ini Emmareeza hanya mahu berhubung dengannya atas urusan wang. Tidak lebih daripada itu. Apatah lagi mahu nasihatnya didengar oleh gadis itu. Mustahil!

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh