Home Novel Cinta CINTA PERTAMA
CINTA PERTAMA
Melissa Lee
11/12/2019 10:03:00
130,029
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

           Tepat pukul 8 malam, jejaka yang bernama Fakri itu sudah tercegat di bawah dorm Melissa dengan motosikal Honda Wave berwarna biru putih. Dari jarak 20 meter, lelaki itu tersenyum memandang Melissa walaupun mereka belum mengenali. Mungkin dia mengagak itulah Melissa. Apabila sampai dekat dengannya, Melissa senyum dan memperkenalkan diri.

"Saya Melissa. Awak Fakri?" 

Melissa memulakan perbualan dengan memperkenalkan dirinya.

"Ya, saya Fakri. Awak tinggal kat dorm ni ek. Senang nak cari sebab paling hujung dari sini," ujar Fakri ramah. 

Kelihatan seperti seorang yang cepat mesra dan peramah. Kulitnya putih dan mempunyai ketinggian yang hampir sama dengan Melissa. Mata Melissa melilau sekeliling. Bimbang juga kalau Fariz kebetulan ada di situ ataupun ada yang mengenalinya, rakan-rakan Fariz misalnya.

"Kita nak borak kat mana ya? Nak pergi kedai makan tu ke?"

Fakri menuding jari telunjuknya ke arah kedai makan yang selalu Melissa kunjungi.

"Eh, tak payah. Kalau ada yang kenal awak situ kan, awak segan pula," balas Melissa terburu-buru. 

Padahal dalam hati Melissa bimbang ada yang mengenalinya.

"Ke awak nak pergi tempat lain? Tapi kena naik motor. Boleh?"

"Eh, jangan. Saya tak biasa naik motor dengan lelaki. Maaf. Kat taman depan tu boleh tak? Tapi jangan lama sangat sebab nanti kena tangkap basah kang, naya je. Kalau awal malam macam sekarang ni tak ape lagi. Ramai yang ada kat situ." 

Melissa menunjukkan taman permainan yang selalu menjadi tempat lepaknya setiap petang.Tempat itu kelihatan disinari lampu-lampu jalan. Terdapat beberapa orang kelihatan duduk-duduk di situ. Beberapa orang kanak-kanak kelihatan ada yang bermain buaian ditemani orang yang dewasa. 

"Okey lah tapi awak dah makan ke? Saya ingat nak belanja awak makan." 

Mungkin mamat ni belum makan lagi kot, bisik hati kecil Melissa.

"Saya dah makan roti kat bilik tadi. Okey, macam ni. Kita beli burger kat depan tu, lepas tu kita pergi makan kat taman tu sambil sembang-sembang. Boleh tak?" 

Melissa mengusulkan cadangan kepada Fakri.

"Saya pergi beli burger, awak tunggu saya kat taman tu. Awak cari tempat kosong. Tunggu saya tau." 

Fakri melangkah ke gerai burger di sebelah kedai makan. 

Melissa mengangguk dan berjalan menuju ke taman permainan yang dimaksudkan. Suasana di situ pada awal malam agak meriah juga. Hampir 10 minit menunggu, Fakri tiba dengan burger dan air kotak.

"Saya lupa nak tanya tadi. Awak nak ayam ke daging?" 

Fakri masih berdiri di depan Melissa sambil memegang plastik berisi burger dan air kotak.

"Tak kisah. Mana-mana pun boleh. Saya tak ada pantang. Pantang nampak, ya," gurau Melissa. 

Fakri ketawa sambil menghulur burger dan air kepada Melissa. Melissa menyambut dan mengucapkan terima kasih.

"Sebenarnya awak belum makan lagi kan?" 

Melissa bertanya setelah Fakri melabuhkan punggung di kerusi batu sebelahnya. Jarak antara mereka agak jauh.

"Ha ah..tak sempat sebab petang tadi saya pergi main badminton dengan kawan. Balik dah pukul 7.15 malam. Kelam-kabut mandi, solat. Lagipun tak sangka pula malam ni terus awak ajak jumpa,"cerita Fakri bersungguh-sungguh.

"Yelah dah awak SMS saya petang tadi. Kenapa tak hari Sabtu ke? Bolehlah jumpa pagi tadi kan. Saya pun siang tadi tak ada buat apa-apa pun."

"Saya ada group discussion tengahari tadi. Sampai pukul 4.30 petang. Lepas tu baru teringat nak SMS awak tanya boleh ke tak? Eh, awak tak makan ke burger tu?"

"Tak apa, awak makan je dulu. Nanti saya makan." 

Melissa sebenarnya malu kerana sedari tadi Fakri banyak merenungnya.

"Saya makan ya." 

Fakri menggigit burger daging yang dipegang. Pandangan Melissa dilontarkan pada beberapa orang kanak-kanak yang berada di situ. Gembiranya mereka, tidak perlu fikir apa-apa. Sedang dia? Ingin sangat kembali pada zaman kanak-kanak yang ceria.

"Awak asal Kelantan kan. Area mana? Saya ada beberapa orang kawan serumah asal Kelantan."

Fakri bertanya apabila melihat Melissa seolah-olah mengelamun. Melissa menoleh kearah Fakri.

"Bachok." 

"Oh, Bachok. Ada seorang kawan saya tinggal sana juga. Seorang lagi di Pasir Mas." 

Fakri menyedut air kotak soya dengan perlahan. Gadis bernama Melissa ini pendiam juga orangnya. Memang pendiam ke atau masih malu, yelah sebab baru pertama kali berjumpa.

"Awak tinggal kat rumah sewa ke hostel?" 

Melissa bertanya sekadar menutupi rasa segan yang amat dan sebenarnya dia memang seorang yang agak pendiam.

"Rumah sewa kat Muzaffar Height. Bersama 7 orang kawan. Sempit juga tapi tak mengapalah. Jimat bajet sikit kan," cerita Fakri sambil menamatkan kunyahan terakhir.

"Hmm..betul tu. Kalau saya pun, saya tak kisah sangat."

Pelbagai topik mereka bualkan kecuali hal peribadi namun nampaknya Fakri lebih mendominasi suasana. Kadangkala Melissa jadi penat mendengarnya. Namun dia tetap tadahkan telinga.

Sesekali apabila Melissa pula melontarkan soalan, berjela-jela Fakri menjawabnya. Kelakar sungguh. Melissa pasti dengan sikapnya yang sebegitu, Fakri tidak mahu lagi bertemu dengannya. Silap-silap lepas ni, SMS pun dia tak nak. Melissa tidak kisah sebenarnya kerana dia mahu cepat-cepat balik ke dorm. Risau ada mata-mata yang memandang lalu melaporkan kepada Fariz. Kantoilah nanti!

"Curangkah aku pada Fariz? Ah, entah-entah kalau Fariz tahu pun, dia tak heran. Aku ni bukan siapa-siapa pun di mata dia," keluh Melissa sendiri.

"Kenapa?" 

Soalan Fakri menyentak lamunan Melissa.

"Eh, tak ada apa. Awak, dah pukul 10 malam ni. Tak ada orang dah kat sini. Jomlah balik. Esok saya kelas pukul 10 pagi. Awak pun mesti ada kelas kan." 

Melissa bangun dari tempat duduknya.

"Ada. Okey, jom." 

Mereka beriringan menuju ke motosikalnya.

"Melissa, nice to meet you. Harap boleh jumpa lagi," ucap Fakri sambil menghidupkan enjin motosikal.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Melissa Lee