Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,123
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 11

SEPERTI yang dijanjikan, dia datang jua ke alamat yang diberikan Yasmin tempohari. Sebuah rumah besar yang tersergam megah menarik perhatiannya. Dia membayar tambang teksi lalu segera melangkah ke muka pintu. Pagar yang tinggi dan besar itu menyerlahkan kehebatan rumah besar di hadapannya. Buat seketika dia merasa kagum melihat rumah tersebut. Rumah itu agam megah bagaikan istana. Jauh berbeza dari rumah teres buruk yang didiaminya bersama ibu dan adiknya.

                Dia menekan loceng di tepi pintu pagar itu beberapa kali. Selepas tercegat beberapa ketika,pintu di hadapannya mula terkuak sedikit demi sedikit. Sebaik dia melihatYasmin keluar dari rumah itu, entah kenapa dia teragak-agak. Tiba-tiba dia merasa ragu-ragu dan was-was. Apa yang aku buat ni? Kenapa aku ke sini sedangkan aku tak percayakan wanita itu langsung? Entah-entah dia bukan mahu aku menjadi guru tuisyen di rumah itu tapi sengaja mahu menjual aku pada pemilik rumah itu.Entah kenapa hati kecil Adriana mula dilitupi rasa sangsi.

                “Rian? Dah lama sampai?” Yasmin bertanya. Senyuman wanita itu kelihatan polos tapi hanya dia yang tahu betapa liciknya Yasmin itu.

                “Kenapa tercegat sahaja tu? Marilah masuk.” Yasmin mempelawa.

                Dia serba salah jadinya. Hendak berpatah balik sudah tidak sempat. Mahu tak mahu dia terpaksa melangkah masuk.

                Yasmin segera meluru lalu memeluknya erat-erat. Lagak wanita itu bagaikan mereka sudah lama tidak bertemu, walhal baru beberapa hari lepas wanita itu datang ke rumahnya.

                “Kakak gembira Rian datang. Mari kita masuk, Tuan Fahrin dah lama tunggu.” Ujar Yasmin yang kelihatan ceria lalu menarik tangannya memasuki rumah besar itu.

                Sebaik menjengah ke dalam rumah itu, sekali lagi Adriana terpegun. Baru dia faham kenapa Yasmin beria-ria mahu dia datang ke situ. Pasti wanita itu ada agenda yang cukup besar terhadap pemilik rumah itu!

                Seorang lelaki separuh umur yang kelihatan segak dan tampan, berdiri sebaik dia masuk ke situ.Matanya kini berbalas pandang dengan lelaki yang tersenyum mesra itu.

                “Rian, perkenalkan ini Tuan Fahrin Attar.” Yasmin memperkenalkan gadis itu dengan Tuan Fahrin.

                “Fahrin, ini Adriana Imaniah yang I cakapkan tu.” Yasmin mengerling ke arah Tuan Fahrin yang asyik memerhatikan ke arah Adriana.

                “Cikgu Adriana?” Tuan Fahrin menghulurkan tangannya terlebih dahulu.

                “Tak payah panggil dia macam tu Fahrin. Panggil dia Rian aje. Dia sedang belajar di kolej sekarang ini. Adriana ni bijak orangnya, jadi tentu tak ada masalah untuk dia mengajar Mirza.” Canang Yasmin.

                Tuan Fahrin mengangguk.Matanya tak berkutik langsung dari wajah Adriana. Cantik sekali gadis di hadapannya. Hidung Adriana terletak elok dengan bibir merah yang tidak payah digincu lagi. Pendek kata, Adriana memiliki kecantikan asli. Kalau beginilah cikgu tuisyen yang dibawa Yasmin, harus-harus dia juga mahu ikut belajar! Bisik hati kecil Tuan Fahrin agak nakal.

                “Saya Adriana.”Adriana menyambut huluran tangan lelaki itu.

                “Fahrin.” Balas lelaki separuh umur itu.

Ariana merasakan tangan lelaki itu melekat kuat dijari-jemarinya. Dia memberanikan diri memandang lelaki itu. Bibirnya diketap rapat. Tuan Fahrin hanya tersenyum penuh makna ke arahnya.

                Dia mengeluh.Semua lelaki sama sahaja. Miskin atau kaya, kalau dah miang tu susah nak disorok-sorokkan lagi. Dia dapat merasakan lelaki itu langsung tidak ada bezanya dengan lelaki-lelaki yang pernah ditemuinya selama ini di kelab malam tempat dia pernah bekerja sebelum ini.

                Dia menoleh kearah Yasmin yang kelihatan kurang senang memandang lelaki itu. Hatinya mendongkol geram mengenangkan wanita itu. Baharu kau tahu! Kau yang beria-ia sangat nak aku datang, sekarang nak cemburu pula? Getus hati kecil Adriana.

                “Ini resume saya.” Ujar Adriana menyerahkan beberapa helaian kertas ke tangan lelaki itu. Tuan Fahrin membeleknya beberapa saat tetapi segera meletakkannya di atas meja berdekatan. Ternyata lelaki itu langsung tidak berminat dengan resumenya.

                “Tak payah baca pun, saya tahu semua hal mengenai Cik Adriana dari Yasmin.” Ujar Tuan Fahrin tersenyum-senyum.

                Adriana terdiam.Begitu rupanya! Aku pasti bukan semua yang kau tahu!

                “Cik Adriana tentu dah tahu kan, saya sedang mencari tutor untuk anak lelaki kedua saya,Adham Mirza. Tahun ini dia akan menduduki peperiksaan penting. Jadi saya mesti pastikan dia lulus tahun ini supaya dia boleh mengikut abangnya ke luar negara tahun depan.” Ujar Tuan Fahrin berterus-terang.

                Adriana mengangguk. Meskipun dia tidak tahu apa-apa tentang anak lelaki yang dimaksudkan itu, tetapi lebih baik dia mengangguk sahaja. Itu lebih mudah.

                “Itu anak saya Adham Mirza.” Tuan Fahrin menunjukkan ke suatu arah.

                Adrina menoleh,lalu terpandang bingkai besar di hadapannya yang memuatkan tiga wajah kacak. Lelaki itu duduk di tengah-tengah diapit dua anak muda yang segak bergaya dengan kot hitam dan bow. Yang mana satu Mirza? Yang nampak nakal itukah?

                “Yang sebelah kanan tu Adrenaz Imran, kami panggil Drew sahaja. Dia anak pertama saya. Yang sebelah kiri itu Adham Mirza. Saya harap Cik Adriana tak terkejut nanti. Mirza ni agak nakal dan sukar dikawal. Saya sebetulnya perlukan seseorang yang boleh mengawal Mirza, pastikan Mirza ikut cakap dan mahu belajar.” Jelas Tuan Fahrin.Lebih baik dia berterus-terang sahaja dengan gadis itu perihal Mirza sebelum anak gadis itu tercengang-cengang jadinya nanti jika sudah bersua muka dengan anak lelakinya yang tak makan saman itu.

                Adriana terdiam. Matanya merenung agak lama pada wajah anak muda di dalam potret tersebut. Betul seperti tekaannya. Itulah Mirza! Entah apa punya perangai budak itu agaknya? Nakal sangatkah?

                “Saya harap Cik Adriana tak kisah mengajar di sini. Saya memang perlukan seorang tutor untuk anak saya tu. Soal gaji Cik Adriana tak usah risau. Bagaimana kalau saya bayar 2 ribu setiap bulan?”

                Adriana tersentak mendengarnya. Dua ribu? Biar betul! Jika dia menerima tawaran ini,bermakna dia satu-satunya tutor di Malaysia ini yang menerima gaji bulanan paling tinggi. Walhal setahunya bayaran paling tinggi yang selama ini diperolehinya hanyalah RM350 sahaja sebulan. Mengajar 3 atau 4 subjek untuk 3 kali seminggu. Tapi 2 ribu? Dia tahu lelaki itu kaya raya, tapi dah gilakah tuan besar ni? Dia menjeling ke arah Yasmin yang hanya tersenyum memandangnya.

                “Kenapa? Tak cukup? Nak saya tambah lagi?” Tawar Tuan Fahrin. Risau benar dia jika gadis itu menolak pelawaannya.

                Adriana cepat-cepat menggelengkan kepalanya.

                “Bukan…bukan soal gaji. Tuan tak perlu beri saya gaji sebanyak itu. Saya cuma seorang tutor.Bayarlah saya dengan bayaran yang setimpal.” Ujar Adriana. Dia tidak mahu menerima bayaran sebanyak itu sedangkan kerja yang dilakukannya bukannya seberat mana. Lagipun entah apa motif lelaki itu memberinya bayaran sebanyak itu.

                Tuan Fahrin tersenyum. Entah kenapa dia suka dengan Adriana. Gadis itu seperti tahu membawa diri. Pelik gadis itu! Jika orang lain ditawarkan gaji dua ribu pasti takkan menolak. Adriana pula berbeza!

                “Bila Cik Adriana boleh mula? Saya mahu kalau boleh biarlah secepat mungkin. Lagi lama Mirza dibiarkan, dia takkan belajar apa-apa langsung.” Ujar Tuan Fahrin.

                “Err..sebenarnya saya kena tengok jadual belajar saya dahulu. Kalau lepas kuliah, saya boleh datang ke sini dalam dua tiga kali seminggu.” Ujar Adriana berterus-terang.

                “Rian, Tuan Fahrin kan dah tawarkan gaji yang banyak untuk Rian. Tak boleh ke Rian datang tiap-tiap hari mengajar Mirza?” Buat pertama kali Yasmin ikut campur dalam perbualan mereka.

                Adriana terdiam. Bukan dia tidak boleh, tapi dia risaukan keadaan ibunya jika dia tidak ada. Lagipun tugas sepenuh masa ini akan menganggu tumpuannya terhadap kebajikan ibunya serta kuliahnya sendiri. Takkan kerana semata-mata tuan muda itu, dia harus mengorbankan dua benda paling penting dalam hidupnya.

                “Mak..” Adriana berbisik perlahan. Sekadar mahu Yasmin tahu dia risaukan ibunya.

                Yasmin segera mengerti apa yang sedang difikirkan anak gadis itu. Dia menoleh ke arah Tuan Fahrin.

                “Bagi dia masa susun jadual belajar untuk Mirza dahulu Fahrin. Why not you beri Adriana jenguk bilik Mirza dulu? Dia tak ada di rumah kan? Mungkin Adriana boleh tengok buku-buku Mirza dan tumpukan pada subjek yang Mirza lebih lemah.” Cadang Yasmin.

                “Boleh, tak ada masalah. Cik Adriana boleh naik ke bilik Mirza dan tengoklah apa-apa yang patut. Jangan risau, anak saya belum balik lagi,” Ujar  Tuan Fahrin memberi keizinan.

                Adriana terkedu mendengar bicara kedua-duanya. Geram juga hatinya mendengar cadangan bodoh Yasmin itu. Untuk apa dia menyelongkar bilik budak itu? Lebih baik dia bertemu dengan Mirza dan bertanyakan sahaja pada anak muda itu apa yang mahu dipelajarinya?

                Tapi melihat jelingan tajam Yasmin, hendak tak hendak Adriana menurut. Dia segera menaiki tangga ke tingkat atas.

                “Bilik Mirza yang kedua dari kanan.” Tuan Fahrin berteriak sedikit.

                Adriana pura-pura tidak mendengar dan meneruskan sahaja langkahnya. Sebentar sahaja kelibat gadis itu sudah menghilang ke atas.

                “So what do you think?” Yasmin menoleh kearah lelaki itu.

                Tuan Fahrin sekadar tersenyum.

                “I like her.”

                Yasmin menjeling.

                “Suka? You tak fikir benda-benda lain kan?”

                Tuan Fahrinketawa besar mendengar kata-kata Yasmin. Dia menoleh ke arah Yasmin lalumemegang tangan wanita itu. Redup matanya menular pada wajah cantik dihadapannya.

                “Kenapa? You cemburu? Kalau cemburu, kenapa you bawa perempuan secantik itu ke rumah I?Selagi dia tak goda I, selagi itu I takkan usik cikgu anak I sendiri. You jangan risau.” Bisik Tuan Fahrin seraya mengenyitkan matanya.

                Yasmin tersenyum sinis. Boleh percaya ke? Dia membawa Adriana ke mari hanya sebagai umpan untuk mengalihkan perhatian Tuan Fahrin dari urusan perniagaannya. Bukan kerana dia ambil berat sangat fasal budak seperti Adham Mirza. Dengan sikap hidung belangTuan Fahrin, dia tahu tentu bukan mudah untuk Adriana menguruskan lelaki itu.

                “Sepanjang dia ada kat sini, you jangan nak buat yang bukan-bukan ya Fahrin. Adriana tu lain sedikit orangnya.” Yasmin memberi amaran seraya menjeling tajam ke arah lelaki itu.

                “Hmm...lepas you cakap macam ni, lagilah you buat I tertanya-tanya macamana orangnya Adriana tu.You nampak kenal betul dengan dia. Yas, cakap dengan I betul-betul. Dia bukan macam you kan?” Tuan Fahrin melirik wanita itu dalam-dalam.

                “Fahrin! Apa you cakap ni? Of course dia bukan macam tu. Kenapa? You takut sangat ke I bawa social escort untuk Mirza?”

                Tuan Fahrin ketawa terbahak-bahak.

                “Bukan itu maksud I. Tapi kalau ya pun tak apa, tapi bukan untuk Mirza, tapi untuk I.  Kalaulah macam Adriana yang cantik menawan tu, I tak kisah langsung.” Gelak Tuan Fahrin.

                Yasmin mencemik. Dasar lelaki! Dari cara lelaki itu asyik menilik wajah Adriana tadi,dia sudah tahu niat lelaki itu. Tuan Fahrin pantang tengok anak gadis berdahi licin, semua hendak disapunya. Nasib kaulah Rian! Pandai-pandailah kau selamatkan diri dari buaya ni nanti! Keluh Yasmin.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.