Home Novel Cinta Beautiful Lie
Beautiful Lie
Mazni Aznita
19/3/2020 10:56:10
75,164
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 2

BUNYI langsir diselak di biliknya menganggu tidurnya. Dia mengeliang-geliut di dalam selimut. Dari celah mata yang separuh terbuka, dia melihat sesusuk tubuh sedang menyelak helaian langsir di biliknya. Terkebil-kebil anak matanya memandang bentuk punggung montok yang sedang membelakanginya. Dahinya berkerut sedikit. Sejak bila ada maid seksi di rumahnya? Dia mahu bangun, tapi kulit kepalanya terasa menyengat. Dia mendesis kesakitan.

                “You ni siapa?”Soalan itu meluncur dari bibirnya.

                Wanita itu berpaling, menyerlahkan seraut wajah cantik yang bermekap agak tebal. Orangnya berusia dalam lingkungan lewat 30an tetapi kelihatan cantik dan agak seksi. Senyuman manis terukir di bibir itu.

                “Selamat pagi tuan muda. Bukankah you dah patut bangun dan pergi sekolah sekarang? Dah dekat pukul 7 dah ni.” Ujar wanita itu seraya mengerling jarum jam di dinding kamar itu.

                Dia terkedu.Betulkah wanita itu maid baru yang ayahnya upah? Tapi sejak bila pula agensi pembantu rumah mempunyai maid seperti itu? Pakaian ketat yang membalut tubuh wanita itu bisa membuatkan sesiapa yang memandang akan sesak nafas. Dirinya tidak terkecuali.

Wanita itu tiba-tiba mendekatinya. Menyedari wanita itu bermaksud mahu menarik selimut yang membalut tubuhnya, dia segera menyedari sesuatu. Cepat-cepat dia menarik selimutnya rapat ke tubuh.

Si wanita tergaman lalu ketawa kecil. Wajahnya sudah berubah kelat. Macam tahu-tahu sahaja wanita itu! Senyuman nakal itu membuatkan dia menarik nafas panjang. What the hell!

                “Do you mind? Keluar dari bilik I sekarang,  I nak bersiap.” Pintanya bagaikan satu arahan.

                Wanita itu langsung ketawa seraya memandangnya.

                “Nama I Yasmin.I kawan ayah you. Masa you balik lewat malam semalam, I nampak you. Hmm..tak baik anak muda macam you, masih bersekolah pulak tu, pulang mabuk-mabuk malam semalam. Mujurlah I ada. I yang tolong papah you masuk bilik.” Ujar wanita tersenyum.

                Dia terdiam mendengar penjelasan wanita itu. Patutlah kepalanya pusing sahaja. Teruk sangatkah dia mabuk malam semalam? Seingatnya dia hanya menjamah dua atau tiga gelas brandi yang keras sebelum dia tumbang. Entah siapa yang menghantarnya pulang pun dia tidak tahu. Mungkin Toi agaknya!

                Dia melemparkan pandangan sinis ke arah wanita di hadapannya.

                “Kawan papa I?Bukan girlfriend dia?” Soalnya tersengih-sengih.

                “I kawan dia,merangkap teman wanita dia. Dia tak pernah cerita fasal I?” Wanita itu menghampirinya di bucu katil.

                “I don’t think so.” Dia menggelengkan kepala.

                “Betul?” Wanita itu ketawa kecil bagaikan tidak kisah langsung dengan penafiannya.

                “Seriously, I pun tak perasan. Well, papa I tu suka longgokkan perempuan macam longgok baju terpakai. Siapa yang dia bawa balik tiap-tiap malam pun I dah tak ingat. Ramai sangat.” Ujarnya dengan nada sinis.

                Memang dia jujur bila mengatakan begitu. Baru dua malam lepas dia nampak ayahnya membawa seorang wanita balik ke rumah ini. Secara teknikalnya membawa masuk ke biliknya sendiri. Sekarang yang ini pulak?

Dia tersenyum sinis. Like father like son. Dia sendiri tidak ada beza dengan ayahnya. Mereka berdua hidup seperti dua lelaki bujang yang berkongsi rumah, bukan seperti antara ayah dan anak. Itu yang membezakan dirinya dengan kawan-kawannya yang lain. Ayahnya bukan jenis ayah tipikal yang mengawal anak-anak siang dan malam. Ayahnya lebih terbuka. Mungkin sangat terbuka sehingga kebanyakan sifat-sifat dan kelakuan buruknya datang dari ayahnya sendiri.

                Dia sedar,sejak kecil dia tidak pernah kenal tikar sembahyang. Dia tidak pernah berpuasa,tidak pernah ke masjid bersolat Jumaat dan tidak pernah melakukan apa-apa pun kecuali berpoya-poya dengan wang ayahnya.

                Namanya Adham Mirza, baru berusia 18 tahun. Dia sebenarnya mengulang setahun persekolahan kerana terlepas menduduki peperiksaan SPM. Ketika itu dia berada di Gunung Tebu mendaki bersama rakan-rakan abangnya. Meskipun akan menduduki peperiksaan, tapi dia tetap berdegil mahu mengikut abangnya Adrenaz Imran. Akibatnya mereka tersesat ketika mahu mencari jalan pulang dan dia pula mengalami kecederaan kerana terjatuh. Hampir dua hari juga baru mereka berjaya diselamatkan oleh anggota penyelamat dan orang-orang kampung terdekat. Itupun dia terpaksa menghabiskan masanya selama dua minggu di hospital merawat kakinya yang cedera.Itu yang menyebabkan dia sekarang adalah senior kepada teman-teman sekelasnya.

                “No SPM, no oversea. Get that?”

                “But pa, Mirza malu nak  ambil SPM tu. Mirza bukan budak-budak lagi.”

                “Adham Mirza,you tak pernah ambil SPM pun remember?Jadi kenapa nak malu pulak. Papa dengar you sekarang hot stuff kat sekolah you. So nak malu apa? Pergi sekolah, belajar dan kemudian habis SPM nanti, papa akan hantar you ke London macam Drew.” Ujar ayahnya.

                “But pa…”

                “No excuse this time. Sudahlah, papa ada dinner malam ni. Maybe papa balik lambat, jadi tak payah tunggu papa balik.” Lelaki itu sempat mengenyitkan mata seraya berlalu pergi dari situ.

                Dia mengeluh.Kenapa dia harus ke sekolah sedangkan Drew abangnya sedap-sedap sahaja buat apa sahaja yang disukainya di luar negara? Damn it Drew! Kau sukalah sebab aku kena dera dengan papa begini!

                “Hmmm…teruk dah anak Tuan Fahrin ni. Time-time macam ni masih sempat melamun?” Suara wanita itu muncul, menghentikan lamunannya.

                Yasmin sempat mengenyitkan mata sebelum beredar dari biliknya. Dia menoleh ke arah jarum jam di sudut dinding kamarnya. Mengenangkan hari ini dia terpaksa hadir ke sekolah,wajahnya mencemik kebosanan.

                Selesai mandi dan berpakaian uniform sekolah, dia turun ke bawah. Di meja makan, dia melihat ayahnya dan wanita yang ditemuinya tadi sedang rancak berbual-bual. Sesekali dia melihat tangan kedua-duanya bersatu. Hendak tersenyum dia melihatnya.Pemandangan yang biasa sahaja! Ayahnya jika hendak menggatal, tak perlu buat sorok-sorok. Di hadapannya pun jadi!

                “Good morning Mirza. Lewat sangat pagi ni, tak takut kena marah cikgu ke?” Tegur ayahnya seraya menggelengkan kepala.Pening melihat telatah anak lelakinya sendiri.

                “Lewat apanya pa? Awal lagi ni.” Ujarnya selamba.

                “Hmm…macam ni awal?” Menggeleng Tuan Fahrin mendengar kata-kata anaknya.

                Yasmin disamping lelaki itu hanya tersenyum mendengar perbualan dua beranak itu.

                “Oh ya, you berdua dah berkenalan?” Mata Tuan Fahrin menjeling ke arah wanita di sisinya.

                “Dah. I kejutkan tuan muda ni tadi. Bukan main liat lagi nak bangun pagi.” Ujar Yasmin seraya ketawa kecil.

                Mirza pura-pura tidak mendengarnya. Baharu dia mahu mengambil sekeping roti, tangan Yasmin sudah mendarat pada pinggan roti tersebut.

                “Biar I yang buat. You nak jem apa? Strawberry or blueberry?” Tanya Yasmin dengan senyum menggoda.

                “I nak makan nasi lemak sebenarnya. Tapi roti pun okey. Kalau you nak kahwin dengan papa I, you kena tahu memasak nasi lemak macam mama I.” Ujarnya selamba.

                “Mirza, behave yourself.” Tuan Fahrin menjegilkan biji matanya.

                Yasmin ketawa kecil mendengarnya.

                “It’s okay Fahrin. Anak lelaki you ni menarik, suka bergurau.”

                “Sorry Yas, dia ni memang macam ni.Mulutnya memang laju sikit.” Tuan Fahrin tersengih memandang wanita itu.

Sorry Mirza,I tak suka makan nasi lemak. Banyak kalori.” Bisik Yasmin seraya tergelak kecil.Dia menyapu jem strawberry pada roti di tangannya, digigit sedikit sebelum diletakkan di pinggan Mirza.

Mirza tercengang-cengang dibuatnya. Sejurus dia tersenyum sendiri. Dia mengambil beg sandangnya lalu mengeluarkan sesuatu dari beg tersebut.

                “Apa tu?” Tuan Fahrin mula tertarik pada objek di tangan Mirza.

                “Report card I.” Ujarnya tersengih

                Tuan Fahrin mengambilnya lalu menyelak helaian demi helaian.

                “Oh my God Mirza. Belum pernah lagi dalam keturunan kita yang tak pandai belajar. Teruk sangat ni, merah sana sini. Kalau Drew nampak, dia mesti ketawakan you. Kalau Tok Di kamu nampak, lagi teruk jadinya nanti.” Keluh Tuan Fahrin.

                “Kan I dah cakap dulu pa, I nak belajar kat luar negara macam Drew.”

                “Dan macam papa cakap dulu, kalau you tak mampu nak dapat keputusan yang baik dalam SPM, you tak layak ke luar negara sambung belajar macam Drew. Come on Mirza, you bukan bodoh cuma malas sahaja. Kalau macam ni la gayanya, papa patut upah cikgu untuk you.” Termenung panjang Tuan Fahrin dibuatnya.

                “Cikgu? No way papa. I dah bosan setengah mati kat sekolah tu and now you nak upah cikgu datang ke sini? Tak mahu! I don’t need them.” Mirza bingkas bangun dengan wajah bosan. Dia membetulkan beg sandangnya ke bahu lalu segera beredar dari ruang makan.

                Tak lama kemudian, bunyi enjin motorsikal berkuasa tinggi mula memekak di petak garaj,membuatkan Tuan Fahrin mengeluh panjang. Degil! Mujurlah anaknya yang seorang lagi Drew tidak sedegil Mirza. Entah apa yang patut dilakukannya untuk membaiki prestasi pelajaran anak muda itu. Diikutkan dari gred anak itu, memang sah Mirza langsung tidak pernah belajar apa-apa pun di sekolah. Entah apa yang budak itu buat di sekolah selama ini agaknya?

                “You tu manjakan sangat dia. Itu sebab dia jadi macam tu.” Yasmin di sebelah bersuara.

                Tuan Fahrin menoleh. Merenung tajam wajah wanita itu. Siapa Yasmin hendak mengajarnya apa yang boleh dan apa tak boleh dilakukannya pada anaknya sendiri?

                “Dia anak I,Yas.”

                “Dan you bapa paling open minded kat dunia ni I rasa. Dia minum arak you tak marah, dia ke kelab malam you tak marah.Jangan-jangan dia bawa balik perempuan pun you tak marah. Hebat you!” SindirYasmin seraya ketawa kecil.

                Tuan Fahrin menarik nafas panjang. Yasmin memang bermulut agak lancang dari mana-mana kenalan wanitanya. Namun dia tidak peduli dengan kata-kata wanita  itu. Meskipun dia dan Mirza tidak normal dimata orang lain, tapi dia benar-benar mahu Mirza berjaya dalam hidup.Sekurang-kurangnya dia mahu Mirza mewarisi syarikat Green Global kepunyaannya setelah Drew lebih suka mempelajari bidang lain. Suka atau tidak, Mirza harus belajar dengan seorang tutor. Tapi dari mana dia mahu mencari seorang tutor peribadi untuk Mirza? Keluh Tuan Fahrin bingung.

                “I nak cari tutor peribadi untuk Mirza. You tahu mana-mana cikgu yang boleh mengajar Mirza di rumah?” Ujarnya perlahan.

                Yasmin terdiam.Tutor? Dia termenung seketika.

                “I rasa I boleh bantu you. Kakak I pernah cerita fasal seorang tutor yang dia upah untuk anaknya. Bagus tutor ni. Keputusan peperiksaan anaknya pada mulanya merosot tapi sekarang dah meningkat lebih baik. Kalau you nak I tolong, I boleh carikan dia.” Ujar Yasmin menawarkan bantuan.

                “Betul you boleh tolong?” Tuan Fahrin mengerutkan dahinya.

                “Come on Fahrin. You ni macam tak percayaI aje.”

                “Manalah I tahu. I takut bukan cikgu yang you bawa datang ke mari tapi social escort.” Tuan Fahrin ketawa kecil.

                Yasmin tergelakmendengarnya. Social escort? Kalau begitu bukan setakat Mirza yang hendak belajar, tapi dengan Fahrin sekali mungkin! Melihat lelaki itu, entah kenapa ada sesuatu bermain di fikirannya. Adriana! Tiba-tiba sahaja nama gadis itu terlintas di fikirannya. Gadis secantik Adriana pasti sesuai menjadi umpan si hidung belang seperti Fahrin Attar dan anaknya.

                “Jangan risau,I yakin you akan suka dengan cikgu ni.”

                “I bukan risau fasal cikgu tu. Tapi I risau fasal Mirza. Dia tu jenis yang degil, sukar hendak dibentuk. I takut cikgu tu yang lari nanti bila jumpa dengan Mirza.” Keluh Tuan Fahrin.

                “Jangan risau,pandailah I cari yang garang nanti. Oh ya, you dah fikirkan apa yang kita bincangkan malam semalam?” Yasmin memandang tepat lelaki itu. Tutur katanya agak berhati-hati kali ini.

                Tuan Fahrin terkelip-kelip memandang wanita itu.

                “Semalam? I tak ingat kita bincang apa-apa kecuali…” senyuman nakal lelaki itu mula meniti dibibir.

                Yasmin ketawa kecil melihat jelingan Tuan Fahrin. Dia mula memahami maksud lelaki itu.

                “You ni teruklah Fahrin. Semalam kan kita ada bincang fasal business proposal I tu. Takkan you dah lupa.” Yasmin mencebik sedikit, seolah-olah sedang merajuk.

                Tuan Fahrin mengeluh.

                “I ingat lagi.Susah la I nak beri kata putus. Memang la Green Global tu I yang uruskan, tapi ayah I tetap pemilik sebenar. Selagi  Green Global masih anak syarikat Imperial Corporation,I kena discuss dengan dia dulu.” Ujar Tuan Fahrin.

                “You masih takut dengan ayah you tu ke? Bukankah dia ada kat Dubai sekarang?”

                “Ya, memang dia masih kat sana. Lepas dia jalani pembedahan jantung tu, dia terus ke sana berehat. Kerja-kerjanya kat Imperial pun penolong dia yang uruskan. Kat Green Global ni I yang uruskan. Tapi I tak nak lah berita-berita yang tak elok singgah kat telinga dia kat sana.” Ujar Tuan Fahrin.

                “I tak fikir dengan tukar syarikat pembekal barangan binaan tu boleh buat dia marah. Lagipun dengan adanya I, you boleh dapat barangan-barangan tu dengan harga yang jauh lebih murah.” Pujuk Yasmin.

                “I memang tertarik dengan offer you tu, tapi kami dah lama bekerjasama dengan syarikat Uncle Tommy tu. Dia tu salah seorang kawan baik ayah I. Ia tak semudah yang you sangka Yas”

                Yasmin terdiam.Lelaki itu seperti tidak makan dipujuk. Puas dia memikirkan apakah ikhtiar yang boleh diusahakannya untuk memastikan Fahrin akur dengan permintaannya.

                “Look, mungkin you tak percaya dengan I sebab I ni orang luar. Bagaimana kalau you jadikan I salah seorang pemegang saham Green Global? Pasti keadaan ini akan jauh berbeza kan?” Cadang Yasmin dengan wajah tenang.

                “You nak jadi pemegang saham??

                “I ada duit Fahrin. I can help you. Lagipun you sendiri cakap dulu you ada rancangan nak bida banyak projek-projek besar tapi you tak ada aliran tunai yang banyak kan? Well I’m here, I can help you. Ayah I pun boleh tolong you.” Ujar Yasmin dengan wajah serius.

                Tuan Fahrin terdiam. Terfikir juga dia kenapa Yasmin begitu berminat dengan urusan syarikatnya. Apa yang istimewanya dengan Green Global sehingga adakalanya dia merasakan Yasmin seperti agak mendesaknya. Tapi dia akui tawaran itu agak menarik. Memang dia perlukan banyak wang untuk membida tender banyak projek-projek baru.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.