Home Novel Cinta THE PERFECT COUPLE
THE PERFECT COUPLE
Dea Zoraya
13/9/2016 15:22:48
107,314
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Bab7

Aku mengeluarkan angin dari tayar bahagian belakang keretaku sejurus aku memberhentikan kereta di persimpangan jalan yang tidak jauh dari bengkel tempat Fahin bekerja. Tujuanku memancitkan tayar keretaku itu adalah kerana aku mahu menjadikan ianya alasan untuk aku menemui Fahin. Fokus aku hari ini adalah untuk meneruskan rancangan menguratku yang tergendala semalam. Hasratku itu menjadi bertambah kuat apabila aku sukar untuk melelapkan mataku malam tadi kerana di dalam kepalaku asyik sahaja terbrnayangkan adegan Fahin menghulurkan tangannya ke arahku dan berkata ‘Jangan takut, saya ada untuk awak Eryna.’

“Siapa suruh dia cakap macam tu? Kan dah buat hati aku ni rasa lain macam.” Ujarku sendiri.

Telefon bimbitku berdering sejurus  aku masuk ke dalam tempat duduk pemandu. Nama Haris tertera di atas skrin telefon. Aku masukkan semula telefon bimbitku itu ke dalam beg tanganku tanpa menjawabnya. Aku kembali meneruskan pemanduanku untuk ke bengkel tempat Fahin bekerja dan lebih kurang lima minit kemudian aku memberhentikan keretaku di hadapan bengkel itu. Sebaik sahaja aku melangkah keluar dari kereta, Man Kicap tiba-tiba meluru menyambut ketibaanku.

“Muka akak kenapa? Abang Fahin pukul akak ke semalam? Tak apa...saya tolong balas untuk akak.” Man Kicap yang nampak bengang itu terus melangkah untuk mendapatkan Fahin.

Aku segera menghalangnya. “Eh...kejap Man. Mana ada Fahin pukul akak. Akak terjatuh bilik air lah semalam.” Aku berbohong kerana tidak mahu Man bertanya banyak tentang kesan lebam di tepi bibirku.

“Macam tak percaya aje. Takkan jatuh bilik air muka akak lebam teruk macam ni.” Man memandangku curiga.

Mulut aku tergagap-gagap untuk memberi alasan yang bernas dan munasabah kepada lelaki itu. Namun deheman dari seseorang yang datang dari arah belakang segera menyelamatkan aku.

“Kau buat apa lagi kat sini?” Mendatar suara Fahin menyoalku lalu air teh o ais ditangannya itu disedut laju. Wajahnya langsung tiada reaksi. ‘Reaksi rindu kepadaku? Jangan berangan Eryna...jauh sekali.’ Aku bermonolog di dalam hati.

“Tayar saya pancit.” Mulutku pantas memberi alasan namun mataku tidak lepas dari memandang ke arah wajah kacaknya itu.

Baru aku perasan kedua-dua belah pipi lelaki itu nampak berwarna merah jambu. Mungkin kerana terik matahari pada tengah hari itu agaknya. Entah mengapa sebuah senyuman tercalit di bibirku kerana ini pertama kalinya aku melihat lelaki yang dikurniakan pipi berwarna merah jambu asli! Cemburu pula aku jadinya kerana aku yang perempuan ini pun tidak dikurniakan pipi gebu seperti itu.

“Dah kau senyum macam kerang busuk tu kenapa? Kau ni asal tengah hari aje mesti ada kat sini. Butik kau tu siapa jaga?” Fahin yang tidak berperasaan itu seperti biasa mempamerkan kedinginannya.

Kelembutan hatinya hanya akan terserlah hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja sebagai contoh seperti semalam ketika aku di dalam kesusahan. Baik-baik aje perkataan yang keluar dari mulutnya. Hari ini personaliti kayu nya itu kembali semula.

“Kawan saya ada jaga butik tu. Tayar kereta saya pancit lah. Sebab tu saya datang sini.” Ujarku ketika aku  berjalan seiringan dengannya untuk masuk ke dalam bengkel.

Fahin menyedut air di tangannya sambil matanya tertumpu ke arahku. “Banyak-banyak bengkel kat Shah Alam ni kenapa lah kau nak datang sini jugak? Berlambak bengkel ada dekat butik kau tu...kat sini jugak kau nak menyibuk.”

Dia kembali menyedut air teh o aisnya yang lebih menarik perhatian daripada untuk berbual-bual denganku.

“Sebab saya nak awak jadi suami saya!” Jawabku berani.

Terus tersedak lelaki itu sejurus aku memberikan satu pengakuan berani mati. Merah padam wajahnya dibuatnya.

“Kau ni dah gila ke apa? Pekak jugak kan? Semalam aku dah terang-terang katakan yang aku tak berminat dengan mana-mana perempuan termasuk kau. Susah sangat ke kau nak faham?” Lelaki itu mula naik angin.

Aku mempamerkan wajah sedihku berharap dapat melembutkan hati lelaki itu yang keras.

“Kenapa awak tak suka saya?” Perlahan aku menyoal.

Terdengar sebuah keluhan keluar dari mulut lelaki itu. “Sebab aku tak nak. Itu aje.”Sejurus itu dia berjalan meninggalkan aku.

Aku segera mengekorinya ke bahagian yang menempatkan barang-barang spares part di bahagian kiri bengkel. “Awak tak nak? Kenapa? Saya ni tak cukup cantik ke? Semalam awak kata awak tak suka pakaian saya...hari ini saya pakai baju kurung ni sebab awak tegur saya semalam tau.” Aku merengek manja. Tidak mahu mengalah untuk menarik perhatiannya.

“Kau nampak spanar kat tangan aku ni?” Fahin menyoalku.

Aku mengangguk dalam bingung. “Nampak. Kenapa awak tanya?”

“Ini kalau aku ketuk kat kepala kau mahu kau hilang ingatan terus tau. Terus lupakat aku selama-lamanya. Jadi...jangan terus mengarut boleh tak sebelum aku hilang sabar okay.” Fahin mendekatkan spanar di tangannya itu dekat ke wajahku.

“Awak nak saya pakai tudung ke?” Tanyaku lagi.

“Eh! Suka hati lah kau nak pakai ke tak. Tak ada kena-mengena dengan aku pun. aku bukannya laki kau pun yang kena tanggung dosa kau tak tutup aurat pun. Kau jangan mengarut lagi. Pergi balik sekarang. Tayar pancit tu alasan kau je. Bla dari sini sebelum aku heret kau keluar.” Fahin menengkingku. Dia benar-benar marah nampaknya.

Aku mengeluh. Ah...sukarnya untuk memikat lelaki ini. Apakah cara yang harus aku lakukan lagi agar lelaki itu dapat membuka matanya memandang ke arahku dan menyedari akan kewujudanku? Entah mengapa jerkahannya itu terasa meresap masuk ke dalam hati. Airmataku menitis tanpa aku pinta. Sekali lagi aku menebalkan mukaku kerana dirinya yang akhirnya aku sendiri yang menanggung malu kerana ditolak mentah-mentah oleh lelaki itu

“Kalau awak tak suka saya sekali pun...janganlah tengking saya macam tu sekali. Saya tahulah saya ni tak sempurna tapi awak janganlah hina saya sampai macam tu sekali.Tak mengapalah kalau awak tak suka saya, saya janji tak akan datang sini lagi.” Aku menahan rasa geram.

“Dah...jangan datang lagi. Balik.” Ujarnya lagi. Suara itu benar-benar menyakitkan hati aku.

Aku tunduk memandang lantai. Beberapa saat kemudian, aku berpusing dan melangkah menuju ke arah pintu keluar. Baru beberapa langkah aku melangkah, bahuku dilanggar oleh seseorang. Aku memandang ke arah seorang gadis yang mungkin lebih kurang sebaya denganku itu.

“Apasal kau langgar aku?” Gadis itu tiba-tiba menolak bahuku.

Aku terkedu dengan tindakannya yang biadap itu. Siapa yang langgar siapa ni?

“You yang langgar bahu I.” Balasku.

“Kau memang buta kan? Sengaja nak carik pasal. Dah lah bla...” Gadis biadap yang hanya berskirt pendek yang jauh lebih seksi dariku itu menjelingku sebelum dia melangkah masuk ke dalam bengkel.

Huh! Aku melepaskan sebuah dengusan. Bengang dengan sikap biadap perempuan yang tidak aku kenali itu. Tanpa berfikir panjang aku terus mengikuti gadis itu dan masuk semula ke dalam bengkel. Aku mahu perempuan biadap itu meminta maaf denganku kerana pertama dia yang melanggar bahuku dan kedua kerana dia menolak dan berkata-kata kesat denganku. Aku tak akan mengalah sebelum berlawan!

“Sayang.....”Gadis itu meluru ke arah seseorang dan terus memeluk belakang seorang lelaki.

Dan....lelaki itu adalah Fahin! Terasa rahangku sudah jatuh hingga ke lantai tatkala aku terpandang akan adegan sebabak itu. Kini di hadapan mataku jelas aku melihat gadis itu memeluk belakang Fahin erat dan entah mengapa hatiku mula terasa berbahang. Tadi lelaki itu bukan main berceramah tentang dosa lah, tentang penampilanku yang bukan citarasanya lah katanya...tapi kini dia sendiri membiarkan seorang gadis yang terlampau seksi itu memeluknya pula. Dasar lelaki hipokrit! Aku mengutuknya di dalam hati.

Namun rasa marahku mula beransur apabila aku melihat Fahin menolak tangan gadis yang memeluknya itu jauh dari dirinya. “Zahra...you buat apa datang sini?” Aku lihat Fahin mencekak pinggangnya.

“I datang sebab rindu you lah sayang. Dah dua minggu kita tak jumpa sejak I ke Paris. You pun dah lama tak balik vila. Kakak you kata you lebih suka duduk menyewa dengan kawan-kawan you yang tak ada kelas tu. You rindu I tak sayang?Ala... I baru peluk sikit takkan you dah marah.” Ujar Zahra dalam rengekan manja.

Aku rasa nak termuntah mendengar rengekan gadis itu. Rasa nak terkeluar nasi dan ikan pari masak asam pedas yang aku makan tengah hari tadi. Tiba-tiba aku menyedari akan sesuatu yang membuatkan aku menyesal.

“Macam ni lah Fahin rasa agaknya bila aku merengek manja dengan dia selama tiga hari projek mengurat ni berlangsung. Sumpah aku tak akan buat lagi. Eee....gerun.” Aku menahan rasa loya dengan mengurut-urut dadaku.

Aku tidak jadi untuk meneruskan perbalahan dengan gadis yang mungkin teman wanita Fahin itu kerana aku kini menyedari yang tiada guna lagi untuk aku meneruskan projek mengurat Fahin. Lelaki itu ternyata sama sahaja seperti lelaki lain di luar sana yang kalau cakap bukan main handal, tapi habuk pun tak ada.

Aku berpusing untuk meninggalkan bengkel itu namun langkahku terhenti apabila namaku tiba-tiba diseru.

“Eryna....sayang.”

“Sayang?” Aku terkejut apabila lengan baju kurungku tiba-tiba dirangkul oleh Fahin yang entah bila sudah berada di sebelahku itu.

Aku tekedu dengan perbuatannya yang sangat spontan itu. Bukan apa aku tekejut kerana tiba-tiba disergah seperti itu. Aku segera menarik lengan kananku dari rangkulan tangannya.

“Awak ni dah kenapa pegang-pegang saya? Dosa tau tak.” Aku memulangkan paku buah keras kepadanya.

“Eryna....kau tolong aku. Sekejap aje. Aku janji akan tolong kau apa saja lepas ni. Kau cakap aje kau nak apa. Aku akan ikut. Tapi kali ni tolong aku...” Gumam Fahin perlahan.

“Who is she?” Gadis yang berwajah bengis itu menudingkan jarinya tepat ke arah wajahku.

Aku tersenyum sinis sebelum aku melibas jari gadis itu jauh dari wajahku. Aku memang pantang kalau orang menuding jari ke arah mukaku.

“How dare you....”

Belum habis perempuan itu bercakap aku segera memotongnya. “You ni memang jenis yang biadap kan? Dah langgar orang tak minta maaf lepas tu salahkan orang lain pulak. Sekarang ni main tunjuk-tunjuk muka aku dah kenapa?” Ujarku berani.

“Eryna....”Fahin memanggil namaku.

Dari cara Fahin memandangku aku tahu dia terkejut melihat perubahan personaliti dan emosiku.

“Kenapa Abang Fahin pegang tangan kau tadi? Kau ni siapa hah? Kau nak rampas Abang Fahin dari aku kan? Aku dah jumpa banyak perempuan yang murah macam kau ni lah yang nak hidup senang dengan menggoda lelaki kaya.” Gadis itu bertindak agresif dengan menolak bahuku.

“Zahra sudah...”Fahin menghalang.

“Kau ni dah gila ke apa ni? Menjerit macam orang hilang akal.” Ujarku namun gadis bernama Zahra itu masih memandangku tajam.

“Jawablah?Kenapa kau nak perhatian Abang Fahin? Kenapa kau nak rampas tunang aku?!” Kuat gadis itu menjerit memarahiku. Sejurus itu aku terasa pipi kiriku terasa berbahang ditampar oleh perempuan itu.

Aku memegang pipiku yang terasa perit.

“Kenapa? Kau tak puas hati? Tamparlah aku balik kalau kau berani?” Jerkahnya lagi.

Belum sempat Fahin menarik gadis itu menjauhiku aku lebih pantas bertindak. Pang! Aku menampar pipi kanan perempuan biadap itu sepenuh hati. Belum sempat gadis itu bersuara, kali ini pipi kirinya pula menjadi mangsa tamparan aku. Pucat lesi wajahnya memandang ke arahku.

“Kenapa kau ingat aku tak berani balas ke?” Kataku tegas sambil kedua-dua belah tanganku menolak bahunya ke belakang.

Gadis bernama Zahra itu nampak ketakutan dan tidak garang seperti singa betina lagi seperti tadi. “Siapa yang murah? Kau yang murah sebab menjerit macam orang gila.” Sekali lagi bahunya aku tolak.

Zahra semakin berundur ke belakang dan tangannya masih memegang bahagian pipinya. Bisa kan kena pelempang dengan aku kan? Aku balas dua kali sebab itu balasan kau sebab berani cari pasal dengan aku.”

“Perempuan gila!” Zahra menjerit tidak puas hati.

Aku mengalih pandanganku ke arah Fahin. “Saya tak nak masuk campur dalam apa sahaja urusan awak dengan perempuan ni. Jangan libatkan saya dengan siapa pun dia ni.Saya tak kisah dia bini awak ke, tunang ke bukan hal saya. Hal saya dengan perempuan dah selesai. Dia biadap dengan saya...sekarang ni saya dah balas balik.” Aku sempat menjeling Zahra sebelum aku melangkah meninggalkan bengkel itu.

Baru selangkah aku menapak, aku tiba-tiba teringat akan sesuatu yang aku rasakan perlu untuk aku suarakan. Aku menoleh semula ke arah Fahin. “Oh ya...alang-alang awak dah buat pengakuan tak suka saya, saya jugak ada pengakuan yang saya nak katakan pada awak. Saya harap awak tak tampar saya macam perempuan ni buat tadi.” Aku sengaja memprovokasi Zahra yang sedang dipegang oleh Fahin itu.

“Apa yang berlaku sepanjang tiga hari saya berkenalan dengan awak ini hanyalah lakonan rekaan saya semata-mata. Bermula dengan kemalangan tu...saya sengaja aturkan supaya saya dapat kenal dengan awak. Semalam tu...saya upah orang untuk pukul saya lepas Man telefon saya bagitau awak nak hantar kereta kepada saya.Jadi untuk tarik perhatian awak, saya sengaja biarkan diri saya nampak kasihan di mata awak. Rancangan saya hanyalah untuk jadikan awak suami saya hanya untuk satu hari. Sebabnya saya nak mengelak untuk kahwin dengan lelaki lain.”

“Kauni siapa sebenarnya?” Tergagap-gagap Fahin menyoalku. Wajah putihnya nampak pucat setelah mendengar pengakuan dariku yang sengaja aku reka untuk menyakitihatinya.

“Terkejut bukan? Takut dengan perubahan diri saya? Inilah diri saya sebenar. Saya rasa nak muntah berlakon bermanja-manja dan merengek depan awak semata-mata untuk tarik perhatian awak. Tapi awak langsung tak kisah pun.” Tambahku.

“Tapi kenapa kau cakap semua ni dengan aku?” Fahin nampak lemah. Terkejut kerana dia menyangka dirinya telah dipermainkan olehku.

“Sebab awak hina saya. Awak tak pernah pandang saya ni sebagai seorang perempuan. Saya tebalkan muka saya demi untuk berkawan dengan awak. Tapi awak terus prejudis,terus benci saya. Lagi membuatkan saya kecewa dengan awak adalah sebab awak hipokrit.” Mataku mula bergenang dengan airmata apabila mindaku kembali mengingati bagaimana lelaki itu begitu prihatin terhadap diriku semalam.

“Hipokrit?”Soalnya.

Aku mengangguk. “Awak hina saya dengan kata saya ni bukan citarasa awak. Tapi sebenarnya tunang awak jauh lebih teruk dari saya. Saya terima kata-kata hinaan awak tu sebagai satu teguran yang baik untuk saya berubah. Hari ni awak buatkan saya tersedar yang saya tak boleh labelkan siapa diri seseorang itu melalui penampilan luarannya. Macam awak nampak baik tapi dalam hati penuh dengan sangka buruk.”

Akumenarik nafas sebelum menyambung lakonanku. “Emm...saya nak buat macam mana,nampaknya kenalah terima lamaran lelaki yang dijodohkan dengan saya tu. Atau tidak pun saya lari hilangkan diri buat selama-lamanya.” Aku tersenyum namun di dalam hati aku menangis hebat mengenangkan yang mungkin takdirku akan berakhir dengan kesengsaraan dan airmata apabila aku menerima Abang Karim kelak.”

“Eryna....aku...aku err...” Fahin mendekatiku.

Aku mengisyaratkannya untuk berhenti. “Terima kasih dengan ubat yang awak bayarkan semalam. Rasanya itu sahaja hutang saya dengan awak.” Ujarku lalu sekeping not lima puluh ringgit aku letakkan di atas meja.

Bersama sebuah senyuman yang aku ukirkan untuknya, aku melangkah pergi dari bengkel itu yang di dalam erti kata lainya aku melangkah pergi dari kehidupan lelaki itu untuk selama-lamanya. Selamat tinggal Fahin. Akan tetapi...duhai hati kenapa kau terus menangis pula?

 

Previous: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.