Home Novel Cinta THE PERFECT COUPLE
THE PERFECT COUPLE
Dea Zoraya
13/9/2016 15:22:48
107,328
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“Apa yang I dapat kalau I tipu you? I ada dekat rumah sekarang ni. Tak keluar ke mana-mana pun.” Aku bersuara manja bagi menyakinkan Si Pemanggil di hujung  talian sana walaupun sebenarnya tanganku sedang sibuk memutarkan stereng kereta Honda berwarna biru milikku membelok ke arah kanan untuk menuju ke arah Shah Alam.

Aku terpaksa menipu Haris kerana aku tidak mahu lelaki itu terlalu mengongkong kehidupanku. Bagiku lelaki itu bukanlah seseorang yang istimewa di dalam hidupku dan aku pula tidak perlu untuk mengikuti segala telunjuknya. Haris hanyalah salah seorang dari teman baikku. Tiada apa yang aku boleh lakukan jika hampir setiap hari lelaki kacak, kaya dan bergelar cucu jutawan itu mengejarku dengan menawarkan wang, perhiasan berbentuk emas berlian dan makan malam yang mewah semata-mata mahu menarik perhatianku untuk menjadi teman wanitanya. Sudahnya aku hanya membiarkan sahaja kerana lelaki itu tidak makan dengan kata-kata penolakan 'tidak' dariku. Biarlah. Pasti lama-kelamaan dia akan mengalah jua. Aku berandaian.

Haris memang nampak sempurna di mata mana-mana wanita tetapi bukan di mata aku. Aku bukan membenci lelaki atau mengecam insan bernama lelaki,cuma aku masih tidak bersedia untuk melangkah ke arah satu hubungan yang lebih serius. Aku takut. Takut disakiti, takut dikhianati dan yang paling menakutkan adalah kemungkinan ditinggalkan oleh orang tersayang apabila aku sudah sepenuh jiwa menyayangi dan mencintai. Contoh terbaik yang telah memberiku pengajaran agar tidak terlalu menyayangi orang lain adalah ibuku sendiri. Aku ditinggalkan ibu kandung sendiri sejak dari kecil hanya kerana ibuku menyintai lelaki lain yang kaya-raya dan meninggalkan arwah ayah yang bekerja sebagai mekanik yang berpendapatan rendah.

“I sayang pada you Eryna. Sejak akhir-akhir ini I ada terdengar dari mulut kawan-kawan I tentang you which is I tak suka dengar.“ Ujar Haris yang membuatkan aku tersenyum sinis.

“You percaya pada I atau kawan-kawan you?” Aku bernada merajuk. Sengaja aku mahu menguji hati lelaki yang berusia dua puluh lapan tahun ini.

Of course I percaya you Eryna. Janganlah merajuk nanti I tak boleh kerja sepanjang hari asyik teringatkan you aje. Susah I nanti.” Haris memujuk sebelum dia ketawa di hujung sana. Ketawanya itu langsung tidak menjentik hatiku untuk turut ketawa. Mungkin kerana di dalam hatiku tiada perasaan cinta untuknya. Haris tiada bezanya dengan kawan-kawan lelakiku yang lain.

“Kalau you percaya pada I... kita sambung berbual nanti boleh. I ada kerja sikit nak buat ni. Bye!” Ujarku segera mematikan talian tanpa menunggu balasan sapaan darinya. Telefon bimbit yang sejak tadi aku lekapkan di telinga kiri, terus aku campakkan ke atas kerusi penumpang di sebelah.

Mataku kembali terarah ke  jalan raya di hadapan. Cermin mata hitam yang tergantung di atas batang hidung aku betulkan sedikit. Tidak semena-mena ingatanku kembali menerawang mengingati saat-saat terakhir ibu meninggalkan aku dan arwah abah tujuh belas tahun yang lalu. Bermula dari perpisahan itu lah satu-persatu peristiwa hitam menimpa diriku yang membuatkan zaman kanak-kanakku penuh dengan penderitaan, kesakitan, kesedihan dan dendam. Malah yang paling menyakitkan adalah ketika arwah Abah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya ketika aku berusia dua belas tahun.

“Oh!” Aku tersentak apabila aku baru menyedari yang aku hampir melanggar sebuah motorsikal yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Kakiku terus menekan pedal brek sekuat hati. 

Aku melepaskan sebuah keluhan lega. Aku menyalahkan diri kerana terlalu ikutkan perasaan dengan mengingati kenangan lama yang hampir membuatkan nyawaku melayang. Perlahan-lahan aku memandu keretaku ke arah bahu jalan agar aku dapat berehat dan menenangkan rasa panik yang menerjah diri.

Aku tersentak apabila cermin tingkap keretaku tiba-tiba diketuk oleh seseorang. Aku memberanikan diri menurunkan cermin tingkap dengan menekan suis di pintu kereta dari sebelah dalam.

“Turun sekarang! Tengok apa yang kau dah buat...” Lelaki berkulit cerah yang mungkin berketurunan Cina itu sedikit meninggi suara memarahiku. Namun kata-katanya terhenti tatkala aku membuka cermin mata hitam yang menutupi mataku.

Ya! Lelaki itu sudah terpaku. Lelaki yang datang entah dari mana ini bukanlah lelaki pertama yang terpukau dan jatuh hati melihat anak mata berwarna Hazel milikku. Perlahan-lahan bibirku mengukir sebuah senyuman yang menampakkan barisan gigiku yang tersusun rapi. Bertambah manis dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipiku.

“Apa yang I dah buat?” Ujarku memandang anak mata hitam yang bagaikan sedang dipukau itu. Aku melepaskan sebuah keluhan apabila lelaki itu tidak memberi sebarang respon.

“Hello!” Aku mengetik jariku di hadapan wajahnya yang terus membuatkan lelaki itu seakan-akan tersedar. Aku lihat dia meraup matanya beberapa kali sebelum wajahku kembali di pandangnya.

“Macam mana kau bawak kereta? Brek mengejut tiba-tiba dekat tengah-tengah jalan sibuk macam ni dah kenapa?  Kau nampak apa yang dah jadi pada barang-barang atas lori aku tu?” Lelaki itu memarahiku.

Aku sendiri tidak tahu apa kesalahan yang telah aku lakukan sampaikan aku telah membuatkan lelaki di hadapanku ini jadi meroyan tak tentu pasal. Aku memandang ke arah cermin sisi kereta untuk melihat ‘barang-barang di atas lori yang jatuh’ yang dimaksudkan lelaki itu. Di sebalik biasan cermin itu aku dapat lihat beberapa buah kotak besar bertaburan di atas jalan raya.

“I nampak barang-barang you berterabur atas jalan tu, tapi apa salah I sampai you marah-marah pulak ni?” Soalku tanpa rasa bersalah.

Aku nampak lelaki itu melepaskan sebuah dengusan. Bagiku aku tidak melakukan apa-apa kesalahan. Aku hanya menekan brek untuk mengelakkan sebuah kemalangan yang mungkin akan mengakibatkan kehilangan jiwa.

“Tak sedar kesalahan sendiri ke? Kau brek mengejut tadi dan itu membuatkan aku brek mengejut jugak. Kerana itu lah barang-barang spare part atas lori itujatuh berterabur atas jalan.” Lelaki itu masih lagi tidak berpuas hati.

Aku menjelingnya sambil sebuah senyuman sinis tergaris di bibirku. Aku alergi dengan spesis lelaki seperti ini. Yang suka marah-marah dan tak reti cakap elok-elok. Aku benci kekerasan. Bagiku lelaki ini sama seperti Pak Long Leman dan anaknya Abang Karim. Dua orang saudara lelaki yang telah banyak membuatkan hidupku menderita.

“Berapa you nak duit ganti rugi? Seribu? Dua? Atau nak lebih tambah sekali dengan duit kopi?” Aku mempamerkan wajah sombong sambil aku mencapai beg tangan jenama Coach yang teletak di bawah tempat duduk belakang lalu beberapa not lima puluh ringgit aku keluarkan.

Lelaki berwajah Chinese look yang sangat fasih berbahasa melayu itu tiba-tiba sahaja ketawa kuat yang terus membuatkan aku memandangnya tajam.

“Kau hina aku ke apa ni? Aku tak nak duit kau lah perempuan sombong. Aku nak kau mintak maaf!” Tajam mata lelaki itu menikam wajahku.Wajahnya yang putih kekuningan itu sudah bertukar kemerah-merahan. Aku tidak pasti ianya kerana kepanasan atau disebabkan oleh kemarahan.

“I tak salah apa-apa dan tak ada sebab nak minta maaf. I boleh bayar ganti rugi barang-barang you yang rosak tu. Lagipun I tak kuasa nak buang masa nak layan lelaki panas baran macam you. I tak suka lelaki jenis marah-marah macam you ni tau tak. Ambil duit ni atau I campak?” Ugutku dengan berani.

Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tangannya mencekak pinggangnya. “Aku tak pernah jumpa perempuan kurang ajar macam kau ni seumur hidup aku. Ini kali pertama aku jumpa perempuan yang buat aku hilang rasa hormat. Kalau kau adik aku dah lama aku tampar muka kau tu.” Kata-kata lelaki itu bagaikan satu penghinaan terhadapku.

Tidak semena-mena aku kembali terbayang bagaimana Abang Karim menampar dan menumbuk wajah dan tubuhku sehingga berdarah dan lebam apabila setiap kali aku tidak membawa wang pulang selepas selesai membantu Pak Seman menjual ikan di pasar malam di kampung ketika aku masih di sekolah menengah suatu ketika dahulu. Aku benci Abang Karim. Benci kerana aku sering kali menjadi mangsa pukul Si kaki judi yang tidak berguna. Tiada bezanya juga dengan Pak Long Leman. Kadang kala aku tidak lagi merasa kesakitan dipukul. Aku menjadi lali apabila hampir setiap hari ada sahaja kesan luka dan lebam di badanku.Inilah yang aku dapat menjadi  penumpang. Menumpang kasih di rumah ayah saudara yang tidak bertanggungjawab.

Tiba-tiba sahaja peluput mataku mula bergenang dengan airmata. Agak lama wajah lelaki itu aku pandang. Dia juga aku perasan mula melarikan anak matanya ke arah lain apabila terkesan aku mula mengalirkan airmata.

Aku segera menyeka airmata yang mula mengalir dengan hujung jariku. Aku sendiri tidak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini aku terlebih sensitif. Aku tidak dapat mengawal emosi di depan orang yang tidak dikenali pula. Ini bukan diriku yang sebenar. Aku harus kuat. Tak perlu lemah lagi Dea Eryna!

“Silakan kalau awak nak tampar saya. Saya dah biasa dah kena pukul.” Ujarku menahan sebak.

Lelaki itu seakan-akan nampak terkejut dengan perubahan emosiku. Wajahnya juga sudah tidak setegang tadi. Mulutnya tergerak-gerak seakan-akan mahu menuturkan sesuatu namun tidak terkeluar. Pasti rasa bersalah sedang menjalar di dalam hatinya kerana telah membuatkan aku menangis.

“Err...err aku minta maaf. Aku tak bermaksud nak marah kau. Aku tak berniat pun nak tampar kau ke apa. Aku terlepas cakap. Aku tak suka kalau kemalangan terjadi itu aje. Dah lah kau boleh pergi. Anggap aje tak ada apa-apa berlaku. Hati-hati memandu.” Ujar lelaki itu lembut yang sedikit menarik perhatianku untuk meneliti setiap inci dan sudut wajahnya.

‘Siapa sebenarnya dia ni? Melayu ke Cina? Mana satu watak dan sifatnya? Yang marah-marah tadi atau yang lembut yang baru sahaja membuatkan hati aku merasa sejuk?’Aku berkata-kata sendiri di dalam hati.

Aku mengangguk sebelum hulurkan sejumlah wang tunai dua ribu ringgit ke arahnya. Lelaki itu memandang wang di tanganku sebelum matanya beralih ke arah wajahku.

“Tak perlu bayar ganti rugi apa-apa. Simpan duit kau tu.”Ujarnya sebelum dia berlalu meninggalkan aku.

Entah mengapa aku merasakan maruahku sedikit tercalar dengan tindakan lelaki itu yang bagaikan tidak mempedulikan aku. Atau sebenarnya aku bengang kerana lelaki itu tidak sama seperti lelaki-lelaki yang aku kenali?Yang bukan jenis mudah jatuh cinta dengan kecantikkan wajah yang aku miliki.

“Tunggu!” Panggilku.

Aku membuka pintu kereta dan mula melangkah keluar untuk mendekati lelaki itu. “Boleh bagi I kad you. You kira dulu berapa kerosakan barang-barang semua itu dan minta aje pada I nanti. I tak suka terhutang budi.”Aku berterus terang.

Aku nampak bibir nipisnya sedikit mencebik dan bahunya sedikit terangkat yang membuatkan aku melabelkan dirinya ‘agak annoying’. Aku pula yang nampak terkejar-kejar sedangkan dia yang sedang berdiri di hadapanku ini nampak langsung tidak berminat denganku.

Tidak sampai beberapa saat sekeping kad dihulurkan kepadaku. Aku ambil lalu aku baca tulisan yang tertera di atasnya.

“Man Kicap? Mekanik?” Sebutku dengan nada sedikit pelik. Nama itu tidak sesuai langsung dengan wajah yang dimiliki lelaki itu.

“Kenapa? Hina ke kerjaya seorang mekanik kereta?” Soalnya pula bagaikan mengujiku.

“I tak cakap apa-apa pun. Jangan bersangka buruk boleh. Igerak dulu. Kalau you rasa nak minta ganti rugi just call me.” Aku memakai semula cermin mata hitam sebelum melangkah masuk ke tempat duduk pemandu dan memecut pergi.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.