Home Novel Cinta THE PERFECT COUPLE
THE PERFECT COUPLE
Dea Zoraya
13/9/2016 15:22:48
107,308
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Bab6

Huluran tangannya itu tidak aku sambut. Malah wajahnya aku pandang lama bersama satu perasaan aneh yang mula bercambah di dalam diri yang sukar untuk aku mengertikan maksudnya. Adakah ini rasanya mencintai seseorang? Atau adakah ini yang dinamakan rasa malu? Aku keliru dengan perasaan sendiri.

Perlahan-lahan aku menggumpul seluruh daya yang masih ada untuk kembali berdiri. Masih sama seperti tadi senyuman manis masih melekat di wajah lelaki itu yang aku tidak pasti adakah senyuman diiukir kerana lelaki itu ikhlas ataupun itu hanyalah sebagai sebahagian daripada tindak balas di atas rasa kasihannya terhadap keadaanku.

“Saya nak ke bilik air sekejap. Awak letak sajalah kunci kereta atas meja sana tu.Terima kasih kerana hantar kereta saya ke sini.” Ucapku namun wajahnya tidak aku pandang.

Aku merenung lesu wajahku di sebalik biasan cermin di dalam bilik air. Perlahan-lahan sebuah keluhan aku lepaskan, yakni sebuah keluhan yang aku harapkan dapat membawa keluar sekali beban dan kesakitan yang ada di dalam diri. Namun ianya tidak menjadi sama sekali apabila rasa sakit yang sedang aku tanggung ketika itu masih lagi terasa sama pedihnya.

Sekali lagi airmataku tumpah. Mengalir mengenangi nasib diri yang tidak pernah merasai bahagia. Mengenangi diri yang masih terikat dengan kehidupan dan manusia yang membuatkan diriku terus menderita. Sampai bila diri dan tubuh ini dapat bertahan dengan seksaan seperti ini? Aku menyoal diriku sendiri.

Aku menerkup mulutku apabila aku terdengar bunyi deheman yang datangnya dari arah luar. Aku tidak mahu sesiapa sahaja di luar sana itu terdengar esakan dan tangisanku. Entah mengapa tiba-tiba aku terfikir adakah kehadiran lelaki itu di sini membawa satu maksud kepada diriku? Iaitu untuk aku meneruskan rencana untuk menjadikannya seorang suami yang dapat melindungiku daripada Abang Karim?Akan tetapi sanggupkah aku mempergunakannya demi kepentingan diriku sendiri?Aku rasa berbelah bagi untuk membuat keputusan ketika itu. Namun apabila aku kembali menyedari akan kesan-kesan lebam di wajahku tiba-tiba entah perasaan yang datang dari mana hadir menghasut diri dan seluruh hatiku untuk memasang satu tekad iaitu mahu mengakhiri segala derita ini dengan segera. Lelaki diluar sana itu mungkin adalah satu-satunya jalan keluar yang aku ada.

Spot hujung siling sebelah kanan tu adalah tempat terbaik untuk kau install CCTV.”Ujar lelaki itu sebaik sahaja aku keluar dari bilik air.

Aku terkejut. Sangkaku lelaki itu telah berlalu pergi apabila aku memintanya untuk meninggalkan kunci keretaku di atas meja tadi. Aku memandang ke arah Fahin yang sedang menunjukkan jari telunjuknya ke arah siling yang berdekatan dengan pintu masuk.

Install CCTV? Tak perlulah sebab butik saya ni tak besar mana pun. Mana ada pencuri nak masuk.” Balasku sedikit gugup.

Aku menyembunyikan tanganku ke belakang. Tidak mahu lelaki itu terpandang akan lebam yang terdapat di tubuhku. Kesan darah di tepi bibirku juga sudah aku basuh dengan air bersih tadi. Bagi menutup kesan lebam di kiri dan kanan pipi, aku biarkan rambut panjangku lepas menutupi wajah.

“Aku tak maksudkan pencuri tapi orang yang buat kau macam tu.” Kali ini tiada secalit senyuman pun di wajah Fahin.

Akumembuang pandangan ke arah lain. Mengelak untuk lelaki itu bertanya lebih lanjut. Aku tidak tahu dari mana harus aku mula untuk bercerita dengannya tentang apa yang telah berlaku sebentar tadi. Lalu perlukah aku berkongsi kisah dukaku dengannya sedangkan tidak sampai pun 24 jam aku berkenalan dengannya?

“Dah jom.” Lelaki itu melangkah ke arah pintu.

“Ke mana?” Soalku bingung.

“Dating!” Ujarnya selamba.

Mataku membulat memandang wajahnya. Eh! Takkan cepat benar lelaki itu berubah hati. Adakah dia benar-benar mulai menyukaiku? Aku bertanya di dalam hati.

“Awak biar betul ni?” Soalku lagi.

“Memang tak betullah. Takkanlah aku nak ajak kau dating pulak kan dengan muka kau yang macam tu. Karang tak pasal-pasal orang cakap aku yang bukan-bukan.” Balasnya.

Aku menarik muka kelat. Mula bengang dengan perubahan sikap lelaki itu. Baru sebentar tadi dia melayaniku dengan lembut, sekarang watak ‘samseng’ nya sudah kembali semula.

“Habis tu nak ke mana?” Aku bertanya.

“Klinik. Dah jom. Karang lebam kau tu makin bengkak... kau yang susah bukan aku. Ni lagi satu kau pasti ke tak nak buat report polis pasal kes kau ni? Siapa yang pukul kau sampai teruk macam tu? Err...suami ke?”

Aku menelan liur sebelum kembali memandang dirinya. Tetapi bukan tepat di mata.“Saya belum kahwin lah. Tak ada apa...saya err ada masalah sikit dengan abang sepupu saya. Tak perlu lah ke klinik, saya okay aje. Sapu ubat sikit dah okay lah lebam ni nanti.” Aku berpura-pura mengambil beberapa helai pakaian yang berterabur di atas lantai lalu aku letakkan di atas meja.

Aku tersentak apabila lelaki itu merapatiku dan mengambil pakaian yang ada ditanganku. “Baju-baju yang berselerak ni kejap lagi aku tolong kau kemaskan. Sekarang ni kita ke klinik kat depan tu. Boleh tak Eryna? Jangan biar aku paksa kau...kalau aku dah paksa nanti lain jadinya.”

“Awak nak buat apa kat saya kalau saya tak nak?” Soalku berani lalu beberapa helai baju di tangannya itu aku ambil semula.

“Aku dukung kau pergi sana. Habis cerita.” Ujarnya selamba yang terus membuatkan wajahku terasa membahang menahan malu.

‘Boleh pulak mamat ni selamba aje cakap macam tu...kalau dekat bengkel tadi bukan  dia ke yang ceramah aku?.’ Aku berbisik sendiri.

“Apa kau ingat aku betul ke nak dukung kau? Memang tak lah. Cepatlah... tutup kedai kau ni sekejap kita ke klinik.” Kali ini Fahin nampak tegas dengan kata-katanya.

Aku yang tidak berani untuk menjawab lagi terus mencapai beg tangan yang aku letakkan di dalam stor lalu mengikutinya ke klinik yang terletak di deretan kedai di hadapan butikku.

Ketika menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan, aku memandang Fahin yang sedang leka memandang ke arah skrin telefon bimbitnya sebelum aku berani membuka mulut untuk menyoalnya tentang perkara yang telah lama berlegar di dalam kepalaku sejak tadi.

“Kenapa awak beriya-iya nak tolong saya, teman saya ke klinik sedangkan awak tak sukakan saya. Saya tak nak susahkan awak. Kalau awak nak awak boleh balik sekarang. Tak perlu teman saya lagi.” Ujarku.

Lelaki itu merenung wajahku untuk beberapa saat. Dari pandangan matanya itu aku dapat membaca yang Fahin sedang berfikir tentang sesuatu. Yang pasti aku tidak tahu apa yang sedang bermain di dalam kotak fikirannya itu.

“Bila masa aku kata aku tak sukakan kau? Aku tolong teman kau ke sini aje, aku tak buat benda lain pun. Aku buat ni pun sebab aku rasa bertanggungjawab sebab aku nampak keadaan kau yang teruk macam tadi. Aku akan rasa bersalah kalau aku biarkan kau tanpa tolong apa-apa. “ Balasnya.

“Awak tak perlu kasihankan saya.” Kataku. Kali ini nada suaraku mendatar.

Aku terdengar lelaki itu mengeluh. “Kau memang tak sayangkan diri sendiri ya?”Ujarnya tiba-tiba yang membuatkan aku rasa bengang pula.

“Kenapa awak cakap macam tu pulak?” Aku sedikit meninggi suara.

Lelaki itu terkebil-kebil seketika sebelum dia kembali memandang wajahku. Mungkin dia bengang juga kerana aku meninggi suara terhadapnya. Aku bengang kerana senang-senang sahaja dia menuduh aku tidak sayangkan diri. Apa dia ingat aku rela, aku suka kena belasah teruk macam ni? Apa dan siapa lelaki bernama Fahin ini sebenarnya?

“Kenapa kau biarkan diri kau dipukul macam ni? Kau tak sayangkan diri kau ke? Aku ajak lapor polis kau tak nak. Nak ke klinik ni pun kau susah. Kalau betul abang sepupu kau pukul kau sampai teruk macam ni, kau ada hak untuk lapor pada polis. Apa yang kau takutkan? Apa yang cuba kau sembunyikan sebenarnya?” Suara Fahin sudah menjadi lebih tegas dari tadi.

Aku diam. Tiada jawapan. Atau dalam erti kata lain aku tidak ada keberanian untuk melakukan apa yang dikatakannya itu iaitu melaporkan kepada pihak polis tentang Abang Karim.

“Awak bukan sesiapa untuk saya berkongsi cerita. Dan...awak tak ada hak untuk kata yang saya tak sayangkan diri saya. Apa yang awak tahu tentang saya? Awak kenal saya ke? Tidak bukan. Terima kasih kerana ambil berat tentang saya tapi saya minta awak jangan bangkitkan lagi tentang siapa dan apa yang berlaku tadi. Boleh?” Kali ini aku bersuara lembut. Mengharapkan pengertian dari lelaki itu.

Lama Fahin memandang wajahku. Mulutnya itu seperti mahu berkata sesuatu tetapi seakan-akan tersekat. “Okay...aku tak akan tanya.”

“Terima kasih kerana ambil berat.” Ucapku lalu aku tersenyum nipis.

Aku bangun dan masuk ke dalam bilik rawatan apabila namaku dipanggil oleh petugas di klinik itu. Mujur doktor yang merawatku itu tidak bertanya banyak tentang apa yang berlaku kepadaku namun dia memberi saranan yang sama diberikan oleh Fahin tadi iaitu melaporkan apa yang telah berlaku ke atasku kepada pihak polis.

Ketika aku mahu membuat pembayaran di kaunter ubat, Fahin menghalangku. Dia terlebih dahulu mengeluarkan sekeping not lima puluh ringgit lalu membayarkan kos rawatan dan ubatan untukku.

“Tak apa saya boleh bayar sendiri.” Aku menghalangnya. Aku rasa tidak sedap hati pula membiarkan dia membayarkan untukku sedangkan gaji yang diterimanya pasti jauh lebih rendah dari pendapatanku. Aku tidak mahu rasa terhutang budi lebih-lebih lagi melibatkan wang. Itu prinsipku.

“Kau simpan ajelah duit kau tu.” Balasnya.

“Tak apa...nah saya ganti balik.” Aku tidak mahu mengalah.

“Kau ingat aku tak ada duit ke? Sudah. Jom.” Ajaknya. Selamba dia melangkah keluar mendahuluiku.

Ketika kami berjalan seiringan untuk ke butikku, aku perasaan dari ekor mataku Fahin memandang ke arah wajahku lama. Pasti banyak persoalan yang bermain di dalam fikirannya yang mahu diajukan kepadaku agaknya. Namun aku lebih selesa untuk berdiam diri sahaja buat masa ini.

Aku memberhentikan langkahku sebelum aku memandang ke arahnya. “Terima kasih kerana tolong saya dan juga bayarkan ubat-ubat ini untuk saya. Saya boleh balik sendiri ke butik. Awak dah boleh balik.” Kataku.

“Kaupasti kau okay ni?” Tanyanya lagi. Keprihatinannya itu seakan menarik-menarik diriku untuk mengajaknya berjumpa lagi selepas ini tetapi entah mengapa suaraku seakan-akan tidak terkeluar untuk berkata sedemikian.

Aku mengangguk.

“Okay...aku balik dulu. Jaga diri. Err...bye!” Dia senyum namun bibirnya seakan mahu berkata sesuatu namun bagaikan tertahan.

Fahin berpusing untuk melangkah pergi namun segera aku halang. “Boleh saya jumpa awak lagi lepas ni?” Tanyaku berani.

Aku lihat agak lama Fahin seakan-akan berfikir sebelum dia memberikan jawapan yang mengecewakanku. “Tak perlu. Kau dan aku berjumpa hanya untuk beberapa kejadian. Biarkan ianya seperti itu. Aku tak nak memberi apa-apa harapan pada kau sebab itu aku berterus-terang. Maaf...tetapi aku tak ada niat untuk berkawan atau mempunyai apa-apa hubungan buat masa ni.”

Aku tergelak untuk menutup rasa malu. “Tak apalah...saya okay je. Awak tak nak kawan dengan saya tak apa. Sebab awak yang rugi. Saya ni ada ramai peminat yang jauh lebih hensem, hebat dan kaya dari awak.” Ujarku.

Opps...aku tidak bermaksud untuk berkata seperti itu. Aku tidak bermaksud untuk membuat perbandingan dirinya dengan lelaki lain ataupun menghina kekurangan dirinya.Perkataan-perkataan itu keluar kerana aku rasa malu dan bengang kerana ditolak mentah-mentah oleh lelaki itu. Oh mulut...lancangnya kau hari ini! Sempat aku menepuk perlahan mulutku itu.

“Bye!” Ucap kuringkas sebelum aku beredar semua ke butik.

Beberapa minit kemudian ketika aku sedang menyusun semula pakaian yang bertaburan diatas lantai ke atas rak-rak, aku tiba-tiba teringat akan sesuatu. Fahin balik ke bengkel menaiki apa ya? Aku memandang ke arah luar. Hujan lebat yang tiba-tiba turun itu menggusarkan hatiku apabila aku terfikir akan Fahin yang mungkin pulang ke bengkel dengan menaiki teksi itu. Aku segera mencapai payung di dalam stor lalu aku mengunci pintu butik sebelum aku berjalan ke arah perhentian bas yang terletak di jalan hadapan yang tidak jauh dari butik.

Akunampak Fahin sedang duduk di perhentian bas itu. Baru beberapa langkah aku berjalan mendekatinya untuk menawarkan diri menghantarnya pulang ke bengkel dengan menaiki keretaku, aku tergamam tatkala aku terpandang yang lelaki itu dengan selamba membuka pintu tempat duduk belakang sebuah kereta mewah yang baru berhenti di hadapannya.

Beberapa saat kemudian, kereta berjenama BMW itu meluncur pergi meninggalkan aku dengan persoalan. Ah...tidak mungkinlah lelaki itu mampu membeli kereta mewah macam tu dengan pekerjaannya yang hanya sebagai mekanik. “Kereta klien agaknya.” Aku membuat andaian sendiri lalu aku kembali semula ke butik.

 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.