Jari jam sudah menunjukkan angka 1 pagi.
Puas dipaksa namun kelopak mata Firdaus tidak layu-layu. Telinganya
terngiang-ngiang suara Karmila yang menjawab panggilan dengan manja dan
merengek-rengek. Panggilan itu sudah pasti bukan daripada Akil sebab Karmila
tidak pernah membahasakan Akil‘abang.’
Tengahari tadi Akil mengirimkan
sejambangan bunga mawar merah untuk Karmila dan pada kad yang terselit di dalam
jambangan bunga itu hanya tercatat satu patah perkataan sahaja. Maaf.
‘Jangan-jangan
Mila ni sengaja mencari sebab untuk meretakkan perhubungannya dengan Akil,’teka
hati Firdaus. Bermacam-macam persoalan hadir di dalam mindanya menyebabkan
perasaannya rasa sesak. Perbincangan antara dia, emak dan ayahnya pada minggu
lepas juga semakin menyerabutkan perasaannya. ‘Emak dan ayah pun satu hal juga,
kenapalah baru- baru ini sahaja menyuarakan hasrat hati mereka. Kalau berterus
terang dari dulu,kan senang? Ratna aku nak campak ke mana pulak?’
Rungutan demi
rungutan datang bertandang di benaknya. Persoalan demi persoalan terus
menghantui. Akhirnya Firdaus terlelap sendiri.
“Abang!Abang!Bangun! Dah subuh ni!!”
Pekikan suara Karmila yang kuat sambil
mengetuk-ngetuk daun pintu biliknya menyebabkan Firdaus terkejut terus
menggelonsor turun dari katilnya. Setelah itu dia terus berdiri tegak lalu
membuat regangan untuk membetulkan urat sarafnya beberapa saat.
“Alamak! Pukul 6.45 pagi?”
Terbeliak matanya sewaktu melihat muka jam yang
tergantung di dinding biliknya. Menyedari kelewatannya pada pagi itu Firdaus
kelam kabut memasuki bilik air untuk mandi. Dia mengambil masa tidak sampai
tiga minit untuk menyelesaikan urusannya di dalam bilik air. Keluar dari bilik
air sahaja dia mencapai sejadah dan menyarung jubah ke tubuhnya. Jubah itu
sememangnya digunakan sewaktu dia mengadap ilahi. Jubah dari Turki itu hadiah
daripada Karmila adiknya yang membelikan untuknya sewaktu dia melancung ke
Turki dua tahun yang lalu.
“Abang, baju abang Mila dah gosokkan. Ada kat
pintu ya...”
Sekali lagi suara Karmila memekik di luar pintu
biliknya. Sememangnya setiap hari Karmila berbaik hati untuk menggosokkan baju
yang akan dipakainya ke pejabat. Meskipun dia melarang tetapi Karmila tetap
hendak melakukannya juga. Sebagaimana biasa Firdaus akan mengambil baju yang
disangkutkan oleh Karmila pada tombol pintu. Hari itu Karmila menggosokkan
kemeja lengan panjang berwarna kelabu untuknya.
Selesai berpakaian Firdaus segera menuruni tangga
menuju ke ruang makan untuk minum pagi. Meskipun terlewat dia mesti juga
menjamah sarapan yang sudah disediakan oleh emaknya. Jika tidak panjang
berjelalah leteran Mak cik Suhaila.
“Assalamualaikum,emak..ayah..”sapa Firdaus sebaik
sahaja masuk ke ruang dapur untuk bersarapan pagi. Mak cik Suhaila dan Pak cik
Roslan sedang asyik menjamu selera. Karmila pun ada. Masih belum bertolak ke
tempat kerjanya.
“Abang, Mila nak tumpang kereta abang ke pejabat,
boleh tak?” soal Karmila sebaik sahaja Firdaus duduk di kerusi di sebelahnya.
Firdaus menjeling jam di pergelangan tangannya sambil memikir-mikir. Pasti dia
akan kesuntukan masa jika menurut kehendak adiknya itu.
“Kereta Mila ada masalah ke?” tanyanya pula
sebelum membuat keputusan. Tangannya pantas mencapai sebiji karipap yang
disajikan oleh emaknya. Pastinya karipap itu dibeli oleh emaknya atau Karmila
di gerai berdekatan taman perumahan mereka.
“Kereta Mila, Mastura bawa. Semalam sewaktu dia
hendak balik tiba-tiba pula keretanya meragam. Ayah suruh dia bawa kereta adik
kau ni..”jelas Pak cil Roslan yang tidak bersuara dari tadi.
“Bolehlah Fir..tumpangkan Mila ni. Ayah kau nak
suruh dia bawa kereta buruknya tu dia tak tahu pula nak bawa. Maklumlah dah
biasa dengan kereta automatik..”sampuk Mak cik Suhaila pula.
Karmila menyengih kerana ramai pula yang menyokong
kehendaknya pada pagi itu. Dia tahu Firdaus keberatan untuk menumpangkan dia ke
pejabat kerana laluan perjalanan mereka berlainan arah.
“Yalah,” jawab Firdaus sepatah lantas menghabiskan
sisa minumannya. Setelah itu dia cepat-cepat bangun dan bersalaman dengan emak
dan ayahnya sebelum beredar dari ruang dapur.
“Cepat sikit tuan puteri, kalau tidak kena
tinggal..”
Firdaus sempat berpesan kepada Karmila dengan
suara kuat dari muka pintu. Karmila yang mendengar kata-kata pesanan berbau
ugutan itu pantas mencapai beg tangannya dan berlari anak ke pintu hadapan.
Firdaus sedang membedek-bedek kasut yang akan dipakainya sambil merungut.
Setokinnya yang baru dipakainya semalam sudah tidak nampak bayangnya.
“Setokin abang mana Mila?”tanyanya dengan suara
kuat. Karmila sudah berdiri di sisinya dan sudah mengenakan kasut.
“Setokin? Tasya buat main kut!”teka Karmila. “Tak
apalah,abang. Biar Mila pergi ambil setokin yang lain ya..”tawarnya cepat-cepat
sebelum Firdaus naik berang. Karmila segera memasuki rumah semula.
“Nak warna apa,abang!!”jeritnya sambil mendaki tangga.
Firdaus tidak menjawab. Di dalam simpanan, setokinnya hanya ada dua warna
sahaja. Hitam dan coklat tua.
Pukul 7.50 pagi barulah dua beradik itu keluar
dari perkarangan rumah menuju ke pejabat.
Firdaus memandu agak laju daripada biasa. Pukul
8.10 barulah mereka tiba di hadapan bangunan yang menempatkan pejabat Karmila.
Karmila bekerja di sebuah syarikat insuran.
“Terima kasih, abang. Balik nanti Mila callteksilah...” beritahu Karmila
kepada Firdaus yang memerhatikan dia yang sedang membuka pintu kereta.
“Tak usah nak membazir duit. Tunggu aje abang kat
sini..”balas Firdaus. Karmila tidak membalas kata-katanya tetapi tersenyum
lebar sambil berpamit sebelum meninggalkan Firdaus yang masih memerhatikannya
dari dalam kereta.
Firdaus segera meninggalkan tempat itu dan
meneruskan perjalanannya ke arah pelabuhan. Pemanduannya terganggu apabila
mendengar lagu Kenangan Terindah Berubah nyanyian Sampsons dengan tiba-tiba.
Matanya terlontar ke atas dashboard
kereta. Rupa-rupanya irama lagu itu datang dari telefon mudah alih Karmila yang
tertinggal.
“Aduh! Bila masa pulak Mila letak telefon kat
situ?”soalnya dengan nada sesal. Sebaik sahaja keretanya berhenti di lampu
isyarat yang menyala merah tangannya mencapai telefon bimbit milik Karmila.
Firdaus terus menekan memori panggilan tidak dijawab. Tertera nama Adam.
Telefon yang masih di dalam genggaman bergetar pula menandakan ada panggilan
yang masuk. Segera matanya menjilat skrin dan melihat nama yang tertera. Akil
Iskandar. Mahu tak mahu Firdaus terpaksa menjawab panggilan itu dan memberitahu
Akil yang Karmila tertinggal telefon bimbit di dalam kereta. Setelah itu dia
terus menamatkan mood aktif pada telefon adiknya itu.
“Mila! Tak mahu balik lagi ke? Dah pukul 5.00 petang dah ni.Dari tadi aku tengok engkau tersenyum-senyum
sendiri apa hal?” soal Hamidah yang sedang
bersibuk-sibuk mencapai beg tangannya yang terletak di rak belakang meja
tulisnya. Dia cuba mengingatkan Karmila yang masih sibuk dengan fail-fail di
atas meja. Teman sepejabat yang lain
semuanya sudah pulang.
“Baliklah dulu, sebentar lagi aku keluar!
Ermmm,lagi sepuluh minit mungkin!” jawab Karmila sambil mengerling jam yang
tergantung di dinding. Seketika kemudian
kelibat Hamidah hilang sebaik sahaja daun pintu pejabat itu ditutup. Karmila mula mengemas meja kerjanya dan
menyimpan dokumen penting di dalam kabinet besi berkunci. Setelah itu dia
tergesa-gesa menuju ke lif.
Keluar dari lif dia bergegas pula menuju ke tempat
yang dijanjikannya dengan Firdaus pagi tadi. Namun kereta abangnya itu masih
belum kelihatan. Agak lama Karmila menunggu di situ sehingga perasaannya
menjadi tidak tentu arah dan tidak selesa.
“Dahlah telefon aku tertinggal
dalam kereta dia!” rungut Karmila dengan perasaan sesal.
“Kemana Abang Fir ni? Erm,berjanji beginilah yang aku tak suka
nii! Jadi atau tidaknya beritahulah,
diam saja!!” marahnya sendiri. Hatinya
dibalut kehampaan.
Sebuah kereta Honda City berwarna kelabu berhenti
di hadapannya. Karmila terkejut kerana pemilik kereta itu dikenalinya benar. Tiba-tiba
pula Akil Iskandar membuka skrin tingkap di tempat duduk penumpang dan
memanggilnya.
“Mila, masuklah. Abang Fir minta
tolong Akil datang ambil Mila. Secara kebetulan memang Akil nak berjumpa dengan
Mila..”
Mahu tak mahu Karmila terpaksa
masuk ke dalam perut kereta lelaki itu. Jika menolak pelawaan entah-entah tidak
ada teksi yang akan memasuki kawasan itu.
“Terima kasih. Macam mana Abang
Fir boleh telefon Akil pula ni?”soal Karmila sebaik sahaja duduk di tempat
penumpang di sebelah Akil. Tekadnya untuk menyepikan diri daripada Akil
beberapa lama sebagai tanda merajuknya terburai di pertengahan jalan.
“Pagi tadi Akilcall ke telefon Mila. Dia yang
menjawabnya..”terang Akil bersahaja. Matanya terus melirik kepada Karmila yang
sedang duduk di sampingnya. Hari itu Karmila berbaju kurung warna hijau
sedondong dengan tudungnya.
“Aa’aa, Mila tertinggal telefon
dalam kereta Abang Fir...”jelas Karmila. Akil memfokuskan pemanduannya dan diam
agak lama. Giliran Karmila pula mengerling Akil dengan ekor matanya.
Perasaannya mula rasa tidak selesa kerana Akil terus membisu.
“Akil, nanti Akil turunkan Mila
kat mana-mana pondok menunggu bas ya. Biar Mila balik naik teksi aje...”ujar
Karmila seolah berjauh hati.
“Kenapa nak buat macam itu pula?
Kita pergi makan, lepas tu Akil hantarkan Mila balik ke rumah..”balas Akil.
Nada suara Karmila tadi bagaikan dia sedang merajuk.
“Mila marahkan Akil lagi ke?”soal
Akil sambil menoleh kepada Karmila. Karmila mendiamkan dirinya. Gadis mana yang
tidak meradang jika bertembung dengan kekasih hati yang sedang berduaan dengan
gadis lain?
“Mila nak makan di mana?” tanya
Akil lagi apabila Karmila terus mendiamkan diri.
“Makan..?Kalau kita pergi lain
kali boleh tak? Mila senak perut..”dalih Karmila. Tangan kirinya serta merta
mengusap perut beberapa kali.
“Kalau begitu Akil bawa Mila
pergi klinik..”tawar Akil pula sambil senyum meleret. Kali ini Karmila mesti
tak dapat menolaknya lagi, fikir lelaki itu.
“Tak apalah, Akil. Tak payah
susah-susah..ermm, Mila memang dah pergi klinik semalam. Ubatnya pun masih ada
kat rumah. Mila aje yang tak makan ubat seperti yang doktor nasihatkan. Kita
terus balik ke rumah Mila,lah ya..”ajak Karmila dengan segunung harapan.
“Okey...”
Akil akhirnya mengalah. Karmila
kalau merajuk memang susah hendak dipujuk. Biarkan sahaja dia melayani rajuknya
sendiri. Lama kelamaan dia akan kembali seperti biasa. Sudah dua tahun mereka
menjadi teman akrab, dia sudah masak dengan perangai gadis itu.