Bunyi titisan hujan di atas bumbung mengejutkan
lena Karmila yang tertidur di ruang tamu.
Karmila menguap sambil menutup mulutnya dengan tapak tangan. Dia mengeliat beberapa kali lalu bangun
menuju ke bilik tidurnya.
Sebaik sampai di bilik, matanya terlontar pada
jambangan bunga yang terdampar di atas katil sebaik sahaja dia memasuki bilik.
Karmila duduk di birai katil lantas mencapai jambangan itu dan hujung jarinya
menyentuh kelopak-kelopak bunga mawar merah yang mekar dan harum.
Sekali lagi tangannya mengambil kad berbentuk hati
yang terselit antara kuntuman mawar. Sekali lagi bola matanya menatap tulisan
yang terlakar.
Maaf.
--Akil Iskandar
“Maaf?”bisiknya sendiri. Hanya dua patah perkataan yang terungkap di dada
kad itu. Bibirnya melarik senyuman pula. Setelah itu dia ketawa sendiri. Terasa
lucu pula dengan situasi itu. Bunga yang dikirimkan Akil hampir sebakul. Kad
pula berbentuk hati dan begitu istimewa grafiknya tapi kata-kata yang tercatat
hanya dua patah perkataan. Budak tadika pun boleh menulis perkataan-perkataan
itu.
“Akil..Akil..kalau engkau di tempat aku macam
mana?”tanya Karmila lagi. Sekali lagi dia bercakap sendiri. Dia nekad untuk
menyepikan diri daripada lelaki itu. Walau hatinya akan dihambat rindu, Karmila
berazam untuk mencekalkan dirinya. Akil teman lelakinya itu telah menyebabkan dia
berjauh hati.
“Dah sakitkan hati aku,egois pulak!Bukannya tahu
nak ambil hati orang balik. Nak pujuk-pujuk hati orang dengan kata-kata indah. Bosan!”gerutu
Karmila.
“ Telefon Adamlah..”
Ingatannya terus menjalar pada kenangan
perkenalannya dengan Adam.
“Assalamualaikum!
Helo! Boleh bercakap dengan Encik
Ahmad!!” Gemersik suara itu menjengah di telinganya pada suatu hari. Karmila yang sedang mendengar melalui telefon
bimbitnya tersengih-sengih. Nampaknya
ada peluanglah dia untuk menyakat pemanggil yang telah tersalah dial ke nombor
telefon bimbitnya.
“Nombor
yang anda dial bukan kepunyaan Encik Ahmad. Nombor yang anda dial kepunyaan Cik
Karmila,”jawabnya dengan nada berlagu seperti pesanan suara dari komputer di
telefon mudah alih.
“Encik
ni dah tersalah nombor!”katanya lagi.
Karmila tersenyum sendiri mengenangkan kenangan
lucunya itu. Di matanya dia cuba membayangkan wajah Adam. Kacakkah dia?
Tinggi atau rendah ? ‘Lelaki
bersuara romantis biasanya tidak handsome.’
Karmila terkenang kata seorang temannya sewaktu di alam persekolahan
dulu.
Berkali-kali dia mendial namun hampa. Telefonnya
dicampak di atas katil dengan rasa kecewa.
Ketukan di pintu bilik tidurnya menyebabkan
Karmila menoleh ke daun pintu yang mula merenggang ditolak dari arah luar.
“Mak Su....”
Anak saudaranya yang berumur tiga tahun menyeringai
di muka pintu. Karmila terus menerpa dan mengangkat Tasha ke atas dukungannya.
Pipi kanak-kanak itu terus ditonyoh-tonyoh dengan hidungnya yang mancung.
“Rindunya Mak Su kat
Tasya..rindunya..ermmhh..”bisiknya berkali-kali sambil mengucup bertalu-talu.
Tasha hanya ketawa mengekek.
“Kenapa tak turun makan malam, Mila?”soal
kakaknya,Mastura yang datang ke biliknya bersama Tasya. Mastura kakak Karmila
yang sulung. Mereka hanya dua beradik. Di samping itu dia memiliki seorang
abang angkat merangkap sepupunya yang telah dipelihara sejak bayi lagi oleh
emak dan ayahnya. Nama abangnya Ahmad Firdaus.
“Mila kenyanglah, Kak long. Erm, Abang Fir dah
balik ke? Err..Abang Ikmal tak balik sekali dengan Kak long ke?”tanyanya kepada
Mastura tentang abang angkat dan abang iparnya. Mereka masih berada di muka
pintu.
“Abang Ikmal out
station. Fir dah ada balik. Ada kat dapur tu, sedang berbual dengan emak
dan ayah. Jomlah! Tadi akak ada bawa buah cempedak. Jom kita goreng!”ajak
Mastura bersungguh-sungguh. Tangannya memegang lengan Karmila mengajak adiknya
bersama dia ke dapur. Karmila terpaksa mengalah.
“Tuan puteri bertapa dalam bilik ke sejak dari
tadi?” tanya Firdaus sebaik sahaja melihat wajah Karmila. Lebar senyumannya
melihat gadis itu bersanggul tinggi bagaikan wanita lepas bersalin yang di
dalam tempoh berpantang.
“Bertapalah! Kut-kut dapat batu geliga daripada
putera kayangan..!”balas Karmila sambil ketawa. Firdaus memang selalu bergurau
dengannya.
“Alah, apalah sangat sebutir batu geliga jika di
bandingkan dengan sejambak bunga mawar merah!” perli Firdaus sambil
mengenyitkan matanya. Tengahari tadi dia yang menerima kiriman bunga itu dari
pekerja yang menghantarnya.
Karmila tidak menjawab, sebaliknya menjelirkan
lidahnya kepada Firdaus. Perangainya yang kebudak-budakan mencuit hati ahli
keluarganya yang berada di meja makan lantas menghadirkan hilai tawa yang
meriah.
“Sudahlah tu Mila, Fir..”tegur Mak cik Suhaila
sambil menyisihkan ketawanya. Tangannya menghulur cawan yang sudah terisi teh
panas kepada Karmila yang sudah duduk di kerusi.
“Ini cempedak yang abang goreng. Nak harapkan
Mila, bimbang buah cempedak tumbuh di atas singki..”gurau Firdaus lagi. Sepinggan
cempedak goreng yang masih panas dihulurkannya kepada Karmila.
“Abang Fir memang rajin...Lebih bagus kalau pokok
cempedak tumbuh di atas singki, dapatlah kita makan cempedak goreng
hari-hari..”balas Karmila terus mengusik abangnya. Lenyap rasa marahnya
terhadap Akil sewaktu bersama dengan ahli keluarga yang penyayang dan ceria.
Mereka terus makan sambil berbual berbagai hal.
Irama telefon bimbit milik Karmila menyebabkan dia
cepat-cepat menelan cempedak goreng yang berada di dalam mulutnya. Nasib baik
tidak tercekik.
“Mak Su..telefon bunyi...”
Tasha tiba-tiba berlari kepada Karmila sambil
menghulurkan telefon bimbit kepunyaan emak saudaranya itu.
“Thank
you, dear..”kata Karmila
sempat mencubit pipi Tasha yang gebu. Telefon di tangan Tasha segera diambilnya.
“Assalamualaikum,abang..”ungkapnya seolah berbisik
sebaik sahaja mendengar suara Adam di hujung talian.
Firdaus, Mastura, Mak cik Suhaila dan Pak cik
Roslan merenung-renung sesama sendiri apabila mendengar ungkapan abang yang
disebut oleh Karmila. Setahu mereka Karmila tidak pernah membahasakan abang
kepada teman lelakinya Akil.
“Emak..ayah..Fir nak naik ke biliklah. Nak berehat
sekejap, selepas itu Fir nak buat persediaan untuk mesyuarat pagi esok,”ungkap
Firdaus sambil bangun dari kerusi dan mengeliat beberapa kali. Karmila sudah
menghilangkan diri, mungkin melayani panggilan telefon di bilik tidurnya.
“Pergilah, Fir..”
Firdaus terus mendaki tangga ke tingkat dua rumah
itu yang menempatkan empat buah bilik tidur. Sebaik melalui bilik tidur Karmila
dia menghentikan langkahnya dan berdiri rapat di pintu sambil mendengar suara
Karmila yang masih berbual-bual di telefon. Hati Firdaus terasa lain macam.
Suara dan ketawa manja Karmila bagaikan menjentik gegendang telinganya.
Menggigit ulu hatinya. Spontan tangannya mengetuk lantas menolak daun pintu
yang tidak berkunci. Dia menjengukkan kepalanya ke dalam bilik.
“Good
night my princess. Have a sweet dream!”katanya kuat dan menutup pintu semula. Sengaja dia
hendak mengganggu perbualan Karmila dengan lelaki yang tidak dikenalinya itu.
Jika Akil, dia kenal sangat.
“Suara siapa tu, Sayang?”soal Adam yang dapat
mendengar suara Firdaus dengan jelas. Perbualan mereka terganggu sejenak.
Hatinya berasa kurang senang.
“Abang Fir. Dia abang Mila..”jawab Karmila manja.
“Abang ingatkan sayang sedang dating dengan buah
hati..”usik Adam perlahan. Nada suaranya kembali romantis.
“Mila kat rumahlah..”balas Karmila riang. Senang
rasa hatinya kerana menerima panggilan telefon daripada Adam. Kata Adam tadi
dia tidak menjawab panggilan telefonnya kerana dia sedang makan malam bersama
keluarga. Selesai makan barulah dia dapat menghubungi Karmila semula.
“Sayang, selain daripada abang, Sayang ada teman
lelaki yang lain tak?” tanya Adam terus terang. Jika Karmila sudah ada teman lelaki
yang lain kecewalah hatinya. Meskipun kini mereka tidak pernah bertemu muka,
dia sangat menyenangi gadis itu. Orangnya periang dan ramah. Manja dan
semestinya cantik.
“Kenapa? Takkan abang cemburu..”usik Karmila.
Bibirnya menyungging senyuman sambil matanya menjeling jambangan bunga kiriman
daripada Akil.
“Mestilah cemburu. Kalau benar Sayang ada teman
lelaki yang lain, Sayang mesti putuskan perhubungan dengan dia. Abang tak nak
ada saingan tau...”bisik Adam romantis.
“Abang, kita berbual lain kalilah ya. Mila nak ke
bilik air..”dalih Karmila. Sesuka hatinya sahaja Adam hendak mengatur kehidupan
peribadinya. Perhubungannya dengan Akil sudah terjalin hampir dua tahun.
Persahabatan mereka sudah diketahui oleh seluruh ahli keluarganya. Mustahil
pula dia menceritakan segalanya kepada Adam yang baru dikenalinya tiga empat bulan
yang lalu. Apatah lagi Adam hanya dikenali melalui alam maya. Entahkn jujur
entahkan tidak!
“Hisy, Sayang ni..abang belum puas lagi bersembang
dengan Sayang..”balas Adam. Sememangnya setiap kali dia berbual dengan gadis
itu terasa berat hatinya untuk melepaskannya.
“Esok, Mila telefon abang..”janji Karmila. Meskipun
Akil telah membuat hatinya tercalar namun tidak tergamak pula dia hendak
menduakan kasihnya.
“Baiklah. Jaga diri tau..”Akhirnya Adam mengalah
dan menamatkan perbualan telefon mereka.