Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
67,483
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Aku menggigit-gigit kuku tangan bagi menghilangkan keresahan yang sedang melanda diri. Kedua-belah kaki yang sedang menggigil usah dapat aku kawal lagi. Aku memandang ke arah kesan darah yang terdapat di bajuku bersama segunung rasa bersalah terhadap Aydin. Aku memandang ke arah pintu bilik rawatan di mana doktor sedang merawat luka yang dialami Aydin.

Di dalam kereta tadi aku sempat melihat ke arah bahagian lengan Aydin. Luka yang dialaminya agak dalam dan aku berasakan yang ianya memerlukan puluhan jahitan. Aku tidak boleh duduk diam lagi kerana sudah hampir tiga puluh minit Aydin berada di dalam bilik rawatan. Aku mula berjalan mundar-mandir di hadapan bilik rawatan itu bersama sejuta keresahan di dalam diri.

 Aku tidak sangka yang Aydin sanggup bertindak berani dengan menjadikan tubuhnya seagai perisai untuk melindungiku. Mujur tikaman pisau itu tadi tidak mengenai bahagian organ dalaman penting yang boleh membahayakan nyawa Aydin. Sekali lagi sebuah keluhan terlepas dari kerongkongku. Aku kesal kerana telah menjadi punca kepada satu kejadian yang telah menyusahkan orang disekelilingku.

Aku menoleh ke arah kiri apabila aku berasakan ada seseorang sedang mendekati. Aku pandang wajah Ikmal bersama rasa malu, kesal dan bersalah. Mataku mula bergenang tatkala aku kembali mengingati akan keadaan kafenya yang telah hancur disebabkan oleh kacau bilau yang berlaku pada petang tadi.

“Ikmal...aku tak tahu nak cakap apa dengan kau. Aku minta maaf sangat kerana telah menjadi punca kekecohan di kafe. Aku minta maaf ya,” pintaku yang tidak boleh berfikir untuk berkata apa lagi.

Ikmal diam. Namun aku dapat mengesan perubahan wajahnya. Pastilah lelaki itu berasa marah kerana telah menjadi mangsa keadaan di antara permasalahan aku dengan lintah darat. Kini siapa pula yang akan menanggung kerugian yang dialami Ikmal? Aku berasakan yang denyutan di kepalaku semakin menjadi-jadi apabila memikirkannya.

“Aku langsung tidak menyangka kejadian tadi akan berlaku. Sumpah aku tak pernah ada niat atau maksud untuk mengaitkan masalah aku dengan orang lain terutamanya kau. Sebab itulah aku buat dua kerja kerana aku ada beban yang perlu diselesaikan,” ujarku lalu airmata yang sedang mengalir aku seka dengan jari. 

Ikmal memandangku. “Sebelum ini banyak kali aku tanya pada kau, kau ada masalah tak? Kalau ada beritahu aku. Ini akibatnya bila kau mengambil keputusan untuk berdiam diri dan menyimpan masalah itu sendiri,” luah Ikmal kesal.

Aku diam dan menunduk memandang lantai.

“Berapa yang kau hutang pada mereka?” soal Ikmal serius.

Aku menggeleng lesu. “Aku tak tahu Ikmal. Bukan aku yang buat hutang pada along tu...tapi Hairi. Dia menggunakan maklumat peribadi aku untuk dijadikan cagaran bila dia tak dapat bayar semula.

Selepas penceraian kami, aku hidup di dalam ketakutan apabila sering kali dikejar oleh lintah darat. Hairi pula telah lama menghilangkan diri. Kerana lelaki itu aku terpaksa menanggung beban yang tak pernah aku pinta. Aku ini adalah mangsa keadaan, Ikmal. Kalau ikutkan jumlah yang Hairi hutang itu aku dah langsaikan tetapi oleh kerana aku selalu bayar lewat, mereka mengenakan bunga pula.” Aku berterus terang kepada Ikmal.

Ikmal memegang bahagian dahinya. “Kenapa kau boleh sorokkan masalah yang besar macam ini daripada aku?”

“Aku malu. Aku dah banyak menyusahkan kau selama ini dan kerana itu aku tak nak membebankan kau lagi,” ujarku dalam rasa malu yang teramat.

Ikmal diam yang semakin membuatkan aku berasa bersalah.

“Tentang kerugian kerosakan di kafe tu...err kau tolak gaji aku boleh,” kataku yang bertebal muka.

Ikmal melepaskan sebuah keluhan. “Kau tak perlu risaukan hal di kafe. Yang penting sekarang adalah untuk kau selesaikan hutang tu. Kau tak nampak tadi, mereka dah macam orang hilang akal bila cuba untuk tikam kau. Tindakan itu memang ekstrem dan aku dah pun buat laporan polis.”

Aku menelan liur. Aku sedar yang kini nyawaku sedang berada di dalam bahaya. Tadi Kong memang benar-benar marah sampaikan berniat untuk membunuhku. Sesungguhnya aku ketakutan. Hendak lari jauh meninggalkan tempat ini ibaratnya aku mementingkan diri sendiri kerana pasti lintah darat itu akan mencari kakakku pula. 

Tanpa dapat aku tahan lagi, aku melepaskan segala bebanan yang selama ini aku tanggung seorang diri. Aku menangis dan meraung semahunya. Pandangan orang yang lalu lalang juga tidak aku hiraukan lagi. Aku berasa sungguh penat dengan dugaan yang menimpa. Bermula dengan ibu dan bapaku meninggal dunia, aku dilayan seperti hamba oleh suami sendiri senhinggalah aku hidup di dalam buruan pemuitang. Merasai bahagia? Ianya tidak pernah aku rasa sama sekali.

“Ati...Ati...jangan macam ni. Kau buat aku takut tau tak,” pujuk Ikmal namun ia tetap tidak dapat meredakan bebanan di dalam hatiku.

“Aku tak tahu nak lari ke mana lagi, Ikmal. Aku takut mereka akan apa-apakan aku dan aku lebih takut jika mereka menggangu keluarga dan kawan-kawan aku. Aku tak ada pilihan apatah lagi jalan penyelesaian,” rintihku buat sekian kalinya.

“Aku akan tolong jelaskan hutang tu,” kata Ikmal yang membuatkan aku menggeleng.

“Kali ini biar aku yang tolong kau,” suara yang datang dari arah kanan itu membuatkan aku menoleh.

Aku bangun dari kerusi tatkala melihat Aydin sudah berdiri berdekatan. Mataku menyorot ke arah lengannya yang berbalut dengan kain kasa. 

“Aydin...kau okay ke? Doktor kata apa?” tanyaku.

“Doktor dah rawat dan jahit luka di lengan aku ini. Aku diberi cuti sakit selama seminggu. Aku okay Atilea...kau tak ada apa-apa kan?” Aydin membuatkan aku berasa semakin bersalah.

“Kau tak perlu bahayakan nyawa kau untuk aku macam tadi, Aydin. Kalaulah jadi apa-apa yang serius pada kau, aku tak boleh nak maafkan diri sendiri,” ujarku di dalam genangan airmata.

Aydin menggaris senyuman nipis. “Aku lagi tak sanggup jika kau yang tercedera. Dah lah...jangan risau sangat. Aku okay ni.”

“Aku akan tolong kau jelaskan hutang tu,” kata Aydin lagi.

Aku terduduk semula. “Aku minta maaf kerana telah menyusahkan ramai orang. Aku malu dengan diri sendiri.”

Aydin mengambil tempat duduk di sebelahku. “Macam oni lah...kau anggap aje pertolongan aku ini sebagai pinjaman daripada seorang kawan. Nanti bila kau ada duit...kau bayar pada aku. Apa yang paling penting sekarang ini adalah keselamatan kau.”

Aku diam merenung diri. Aku berasa sungguh malu dengan dua orang lelaki di hadapanku ini.

“Kau okay ke Aydin?” soal Ikmal yang kedengaran aneh di telingaku.

Aydin mengangguk. “Terima kasih bawa aku segera ke hospital,” ucap Aydin pula.

Keningku bercamtum ketika terfikirkan sesuatu. “Korang berdua saling mengenali ke?”

Ikmal mengangguk dalam acuh tak acuh. “Tak ada kena sangat...tapi our parent knows each other.”

“Lebih kurang macam tu lah.” Aydin juga sama seperti Ikmal yang seakan tidak mesra sesama mereka.

Aku berasa kekok dengan situasi yang sedang melanda mereka berdua.

“Ikmal kau nak balik kafe ke? Aku minta kebenaran untuk hantar Aydin balik kejap lagi ya?” Aku memohon izin darinya.

Ikmal berfikir sejenak. “Kita balik kafe sama-sama. Kemudian aku yang akan hantar Aydin balik.”

Aku mengangguk. Sampai sahaja di hadapan kafe dan sebelum turun daripada kereta, aku memandang ke arah Aydin yang duduk di bahagian tempat duduk belakang.

“Sekali lagi aku minta maaf Aydin. Nanti aku akan hubungi kau ya,” kataku.

“Atilea...” panggil Aydin ketika aku sudah keluar daripada kereta yang dipandu Ikmal.

“Jaga diri. Aku harap sangat kau akan terima pertolongan daripada aku,” pinta Aydin.

Aku diam tidak mengganguk mahupun menggeleng kerana aku perlu memikirkan akan tawaran Aydin itu baik-baik sebelum bersetuju untuk menerimanya. Memanglah aku mengenali Aydin namun begitu kami tidaklah sebegitu rapat sehinggakan aku dengan senang hati menerima pertolongannya begitu sahaja. Aku juga tahu berasa segan dan merasakan yang diri aku ini hanya menyusahkan orang lain sahaja.

Aku melangkah masuk ke dalam kafe yang telah ditutup awal operasinya itu. Sebaik aku menolak pintu masuk, kawan-kawan sekerjaku sedang duduk di sebuah meja. Aku berdiri kaku di pintu masuk itu kerana merasa malu untuk melangkah mendekati mereka. 

“Atilea...duduk sini dengan kami,” ajak Abang Naim.

Aku melangkah perlahan menuju ke meja itu dan mengambil tempat duduk di sebelah Kak Zaliha.

“Maaflah kalau abang nak bertanya, dah lama ke Along tadi tu mengejar kau?” soal Abang Naim serius.

“Mereka mengganggu saya sejak Hairi menghilangkan diri. Hairi yang berhutang tapi saya dijadikan cagaran,” kataku lemah.

Danny Ng melepaskan sebuah keluhan. “Apa jenis lelakilah sanggup buat perempuan macam tu. Jahat betul.”

Kak Zaliha dan Icha mengganguk mengiyakan kata-kata Danny Ng itu. 

“Kenapa kau tak buat laporan polis?” tanya Abang Naim lagi.

Aku tunduk memandang meja.

“Saya takut, bang. Mereka ugut untuk mengapa-apakan keluarga kakak saya jika saya melaporkan pada pihak polis. Saya nak minta  maaf kepada semua yang berada di sini berkenaan kejadian yang berlaku pada petang tadi. Saya mohon maaf sangat kerana telah menyusahkan semua orang,” pintaku di dalam rasa malu.

Kak Zaliha meraih tanganku lalu digenggamnya erat. “Kami tak salahkan kau pun Ati. Memang kami terkejut dengan kejadian yang berlaku tadi lebih-lebih lagi bila orang jahat tu cuba untuk tikam kau. Akak rasa kau tak boleh biarkan mereka terus-terusan mengejar kau. Kita kena buat sesuatu.”

“Berapa baki pinjaman yang masih tertunggak tu?” Abang Naim memandangku.

“Err...lebih kurang lapan ribu ringgit lagi.”

Abang Naim seperti berfikir sebelum dia meneruskan butir bicaranya. “Sebenarnya tadi kami dah berbincang untuk bantu kau. Kami tak sanggup untuk lihat kau diperlakukan seperti tadi lagi. Jadi ini dia sumbangan ikhlas daripada kami semua yang abang harapkan boleh membantu mengurangkan sedikit bebanan kau.” Abang Naim mengesotkan sepucuk sampul surat ke arahku.

Aku terpingga-pingga sambil memandang ke arah wajah rakan-rakanku satu-persatu. Aku berasa amat terharu kerana rupa-rupanya di dalam hidupku ini masih ada lagi insan yang mengambil berat pada diriku. Selama ini aku berfikiran yang aku  keseorangan di dunia ini selain Kak Nadia. Tetapi sebenarnya di kafe ini aku mempunyai sebuah ‘keluarga’ yang ikhlas menyayangiku.

“Terima kasih semua. Terima kasih banyak-banyak. Alhamdulillah...Allah kurniakan kawan-kawan yang baik untuk saya,” ucapku melahirkan rasa syukur.

Kak Zaliha mengusap bahuku. “Insya Allah...kita kena sentiasa ingat bahawa setiap masalah tu pasti ada jalan penyelesaiannya. Cuma akak minta lepas ini kau jangan sembunyikan apa-apa daripada kami lagi. Kita ni dah macam adik-beradik, macam keluarga di sini. Jadi...susah atau senang sama-sama kita hadapi.”

Aku bersyukur kerana dikurniakan insan-insan yang baik disekelilingku. Walaupun kehidupan yang terpaksa aku tempuhi kini amat sukar dan berliku, namun sekurang-kurangnya dengan kehadiran mereka yang baik hati, diriku kembali disuntik semangat untuk terus melangkah dan melangkah. Aku sentiasa berdoa bahawa di masa hadapan nanti moga-moga ada sinar kebahagiaan yang akan menantiku. Tiada lagi derita dan airmata yang akan menemani. 



Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.