Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
66,314
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Aku termenung memandang ke arah kenderaan yang lalu lalang di luar kafe. Kebiasaannya pada jam tiga hingga lima petang, keadaan di kafe agak senggang dengan pelanggan. Entah mengapa sejak seminggu yang lalu, aku tidak boleh berhenti daripada fikirkan tentang Aydin dan Rania. Pertemuan mereka di kaki bukit beberapa hari yang lalu itu telah membuatkan aku berfikir jauh sehingga aku membayangkan yang kini Aydin dan Rania telah keluar bersama pula. Sepanjang seminggu ini jugalah aku tidak bertemu dengan Aydin kerana lelaki itu perlu ke luar bandar di atas urusan kerja.

Aku tidak dapat menipu diri sendiri daripada merasakan sesuatu pada Aydin namun aku sendiri tidak pasti apakah jenis perasaan yang sedang aku rasakan itu. Ianya terasa aneh kerana kewujudan perasaan itu semakin hari semakin bercambah sejak lelaki itu kembali muncul di dalam hidupku. 

Adakah aku cemburu Aydin menyukai Rania? Dan berasa kecewa apabila Aydin memintaku untuk membantunya memikat Rania? Aku bertanya kepada diri sendiri.

“Atilea...apa yang kau fikirkan ini? Cepat sedar dari terus hanyut. Ingat...tujuan kau ambil duit Aydin adalah untuk bantu dia mencari cinta. Bukannya mencari cinta untuk diri kau sendiri.” Aku mengingatkan diri sendiri sambil menepuk dahi.

“Apa yang kau omelkan tu?” teguran Ikmal yang tiba-tiba itu membuatkan aku terkejut.

Ikmal ketawa. “Nampak sangat tengah berangan, aku tegur boleh sampai terkejut macam beruk!”

Aku mencebik. “Memanglah aku terkejut. Dah kau sergah aku dari belakang.”

Ikmal menarik kerusi di sebelahku. “Apa yang kau menungkan tu? Sejak beberapa hari ini aku tengok kau macam tak ceria aje? Ada masalah cinta ke?”

Entah mengapa tebakan Ikmal itu tepat mengenai hatiku. “Masalah cinta apanya? Boyfriend pun aku tak ada.”

Ikmal ketawa besar. “Habis tu muka termenung macam putus cinta aje gayanya. Bukan aku sorang je perasan, tu budak kitchen...Kak Zaliha semua tengah membawang pasal kau.”

Aku menjelingnya. Di dalam hati berasa geram dengan usikannya itu. Aku tahu kawan-kawanku di kafe ini sentiasa mengambil berat tentangku. Pasti mereka menyuarakan kepada Ikmal untuk bertanya tentang keadaanku.

“Aku letih sikit aje,” bohongku.

“Apa kerja kedua kau ya?” soal Ikmal yang membuatkan aku menelan liur.

Aku seboleh mungkin tidak mahu sesiapa pun tahu tentang pekerjaan keduaku sebagai dating coach. Yang tahu mengenainya hanyalah Kak Zaliha. Takkanlah kakak mulut kepoh itu telah terlepas cakap di hadapan Ikmal pula? Masak juga aku hendak menjawabnya pada lelaki yang satu ini.

“Err...aku tolong kawan berniaga kecil-kecilan tapi rasanya buat sementara waktu ini aje aku bantu dia,” sekali lagi aku terpaksa menipu Ikmal.

Aku terfikir jikalau lelaki itu mengetahui akan perkara sebenar, adakah dia akan memarahiku? Atau berasa cemburu kerana aku membantu lelaki lain mencari cinta sedangkan selama tiga tahun ini aku bagaikan sedang bermain tarik tali dengannya.

“Okaylah kalau macam tu. By the way...kau tak ada hati ke nak cari boyfriend baru? Err...maksud aku untuk memulakan hubungan baru?” kali ini Ikmal melemparkan soalan yang serius kepadaku.

Aku mengetap bibir dan membuang pandangan ke arah luar tingkap. Tidak aku pinta ingatan lalu ketika aku hidup bersama Hairi kembali bermain di ruangan mata.

“Berani kau minta cerai dari aku ya!” tengking Hairi kuat.

Libasan tali pinggang ke tubuh terasa begitu perit untuk aku tanggung. Darah yang mengalir di celah bibir aku kesat dengan belakang tangan. Airmata yang mengalir lebat sudah tidak dapat aku tahan lagi.

“Kau mentang-mentang dah ada kerja sekarang ni, berani melawan aku ya? Kau ingat aku akan lepaskan kau macam tu aje? Selagi aku hidup...selagi tu kau tak akan tenang,” ugutan Hairi benar-benar menakutkanku.

Aku masih ingat Hairi mengamuk dan hampir menamatkan riwayatku apabila aku menyuarakan hasratku untuk berpisah dengannya. Malam itu aku dibelasah dengan teruk oleh Hairi dan keluarga mertuaku hanya membiarkan sahaja anak lelaki mereka berlaku kejam terhadapku.

Aku tidak mempunyai pilihan ketika itu. Aku terpaksa menghubungi kakakku, Nadia dan memintanya mengambilku di rumah Hairi pada tengah malam ketika semua penghuni di dalam rumah itu sedang dibuai mimpi. Nadia menangis teresak-esak tatkala dia melihat keadaanku yang lebam dan luka di sana sini kesan dipukul oleh Hairi. Kakakku itu berasa begitu menyesal kerana telah bersetuju ketika Hairi berhasrat untuk mempersiterikanku dahulu. 

Malam itu juga Nadia mendesakku untuk membuat laporan polis. Dalam rasa takut, rasa trauma dan rasa serba salah, akhirnya aku memberanikan diri untuk berbuat demikian agar Hairi tidak lagi mempunyai peluang untuk menyakitiku. 

Keesokan harinya, Hairi dibawa ke balai polis untuk disiasat di atas dakwaan mendera sehingga mendatangkan kecederaan. Tidak lama selepas itu kes penceraian kami di bawa ke mahkamah dan pengakhirannya aku dan Hairi sah bercerai. Detik itu adalah titik permulaan kebebasanku. Walaupun aku tahu kehidupanku yang akan mendatang akan lebih perit namun aku yakin tindakan yang aku lakukan itu merupakan keputusan yang paling betul yang pernah aku ambil.

Namun untuk membina sebuah hubungan baru seperti yang dikatakan Ikmal bukanlah semudah yang disebut dimulut. Aku akui bahawa sukar untuk aku membina semula kepercayaan terhadap seorang lelaki yang boleh bertanggungjawab dan menjaga diriku dengan sebaik-baiknya. Kepercayaan itu adalah sesuatu yang mahal dan tinggi nilainya berbanding dengan wang ringgit. Sesuatu yang tidak lagi disuntik ke dalam diriku dan selagi itulah hatiku tidak terbuka untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki sebagai teman hidup.


“Aku tak rasa nak cari pengganti lagi. Aku lebih selesa macam ni,” balasku akhirnya setelah agak lama berdiam.

“Tapi sampai bila nak menyendiri. Sekurang-kurangnya bila berteman, rasa kurang sedikit beban yang ditanggung.” Ikmal memberikan pendapatnya.

Aku menggariskan senyuman. “Amboi...jadi orang yang memberi pendapat ini bila pula nak berteman? Sampai bila nak membujang? Aku lainlah...aku dah pernah bergelar isteri orang,” kataku sekadar bercanda.

Ikmal tersengih-sengih. “Aku macam kau...masih tak jumpa calon yang sesuai lagi.”

Jawapannya itu membuatkan aku tergelak.

“Tak ada calon? Kau tak jumpa lagi sebab kau tu memilih tau tak. Fazilah, Diana...err siapa lagi Miranda...semua tu baru sebahagian nama gadis yang kau pernah tolak cinta mereka kan?” 

Aku mengingatkan tentang bekas teman-teman wanitanya. Ikmal mempunyai rupa paras, bergelar usahawan yang berjaya dan juga merupakan anak orang berada. Jadi dengan itu, ramai wanita yang mahu mendampinginya tetapi yang memelikkan, mengapa seorang pun tidak melekat dengannya sehingga kini.

“Mereka tu semua kawan-kawan aje...tak adalah sampai aku nak jadikan isteri,” balas Ikmal selamba.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.