Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
91,366
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Masuk pertengahan November segala-galanya masih lancar. Aku sedang berbincang pasal grafik baju musim sejuk dengan Mrs. B.

“Sebab kita dah ada pasaran di Korea, Mrs B patut lebih warna-warnikan fabrik dan grafik,” cadangku mengikut beberapa kajian yang aku perolehi dari negara kelahiran arwah ibuku itu.

“Itu betul Halyn, Jo Sang Hwa pun suruh saya cetak warna-warna ceria, lagi pun krismas nak dekat,” Mrs. B membetulkan kedudukan kacamatanya untuk melihat lebih teliti gambar-gambar grafik yang direka oleh aku dan Ferry Hung. “Nanti awak dengan Ferry pergi kilang, pilih warna fabrik, saya suka warna yang lembut tapi menonjol.”

“Ok.” Aku mengangguk sambil memasukkan semula gambar-gambar grafik ke dalam fail.

“Minta Rosiesme tolong awak, kalau Ferry sibuk, saya rasa dia sedang uruskan model untuk pakaian dalam tadi,” arah Mrs. B kemudian dia bergegas keluar dari bilik rekaan. “Melly mana! Melly!!”

Aku menggeleng sahaja dengar suara nyaring Mrs. B melaung memanggil nama Melly. Keluar dari bilik rekaan aku  kembali ke meja lalu bertembung wajah Rosiesme yang tersentak, dia kelihatan sedang menyembunyikan sesuatu di bawah mejanya.

“Aku nampak,” lantas aku ketawa mengerlingnya sambil duduk. “Apa yang kau sembunyikan tu?”

“Err… tak ada apa-apa,” katanya kalut.

Rosiesme memang jenis kelam-kabut, mudah panik biarpun dia nampak macam berani. Bukan macam Melly yang suka berterus-terang. Dia tersengih.

“Aku curiga betul dengan cara kau tersengih tu,” mudah saja aku teka tentu ada yang cuba Rosiesme cuba sembunyikan dari aku sebab riak jujur Rosiesme ketara benar simpatinya setiap kali ada yang tak kena dengan aku.

“Kau dah baca ke?” tanya Rosiesme tiba-tiba.

Sudah tentu ada yang tak kena. Tidak syak lagi. Lantas aku menghulur tangan, meminta apa yang Rosiesme sembunyikan sangat dari aku. Sebaik melihat huluran tanganku, Rosiesme kembali kalut. Matanya berkelip-kelip dengan mulutnya yang ternganga kelihatan serba salah seperti mahu tak mahu hendak menunjukkannya.

“Jangan risau, aku tak pernah makan paparazi!”

Sengihan Rosiesme semakin panjang dan takut-takut menghulurkan ipadnya. Cerita apa pula kali ini. Cerita pasal aku mengandung lagi ke? Mataku membaca dengan perasaan lebih tenang, jelas, aku semakin dapat mengawal diri walaupun berita itu…sebenarnya kali ini lebih tepat. Artikel dari tabloid itu mendapat seribu lebih bacaan dan mungkin akan meningkat.

Hubungan Kaizil Dan Halyn Sedang Dalam Krisis!

Tajuk artikel itu. Ada gambar aku dan Kaizil di depan kafe minggu lalu. Gambar kereta mewah encik Aart dan pengawal peribadi lelakinya. Laju sahaja aku membaca hingga ke perenggan akhirnya… yang cukup buat aku tersentap.  

Adakah dongeng kisah cinta kota London ini akan berakhir dengan baik atau putus di tengah jalan?

Aku tidak akan jelaskan artikel itu berkenaan dengan apa, kepada Rosiesme.

“Betul ke?” tanya Rosiesme.

Aku menggeleng sambil senyum, mungkin kelihatan sinis senyumanku di mata Rosiesme yang melopong menunggu.

“Biasalah, tabloid. Tak ada apa-apa pun.”

“Ohh, baguslah…” Rosiesme benar-benar lega mendengarnya.

Namun hatiku berdebar. Entah mengapa. Artikel itu buat aku teringat cara encik Aart melayanku. Bagaimana pandangannya terhadapku. Mungkin aku patut ambil tahu semua kisah encik Aart dari Kaizil supaya aku juga boleh menilai lelaki itu dengan cara yang lebih beradab. Seperti jeda, aku membawa pandangan ke luar jendela. Di luar, hujan sedang turun dengan lebat. Langit lebih suram dan gelap seperti gambaran hatiku. 

Malas hendak melayan perasaan murung, aku pantas berdiri semula, berniat mahu menyiapkan kerja yang diminta Mrs. B. Kemudian aku membawa Rosiesme ke kilang memilih fabrik. Lebih baik aku buat kerja dari memikirkan tabloid yang tidak henti-henti menyerang kisah peribadiku. Di situlah aku menghabiskan masa kerja memilih-milih fabrik sambil berbincang dengan Rosiesme.

Ketika senja merah mulai menghias ufuk langit, aku bergegas keluar dari pejabat. Tidak berlengah, aku pun memandu keluar dari perkarangan bangunan High Style. Jalan raya yang lengang kelihatan basah akibat hujan tengahari tadi. Lampu jalan kekuningan terpantul cantik di jalan raya bagai lukisan klasik pelukis jalanan yang pernah kulihat entah di mana. Telefonku bergetar di kerusi sebelah. Kaizil di talian. Pantas jari telunjukku membuat swap dan menjawab dari alat pendengar tanpa wayar di telingaku.

“Miss Yong.”

“Hai…” sapaku gembira mendengar suaranya.

“Nak ke mana?” soal Kaizil.

“Ya, oh wah… kereta ni bagus betul, tak susah nak jejak sayakan… rasanya macam sedang dijejak oleh FBI.” Aku cuba bergurau sambil memperli.

Kaizil ketawa kuat di talian. “Demi keselamatanmu, sayang…”

Bibirku mengulum senyum. “Aku rindukan kau…” kataku dengan nada berbisik. Perasaan yang sejak pagi tadi menyelubungiku.

“Aku cintakan kau.” Kaizil turut berbisik di telingaku yang amat meruntun hati. Aku menghela nafas resah bagaikan ada raksasa di dalam tubuhku meminta aku bertemu Kaizil saat itu juga. 

“Aku ada janji dengan Julia, dia minta temankan beli barang,” beritahuku cuba menutup rasa resah kerana terharu mendengar ucapan cintanya.

“Ok, jangan lama sangat di luar, nanti kau selesema. Aku baru nak turun padang. Siang tadi kami dalam gym saja,” pesannya seperti biasa.

“Emm, ok. Kaizil…” ayatku terhenti sesaat dan mendengar nafasnya dari corong suara. “Aku sayangkan kau…”

Kaizil berdehem. “Jangan sampai aku ke rumah kau nanti.”

Aku ketawa.

“Aku tunggu kau esok. Ok, janji, dan jangan lupa sushi,” pintanya.

“Janjilah. Oklah… bye,” lantas aku menutup talian.

Aku tiba tepat di kafe yang biasa tempat kami berjumpa. Sementara Julia belum sampai aku memesan kopi Arabian dan menikmati kek keju raspberry. Sambil makan aku mengerling jam tanganku. Hampir jam lapan malam. Janji Julia sebelum pukul tujuh setengah sampai, bagaimanapun buat pertama kalinya dimungkiri oleh Julia. Aku kena minta dia belanja aku makan malam sebab dia buat aku tertunggu-tunggu hampir sejam.

Selepas kek keju habis kumakan, aku menelefon Hensen. Kebetulan dia keluar makan dengan Darren juga. Kami bercerita panjang, saling bertanyakan khabar. Hensen kata mahu ke London sebaik penggambarannya selesai bulan hadapan. Aku gembira mendengarnya. Tetapi lepas aku menutup telefon Julia masih juga belum sampai. Aku cuba menelefonnya tetapi tidak ada jawapan. 

Pelik. Mungkin dia bergaduh dengan James? Julia kalau bergaduh dengan James memang jadi masalah pada aku juga. Bosan menunggu, aku main game dalam telefon pintar, bosan main game aku menguis-nguis sisa keju dalam pinggan, kopi pun dah habis, jam sudah menghampiri sembilan malam namun Julia langsung tak nampak bayang. Terlintas dihatiku untuk merasa bimbang. Belum pernah Julia mungkir temujanji kami. Aku nak tunggu lagi ke? Atau pulang terus ke rumah? Ke rumah Julia? Aku mula tak sedap hati. Perasaan tertanya-tanya dan semakin kebosanan bersilih ganti dalam fikiranku, geram pun iya sebab dia langsung tidak menelefon untuk membatalkan temujanji kami.

Tiba-tiba telefonku berdering.

“Julia,” aku menyebut namanya gembira. “Mana kau ni, dah lama aku tunggu.” 

“Hello, Miss Yong?”

“Eh…” bukan Julia, dahiku berkerut melihat skrin telefon. “Ya, saya.” Jawabku laju.

“Panggilan ini dibuat dari Hospital Queen Elizabeth, pemilik telefon ini mengalami kemalangan. Kami dapat nombor cik dari kad bisnis anda di dalam beg mangsa. Boleh anda datang ke hospital sekarang jika anda kenal dengan keluarga mangsa.”

“Ya Allah!” Jantungku terus berdegup kencang. Kenapa dengan Julia. Kemalangan? Aku terus keluar dari kafe, masuk ke dalam kereta dan memecut ke hospital. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.