Home Novel Cinta Cinderella
Cinderella
ainRAZAK
28/12/2020 01:25:31
36,868
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Huda masih lagi duduk berteleku dihadapan pusara ibunya. Senaskah surah yassin, dibiar terbuka dan diulang baca buat kali ketiga. Gemersik suaranya kedengaran, mengikut alunan tarannum yang pernah diajarkan oleh ustazah Zainab ketika dia bersekolah dahulu.




"Sho dakhallah hul a'zim" dia menamatkan bacaan. Naskah yang berwarna kuning keemasan bertulisan timbul itu, ditutup penuh tertib. Kemudian dimasukkan semula ke dalam beg kecil yang dibawanya tadi. 




Jam tangan berjenama pasar malam yang dibeli oleh arwah ibunya dahulu, dipandang sekilas. Waktu sudah hampir menginjak maghrib. Dia harus segera pulang jika tidak mahu dileteri.




Badan dibawa berdiri tegak. Selipar disarung semula ke kaki. Tangan mengibas-ngibas punggung. Cuba membuang jika terdapat sisa-sisa habuk yang melekat ketika dia duduk sebentar tadi. 




Kotak yang telah menjadi alas duduknya, diangkat lalu dilipat dua. Dikepit ke bawah ketiak. Dia berjalan menelusuri lorong yang sudah diratakan dengan batu konkrit bersaiz halus. 




Basikal yang disandar di sebatang pokok rambutan bersebelahan tanah perkuburan dicapainya. Lalu dia melompat naik ke basikal. Dia memulakan kayuhan. Perlahan-lahan sehingga ke kelajuan maksima.




Saat dia tiba di sebuah rumah batu yang dikelilingi pagar, kayuhannya dimatikan. Dia turun dari basikal lalu menongkat kemas, basikal pemberian arwah ibunya. Pintu pagar yang bercat biru itu didekati perlahan-lahan.




Kepalanya dijenguk ke pekarangan rumah, seolah-olah sedang mencari sesuatu. Pandangan Huda langsung tidak menangkap apa-apa bentuk fizikal objek yang bergerak. Nafas berbaur kelegaan dilepaskan perlahan.




"Hoi! Kau memang tak ada kerja lain ka?" sergah satu suara membuatkan Huda terperanjat.




"Eh, kerja, eh tak ada kerja." dia melatah. 




Tangan diangkat mengurut dada. Huh! Kus semangat. Dia segera memalingkan wajahnya. Baru sebentar tadi, dia terasa ringan dadanya. Tiba-tiba dia dikejutkan pula dengan satu suara lain. Hampir terlucut jantungnya dari tangkai.




"Kau kenapa sergah-sergah orang? Memang tak ada kerja lain dah?" marah Huda lantang. Riak geram, dipamerkan.




"Eh, kita tanya dia, dia soal kita balik. Kau tu yang tak ada kerja. Jenguk rumah sendiri macam pencuri. Memang tak ada kerja lain ke macam mana?" ejek suara itu lagi.




Huda malas mahu bertekak. Dia mencapai basikalnya lalu dibawa masuk ke halaman. Lelaki tadi mengekorinya dari belakang.




"Ayah kau tak ada kat rumahkan?" Huda menyoal lelaki yang sedang mengekorinya dari belakang.




Lelaki itu menggelengkan kepala.




"Tak, dia keluar dengan mak aku tadi. Kau dah kenapa tanya pasal ayah aku? Kau nak minta duit pada dia ke?" dia di soal sinis oleh pemuda tadi.




"Eh, Encik Syauqi. Baik sikit eh. Aku tak hadaplah nak minta duit mak ayah kau. Aku sendiri boleh hidup berdikari" balas Huda juga sinis. 




Tidak kebulur dia mahu meminta-minta dengan Pak Cik Bakri. Diapun mempunyai pendapatan sendiri. Tidak perlu mengharapkan duit dari ayah tirinya. 




Syauqi berjalan mendahului Huda. Pintu rumah didekati mereka. Kemudian lelaki itu menolak daun pintu seluasnya. 




"Ehh ... kau dah kenapa buka pintu luas-luas? Kau tak takut pencuri datang, ambil semua barang dalam rumah ni ke? Mau mengamuk bapak dengan mak kau nanti" tegur Huda saat melihat Syauqi yang selamba membuka pintu rumah dengan luas.




"Aku lagi takut, kalau aku kena tangkap khalwat dengan kau dalam rumah mak bapak aku sendiri!" balas Syauqi bersahaja.




Huda membulatkan matanya. Amboi mulut, memang bercakap, langsung tidak berlapik. Main sesedap hati dan perasaan saja lelaki itu bercakap.




Huda mengetap bibir.




Dia membontoti Syauqi dari belakang, masuk ke dalam rumah. Beg yang berisi naskah surah yassin tadi diletakan keatas meja kopi. Duduknya dihenyak ke sofa. Hah, selesa.




Bukan selalu dia dapat merasa duduk di sofa begini. Mahu ditengking oleh mak dan ayah Syauqi kalau mereka nampak. Tambahan pula, sejak kematian ibunya, Puan Lily Airin, hidupnya bagai berada dalam neraka dunia. Seksanya hidup, hanya Tuhan saja yang tahu.




"Kau pergi mana tadi?" soal Syauqi dalam keadaan yang mata yang terpejam. Huda memandang sekilas wajah lelaki itu. Tampak tenang, tidak seperti wajah ibu dan bapa tirinya.




"Aku ke kubur. Baca yassin" mendatar sahaja jawapan Huda. Dia turut memejamkan mata. Cuba merasai nikmat apabila duduk di sofa. 




"Kenapa? Dekat rumah dah tak boleh baca yassin?" Syauqi membetulkan duduk. Dia menegakkan badan lalu dihalakan ke arah Huda. Wajah gadis berdarah campuran itu direnungnya tajam.




Ada rasa yang menjalar masuk ke ruang hati Syauqi. Sekian lama dia cuba menepis, namun tidak juga berhasil. Wajah Huda tetap dalam lipatan mindanya. Sering menari-nari di ruang mata. Dia tidak betah menahan rasa.




"Eh, suka hati akulah!" Huda membalas kasar. Malas dia mahu bersopan-sopan dengan saudara tirinya.




Wajah Syauqi dijeling. Huda bingkas bangun. Dia mahu ke biliknya yang berada bersebelahan dengan dapur ataupun lebih tepat lagi bilik stor yang telah disediakan khas untuk dia semenjak kematian ibunya. 




"Eh, kau nak pergi mana?" soal Syauqi sekali lagi.




"Nak solat, nak rehat sebelum mak bapak singa kau balik" balas Huda selamba. Dia mencapai beg yang dibawanya ke kubur tadi.




Dia rasa bersyukur. Mujur kedua mereka tidak ada di rumah. Kalau tidak, sudah pasti dia takkan dapat bersenang lenang seperti sekarang. Tambahan pula, dengan perangai ibu tirinya yang semakin melampau.




Jika tidak diingat pada pesanan arwah ibunya, sudah pasti dia sudah meninggalkan rumah neraka ini. Dia tidak betah untuk berlamaan dalam suasana yang dikelilingi oleh aura negatif.




"Tolong buatkan aku air, boleh?" pinta Syauqi perlahan. Matanya jatuh ke wajah Huda. 




"Taknak, malas!" balas Huda selamba. Dia terus melangkah ke biliknya tanpa menoleh lagi.




Syauqi menggelengkan kepala. Dia hanya memandang kelibat Huda sehingga gadis itu hilang dari pandangannya. Dia kasihankan Huda, sejak kehilangan ibunya, sifat kasar Huda makin terserlah. Hilang segala kesopanan dan kelembutan yang ada pada diri gadis itu dahulu.




Tapi kesalahan tidak sepatutnya diletakkan sepenuhnya pada Huda. Kedua ibubapanya juga, memainkan peranan penting. Sikap mak dan ayahnya yang suka mendera metak dan fizikal gadis itu, seakan membenihkan dendam jauh ke dasar hati.




Dia percaya, suatu hari nanti, segalanya akan mencetuskan pertempuran yang hebat antara mereka. Dan ketika itu, dia yakin bahawa tiada lagi ruang untuk dia memperbaiki hubungan mereka yang sudah tersedia buruk.




"Huda, Huda, andai kau tahu isi hati aku, sudah pasti kau akan terus menjauhkan diri kau dari aku" ujar Syauqi perlahan. 




Dia melepaskan keluhan kasar. Kedua belah tangannya meraup kasar rambut yang terjuntai ke dahi. Muka disapu beberapa kali. 




"Ya, Allah. Berikan aku kesempatan itu ya Allah" Syauqi berbisik perlahan.




•••




"Kau dah call bos?" seorang lelaki bertatu harimau menyoal seorang lagi lelaki yang sedang membersihkan beberapa bilah kapak kecil kepunyaannya.




"Buat apa?" 




"Eh, kau tanya aku pula. Kau pergilah tanya bakal bapak mertua kau sendiri. Aku mana tahu" lelaki tadi menjungkit bahu.




"Hoi! mulut tu jaga sikit eh Rimau. Apa main bapak-bapak mentua bagai ni? Aku dengan anak Tuan Aeron takda kaitan okey. Dia dengan haluan dia, dan aku dengan haluan aku sendiri. Titik!" balas lelaki tadi geram.




Dia cukup pantang bila dikaitkan dengan Karina, anak majikannya.




"Dah la Kapak. Aku tahu si Karina tu tergedik-gedik mahu dekat kau. Takkan kau nak menolak kot. Ikan dah ada depan mata. Ngap jela" provok lelaki yang dipanggil Rimau tadi.




Wajah itu terukir senyuman sinis. Kapak memandang rakannya dengan bebola mata yang disepetkan sedikit. Bibir dan rahangnya tergerak-gerak. Seolah mahu menuturkan sesuatu.




Dia cukup pantang bila dikaitkan dengan perlakuan yang tidak bermoral itu. Seks, dadah, judi dan wanita bukan keutamaan dia. Dia masih punya tugas yang lebih mencabar menanti dia dihadapan.




"Kau dah kenapa? Terkedu aku cakap macam tu? Kalau suka, cakaplah suka, Kapak" mendatar Rimau bersuara. Dia tidak sedar, yang dia sudah membangkitkan kemarahan sahabatnya.




Kapak memegang kapak kecil ditangannya. Sekelip mata sahaja, dia melemparkan kapak kecil itu pada Rimau. Ternganga wajah lelaki itu. Nyawanya hampir melayang. Mujur kapak tidak mengenai pada sasaran.




Rimau memandang kapak kecil yang tegak berdiri di dinding sebelahnya. Jantung berdegup kencang. Dia sudah salah percaturan. Sudah tahu, tapi lagi mahu diuji tahap kesabaran sahabatnya itu.




Siapa tidak mengenali Kapak dalam dunia mereka? Hanya orang yang buta dan pekak sahaja tidak merasai dan menyedari kewujudan makhluk Allah yang hanya memiliki sebelah telinga itu.




Kisah yang sangat tragis untuk diingati. Rimau tersengeh.




"Maaflah kapak. Aku bergurau je dengan kau. Aku tak sangka pula, kau boleh angin macam ni" ujar Rimau. Sengehan terukir dibibir. Kedua belah tangannya diangkat separas bahu. Menandakan dia meminta maaf.




"Jangan diuji aku dengan dunia yang kau sendiri tidak tahu Rimau. Buka mata, buka hati. Kenapa perlu kita berada di sini selain menjalankan misi kita?" soal Kapak berkias.




Dia tidak mahu sahabatnya menyalah tafsirkan sesuatu yang bukan didalam pengetahuan mereka. Dia cukup pantang bila dikaitkan dengan semua itu. Kerana dia tidak pernah diajar untuk menghambakan diri pada nafsu duniawi.




Rimau sudah menganggukan kepalanya. 




Kapak menghulurkan senyuman sinis. Dia melangkah kearah Rimau yang sudah cuak. Kapak yang masih terlekat di dinding, ditarik kasar.




"Aku nak balik. Nanti kau tolong uruskan Karina bagi pihak aku. Aku tahu kau suka dia" Kapak menepuk-nepuk bahu rakan seperjuangannya sebelum dia melangkah keluar dari tempat persembunyian mereka.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.