Home Novel Cinta Kasihnya DIA
Kasihnya DIA
5/2/2014 16:20:49
25,977
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

HARI itu hari pertama dia berjalan bersendirian keseorangan.Kebiasaannya dia tidak pernah keluar ke mana-mana bersendirian. Rina Melati yakin dia akan berjaya sampai ke universiti yang akan ditujunya walaupun tidak ditemani oleh sesiapa. Mulai saat itu dialah bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri. Mengharungi kehidupannya keseorangan. Dia dan semua teman-teman di rumah itu telah diasuh supaya berdikari.

Di rumah anak yatim, mereka telah dididik dengan ilmu agama yang tebal. Al-Quran dan hadis tidak pernah ditinggalkan. ALLAH dan rasul mesti diberi keutamaan dan lebih dicintai. Dunia hanya pinjaman. Akhirat sahaja yang kekal abadi. Sering mereka diingatkan oleh ustazah, satu ayat di dalam surah at-Taubah, ayat 72 yang mengatakan, ALLAH menjanjikan bagi semua orang beriman, lelaki mahupun wanita, syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan mendapat tempat yang baik di syurga ‘Adn’… mereka memperolehi keredhaan ALLAH yang lebih besar, dan itulah keuntungan yang sebesar-besarnya…

Rina Melati berjalan kaki dari stesen bas Kuala Kumpur ke Puduraya melalui Jalan Petaling. Sebenarnya dia bukan biasa di kota cosmopolitan itu. Hayunan kakinya hanya mengikut gerak hatinya sahaja. Apabila sampai sahaja di bangunan Puduraya itu, dia tercungap-cungap kerana penat menaiki tangga.

Suasana di Pudu Raya sesak dengan manusia. Bising serta merimaskannya. Tiket ke Butterworth sudah habis. Begitu kata penjual tiket di kaunter jualan tiket bas. Malang nasibnya kerana semua tiket telah habis dijual. Jam yang tergantung di tiang besar Puduraya telah menunjukkan angka 10.30 malam. Melepaskan lelah seketika pinggulnya dilabuhkan pada sebuah bangku simen yang berada di tengah-tengah ruang menunggu.

Mengapa tidak naik keretapi? Perbualan dengan seorang wanita yang duduk di sisinya mencetuskan satu keputusan. Dia mengucapkan terima kasih kepada wanita tua itu lalu sekali lagi mengheret begnya menuruni tangga. Keletihan yang belum dilampiaskan sepenuhnya. Beg yang dibawa terasa semakin berat. Seorang pemuda berambut kerinting menegur dan cuba membantunya sebaik sahaja dia memijak anak tangga yang terakhir.

Mahu ke mana tanyanya. Sambil tangannya memegang beg yang ditangan Rina Melati. Stesyen keretapi. Jawab Rina Melati. Hendak ke mana? Soal pemuda itu lagi dengan loghat Jawa atau Indonesia yang pekat.Butterworth. Jawab Rina Melati.

Apa salahnya menjawab teguran orang dengan cara yang baik. Hidungnya menangkap bau yang sangat harum daripada pemuda itu. Saya bantu kamu! Ucap lelaki itu lagi lalu memegang tangan Rina Melati dan beg ditangan gadis itu. Tanpa banyak soal Rina Melati terus menurut langkah kaki lelaki itu. Tak perlu berjalan ke sana. Jauh. Beg yang kamu bawa ini berat. Keretapi terakhir ke utara jam 11.15 malam ini. Beritahu lelaki itu lagi.

Rina Melati, mengerling jam yang melingkari tangannya. Tinggal 20 minit lagi. Berjalan beberapa rantai dari tempat mereka bertemu ada sebuah kereta yang menunggu. Di dalamnya juga ada tiga orang lelaki yang warna kulitnya sama dengan lelaki yang mula-mula tadi. Mereka berbual-bual seketika sambil merenung-renung Rina Melati yang tercegat di sebelah beg pakaiannya. Bahasa yang digunakan mereka sukar difahami.

“Kamu duduk di depan sini!” tutur salah seorang daripada mereka sambil membukakan pintu kereta untuk Rina Melati.

Rina Melati mengangguk dan menurut tanpa kata-kata.

“Nama kamu siapa?” soal lelaki tadi secara tiba-tiba. Suasana di dalam kereta tiba-tiba sunyi daripada suara-suara yang sebelum ini rancak berbual.

Rina Melati seolah tidak mendengar. Lelaki tadi menyoal sekali lagi dengan suara yang agak kuat. Rina Melati mengeleng. Tidak semena-mena dia tidak mengingati apa-apa lagi. Wajahnya terus selamba dan memandang ke arah depan sahaja.

“Kamu mahu ke mana perawan cantik?” soal pula lelaki yang duduk di bangku belakang. Entah lelaki yang mana satu.

Rina Melati mengeleng. Sesungguhnya dia tidak mengingati apa-apa lagi kecuali mahu dirinya bersama lelaki-lelaki itu.Kedengaran suara ketawa bertali-tali daripada mereka. Rina Melati hanya mendiamkan dirinya. Meninggalkan hiruk pikuk kota, kereta itu bergerak ke jalan yang lebih sunyi dan akhirnya singgah di sebuah rumah entah di mana lokasinya.

“Malam ini tidur di sini. Keretapi malam ini sudah berlepas.” Itulah kata mereka lantas pintu kereta dibuka. Rina Melati pun turun mengekori lelaki-lelaki tadi masuk ke dalam rumah.

“Duduk!” arah lelaki yang mula-mula bertemu dengannya di kaki tangga Hentian Puduraya tadi.

Rina Melati pun duduk. Segelas air kosong dihulurkan kepadanya. Dia meneguknya tidak berbaki walaupun setitik.

Ayuh dong. Jangan tunggu lama-lama lagi. Rina Melati mendengar kata-kata itu tetapi seolah-olah tidak mengerti apa-apa. Lelaki yang mula-mula tadi tiba-tiba memegang lengannya. Tanpa dipaksa Rina Melati terus bangun dari kerusinya. Lelaki itu membawa Rina Melati memasuki ke sebuah kamar yang tidak jauh daripada ruang itu.

Lampu di dalam bilik dinyalakan. Di dalam bilik itu ada sebuah katil. Sebuah almari pakaian. Di serata dinding berselayutan seluar baju yang disangkut pada paku. Rina Melati didudukkan di birai katil. Gadis itu sedikit pun tidak menolak. Pintu bilik berkeriut, Rina Melati lihat semua lelaki yang bersamanya di dalam kereta tadi sudah berada di dalam bilik dan mengelilinginya.

“Buka pakaian kamu.” Lelaki yang mula-mula tadi terus memberi arahan. Dia juga turut menanggalkan pakaiannya satu demi satu.

Rina Melati tidak tahu mengapa dia harus menurut sahaja perbuatan mereka. Dia seolah orang dungu yang tidak boleh memikir satu apa pun.

Tiba-tiba terdengar suara orang menjerit-jerit marah di pintu dan seterusnya pintu terkopak.Seorang lelaki dengan suara maki hamunnya menerpa ke arah mereka. Lelaki-lelaki yang membawanya ke rumah itu ditendang oleh lelaki yang baru masuk ke bilik tadi. Lelaki itu bertubuh tinggi dan berbaju T biru polos. Lelaki itu sempat melemparkan sehelai selimut entah milik siapa buat menutupi tubuh Rina Melati yang tidak berpakaian.

Rina Melati masih kebingungan. Selimut kumal dan berbau hapak serta bacin disambar lantas tubuhnya ditutupi dengan kain itu. Lelaki yang membantunya tadi jelas amat tangkas dan gagah. Keempat-empat pemuda yang cuba melakukan onar terhadap Rina Melati terkapar bagaikan ayam kena sembelih.

“Sialan! Kamu gunakan ilmu kepada orang yang lemah dan tidak berdaya!” Meledak suaranya memarahi lelaki yang mula-mula bersama dengan Rina Melati tadi. Lantas tangannya mencekak lelaki itu. Terdongak kepalanya ke atas dan mulutnya ternganga. Hidungnya pun sudah melelehkan darah, mungkin cedera kerana ditumbuk tadi.

“Kamu pulihkan dia! Kalau tidak nahas!” Bentakan suaranya kuat.

Entah mentera apa yang digunakan oleh lelaki tadi. Mentera dibaca lalu dihembuskan ke muka Rina Melati yang terdampar di atas katil. Beberapa ketika kemudian, lelaki itu menepuk tangan Rina Melati kuat.

Sekali tepuk sahaja, Rina Melati seolah terjaga daripada mimpi.Dia tercengang-cengang sambil tangannya menyelak selimut yang membalut tubuh. Jeritan dan raungannya tidak dapat dikekang lagi apabila melihat di bawah selimut itu, dirinya tidak lagi dibungkusi pakaian yang dipakainya siang tadi. Tudung yang menutupi rambutnya pun entah ke mana. Terasa dirinya dihumban ke dalam perlimbahan paling dalam serta busuk.Alangkah aibnya.

Betapa malunya dia di hadapan ALLAH pada ketika itu.Rina Melati menangis teresak-esak. Tersedu-sedan. Mengapa perkara buruk ini berlaku kepada aku ya ALLAH? Keempat-empat lelaki tadi, perlahan-lahan menghilangkan diri dari kamar pengap dan sempit itu.

“Kamu dipukau,” ujar lelaki yang telah berbudi kepadanya. Rina Melati terus teresak. “Syukurlah. Kamu tidak sempat diapa-apakan lelaki-lelaki sial itu!” Tangannya mengutip pakaian Rina Melati di atas lantai lalu melontarkannya ke atas tubuh gadis itu.

“Cepat! Pakai pakaian kau. Aku hantar kau pulang!”Suaranya tegas dan parau sesuai dengan wajahnya yang serius. “Aku... Khalid. Khalid Afandi.” Sempat lagi dia mengenalkan diri lalu meninggalkan Rina Melati seorang diri di bilik itu.

Dentuman guruh dan silauan kilat mengembalikan Rina Melati ke perjalanan realitinya. Keluhan yang berat dilepaskannya seolah melontarkan segala kedukaan yang terpendam dijiwa selama ini. Mahukah hatinya mencintai lelaki itu? Jika emosinya seringkali di dera, di mana tempat untuknya mengadu kasih? Benarkah Khalid tidak menginginkan seorang wanita untuk disayangi dan dicintai?

Adakah Umar pun mempunyai sejarah yang melukakan bersama kaum hawa, sama seperti Khalid? Lantas tidak ingin memulai titik perhubungan dengan mana-mana gadis pun? Rina Melati atau Eryna Natasha cuba meneka. Titik-titik hujan mulai menimpa bumi dan bumbung keretanya. Semakin lama semakin lebat diikuti desiran angin yang menggoyang-goyangkan dahan-dahan pokok di tepi jalan. Bunyi hon yang kuat tiba-tiba mengejutkannya di samping silauan lampu menerjah ke anak matanya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.