Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,520
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

ELNARA ternganga. Dia perhatikan riak Habib yang muncul depan bangunan tempat kerjanya. Kepala digaru perlahan sambil memikirkan persoalan yang dilontarkan kepadanya.

“Aku tak pernah tahu pun yang Anggun ada kembar. Kau jangan merepeklah,” balas Elnara menyembunyikan perkara sebenar. Dia perasan, Habib masih keliru dengan apa yang dilihat semalam. Pasti ada sebab Habib tanya begitu.

“Manalah tahu dia ada kembar, tapi terpisah.” Habib melirik perlahan. Dia menggigit bibir bahagian bawah. Wajah Elnara masih diperhati tenang.

“Kenapa kau tanya? Kau ada nampak perempuan muka sebiji Anggun ke?” Elnara sedikit terkejut. Dia cuba mengawal emosi yang bercampur-campur. Hati terasa nak pecah bila tembelang serasa mahu pecah.

“Bukan perempuan, tapi lelaki.” Habib menggeleng dan memberitahu apa yang dilihat semalam.

“Haaa? Seriously?” Elnara yakin, Habib terserempak dengan Jay.

Haih, matilah Anggun!

“Hurm, tak tahulah memang lelaki ke tidak. Tapi suara dia halus macam suara perempuan. Aku perasan yang dia ada buah dada.” Elnara telan liur yang terasa pekat.

Sampai ke situ dia perhati? Ergh, juling mata baru tahu.

“Wei, pervert gila! Dalam banyak-banyak tempat, kawasan situ juga kau nak usha apa pasal!” Spontan, Elnara menepuk pergelangan Habib. 

“Terpaksa sis. Aku nak tahu jantina dia, sebab itulah aku perhatikan satu per satu.” Tawa terletus halus. Habib menampakkan sengihan yang melebar. 

Boleh pula dia tayang wajah Selenga depan Elnara yang dah menggelabah nak susun ayat.

“Pelanduk dua serupa kut?” cuba memanipulasikan minda Habib. Lelaki itu menjongket bahu. Dia sendiri meragui apa yang dilihat.

“Hurm, tapi bila aku tengok dia tu hati aku berdebar-debar.” Jujur Habib.

“Alahai kau ni over lah. Mentang-mentang muka sama, kau nak claim hati berdebar pula.” Tiba-tiba Elnara ketawa kuat-kuat. Terkejut Habib melihat tingkah laku si kawan.

“Uit, berbual apa tu? rancak sangat je?” satu suara menjerkah dari belakang. Semerta, Habib dan Elnara menoleh ke arah suara itu.

“Eh, daddy.” Habib sedikit terkejut bila Encik Wahid muncul di bahagian bangunan tempat kerja Elnara.

“Daddy buat apa dekat sini?” soalnya keanehan.

Dad ada meeting dengan klien dekat kawasan sini.” Elnara dan Habib mengangguk serentak.

“Lama tak nampak uncle. Bila uncle pulang ke Malaysia?” Elnara memulakan perbualan. Dia melemparkan senyuman termanis di hadapan Encik Wahid.

“Nak dekat seminggu dah. Haaa, Anggun mana? Macam mana kamu boleh ada kat sini?” Encik Wahid memerhatikan sekeliling, mencari kelibat Anggun.

“Anggun dekat rumah. Dia ada kerja nak disiapkan. Nar pula ada dekat sini sebab sekarang ni waktu bekerja. Hehehe …” Elnara menjawab tenang walaupun dia terasa lucu dengan persoalan Encik Wahid.

“Eh, lupa pula uncle.” Encik Wahid tersengih.

“kejap … tadi Nar kata Anggun bekerja. Sejak bila dia bekerja? Bukan ke kerja dia menadah duit anak uncle je?” Encik Wahid menyilang tangan di dada, lantas riak wajah yang tersenyum berubah serius.

Elnara dan Habib terkejut. Spontan mereka berpandangan sesama sendiri.

“Daddy, kenapa cakap macam tu?” Automatik, suara Habib berubah bengang. Tidak suka bila daddy bermulut lancang begitu. Elnara menjadi kurang selesa bila lelaki depannya bersuara sinis.

Tiba-tiba nak kutuk si Anggun dah kenapa?

“Daddy cakap macam tu sebab daddy hairan bila dia tak mahu berkahwin dengan kamu walaupun dah tiga tahun ikat tali pertunangan.” Encik Wahid mencebik bibir. 

“Ada sebab kami tak berkahwin lagi. Belum sampai jodoh lagi,” balas Habib. Sesekali, dia perhatikan air muka Elnara.

“Duit kahwin tak cukup lagilah uncle. Sebab tu Anggun tak bersedia lagi.” Elnara angkat semua wajahnya, lantas dia bersuara setelah diam beberapa detik.

“Kumpul duit kahwin? Are you sure? Jangan ingat yang uncle tak tahu yang kawan kamu tak bekerja.” Suara Encik Wahid di celahan tawa. Kepala disengetkan ketika menghadap Elnara.

Sedari awal lagi si gadis yakin bahawa Encik Wahid akan membuka topik perbualan seolah-olah menyinis rakannya.

Setiap kali mereka terserempak, hal Anggunlah yang akan diceritakan. 

“Daddy, dia kerjalah!” 

Dahi Habib berkerut seribu. Ekor mata Encik Wahid berkalih memandang si anak.

“Daddy dah upah orang untuk siasat Anggun setiap pagi. Dalam tempoh setahun ni, Anggun tak pergi kerja pun melainkan dia keluar dari bangunan Pak Lang kamu. Dia mesti datang sana sebab nak minta duit kamu je.” 

Spontan, Encik Wahid menarik wajah Habib lebih dekat. 

‘Alamak, spy daddy mesti perasan yang Anggun pakai topeng bila keluar dari kereta.’ Habib kebingungan.

“Kenapa daddy siasat dia?” 

Kali ini, suara Habib mengendur. Bernada kecewa. Tidak sangka, daddy akan lakukan hal sedemikian.

“Sebab daddy tak mahu anak daddy berkahwin dengan perempuan yang sembarangan.” 

Air muka Habib berubah. Renungan bertukar lebih keras. Rahang mula terketap-ketap menahan marah.

“Yang uncle kutuk tu kawan baik saya. Jadi rasanya saya berhak sakit hati kut.” 

Giliran Elnara mencelah. Dia tidak tahu apa tujuan Encik Wahid tiba-tiba mengutuk Anggun ketika mereka bersua muka secara tidak sengaja.

“Alang-alang kita dah berjumpa ni, uncle nak sampaikan sesuatu perkara kepada kamu.” 

Encik Wahid sengaja mendekatkan mulut ke telinga Elnara. Kata-kata Encik Wahid menduga hati Elnara yang terbuai perasaan marah. Namun, dia hanya berdiam dan tubuh pula pegun sekejap.

Elnara hanya memasang telinga.

“Tolong beritahu kawan kamu, uncle beri tempoh sampai hujung tahun ni untuk dia tetapkan tarikh perkahwinan. Kalau tidak…” belum sempat Encik Wahid menyelesaikan bicara hingga ke titik noktah, Habib terlebih dahulu mencantas.

“Kalau tidak apa?” suaranya semakin garau. Wajah pula menderau panas.

“Daddy akan suruh kamu putuskan pertunangan dengan dia.” Ugut lelaki itu.

“Aku balik dulu. Assalamualaikum,” ucap Elnara. Tidak betah mahu menghadap wajah Encik Wahid.


“APA masalah daddy? Kenapa daddy buat keputusan macam itu? Kenapa daddy Malukan Habib depan Nar?”

Habib meluru masuk ke dalam bangunan bersama daddynya. Dia tidak berpuas hati. 

“Daddy nak yang terbaik untuk kamu. Daddy dah penat nak menjawab persoalan kawan-kawan daddy pasal perkahwinan kamu.” 

Encik Wahid menjawab lagak bersahaja. Langsung tidak merasa serba salah dengan tindakannya tadi.

“Daddy jangan ambil kisah dengan pertanyaan dan mulut orang sekeliling boleh tak? Biarlah mereka nak cakap apa pun. Mummy okey je pasal hal ni, daddy pula yang melebih.” 

Habib bercekak pinggang. Rahangnya terasa bergetar melempiaskan perasaan berbuku di hati.

“Mummy okey, tapi daddy tak okey. Daddy tak akan tarik semula kata-kata yang daddy katakan tadi. Kalau tiada kata putus, daddy nak kamu berdua putus!” 

Encik Wahid bertegas. Tidak mahu berlembut lagi dengan perhubungan yang seperti tiada penghujungnya.

“Habib sayangkan Anggun. Habib sanggup tunggu dia beberapa tahun akan datang sekalipun.” Dahi berkerunyut ketika melafaz bicara. Automatik, bibir Encik Wahid tersungging senyum sinis.

“Jangan jadi buta disebabkan cinta. Kalau kamu tak ikut cakap daddy untuk desak Anggun berkahwin tahun ni, daddy akan beritahu dia siapa kamu yang sebenar,” Encik Wahid membalas seraya tangan naik menyentuh pipi si anak. 

“Daddy …” terkebil-kebil.

“Kamu tak mahu dia tahu hal yang sebenar, kan? Jadi kali ini kamu perlu ikut cakap daddy dan buat keputusan sebelum daddy pulang semula ke Australia.”


LEWAT birai mata, Habib merenung skrin. Gambarnya bersama Anggun ketika di zaman sekolah menengah direnung sedalamnya.

Senyuman si gadis sangat ikhlas. Perkenalan mereka sangat berharga.

“Awalnya anak mummy balik rumah?” Puan Nour menyapa si anak yang duduk termenung di atas sofa. Segera dia melabuh duduk bersebelahan Habib.

“Habib rasa tak sedap badanlah mummy. Sebab tulah Habib pulang awal.” Dia mengherot senyuman nipis sambil kepala mendongak ke arah Puan Nour.

“Kenapa dari tadi mummy tengok kamu renung je gambar kamu dan Anggun? Kamu bergaduh dengan dia ke?” 

Tangan Puan Nour menepuk lembut pergelangan si anak. Kening terangkat sedikit.

“Eh, mana ada gaduh. Habib rindukan Anggun je.” Habib sengih.

“Kalau rindu, kahwin cepat. Janganlah tangguh-tangguh lagi ya? Daddy kamu dah bising.” Puan Nour sengaja cetuskan suasana yang mampu menduga hati habib. Automatik, minda terkenangkan wajah daddy.

“Habib hormat keputusan Anggun. selagi dia tak bersedia, tak akan pula Habib nak paksa.” Habib melirik perlahan. Kali ini, senyumannya jelas tawar. Sekadar mahu menenangkan hati. 

“Kamu yakin ke Anggun setia dengan kamu?”

Habib tersentak. Tidak sangka, perkataan itu mampu terluah dari bibir Puan Nour.

“Apa maksud mummy ni? Mummy pun nak tuduh Anggun hal yang bukan-bukan ke?” suara Habib tinggi seoktaf. 

Sejak mummy dan daddy pulang ke Malaysia, mindanya sarat dengan emosi tak menentu.

“Eh, taaa tak. Mummy tak tuduh pun, cuma …”

“Cuma apa?” laju Habib bertanya.

“Hari itu mummy terdengar Pak Lang dan Pak Su kamu berbual dekat depan kolam rumah pasal Anggun.” bergetar-getar bibir Puan Nour mengungkap kata.

“Mereka kata apa?” 

“Anggun keluar dengan seorang lelaki. Pakaian lelaki tu macam seorang doktor. Betul ke?” 

Habib terdiam untuk beberapa saat. 

Habib cuba untuk bertenang menghadapi situasi tersebut.

“Mummy percaya ke? Kalau tak ada bukti, Habib tak akan percaya.” Katanya perlahan. Perasaan tidak selesa menyusup dalam hati.

“Mummy bukan nak percaya bulat-bulat, cuma mummy pun tak bolehlah nak cakap pak cik kamu menipu.”

Puan Nour bertapis dalam bicaranya. Tidak mahu si anak merasa hampa. Perlahan-lahan, kedua belah tapak tangan mengusap lembut pipi Habib.

“Anggun tu setia, mummy.” Penuh berkeyakinan Habib membela Anggun.

“Anak mummy carilah kebenaran ya? Mummy tak mahulah orang sekeliling mengata kita kalau hal tu benar.”


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono