Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,451
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

PINTU bilik Habib dikuak perlahan setelah diberi keizinan darinya. Seseorang melangkah masuk lantas berdiri di hadapannya. 

“Uit, Ryu. Kau buat apa datang ofis pak cik aku ni?” Habib bingkas berdiri menghampiri Ryu. Dia keanehan bila lelaki itu muncul depan muka.

Pasti dia mahu mencari maklumat. Wartawan hiburan seperti Ryu tidak akan datang tanpa tujuan.

“Aku nak jumpa anak saudara dialah. Lama tak jumpa kau bro.” Ryu melebar sengih. Habib tersengih penuh curiga.

“Engkau ni, kalau nak jumpa aku jumpalah waktu luar kerja. Sekarang tengah kerja.” Habib mencebik bibir. 

“Sekarang masa untuk rehat bro. jom kita keluar makan? Aku belanja.” Membulat sedikit mata Habib bila Ryu menawar diri untuk belanja makan.

Manusia kedekut seperti Ryu mahu belanja makan? Biar betul. Ada udang di sebalik mi.

“Eh, engkau ni lain macam. Kenapa tiba-tiba nak belanja aku pula?” Habib membulat biji mata. Ada senyuman aneh yang terukir di bibirnya.

“Aku nak belanja sebab kita ni kawan.” Tergelak Habib mendengar jawapan spontan itu.

Kawan konon. Dia bukan tidak kenal sikap Ryu yang hanya berkawan kerana kepentingan.

“Wartawan macam kau ni mesti ada sebab datang ofis aku.” Kening sebelah kanan dijongket tinggi. Dia dapat menghidu bahawa Ryu datang ke mari membawa satu tujuan tersembunyi.

“Aik, kalau wartawan ajak kawan dia makan pun kena ada point tersendiri ke?” Ryu berteka-teka. Habib mengeyakan.

“Aku bukan tak kenal kau Ryu. Aku tahu kau masih nak korek rahsia pasal Miss Noob tu.” Dia bersuara di celah-celah ketawa. 

“Hehehe ...” Hanya tawa yang kedengaran. Kantoi. Wajah merona merah menahan malu.

“Aku ni terkejut sebab kau sanggup bekerja dekat syarikat rakaman pak cik kau, sampai kau sanggup tinggalkan kerjaya pramugara kau. Aku rasa mesti kau ada sebab sendiri, kan?” Persoalan diajukan kepada Habib. Ryu ukir senyuman penuh makna.

Habib duduk semula seraya pandangannya masih terpasung pada wajah Ryu.

“Kau nak kata yang aku sanggup berhenti pramugara disebabkan Miss Noob tu ke?” dia membalas soalan dengan soalan. 

Ryu masih senyum.

“Mungkin? Maklumlah, mesti kau tahu siapa Miss Noob tu.” Kening dijongket tinggi-tinggi. Darah tiba-tiba menderu di adrenalinnya.

“Kau ni main buat andaian sendiri pula. Haih, kalau aku backhand kepala kau silap hari bulan patah leher kau aku buat.” Habib menghamburkan perasaan rimas. Mata Habib dan Ryu saling berpandangan.

“Bos aku betul-betul nak tahu siapa Miss Noob tu bro. tolonglah beritahu maklumat pasal dia.” Ryu bersuara separa merayu. Dia menarik kerusi lantas duduk depan Habib tanpa di pelawa.

“Kalau kau beritahu siapa dia, kau pun akan dapat benefit dari bos aku.” Ryu menyambung kata. Habib herot bibir ke tepi, kemudian kepala digeleng laju.

Habib tak hadap langsung tak benefit tu.

“No way.” Tegas dan ringkas jawapan Habib.

“Hurm, kau ni macam menjaga maklumat Miss Noob tu sangat. Mesti kau ada apa-apa dengan dia, kan?”  Katanya berbaur curiga. Riak wajah Ryu berubah serta merta.

“Kejap. Macam mana kau tahu yang aku ada maklumat pasal Miss Noob tu?” dahi berkerut seribu. Hati berdetak resah.

“Sebab engkau manager dia. Hari tu pun pak cik kau ada kasitahu yang kau bawa Miss Noob tu dalam syarikat ni. Dia kata, dia sendiri tak pernah tengok muka Miss noob tu. Semua maklumat Miss Noob tu engkau yang pegang.” Panjang lebar dia memberi penjelasan.

Habib perlu akur, Ryu hebat dalam mencari maklumat. Rakannya itu di antara wartawan terhebat di negara ini. Setiap kali ada berita sepantas kilat, pasti namanya yang naik di media sosial.

“Hurm, wartawan macam kau ni memang menyibuklah. Tak payah nak gagah cari maklumat pasal dia boleh tak? Kalau dia nak kekal misteri, biarlah.” Habib menggetus. 

Tidak suka dengan setiap desakan yang diberikan kepadanya.

Pihak wartawan yang sibuk mencari maklumat dan membuat liputan berkaitan Miss Noob hanya membuang masa. Mereka seolah-olah mencari perkara yang sia-sia.

Banyak lagi selebriti di dalam negara ini. Mengapa Miss Noob juga yang perlu menjadi perhatian utama?


KELUAR saja dari ruang pejabat, Habib terus membuka pintu kereta untuk pulang. Belum sempat dia membuka pintu, seseorang menyentuh bahunya dari belakang.

Terus dia pusing kepala memandang wajah si gerangan yang menyentuh bahu.

“Eh, Pak Lang dah balik sini? Bukan ke Pak Lang ada jelajah satu Malaysia dengan selebriti baru nak up tu?” ujar Habib sedikit hairan. Kepala disenget sedikit merenung Encik Wahab.

“Pak Lang balik awal sebab nak jumpa kamu.” Encik Wahab berwajah tegang. Seperti mahu memberitahu sesuatu hal yang serius. 

Melihat wajah Pak Lang begitu rupa, hati Habib diserang debaran.

“Aik, boleh je jumpa dekat rumah. Kenapa nak jumpa dekat sini?” soalnya mendatar. Pantas Encik Wahab menggeleng kepala tanda tidak mahu berbincang di rumah.

“Pak Lang tak mahu bincangkan hal macam ni dekat rumah. Nanti mak dengan ayah kamu yang baru balik Australia tu banyak tanya. Pak Lang tak mahu bebankan mereka.” Habib mengangguk acuh tak acuh. Mindanya mula menimbulkan tanda tanya.

“Hal macam ni? Maksud Pak Lang?” Habib sedikit terkedu. Dia menggigit bibir gugup sambil membetulkan posisi berdirinya.

“Jom ikut aku pergi kedai makan. Kita bincang dekat sana.” Pinta Encik Wahab. 

Habib terpempan.

“Penting sangat ke?”

“Kalau tak penting, aku tak akan biarkan orang lain handle artis bawah jagaan aku.” Wajah Habib meronta pucat. Dia rasa gementar bila Pak Lang pamerkan riak wajah penuh tanda tanya.


SETELAH tiba di kedai makan dan menempah maggi goreng dua pinggan, Habib memandang Pak Lang penuh fokus. Mahukan jawapan di sebalik tanda tanya sejak di parkir tadi.

“Tunang kamu tu pandai jaga diri ke tidak?” melulu Encik Wahab bertanya. Langsung tak ada nak bertapis-tapis.

“Eh, kenapa Pak Lang cakap macam tu? Tiba-tiba pula nak tanya soalan macam tu.” Habib tergamam. Bibir ternganga sedikit. Semerta, liur ditelan beberapa kali.

“Pak Su beritahu yang dia ada nampak Anggun berpeluk dengan seorang lelaki dekat taman dekat-dekat sini. Siap bermesra lagi dia dengan lelaki tu.” Habib jeda, tetapi hanya beberapa saat.

“Salah orang kut.” Berkerut tebal dahi Habib.

“Pak Su kenallah tunang kamu. Suara dan gaya pemakaian pun sama. Tak akan Pak Su kamu nak menipu kita kut?” Encik Wahab meyakinkan anak buahnya untuk mempercayai kata-katanya.

“Ada bukti ke nak tuduh Anggun macam tu?” hati Habib sedikit terguris bila ada orang mengatakan hal buruk-buruk tentang Anggun.

Seolah-olah ‘cubit paha kiri paha kanan terasa.’

“Haaa … Hmmmp …” Encik Wahab terkulat-kulat. Tiada idea mahu memberi jawapan yang bagaimana.

“Tak ada bukti, kan? Kalau tak ada bukti, jangan buat tuduhan.” Kening bertaut rapat. Dingin nada suaranya.

“Kamu tak percaya cakap pak cik sendiri ke?” suara Encik Wahab tinggi seoktaf.

Lelaki separuh abad itu kurang berkenan melihat hubungan Anggun dan Habib semenjak mereka menangguhkan perkahwinan beberapa kali.

Sungguh, dia bersimpati melihat si anak buah yang sabar dan tabah menantikan Anggun yang sering memberi alasan untuk meneruskan hubungan yang lebih serius.

“Bukan tak percaya. Tapi Habib tak akan percaya sesuatu perkara tanpa bukti.” 

Habib seorang manusia berprinsip. Dia tidak akan mentah-mentah percayakan kata orang lain jika dia tidak menyelidik dan melihat sesuatu itu melalui mata.

“Dah tiga tahun kamu bertunang dengan dia. Kamu tak pelik ke kenapa dia tangguh pertunangan ni lama-lama?” 

Encik Wahab sengaja memanipulasikan minda Habib. Dia mahu anak buahnya fikir dalam-dalam sebelum membuat apa-apa keputusan di masa akan datang.

Kali ini, Habib terdiam. Dia menjunam pandangan ke bawah. Bibir diketap.

“Perempuan ni selalunya dia manusia paling beria nak ajak teman lelaki berkahwin, tapi kes Anggun ni lain pula. Dia yang liat nak berkahwin sampai mak bapa kamu yang duduk oversea tu pun dah desak nak cari menantu baru,” sambung Encik Wahab lagi. Habib menghadam perlahan-lahan. 

“Dia masih tak cukup duit kut. Sebab itulah dia tak bersedia nak berkahwin.” Habib berfikiran positif. Tergeleng kepala Encik Wahab mendengar kata balas dari Habib.

“Tak cukup duit tak apa, jangan dia lambat berkahwin sebab dah simpan jantan dalam diam.” Sinis lelaki itu berkata-kata.


MATA Habib melilau memandang sekeliling setelah masuk ke dalam kereta. Nafas ditarik dan dihembus semula. Sukar mahu mempercayai segalanya. Tetapi Habib perlu akur bahawa dia juga pernah mendengar cerita tentang tunangnya kelihatan mesra bersama lelaki lain sejak dia masih bekerja sebagai pramugara. Namun, segala kenyataan itu ditepis mentah-mentah. Habib tidak mahu hubungan bersama Anggun renggang kerana mulut manusia yang kadang kala lebih tajam dari mata pisau.

“Saya sayangkan awak, Anggun. Saya sayangkan awak sampai saya sanggup korbankan kerjaya saya semata-mata nak dekatkan diri saya dengan awak.” Luahan terlafaz dari bibir. Mata terpejam rapat. Dia melepaskan segala rasa yang berbuku di hati. Rasa itu hanya dia saja yang tahu.

Relaks, Habib. Kenapa kau nak touching pula ni? Selagi kau percayakan dia, selagi itulah hubungan kau dan dia akan terus berpanjang. Chill bro, chill.” 

Mata di buka semula.

Habib menarik nafas perlahan. Dia tidak mahu aura negatif menghampiri dirinya.

Itu cara dia terapi diri supaya tidak dibebani dengan emosi.

“Anggun tu pendek, pipi macam pau kacang pula tu. Tak ada siapa nak dia selain aku. Okey, fikir macamtu je supaya hati aku ni tak menggelabah!” 

Habib berceloteh sendiri. Sengaja mengutuk tunang sendiri. Mungkin dengan cara begitu, fikiran lebih aman.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono