Secarik Nota
GURUH bersahut-sahutan di celah langit malam. Angin bertiup semakin kencang. Sesekali kilat memancar laju. Hujan kasar berjatuhan dengan lebatnya. Kemudian, sayup-sayup terdengarteriakan dalam deru hujan yang mendesau.
"Argh!" Umair terjaga daripada lena dengan wajah yang berpeluh-peluh. Dia bingkas bangun. Dia mengusap resah wajahnya.
"Astaghfirullah."
Umair melirik perlahan ke arah jam yang terletak di tepi katilnya. Jarum jam menunjukkan sepertiga malam. Dia termenung di birai katil dengan hati yang sedikit tenang. Lama sekali. Dia cuba mencari maksud mimpi yang mengganggu tidurnya itu. Entah mengapa, hatinya terasa pedih.
Umair cuba mengingatinya semula. Denyutan kecil yang mula membesar di dalam saraf kepalanya, kian menyakitkan. Dia cuba mengawalnya agar sakit kepala itu tidak memudaratkan diri. Bunyi derapan langkah di muka pintu membuatkan dia segera berpaling.
"Sakit?" Pak Cik Farisi terjengul cemas di muka pintu kamar itu.
Umair menggeleng. Dia melempar senyuman tawar. Dia terus memicit kepalanya yang masih berdenyut-denyut itu.
"Saya terlalu rindukan umi agaknya. Sebab tu mimpi yang bukan-bukan." Umair membalas lemah.
Pak Cik Farisi duduk di sisi Umair. Wajahnya lebih tenang. Dia dapat meneka dengan jelas daripada reaksi Umair itu.
"Mimpi yang sama lagi?"
Umair mengangguk lemah. "Masih kabur. Hanya terdengar suara yang memedihkan. Hati saya terasa sesuatu. Sejak akhir-akhir ni, makin kerap pula mimpi tu mendatangi saya. Agaknya ini satu petanda, pak cik."
Terdiam sejenak Pak Cik Farisi mendengar jawapan itu. Ini bukanlah kali pertama dia mendengar kisah mimpi itu. Begitulah selama sepuluh tahun ini. Dia tidak mahu Umair terlalu memikirkan perkara ini lagi.
"Petanda? Petanda orang degil memang macam ni. Pak cik dah pesan, jangan fikir sangat," kata Pak Cik Farisi mendatar bagi mengurangkan tekanan Umair. Umair menunduk. Dia pasti ada sesuatu di sebalik mimpi itu.
"Mungkin dah sampai masanya, saya harus cari asal usul diri saya."
Pak Cik Farisi hilang kata-kata. Adakah itu bermakna, Umair benar-benar mahu pergi? Tinggalkan semuanya demi menyusuri langkahnya yang hilang di gigi ombak?
"Tak baik percayakan mimpi. Mimpi tu mainan tidur." Lama membisu, Pak Cik Farisi membalas tenang.
Umair mendongak. Tidak bolehkah Pak Cik Farisi mempercayainya untuk sekali ini? Lama mereka saling bertentang mata. Keluhan Pak Cik Farisi memberat.
Umair menggeleng pantas. "Tak. Saya tak fikir ni mainan tidur. Mungkin itu gambaran masa lalu saya!"
Ketegasan di hujung ayat itu mendiamkan kata-kata Pak Cik Farisi. Mungkin sudah sampai waktunya, dia perlu akur. Mungkin jua sudah tertulis, Umair akan kembali ke pangkuan yang selayaknya.
Pak Cik Farisi masih membatukan diri. Tidak sampai hati untuk melepaskan Umair pergi.
"Saya nak cari keluarga kandung saya." Hembusan nafas Umair tersusun rapi.
Tepat telahan Pak Cik Farisi. Terasa genggaman Umair terlucut laju. Ingin segera dia menyambar agar tangan Umair bisa diraih semula.
"Tapi, macam mana? Umair sendiri kata, gambarannya kabur. Hanya mendengar suara. Dari mana pula kita nak mulakan supaya Umair tak jatuh sakit? Bukan kita tak pernah cuba pun sebelum ni." Tajam renungan Pak Cik Farisi terpanah tepat ke wajah kusut Umair.
Kata-kata itu mematikan rasa ingin tahu Umair yang berombak deras seketika tadi. Dia mula percaya, mimpi itu tidak membawa apa-apa makna. Malah, dia yang sebenarnya sangat berharap mimpi itu membawa suatu pesanan. Seperti dia berharap ada perkhabaran yang tersirat di dalamnya.
Umair akur seraya mengangguk perlahan.
"Mungkin pak cik betul. Mimpi itu bukan sebarang petanda. Hanya mainan tidur."
Pak Cik Farisi terdiam sebentar. Terasa diri tidak berlaku adil kepada Umair. Salahkah dia cuba menghalang perpisahan yang bakal berlaku? Dia tidak pernah lupa akan amanah yang sedang tergalas di bahunya ini. Membiarkan Umair pergi bagai melepaskan tanggungjawab begitu sahaja.
Umair bingkas bangun. Jauh di sudut hati, dia tetap menaruh harapan.
"Saya nak solat sekejap. Saya mahu memohon doa kepada DIA. Biarlah DIA pandu hati saya. Biarlah DIA tunjukkan arah yang perlu saya tujui. Itu juga pesan pak cik pada saya."
Pak Cik Farisi mengangguk. Rasanya sekali ini, dia perlu reda. Perjalanan ini milik takdir. Bukan salah Umair memasang hajat mahu mencari darah daging yang mengalir dalam setiap denyutan nadinya. Umair sememangnya berhak untuk itu.