TENGKU DANIEL melayangkan pandangan,
matanya mencari seseorang. Restoran itu
agak ramai pelanggan namun ada beberapa lagi meja yang masih kosong. Memandangkan belum ada di antara pelanggan
lelaki yang berbaju warna kelabu, Tengku Daniel duduk di salah sebuah meja yang
terletak di sebelah tepi.
Setelah
pelayan mengambil pesanannya, Tengku Daniel membuka surat khabar yang dibelinya
dari kedai majalah tidak jauh dari restoran itu. Sementara menunggu, dibacanya surat khabar
tanpa mengendahkan pelanggan lain. Tidak
lama kemudian minuman panas yang dipesannya diletakkan di atas meja. Tengku Daniel sempat mendongak, memandang seketika
kepada pelayan, seorang lelaki muda.
“Terima
kasih...” ucap Tengku Daniel
perlahan. Ditumpukan semula perhatiannya
pada surat khabar yang terbentang di hadapannya.
“Assalamualaikum...”
Tengku
Daniel sekali lagi mengangkat wajah.
Sambil melipat surat khabar di tangannya, Tengku Daniel membalas salam.
“Tengku
Daniel, ya?”
“Ya,
saya Tengku Daniel. Ni...pak cik Sabdin
ke?” Tangan Tengku Daniel sudah
terhulur, disalaminya lelaki itu.
“Ya...ya...pak
cik Sabdin. Apa khabar Tengku?” tanya Sabdin dengan wajah ceria.
“Khabar
baik, pak cik. Panggil saya...Daniel
saja, pak cik. Pak cik sihat?” Tengku Daniel menjemput Sabdin duduk.
“Alhamdulillah...pak
cik sihat-sihat saja. Tengku Halim apa
khabar, Daniel? Lama benar kami tak
bertemu...” kata Sabdin. Sukar benar mindanya membayangkan figura
Tengku Halim yang lebih sepuluh tahun tidak dijumpainya itu.
Tersenyum
Tengku Daniel. “Atuk sihat, pak
cik. Atuk kirim salam kat pak cik...”
“Waalaikumsalam. Insya-ALLAH...ada rezeki nanti pak cik ingin
benar jumpa dengan Tengku Halim,” ujar
Sabdin.
Terangguk-angguk
Tengku Daniel. “Insya-ALLAH...ada
peluang nanti Daniel akan ajak atuk datang ke sini, pak cik.”
Giliran
Sabdin terangguk-angguk. Sekian lama dia
menunggu, akhirnya dia dipertemukan juga dengan kerabat Tengku Halim meski
hatinya sungguh berharap dia boleh bertemu dengan Tengku Halim sendiri.
Tersekat
sebentar perbualan mereka tatkala pelayan tadi menghampiri meja mereka untuk
mengambil pesanan Sabdin pula.
“Maaflah
pak cik...bulan lepas saya tak sempat jumpa pak cik. Ada masalah sikit...” ujar Tengku Daniel. Perancangannya untuk bertemu Ketua Kampung
itu lebih sebulan yang lalu terbatal gara-gara kemalangan yang dialaminya.
“Oh...tak
mengapa, pak cik faham. Berjumpa Daniel
hari ini pun pak cik bersyukur sangat.
Gembira hati pak cik bila Tengku Halim telefon pak cik sebulan
lalu...” Rasa gembira jelas terpancar di
wajah Sabdin.
Seterusnya
panjang perbualan antara Tengku Daniel dan Sabdin. Melalui Sabdin, banyak maklumat tentang tanah
milik Tengku Halim itu diperoleh Tengku Daniel.
Sekian lama tanah itu di bawah pengawasan Sabdin, kini lelaki berusia
separuh abad itu berasa lega. Sudah
terlalu lama dia memegang amanah, mengutip dan menyimpan hasil sewa tanah
meskipun hanya sebahagian kecil sahaja yang disewakan.
“Sekarang
pak cik rasa lega, Daniel. Hasil sewa
itu nanti bolehlah pak cik serahkan kepada Daniel,” ujar Sabdin.
“Tak
mengapa pak cik...Atuk pun tak pesan apa-apa mengenai hasil sewa tanah tu. Biarlah pak cik bincangkan dengan atuk
sendiri. Sekarang...tugas saya nak
jalankan projek atas tanah tu, pak cik.”
Tengku Daniel memang tidak ingin mengambil tahu soal hasil kutipan sewa
sebahagian kecil tanah itu. Dia ada
tugas penting yang perlu dilaksanakan terhadap sebahagian besar dari tanah itu.
Sabdin
terangguk-angguk lagi. “Bila Daniel memulakan
projek tu?” tanya Sabdin. Berlegar-legar keluarga Aleya di benaknya.
“Secepat
mungkin, pak cik tapi sebelum memulakan projek tu...saya bercadang nak bina
rumah terlebih dahulu,” beritahu Tengku
Daniel.
“Bina
rumah? Di mana tu, Daniel?” Teruja pula Sabdin ingin tahu.
“Saya
dah buat tinjauan tanah tu...tempat yang paling sesuai berhampiran dengan
persimpangan masuk ke kampung pak cik tu.
Kat sana ada tanah rata, perlu potong sikit bukit tu supaya tanah rata
tu lebih luas,” jelas Tengku Daniel. Terbayang-bayang pelan rumah banglo yang
diserahkan pihak arkitek kepadanya seminggu yang lalu.
“Oh...Daniel
bercadang nak menetap di sinilah ya?”
tanya Sabdin lagi sambil tersenyum-senyum.
Tengku
Daniel tertawa perlahan. “Rumah tu saya
saja nak bina, pak cik. Kalau projek tu
mula nanti...saya ada tempat menginap, tak susah-susah duduk kat hotel
lagi. Lagipun...kalau dah ada rumah keluarga
saya boleh juga datang ke sini nanti,” beritahunya dengan ceria.
“Ya...ya...betul
tu Daniel. Tengku Halim pun bolehlah
datang ke mari, kan? Teringin sangat pak
cik nak jumpa Tengku Halim...” Sabdin
sekali lagi menyatakan keinginannya.
“Insya-ALLAH...pak
cik. Suatu hari saya pasti akan ajak
atuk ke sini...”
“Alhamdulillah...selalulah
pak cik dapat jumpa dengan atuk Daniel nanti...” Sabdin ketawa senang hati.
“Er,
Daniel...pasal tanah yang disewakan tu, macam mana ya?” tanya Sabdin tatkala teringat semula kepada
keluarga Aleya.
Tengku
Daniel terdiam seketika. Ditatapnya
wajah lelaki peramah itu.
“Tanah
yang disewakan tu letak kat sebelah mana, pak cik?” tanya Tengku Daniel.
“Oh...tanah
tu agak jauh dari pekan, Daniel. Dekat
kampung pak cik...betul-betul sempadan dengan tanah pak cik,” beritahu Sabdin.
“Ehm,
kat kampung pak cik juga rupanya...teringin juga saya tengok-tengok tanah tu. Kalau takde aral esok saya masuk ke kampung
pak cik...kita pergi tengok tanah tu sama-sama, boleh pak cik?”
“Er,
boleh...boleh...esok pak cik bawa Daniel pergi tengok tanah tu.” Sabdin tersenyum tipis lantas menghela nafas
perlahan. Bertenggek bayangan Aleya anak
beranak di tubir matanya.
***
HANI FIQAH baru selesai mengaji Al Quran, waktu sudah
hampir tengah malam. Usai menyiapkan
sulaman tangan baju pelanggan uminya pukul 10.00 sebentar tadi, Hani Fiqah
terus ke kamar Norfarini. Menjenguk Farhana,
adik bongsunya yang manja itu. Malam ini
Farhana tidur pula dengan Norfarini.
Entah angin apa pula Farhana hendak tidur dengan Norfarini. Nyenyak tidur kedua-dua adik perempuannya itu.
Setelah
menutup Al Quran dan melipat sejadah, Hani Fiqah menanggalkan telekungnya. Malam ini, agak panjang masa diambilnya untuk
mengaji. Sunyi dan dingin malam
membuatkan Hani Fiqah lebih khusyuk.
Rusuh perasaannya hampir lesap selepas mendekatkan diri kepada-Nya.
Matanya
belum terasa mengantuk lagi. Hani Fiqah
membawa langkah ke ruang tamu. Sungguh
senyap. Udara nan dingin menyebabkan
adik-adiknya tidur lebih awal apatah lagi esok harus bangun awal subuh untuk
bersiap-siap ke sekolah. Adik-adiknya
sudah lama dibuai mimpi indah. Ya, sudah
tentu dunia kanak-kanak hingga meningkat remaja pastinya tenang. Itulah yang dirasainya ketika umur seusia
adik-adiknya. Tidak timbul sebarang
masalah yang perlu difikirkan hingga menyesakkan fikiran.
Diheretnya
kaki menghala ke ruang tamu lalu duduk atas salah sebuah sofa. Sedang menyendiri dalam keadaan sepi dan dingin,
Hani Fiqah teringat kepada Tengku Daniel.
Lelaki yang pernah menginap di bilik adik lelakinya, Rizal dan Fahmi. Lelaki yang sudah tiga kali bertandang ke
rumahnya. Mengapalah lelaki itu yang dia
selamatkan ketika kemalangan itu? Mengapa
harus Tengku Daniel? Mengapa tidak orang
lain saja? Mengapa bukan seorang lelaki
tua, seorang wanita tua, seorang gadis atau seorang kanak-kanak? Mengapa mesti
lelaki itu? ALLAH, alangkah anehnya
takdir yang tersurat!
‘Kalau
bukan dia yang aku temui tempoh hari pasti nama aku masih bersih...nama aku
tidak dijaja, tak jadi bahan gunjingan ke sana sini pelosok kampung. Sebelum
kenal Tengku Daniel, aman damai sahaja hidup aku. Hati tenang, otak tak serabut. Kerana Tengku Daniel, aku dah jadi macam
banduan baru keluar dari penjara. Orang
pandang aku semacam aje. Orang dah
anggap aku ni dah jadi perempuan jahat...takde harga diri! Ya ALLAH, sedihnya
hati aku!’ rintih hati Hani Fiqah. Dilepaskan
helaan nafasnya.
Kedinginan
malam menggigit kulit halus Hani Fiqah.
Sesekali bulu romanya meremang, diusap-usap lengannya. Rumah separa tetap mereka terletak beberapa
kilometer daripada kaki Gunung Kinabalu sebab itulah udara di luar kian dingin
tatkala malam semakin larut. Hani Fiqah
memelukkan lengannya ke tubuh. Kedua
belah kaki dinaikkan, duduk bertimpuh di atas sofa.
“Hani...”
Panggilan
Aleya kedengaran lembut menyapa pendengaran Hani Fiqah.
“Umi...umi
tak tidur lagi ke?” tanya Hani Fiqah
lantas menurunkan kedua belah kakinya.
Dihampirinya kerusi roda Aleya lalu ditarik perlahan agar lebih rapat
pada sofa yang didudukinya.
“Dah
lewat sangat ni umi...kenapa umi tak tidur lagi?” tanya Hani Fiqah lagi.
Aleya
tersenyum. “Hani tanya umi...Hani pula
kenapa tak tidur lagi?” Dikembalikan
pertanyaan itu kepada anak gadisnya.
Hani
Fiqah tertawa perlahan. Lengan Aleya
yang berlapik baju sejuk lengan panjang itu diusap lembut. Terlalu sayang dia terhadap uminya. Sayang yang sukar diungkap dengan
kata-kata. Setiap kali menatap wajah
lembut uminya, setiap kali itulah dia ingin memeluk dan mendaratkan hidung ke
pipi, mencium kulit lembut uminya.
“Hani
mengaji tadi, umi. Lepas tu tak boleh
tidur...rasa ngantuk dah hilang!” beritahu
Hani Fiqah.
“Esok
kan Hani kena bangun subuh...tak elok Hani tidur lewat setiap malam,
sayang. Sejak akhir-akhir ni...Hani
lewat sangat tidur. Umi tahu...fikiran
Hani tak tenang, kan?” Renungan redup
Aleya menikam mata Hani Fiqah.
Dihulurkan lengannya lalu diusap penuh kasih pipi gebu Hani Fiqah.
“Takdelah
umi...kadang-kadang aje Hani tidur lewat,”
nafi Hani Fiqah perlahan.
“Hani
jangan risau lagi...umi dah jelaskan kat Daniel. Mungkin Daniel dah tak datang sini
selalu. Umi kesian kat dia, niat dia
ikhlas nak jenguk kita tapi...tak mengapalah, mungkin ada baik buruknya suatu
perkara tu berlaku, Hani.” Aleya menarik
nafas agak dalam.
“Umi...Hani
tahu, Hani tak patut buat Daniel tu kecik hati tapi Hani...Hani sakit hati kat
jiran-jiran kita umi. Rasa dah tebal
sangat kulit muka Hani ni, umi. Malu
sangat,” luah Hani Fiqah.
“Umi tahu,
Hani. Umi faham...Hani bersabarlah
ya. Kita berdoa saja Hani, semoga suatu
hari...jiran-jiran kita akan sedar, insaf.
Semoga mereka tak lagi gemar mengumpat, memfitnah!” Aleya menggelengkan perlahan. Bohonglah jika dia tidak kecewa dengan sikap
segelintir jirannya. Bukannya hendak
meringankan bebannya malah ditambahkan lagi!
“Hani...macam
mana pun janganlah Hani benci kat Daniel, ya?
Umi tak nak anak umi jadi orang pendendam...”
“Takdelah
umi...Hani tak sampai hatilah nak benci orang lagipun Daniel tak bersalah
pun! Entahlah umi...Hani boleh bersabar
sampai bila. Tapi...Hani akan bersabar...tawakal,
ALLAH sedang menguji Hani, umi!”
“Alhamdulillah...umi
tahu anak umi baik hati. Tak
mengapalah...mungkin lepas ni pun Daniel tak akan datang lagi ke sini.”
“Umi...”
“Hmm?”
“Umi
ingat lagi tak kata-kata terakhir abah?”
Lembut jari-jemari Hani Fiqah mengelus lalu menggenggam jari-jemari
uminya.
“Ingat...takkan
umi boleh lupa, sayang. Umi akan ingat
setiap apa pun tentang abah...”
Serta-merta saja mata Aleya terasa seperti berpasir, perit rasanya.
“Umi...Hani
dah fikirkan...Hani teringin pergi ke kampung arwah abah, umi.”
“Ya
ke? Tapi macam mana Hani nak kenal atuk
dan nenek tu, Hani? Hani tak pernah
jumpa dia orang pun...”
“Hani
akan ikhtiarkan, umi. Er, umi ada simpan
tak gambar abah...kalau ada gambar datuk dan nenek lagi baik, umi.” Hani Fiqah menatap wajah uminya dengan hati
mengharap.
“Gambar
arwah abah ada umi simpan tapi gambar datuk dan nenek...takde pulak,
Hani.” Aleya menggelengkan
perlahan. Kini terasa kesal pula sebab
tidak membawa bersama gambar ayah dan ibu mertuanya suatu ketika dulu.
“Umi...Hani rindu sangat pada arwah abah...”
Hampir
menitis air mata Aleya, ditahan-tahan agar tidak gugur di hadapan Hani
Fiqah. Kenangan bersama arwah Haris
menjelma dalam benak. Sesungguhnya
kerinduan terhadap arwah tidak pernah luput.
Al-Fatihah...bisik hati kecil Aleya.