24 tahun kemudiaan...
Aleya menatap
gambar yang terletak elok di atas meja di samping tempat tidurnya. Gambar
keluarganya yang diambil semasa menyambut Hari Raya Puasa setahun yang
lalu. Keluarganya tampak sangat gembira
di dalam gambar itu. Kini, setiap kali
menatap gambar itu perasaannya akan terusik.
Setiap kali anak mata tertuju pada seraut wajah insan tersayang, hati
menjadi sangat sebak. Meski tidak pernah
luput berdoa akan kesejahteraan arwah suami tercinta di alam baqa namun amat
sukar melepaskan dengan sepenuh hati sejuta kenangan ketika bersama arwah.
Sebagai insan yang sangat rapat,
Aleya hanya mampu mendoakan kesejahteraan dan ketenangan arwah di sana. Sungguh, jauh di lubuk hatinya masih tidak
mampu melepaskan insan tercinta itu.
Terlalu perit apabila ditinggalkan Haris buat selamanya. Setiap kali usai berdoa, Aleya akan duduk menyepi sambil mengenang
arwah. Bagaimana dapat dilupakan insan
budiman itu sementelah ada persoalan yang belum terjawab sebelum pemergiannya.
Fikiran Aleya mengimbas kembali kata-kata terakhir arwah Haris beberapa bulan
yang lalu.
“Leya...” panggilan Haris kedengaran sangat lemah di
telinga Aleya. Matanya terpejam rapat.
“Ya bang...Leya ada kat sini. Abang nak apa-apa ke? Nak minum?”
tanya Aleya lantas menyentuh dan mengusap lengan kurus Haris.
Tampak tarikan nafas Haris agak
panjang dan payah berserta gelengan yang lemah.
“Abang...abang nak cakap sesuatu
pada Leya.” Serak nada yang lahir dari
mulut Haris.
“Apa dia, abang?” tanya Aleya lagi. Tidak berkedip matanya merenung wajah pucat
Haris. Tersentap hatinya tatkala melihat
air mata Haris merembes perlahan-lahan dari matanya yang tetap terpejam.
“Abang...” Dielus-elus bahu dan dada kurus Haris.
Mata Haris celik perlahan-lahan. “Leya...abang
harap Leya kembalilah jumpa ayah dan mak, ya?
Sampaikan salam abang...sampaikan permintaan maaf abang pada dia orang,
ya Leya?”
Aleya benar-benar terpempan.
“Abang...”
“Abang nak minta maaf, Leya. Maafkan
abang...abang tak jujur pada Leya selama ini...maafkanlah abang...” Tersekat-sekat suaranya.
“Abang! Kenapa abang cakap macam ni?” Berkerut-kerut dahi Aleya.
“Abang bersalah sangat pada
Leya...abang berdosa!”
Serta-merta dada Aleya berdebar
tidak keruan. Pelbagai andaian menyusup
masuk ke dalam benaknya.
“Astaghfirullahalazim...abang! Apa yang abang cakap ni? Dahlah...abang rehatlah, ya?” Diusap-usap lembut lengan Haris.
Haris menarik nafas panjang
lagi. “Abang memang bersalah pada
Leya...maafkan abang, Leya.”
“Abang...”
Melihat air mata Haris mengalir lebat, Aleya semakin tidak keruan.
Menggeletar seluruh tubuhnya. Nafas
lelaki yang sangat dicintainya itu mulai tersekat-sekat, tampak sangat
menderita. Air matanya turut berjuraian,
turut terasa sakit melihat penderitaan suaminya.
“Sudahlah bang...tak usah cakap
lagi. Nanti sesak pula nafas abang...”
“Benarkanlah abang cakap, Leya. Abang takut abang tak sempat nak beritahu
Leya. Ini penting sangat...tolong dengar cakap abang baik-baik Leya...”
“Abang!” Aleya menggeletar tatkala melihat nafas suami
tidak teratur tarikannya.
“Anak kita, Leya...anak kita...”
“Anak-anak kita pergi
sekolah...sekejap lagi baliklah budak-budak tu, bang.” Aleya mengawal nada, air mata laju mengalir
diusap secepat mungkin. Dia benar-benar
tidak tega melihat penderitaan suaminya tika itu.
Tarikan nafas Haris kian payah. Tercungap-cungap mendapatkan udara masuk ke
ruang dadanya.
“Leya...maafkan abang...berdosa
abang tak berterus terang pada Leya selama ini...maafkan abang.”
“A..abang...apa yang abang cakapkan
ni? Leya tak faham...” Tangan Aleya tidak henti-henti mengusap
lembut dada suaminya. Berharap usapan
itu dapat meredakan sesakan dada suami yang amat disayanginya itu.
“Leya...maafkan keluarga abang,
Leya...”
“Abang!”
“Maafkan mak...maafkan
Serina...ampunkan kami, Leya...”
“Ya ALLAH! Apa yang abang cakapkan ni, bang? Apa maksud abang? Leya tak faham!” raung Aleya.
Demi TUHAN, dia benar-benar tidak memahani kata-kata suaminya.
Haris menarik nafas semakin
payah. Bola matanya naik ke atas
seketika. Tubuhnya kian lemah.
“Le...Leya...mak tahu
segala-galanya...abang bersalah pada Leya!”
“Abang...jangan buat Leya begini,
bang. Abang...”
“Maafkan abang, Leya...” Suara Haris kian tenggelam, hampir tidak
kedengaran. Matanya yang basah merenung
wajah Aleya seketika lalu terpejam rapat.
“Abang
bertenanglah. Abang mengucap...ikut Leya
ya, bang...Laa ilaaha illallaah…”
Tubuh kurus Haris terkulai layu
sejurus mengucap dua khalimah syahadat tanpa sempat menyatakan apa yang ingin
dia nyatakan. Aleya tergamam, denyutan jantungnya seakan terhenti. Pautan tangan Haris di tangan isteri tercinta
perlahan-lahan terlerai. Matanya sudah tertutup rapat. Dadanya sudah tenang,
senyap. Nadinya tidak berdenyut lagi!
Ya ALLAH, daripada-MU kami datang,
kepada-MU juga kami kembali. Haris sudah
kembali ke rahmatullah!
Aleya mengusap juraian air matanya yang lebat. Bagaikan masih terngiang-ngiang suara Haris
memampan telinga. Ya ALLAH, rahsia
apakah yang dipendam Haris selama ini?
‘Abang...teganya abang dah bawa
pergi perkara yang abang pendam selama ini!’
Bisik hati Aleya yang sayu. Tidak tertahan menampung sebak di dada, air
matanya berjuraian lebat.
“Umi!”
Aleya tergamam seketika tatkala
menyedari kealpaannya menyembunyikan kelemahan perasaan. “Astaghfirullahalazim...” bisik Aleya lantas mengusap wajahnya. Sesungguhnya tidak pernah anak-anak dibiarkan
melihat keadaannya sedemikian.
Susuk tubuh langsing anak sulungnya, Hani Fiqah kian merapatinya. Aleya mengukir senyuman biarpun terasa kaku
bibirnya.
“Kenapa umi? Umi tak sihat ke?” tanya Hani Fiqah dengan nada cemas.
“Taklah Hani...umi tak
apa-apa.” Aleya sedaya upaya melebarkan
senyumannya.
“Tapi...”
“Umi tak apa-apa, sayang. Hani janganlah risau...” pintas Aleya lantas menggamit lengan anaknya
yang sangat mengambil berat itu. Diusap
lembut lengan anak gadisnya sambil matanya menatap tepat ke matanya
anaknya. Entah bagaimana hidupnya jika
tanpa Hani Fiqah di sisinya.
Kini, segala tanggungjawab sebagai
ketua keluarga terpikul di bahu anak gadisnya itu. Bukan sejak suaminya meninggal tetapi
semenjak arwah disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru peringkat awal
sehinggalah ke peringkat akhir, Dua
tahun dalam rawatan, enam bulan terakhir baru Haris terlantar tenat. Apabila suaminya kian tenat, segala-galanya
terbeban atas bahu Hani Fiqah.
Pandai-pandai Hani Fiqahlah yang mengatur dan mengurus segala keperluan
mereka sekeluarga walhal usia anak gadisnya itu belum pun genap 23 tahun waktu
itu.
“Hani janganlah risaukan umi,
ya. Umi tak apa-apa...cuma terkenangkan
arwah abah...”
Hani Fiqah menganggukkan perlahan. Sesungguhnya dia sangat faham perasaan uminya
tika ini. Sejak hampir setengah tahun
itu, uminya lebih kerap menyendiri, banyak termenung malah tidak berselera
menjamah makanan. Pelbagai cara dan menu
Hani Fiqah sediakan setiap hari namun uminya hanya memuji, masakannya sedap
tetapi makannya tetap hanya sedikit!
***
BAGAIKAN ada
bayangan arwah Haris di hujung meja.
Kerusi di hujung meja itu sudah hampir enam bulan kosong setiap kali
mereka menikmati makanan yang terhidang di atas meja itu.
Aleya mulai menyuapkan makanan ke
mulutnya. Sangat perlahan. Seleranya kian merosot sejak akhir-akhir ini. Hendak dikata dia sedang tidak sihat, tidak
pula terasa sakit di mana-mana bahagian tubuhnya yang kian ‘ramping’ itu. Ketika arwah suaminya masih ada, apa saja
makanan yang dimasak oleh Hani Fiqah akan terasa nikmatnya, sangat
menyelerakan.
“Umi...”
Melihat suapan Aleya sangat longlai,
Hani Fiqah memanggil dengan nada yang sangat lembut.
“Betul umi tak apa-apa ke?” tanya gadis itu dengan perasaan risau.
Aleya menatap wajah anak
sulungnya. Rasa bersalah mulai menjentik
perasaan. Sikapnya kebelakangan itu
memang pelik namun itu berlaku di luar sedarnya. Dia sering termenung, duduk menyendiri
sehingga berjam-jam lamanya.
Aleeya menggeleng perlahan.
“Takde...umi okey aje.
Makanlah...”
“Kalau umi tak sihat beritahulah
Hani...Hani susah hati tengok keadaan umi macam ni,” luah Hani Fiqah. Ditatap sayu raut wajah yang mulai cengkung
itu.
“Ha’ahlah umi...Rizal pun risau. Umi tak selera nak makan ke? Sedap kak long masak, umi.” Rizal turut menatap wajah Aleya.
“Alah, umi tak apa-apa...jangan
risaulah, ya? Ehm...makanlah.”
Tanpa berlengah, Aleya menyuapkan makanan ke mulutnya sambil
matanya memerhati Hani Fiqah menyisihkan tulang ikan di pinggan adik
bongsunya. Farhana sudah pun berumur
hampir enam tahun tetapi kakak sulung itu tetap melayan adiknya dengan
sabar. Mungkin sebab itulah adik-adiknya
sangat rapat malah terlalu bergantung kepada Hani Fiqah. Sebab Hani Fiqah terlalu memanjakan
adik-adiknya!
“Umi...esok Hani masak makanan
kegemaran umi, ya. Tadi Hani nak lekas
masak...tulah masak ala kadar aje,” ujar Hani Fiqah tatkala melihat suapan
uminya yang perlahan. Mungkin uminya
tidak berselera menikmati makanan ringkas itu.
Hanya ikan goreng, sayur campur dengan sup telur. Dia memasak tergesa-gesa, bimbang adiknya
lewat menyelesaikan kerja sekolah.
Terangkat wajah Aleya demi mendengar
kata-kata anak gadisnya itu. Bukan
disebabkan makanan yang terhidang itu seleranya patah sebenarnya tetapi
perasaannya. Namun terlalu sukar untuk
meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya.
Selama ini, apa saja yang dihidangkan oleh Hani Fiqah, dia tidak pernah
kisah. Rezeki itu amat disyukuri namun
kini seleranya memang sangat tumpul, tidak terasa nikmatnya makanan yang masuk
ke mulut. Setiap kali terbayangkan arwah
Haris, saluran kerongkongnya bagaikan tersumbat.
“Umi tak kisah, Hani. Makanan ni pun dah cukup bagi umi...yang
penting adik-adik dapat makanan yang sempurna.
Hani sediakanlah untuk adik-adik, ya?”
Rendah sahaja nada suara Aleya.
“Kami pun tak kisah, umi. Kak long dah sediakan makanan...kami dah
bersyukur sangat-sangat,” ujar Rizal.
Semerta tersungging senyum nipis di
bibir Aleya. Terasa Rizal sudah mulai
matang. Anak keduanya itulah yang turut
membanting tulang, membantu kakaknya di kebun dan ladang ternakan.
“Kak long masak sedaplah, umi. Nana suka makan ikan goreng ni...” Farhana yang kecil sudah pandai
menyampuk. Tersengih-sengih anak kecil
itu dengan mulut yang masih berisi makanan.
“Nana ni...cakap kalau makanan dah
takde kat mulut tu!” tegur Norfarini
perlahan.
“Adik cuma nak...”
“Nana...makanlah, sayang.” Aleya lembut memintas ayat anak bongsunya
yang sangat petah berkata-kata itu.
“Okey, umi...” Sopan anak kecil itu meneruskan
suapannya. Hani Fiqah tersenyum.
Usai mengemas dapur, Hani Fiqah menghampiri sebuah meja di tepi ruang tamu
rumah. Meja itu dijadikan tempat
adik-adiknya belajar. Itulah juga meja
tempatnya menumpukan perhatian ketika dia masih di bangku sekolah beberapa
tahun yang lalu.
“Adik...”
Rambut adik bongsunya dibelai penuh
kasih. Farhana memang sangat manja
dengannya. Semenjak Farhana masih bayi
lagi, Hani Fiqahlah yang banyak menumpukan masa dan perhatian kepada adik
bongsunya itu.
Aleya jatuh sakit sebaik saja melahirkan Farhana. Kasihan adik bongsunya itu. Satu-satunya adik yang tidak sempat menyusu
badan. Aleya terlalu menderita ketika
itu sehingga tidak mampu menumpukan perhatian terhadap bayi kecilnya. Kini, Farhana sudah pun masuk tadika. Petah dan lancar tutur katanya. Anak kecil itulah yang sering menceriakan
seisi rumah itu.
“Kak long...adik buat kerja
sekolah. Cikgu kata...sapa tak buat
kerja rumah nanti cikgu tak bagi hadiah pencil cantik!” Farhana mengadu.
Hani Fiqah memerhati, diteliti kerja
sekolah adik bongsunya itu. “Ehm...adik
rajin-rajinlah buat kerja sekolah, buat kemas-kemas nanti kak long pun bagi
hadiah jugak!”
“Hadiah? Betul ke kak long? Eh, adik nak patung barbie!”
“Amboi adik ni! Buat kerja sekolah pun nak hadiah
mahal...” Bulat mata Norfarini menatap
wajah adik bongsunya.
“Kak Rini ni...adik tak mintak
hadiah mahallah!” Farhana memuncungkan
mulut, muram wajahnya.
“Dah sudah...tak payah nak
gaduh-gaduh! Nanti kak long bagi hadiah
untuk semua...syaratnya, mesti dapat keputusan peperiksaan yang baik. Faham?”
Janji Hani Fiqah. Adik-adiknya tersenyum
gembira membuatkan hati Hani Fiqah turut senang hati.
“Rini...tengok-tengok kerja adik
nanti, ya? Siapkan dulu kerja sekolah
Rini tu. Kak long nak tolong umi siapkan
sulaman...”
“Okey kak long.”
Hani Fiqah meninggalkan adik-adiknya
masuk ke dalam sebuah kamar. Kamar itu
agak kecil saiznya berbanding kamar tidur mereka. Aleya jadikan kamar itu sebagai tempat
menjahit sekali gus tempat pelanggan Aleya mencuba pakaian yang baru siap
dijahit. Ada ruang kecil dipasangkan
kain tabir dan dilekatkan pula cermin pada dinding bagi memudahkan pelanggannya
mencuba pakaian mereka.
“Umi...” panggil Hani Fiqah perlahan.
Aleya mendongak. “Hmm?”
“Umi, esok Hani off duty. Hani cadang nak pergi pekan. Makanan ternakan dah tinggal sedikit,
umi. Lagipun ada beberapa barang
keperluan Hani nak beli. Umi nak ikut
Hani ke? Semalam umi kata bahan jahitan
dah banyak yang kurang...”
“Pukul berapa Hani nak pergi?” tanya Aleya.
“Hani fikir nak pergi awal
sikit...Hani ada urusan sikit kat bank, umi.”
Sehelai baju kurung asli yang sudah
siap dijahit oleh Aleya diturunkannya daripada gantungan. Semalam dia tidak sempat menyiapkan sulaman
'tulang belut' baju pelanggan uminya itu.
Malam ini dia yakin, sulaman itu akan siap sepenuhnya. Namun, masih ada beberapa helai baju kurung
lagi perlu dijahit sulaman 'tulang belut', sulaman manik dan labuci. Bahagian sulaman tangan itu biasanya Aleya
tinggalkan untuk Hani Fiqah siapkan.
“Mata umi dah tak terang, Hani. Umi tak berapa nampak lubang manik-manik
tu...lagi-lagilah kalau manik yang halus tu,” kata Aleya selalunya.
Norfarini pun sudah mulai belajar
menjahit sulaman manik dan labuci. Namun
jika baju pelanggan, Aleya belum harap
lagi hasil kerja anak gadisnya yang baru berumur 14 tahun itu. Sulaman Norfarini belum sekemas sulaman Hani
Fiqah. Bimbang pelanggan tidak berpuas
hati pula nanti.
“Umi ikut Hani esok. Elok juga pergi awal sikit, umi nak potong
rambut, dah panjang sangat rambut umi ni Hani.
Rasa rimas sangat...”
Hani Fiqah mengalih pandang. Ditatap wajah redup Aleya.
“Okey umi. Hani bawa umi kat salun tempat kerja Nurul
ya, umi?”
Aleya sekadar mengangguk. Semenjak
kepergian arwah Haris, Aleya tidak lagi
seceria dulu. Cahaya wajahnya sudah
pudar. Sebagai anak sulung dalam
keluarga itu memang Hani Fiqah sangat terasa.
Sangat terkesan dengan perubahan uminya malah keadaan keluarga mereka.
Aleya ditinggalkan suami tercinta dengan lima
orang anak, empat orang anaknya itu pula masih bersekolah. Namun takdir tidak pernah terduga, segalanya sudah
berubah kini. Mereka sudah kehilangan
insan yang menjadi tunggak keluarga. Aleya
pasti sangat kehilangan apatah lagi dengan keadaan dirinya yang sudah tidak
sempurna seperti dahulu. Kehilangan
Haris bagaikan kian 'melumpuhkan' Aleya!