Bab 11
Teaser Bab 11 - BAGAIMANA


Suasana menjadi sunyi seketika. Puan Julia mencapai gelas yang ada di atas meja ruang tamu itu dan meneguknya perlahan. Sebenarnya, kehadiran dia di situ mahu bertanya Yasmin tentang hubungan antara anak lelaki dan menantunya itu. Puan Julia mahu tahu sejauh mana hubungan mereka telah berkembang. Kerana tempoh hari, sewaktu dia berbincang dengan Iskandar mengenai anak, dia dapat menangkap yang anak lelakinya itu seakan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Mungkin dari segi nafkah lelaki itu tidak culas. Tetapi, dari segi batin, semacam ada sesuatu yang tidak kena antara mereka berdua.

"Mommy nak tanya sikit boleh?" Soal Puan Julia dengan nada yang lembut.

Yasmin kembali menatap wajah wanita itu. "Apa dia mommy?"

"Eeemm... Min dengan Is tidur sebilik tak?" Soalnya tanpa berselindung lagi. Dia sudah tidak mahu berbasa basi kerana hal itu dia perlu tahu agar masalah diselesaikan segera.

Yasmin terkedu. Berubah riak wajahnya saat soalan itu diajukan. Dia serba salah untuk berterus terang.

"Min bagi tahu je mommy. Mommy tak nak Is seksa emosi Min." Desak Puan Julia lagi.

Yasmin tersenyum pahit. "Min selalu tidurkan Alia. Kadang-kadang Min tertidur bilik Alia sampai pagi." Jawab Yasmin masih cuba berselindung.

"Jadi, Min dengan Is tak sebilik?"

"Aaa..." serba salah Yasmin mahu menjawab soalan itu. Namun, akhirnya dia mengangguk perlahan. "Tapi, mommy jangan tanya Abang Is. Min takut dia marah Min."

Puan Julia melepaskan keluhan berat setelah mendengar jawapan menantunya itu. Tepat tekaannya sebelum ini. Mereka tidak tidur sebilik. Terbit kesal dalam hatinya dengan sikap Iskandar. "Kalau mommy tak cakap dengan dia, macam mana hal ni nak selesai? Dah berapa bulan you all dua berkahwin? Masih tak tidur sebilik? Suami isteri apa macam tu?" Bertalu-talu bebelan Puan Julia masuk ke corong telinga Yasmin. Namun, Yasmin hanya membisu dengan muka yang tertunduk menekur karpet ruang tamu.

"Min harap kita boleh bagi masa pada Abang Is untuk terima Min dalam hidup dia," perlahan sahaja tutur kata itu diucap Yasmin. Nadanya kedengaran sedikit sebak kerana dia tahu cinta tak boleh dipaksa. Dia akan cuba sedaya upaya untuk membuktikan keikhlasan cintanya pada lelaki itu.

Puan Julia menggeleng sambil mengeluh perlahan. Wajah suram Yasmin dipandang sayu. "Kalau Min cakap macam tu, takpalah. Terima kasih sebab Min boleh beri masa pada anak mommy." Ucap Puan Julia dengan senyuman pahit.

Yasmin angkat mukanya memandang pada wajah Puan Julia. Dia turut membalas senyuman wanita itu.

Sekilas mata Yasmin melirik pada jam di dinding. Hampir pukul tiga petang. "Mommy, Min naik atas sekejap. Nak solat."

Belum sempat Puan Julia menjawab, Alia mencelah, "Mama, Alia nak main duck and bubble. Boleh tak?" Celah Alia.

"Alia tunggu mama solat dulu boleh?"

"Alaa... Mama lambat. Lepas mama solat, mama mengaji lagi. Lama Alia kena tunggu," Alia tarik muka masam. Yasmin mencebik geram.

"Takpalah Min. Biar mommy temankan Alia. Min pergilah solat," ujar Puan Julia.

"Terima kasih mommy. Minta maaf susahkan mommy." ucap Yasmin. Kemudian, matanya beralih pada Alia. "Nanti hati-hati tau. Bilik air tu licin. Jangan melompat-lompat." Pesan Yasmin.





Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh