Bab 2

ISKANDAR melorek senyum paksa pada susuk tubuh gadis yang ada di depannya. Entah mengapa dia merasa gementar saat memandang pada sepasang mata redup milik gadis yang bernama Yasmin itu. Kulit Yasmin kelihatan mulus dan putih bersih. Sedikit pun tidak tercela dengan apa-apa kesan parut atau luka. Tanpa make up yang berlebihan, gadis itu kelihatan begitu cantik di mata Iskandar.

Iskandar tersedar dari lamunan saat Yasmin berdehem kecil. Lantas, dia mengalih matanya ke arah lain. Bergetar lagi jantungnya saat ini.

"Haa... Is, ni lah Yasmin. Bakal isteri Is. Nak tanya apa-apa, tanyalah." Puan Julia bersuara.

Iskandar teguk air liur dengan kasar.

Tak kan mommy nak aku berbual depan orang ramai ni. Hati kecil Iskandar bersuara.

Yasmin pula tersipu-sipu memandang pada Puan Julia. Wajahnya menunduk menekur karpet ruang tamu.

"Aaa... Takda apa Is nak tanya. Nanti-nantilah," ayatnya seakan dikulum. Antara dengar dengan tidak. Iskandar mula tidak senang duduk apabila semua mata tertumpu padanya. Dia tidak selesa.

"Haa... Takpalah kalau macam tu. Ada masa sebulan lagi nak kenal-kenal. Masa beli hantaran nanti, korang berdua keluarlah sama-sama." Sambung Puan Julia lagi. Semua yang berada di situ terangguk-angguk setuju dengan cadangan daripada Puan Julia itu.

"Nanti kita bincang semula segala persiapan ye, Kak Uteh." Puan Julia memandang pula pada ibu Yasmin. Wanita separuh abad itu sekadar mengangguk tenang.

"Kalau begitu, kami minta diri dulu." Celah ayah Iskandar, Tuan Hamidi. Lantas mereka bersalaman sesama sendiri.

Sempat Iskandar melirik pada susuk tubuh Yasmin sekali lagi. Kecil sahaja orangnya. Manis dan comel. Iskandar sekadar mengukir senyum nipis.

Dari tempat dia berdiri, Iskandar melihat anaknya, Alia menghampiri Yasmin. Dan mereka seakan sedang berbual mesra. Iskandar sedikit terkejut apabila Alia mengucup pipi Yasmin. Sepertinya Alia sudah selesa dengan gadis itu.

"Alia!" Iskandar memanggil Alia sambil berjalan ke arah anaknya. Memang dia sengaja mahu melihat gadis itu dengan lebih dekat.

Serentak mata Alia dan Yasmin memandang pada Iskandar. Serta merta bibir gadis itu mengukir senyum manis. Iskandar terpana seketika. Dia cuba mengawal detak jantung yang mula tidak berarah saat gadis itu tersenyum.

"Papa, Mama Min is pretty, right?" Petah Alia memuji gadis itu membuatkan wajah Yasmin merona merah. Tersipu-sipu Yasmin menyembunyi senyum. Gadis itu membongkokkan sedikit badannya pada Alia.

"Terima kasih, Alia. Alia pun cantik sangat hari ni. Macam princess," Yasmin turut memuji Alia sambil diperhatikan oleh Iskandar.

"I'm the princess of papa's heart!" Alia menjerit kecil lantas dia memeluk kaki Iskandar.

Yasmin tersenyum lebar. Dia berdiri tegak semula. Wajah Iskandar dipandang. Beberapa ketika mata mereka bertaut. Yasmin juga merasa debaran di dadanya sedikit kuat dari tadi. Namun, dia cuba mengawal reaksi wajahnya yang terasa seakan membahang. Saat senyuman Iskandar terukir, Yasmin menjadi semakin tak keruan. Hujung bibir digigit lembut. Terus dia menundukkan wajahnya menekur lantai papan rumah. Malu untuk menatap wajah lelaki itu dengan lebih lama.

"Banyak perkara yang I nak cakapkan pada you sebelum kita kahwin." Sebaris ayat itu meluncur keluar dari mulut Iskandar. Getaran nadanya terasa dihujung ayat.

I? YouGerutu hati Yasmin. Dia angkat wajahnya semula memandang pada batang tubuh Iskandar.

"Perkara apa tu?" Lembut sahaja intonasi itu dialunkan.

Iskandar tersenyum nipis. "Nanti. Ada masa kita akan bercakap tentang perkara tu,"

Terkedip-kedip mata Yasmin cuba menghadam ayat lelaki itu. Namun, akhirnya, dia mengangguk perlahan.

"Cuma, satu je I nak bagi tahu. I setuju untuk berkahwin, sebab anak I. Dia perlukan seorang ibu. Itu sahaja." Satu per satu ayat itu ditutur seolah mahu Yasmin faham yang dia berkahwin bukan atas kerelaannya.

Kening Yasmin berkerut nipis. Antara faham dan tidak faham akan maksud kata-kata Iskandar kepadanya.

Tanpa menunggu, Iskandar terus membawa langkahnya ke pintu keluar rumah. Dan... Yasmin masih tegak berdiri memandang pada batang tubuh Iskandar sehingga lelaki itu hilang di sebalik pintu. Matanya memutar pada sekeliling rumah cuba memahami ayat lelaki itu sebentar tadi.

Sebab Alia? Soalnya di dalam hati. Namun, persoalan itu tidak menemui jawapan.



"SO, macam mana bakal isteri kau? Cantik?" Aman mula menyibuk cuba mengorek isi hati sahabatnya itu.

Iskandar mencebik. "Cantik lagi arwah isteri aku," selamba sahaja dia menutur ayat sebegitu.

Aman tersenyum segaris. "Aku tahu, takda siapa boleh lawan arwah Teha. Tapi, Is, kau kena move on. Kalau kau dah kahwin nanti, kecil hati wife baru kau kalau kau asyik bandingkan dia dengan arwah Teha," Aman sekadar memberi nasihat.

Iskandar membisu beberapa detik. Ada benarnya apa yang Aman katakan itu. Tetapi, dia masih tetap tidak dapat menerima wanita lain dalam hidupnya selain Fatehah.

"Slowly lah kau terima wanita lain dalam hidup kau. Nanti hidup suram je. Tengok dia buat tu, kau cakap tak sama macam Teha. Dia masak pun nanti, kau cakap tak sama macam Teha. Makan hati nanti isteri baru kau tu," Aman masih lagi membebel.

"Aku bukan macam tu lah!" Bidas Iskandar. Keluhan berat dilepaskan sambil wajahnya diraup kasar. Mata dipejam kejap cuba mencari ketenangan.

Aman ketawa saat mendengar balasan sahabatnya itu. "Yelah, aku ingatkan je."

"Bila tarikh nikah kau? Majlis buat dekat mana?" Soal Aman lagi.

"Buat akad nikah je. Aku tak buat majlis bersanding." Jawab Iskandar bersahaja. Dia membetulkan duduk sambil mengibas kotoran yang melekat pada tali lehernya.

Kening Aman terangkat. "Tak buat majlis?"

"Ya. Aku dah explain semua pada bakal mama Alia tu. And dia okay je,"

Aman mengangguk perlahan.

Beberapa detik Iskandar berdiam diri. Dia mengelamun teringat kembali ketika dia berjumpa Yasmin untuk berbincang segala syarat selepas mereka berkahwin nanti.

Senyuman yang tidak lekang diwajah gadis itu masih terbayang dibenak fikirannya sehinggalah syarat-syarat itu diungkap oleh Iskandar. Dan.. senyuman gadis itu mati.

"Kenapa?" Saat soalan itu muncul dari mulut Yasmin, Iskandar ketawa sinis.

Tak kan tak faham? Soal Iskandar di dalam hati.

"Macam yang I cakapkan pada you tempoh hari. I berkahwin sebab Alia perlukan seorang mama untuk dapatkan kasih sayang. Bukan sebab I yang nak kahwin," sekali lagi Iskandar menerangkan perkara itu dan berharap benar agar Yasmin mengerti.

"Min faham maksud abang. Cuma.. kenapa tak nak buat majlis? Lagipun, Min pertama kali berkahwin. Min teringin...," belum sempat Yasmin menghabiskan ayatnya, Iskandar memintas. "Min, I minta maaf sebab tak dapat buat majlis bersanding. You kena faham yang I masih teringatkan arwah isteri I. Kalau boleh, moment persandingan I bersama arwah tu adalah kali terakhir dalam hidup ISorry again," balas Iskandar tanpa memikirkan perasaan Yasmin tika ini.

Senyuman gadis itu hilang. Wajahnya berubah sayu. Namun, perlahan-lahan Yasmin mengangguk tanda faham. Tetapi, di dalam hati, dia nekad untuk memenangi hati bakal suaminya itu.

"Kalau abang cakap macam tu, tak mengapalah. Min faham dan Min hormati keputusan abang," mahu atau tidak, Yasmin terpaksa mengalah. Kalau kerana hal majlis sahaja, dia tidak kisah. Bukan semua benda dia akan dapat. Dia perlu belajar terima hakikat kehidupan.

Iskandar menghela nafas lega. Pertama kali dia berjumpa dengan gadis yang senang dibawa berbincang. Tidak mudah merajuk atau terlalu manja. Sedikit sebanyak, tanpa sedar, hati Iskandar terpaut pada sikap gadis itu. Namun, seperti biasa, wajah Fatehah akan menjelma setiap kali perasaan itu muncul. Dan... Iskandar akan mengingat kembali kenangannya bersama arwah Fatehah lebih indah berbanding apa yang dia rasakan sekarang.

"Lepas kita berkahwin. I akan terangkan satu per satu syarat yang you perlu patuhi," sambung Iskandar lagi.

Yasmin memandang tepat pada mata Iskandar tanpa berkedip.

Syarat apa lagi? Detik hati kecil Yasmin.

"Tapi, segalanya I akan terangkan selepas kita berkahwin. Bukan hari ni," sambung Iskandar apabila melihat riak wajah gadis itu seakan penuh dengan persoalan. Dia tidak mahu membuat Yasmin tertekan sebelum perkahwinan mereka, jika dia membentangkan semua syarat pada hari itu sekaligus. Dia akan jelaskan sedikit demi sedikit, agar Yasmin boleh menyesuaikan dirinya dengan setiap syarat yang diberi.

Yasmin mengangguk perlahan seraya berkata, "Baiklah."

Lamunan Iskandar terhenti apabila terasa lengannya dicuit.

"Dahlah. Jom. Aku dah bayar untuk kau sekali." Ujar Aman menunggu Iskandar bangun dari duduknya.

"Thanks," tubuh ditolak bangun sambil tangannya mencapai telefon bimbit miliknya.

Kemudian, mereka berdua berjalan keluar dari restoran untuk kembali ke pejabat.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh