Di atas meja sudah terhidang
makanan dan minuman yang mereka pesan. Wah, kecur liurnya memandang sepinggan
Claypot Yee Mee yang masih berasap. Hidayah pula dengan mee goreng Hailamnya
seperti biasa.
Separuh pagi sampai sudah melewati Zuhur
dia meneman Hidayah mengukur jarak kedai di setiap tingkat bangunan membeli
belah Mid Valley ini. Perut berkeroncong usah dikata. Kelaparan tahap kritikal.
Tetapi Hidayah, selagi tidak dapat apa yang dia mahu, makan akan jadi perkara
terakhir dalam dunia.
Menemani Hidayah window shopping sebenarnya adalah suatu perasaan yang masih kekal seperti
dulu-dulu. Boringtahap dinasour pun
boleh pengsan lima hari lima malam tau!
Satu perangai Hidayah yang Amy tidak boleh
tahan ialah dia sangat cerewet memilih dan membeli barang. Cerewet skala
maksimum. Daripada harga hinggalah kualiti akan dia belek satu persatu. Menyoal
itu dan ini kepada jurujual. Dah macam wakil Persatuan Pengguna-Pengguna
Malaysia pula gayanya.
Jurujual pun satu hal, layan je kehendak Hidayah.
Mahu yang itu, diambilkan. Mahu tengok yang ini, pun diambilkan. Ya lah, memang
sudah kerja dia pun kan? Tak boleh juga Amy hendak salahkan jurujual.
Sepatutnya dia salahkah si Hidayah. Tryitu, test
yang ini. Beria-ia. Alih-alih beli tidak juga. Amy pula yang jadi tebal kulit
muka lima inci bila melihat jurujual sudah geleng kepala. Mesti dalam hatinya
mengutuk, ‘Gaya macam nak beli semua, tapi hampeh!’. Heh!
Walaupun kadang-kadang hanya satu barang
yang ingin Hidayah cari, namun perbandingan akan dia buat dari kedai A sampai
kedai Z nun. Dari hujung ke hujung dia berjalan. Siap rekod lagi harga kedai A
berapa, harga di kedai B berapa, C, D dan seterusnya.
Amy tahulah kalau Hidayah mahu kualiti terbaik
untuk nilai yang diberikan. Biar alah membeli asalkan menang memakai. Tetapi
kalau sudah ada pen, kertas dan kalkulator kecil di tangan bila pergi membeli-belah,
itu namanya nak buat analisa perbandingan kos dengan untung! Kau nak membeli ke
nak berniaga, Dayah oii?! Hish!
Hujung minggu itu, kebetulan Hidayah
pulang ke rumah orang tuanya di Kampung Baru. Amy desak mahu ketemu. Rindu. Mulanya
Hidayah keberatan. Lalu dia bohong sunat kata mahu bincang tentang perkara yang
mereka perkatakan dalam WhatsApp tempoh hari.
Bohong sunat? Tidak ada dalil mengatakan
bohong itu ada kategori wajib atau sunat. Berbohong itu tetap tak baik.
Berdosa! Tuhan marah, tau.
Err... sebenarnya bukan niat Amy untuk berbohong
pun. Hanya itu saja yang boleh buat Hidayah bersetuju. Kalau tidak, perempuan
itu lebih suka terperap di rumah. Ya lah, cuti hujung minggu cuma dua hari.
Itupun kalau Hidayah tiada apa-apa aktiviti di sekolah di hujung minggu,
dapatlah dia bergerak balik dari tempat mengajarnya ke rumah orang tuanya.
Kalau ada gotong royong atau lain-lain
aktiviti pagi Sabtu, alamatnya petanglah baru Hidayah sampai. Ahad petang
esoknya pula sudah harus bertolak balik ke Melaka. Masa terluang Hidayah untuk
berehat bersama keluarga memang terhad.
Bukan Amy hendak curi masa Hidayah. Dia
rindu. Sejak Amy berumahtangga, mereka jarang dapat berjumpa. Tambahan lagi
sewaktu Hidayah mengajar di Langkawi sebelum ini. Hmm... terpaksalah tunggu
cuti sekolah jawabnya.
Amy sudah menyuap dua tiga sudu Claypot
Yee Mee ke dalam mulut. Hidayah pula asyik menguis jaluran mee di dalam pinggannya.
Macam tidak berselera. Muka pun monyok je. Kenapalah pulak perempuan ni?
“Depan rezeki tak elok buat muka macam tu.
Bersyukurlah ada makanan. Baik kau makan mee tu, kalau tak nanti aku juga yang
kena habiskan,” tegur Amy secara berseloroh.
Hidayah mencebik. Namun dia angkat juga
satu jalur mee menggunakan garfu lalu ditolak ke dalam mulut. Berhati-hati
bimbang terkena gincu di bibir. Nanti rosak pula. Dah tak cantik...
“Hmm.... tu mesti tak habis-habis fikir
pasal nak kahwin,” serkap Amy spontan.
Bibir Hidayah yang bergincu merah terang
itu tercebik lagi, “Eh, kau ni... Kau ingat aku tak ada benda lain nak fikir ke,
Amy?”
“Aku tahu kau banyak benda lain nak fikir.
Pelajar kau, kertas-kertas ujian yang belum tanda, perancangan mengajar minggu
ni, bulan ni, tahun ni. Minit mesyuarat kelab yang belum siap, lawatan sambil
belajar yang nak kena ikut dan macam-macam lagi,” jawab Amy dengan gaya tangan
yang merewang ke sana-sini.
“Amboi, tahu segala. Kau cikgu ke aku yang
cikgu ni?”
Spontan mereka berdua ketawa.
“Rindu kat kau...” ujar Amy sambil
memandang Hidayah sekilas.
“Tak ada maknanya kau rindu kat aku pun.
Azree tu ada kat kau semedang. Aku ni nak rindu kat sapa? Nak rindu kat kau,
Azree punya. Nak rindu kat mak aku, bapak aku punya. Nak rindu kat si dia,
entah siapa-siapa...”
“Hah, tengok... kan aku dah cakap tadi.
Mesti itu juga yang bergelegar dalam kepala kau kan?” tukas Amy bila nada
Hidayah makin lama makin menyerlahkan rasa sayu dalam hatinya itu.
Amy geleng kepala. Air sirap limau ais
disedut. Wah, sejuk. Dalam cuaca yang panas begini, dapat minum air sejuk
dingin macam tu alangkah nikmatnya.
“Dah lama kita tak outing macam ni
kan...”
Sengaja Amy tukar topik. Awal-awal dah
sensitif. Lebih baiklah dia bawa Hidayah melencong dahulu. Sekejap lagi bila
angin Hidayah sudah agak bertiup sepoi, baru boleh mudikkan kembali perahu
bicara ke muaranya ya.
“Ya lah, takkanlah aku nak angkut kau
teman aku memanjang, Kau tu isteri orang, Mummy
orang. Sat lagi tiga orang lelaki kat rumah kau tu Watchaaa aku pulak. Tak
kuasa....” Hidayah buat gaya ultraman yang selalu Rayyan dan Rayzel tonton dan
main di rumah.
Amy tergelak lucu. Wajah Hidayah yang
manis bertudung merah itu dia tatap sejenak. Semakin lama macam semakin cantik
pula si Hidayah ni bila dipandang. Atau apakah kerana mereka sudah lama tidak berjumpa?
“Yang kau tengok-tengok aku ni apa fasal?
Hidung aku salah parking ke?” soal Hidayah sambil menjeling ke arah Amy.
Pura-pura marah.
“Tak lah... aku tengok kau ni nampak lain
sekarang. Kau buat plastic surgery ek?”
Ternganga Hidayah. Muka tidak bersalah Amy
ditenung. Berkerut seribu dahi sambil jemarinya meraba-raba seluruh kulit muka.
Apa yang lain? .
“Kenapa?” soal Hidayah lurus dengan rasa
peliknya.
“Entah, aku tengok kau ni makin cantik
pulak. Ke kau pakai susuk ni!?”
Terbeliak mata Hidayah. Khurafat betul!
Macam mana Amy boleh terfikir ke situ? Inilah masalahnya orang yang jadi hantu
fiksyen. Daripada cerita komedi bawa ke romantis sampailah cerita sedih.
Kemudian baca pula cerita yang ala-ala
aksi. Dari thriller fiction sampai ke
cerita seram segala. Macam-macam imaginasi ada di dalam kepala Amy. Hingga
menyerap unsur-unsur yang tahyol dan mahyol, gerutu Hidayah dalam hati.
“Kau ingat aku apa nak pakai susuk-susuk
segala ni? Tak ada maknanya aku buat kerja bangang tu. Menyusahkan hidup, nanti
mati pulak tak diterima dek bumi tu, tau!” sergah Hidayah.
Langsung Amy tergelak. Asyik nak menyinga
si Hidayah ni. Patutlah dia selalu dengar orang-orang berkata perempuan kalau
dah makin meningkat usia tetapi masih belum berkahwin, akan jadi garang.
Cengeng. Serius ke begitu?
Riak Hidayah berubah perlahan-lahan. Kalau
tadi ada juga sengihnya dek lelucon Amy. Kini wajahnya sudah nampak tenang.
Namun masih mampu untuk Amy lihat kehambarannya.
“Cantik apanya Amy, dah makin tua. Kalau
betul aku ni cantik, mesti dah ada orang nak kat aku. Tapi sampai sekarang pun
aku solo lagi. Aku tak macam kau...”
Erk, sayu sungguh nada Hidayah. Itu
merendah diri atau menyesali nasib? Amy terdiam mencerna gelombang rasa dalam biara
Hidayah.
“Tak baik kau Dayah, tu tandanya kita tak
bersyukur. Tuhan dah jadikan kau macam ni pun masih nak kata diri kau tak
cantik. Kesian kat Tuhan, kau kritik kreativiti Dia, tau!”
Alhamdulillah, pada kata-kata yang itu
akhirnya Hidayah ketawa. Dia tahu Hidayah akan cair kalau tahu cara memujuknya.
“Hmm... kan lagi bertambah cantik bila
kau ketawa. Berseri!”
“Ya lah tu... bukan aku tak tahu kau tu
nak sedapkan hati aku je,” sungut Hidayah dengan bibir sedikit muncung.
“That’s what friends for Dayah. Beri kegembiraan dan bahagia
kepada sahabatnya. Tak kan kau nak, tiap kali nampak muka aku ni je kau rasa
gundah gulana, nestapa? Tengok muka aku je terbayang penderitaan segala. Kau
nak ke macam tu?”
Hidayah ketawa lagi.
“Rindu kat kau...” Hidayah buat memek muka
ketika menuturkan kata-kata itu. Wajah Amy ditatapnya untuk beberapa ketika.
“I
am here!” Amy cuba bakat lawak
meganya.
“Heh, kau kat situ pun aku nak buat apa?”
“Kau boleh peluk aku, cium aku? Nak?”
Hidayah tarik muka empat belas. Malas
hendak melayan Amy. Kepala Amy dari dulu sama bengong dengan sekarang. Dah jadi
isteri dan mak orang pun, perangai masih macam budak-budak tak cukup umur!
Namun tidak dinafikan dia terhibur dengan
kerenah Amy. Dari dulu memang Amylah yang jadi penghibur dan tempat dia
meluahkan perasaan. Dalam ramai-ramai kawan, masih juga Amy yang menjadi kepercayaan.
Ya, Amy seorang sahabat yang jujur dan amanah.
“Tak kuasa! Kau tak ingat dulu warden
cakap apa?”
Seketika mereka terdiam. Memori mereka
dipanggil untuk memberi keterangan dan diberikan khidmat perundingan tergamit
ke ruang ingatan. Spontan meletus tawa sampai terpeluk-peluk perut
masing-masing. Airmata pun berderai. Hai, kelakar sungguhlah bila diingat-ingat
kejadian itu.