Home Novel Alternatif JELAGA
JELAGA
RUMIÈ AL-HADI
14/7/2020 00:36:14
30,150
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Senarai Bab
SARAT

Langit murung hari ini
Mungkin bakal menangis
Untuk segala yang...
Memberat...
Tak tertanggung dek kantong
Sebelum nyaman datang menyonsong.
...dan akulah awan yang meluruh
ketika kau menjadi angin
yang mengoleng hidupku menjadi...
SARAT


------------------------------------------------------------------


"ABANG, esok Syafi nak pergi Kuala Lumpur," ujar aku kepada abang dua hari lepas. Waktu itu kami duduk santai menonton televisyen berdua. Emak, abah dan kakak masih belum pulang. Sudah lebih seminggu aku menunggu mereka. Abang hanya diam. Membenarkan pun tidak, menghalang juga tidak. Aku kembali sambung membaca sambil telinga masih mendengar corong televisyen bersuara.

"Pergi dengan siapa?" soal abang setelah lama diam.

"Sorang," jawab aku sepatah.

"Jangan buat perkara bukan-bukan," ujar abang memberi peringatan. Aku hanya diam tidak berkutik.

"Jangan jadi macam abang," ujar abang lagi, serta-merta buat aku berhenti membaca. Aku yang sedang duduk bersandar di dinding hanya mampu melihat abang yang berbaring di hadapan aku. Aku tidak pasti untuk berasa sedih atau kecewa. Sedih melihat keadaan abang bagai layang-layang putus tali dalam diam. Kecewa kerana melihat abang gagal menjadi kuat seperti yang selalu aku harapkan.

Selepas itu tidak ada lagi bual antara kami. Masing-masing hanya melayan perasaan sendiri. Puas menemani abang menonton televisyen, aku mengambil keputusan masuk ke bilik. Beberapa helai pakaian yang aku bawa balik, aku lipat elok-elok dan masukkan ke dalam beg sandang. Yang tinggal hanya kain telekung sahaja lagi.

"Syafi, sini sekejap," panggil Cikgu Maziah dan Ustazah Ramlah usai kami selesai solat isyak berjemaah. Waktu itu aku baru sebulan lebih hidup berdikari. Kawan-kawan lain sudah berdedai naik ke bilik untuk bersiap ke kelas persediaan malam seperti biasa.

"Duduk sini, cikgu ada perkara nak cakap dengan Syafi," ujar Cikgu Maziah lagi. Aku selalu kalah dengan guru yang seorang ini kerana suaranya cukup lembut. Mendengarnya boleh buat hati jadi senang lalu aku turutkan sahaja arahan Cikgu Maziah itu; mendekati kemudian bersila di hadapan mereka.

"Cikgu nak tanya ni, Syafi jangan terasa dan jangan fikir cikgu nak malukan Syafi." Aku cuma angguk tapi terus diam kerana aku seperti dapat mengagak apa yang bakal disoal mereka.

"Syafi tahu solat atau tak? Jangan malu, cakap kat cikgu dan ustazah. Kami tak akan cerita pada orang lain. Selama ni Syafi solat tak kat rumah?"

Aku terus tunduk dalam rasa malu yang sukar untuk digambarkan. Namun aku kumpul kekuatan untuk tetap menjawab atas dasar hormat kepada seorang guru.

"Tak." jawab aku sepatah. Ustazah Ramlah segera menggosok-gosok belakang badan aku. Cikgu Maziah pula menepuk lembut peha aku bagai dua ibu yang cuba memujuk anaknya. Aku tidak tahu apakah aku perlu berasa sedih atau gembira.

"Syafi nak belajar tak? Belajar bacaan solat, tahu baca surah?"

"Tahu al-Fatihah saja."

"Cuba baca ustazah nak dengar," ujar Ustazah Ramlah lalu senyum. Aku turutkan sahaja kehendak mereka.

"Bagus bacaannya, tajwid pun semua betul. Syafi nak belajar baca Quran tak?" Aku cuma diam beberapa ketika tetapi akhirnya mengangguk.

"Okey, mulai esok lepas habis kelas persediaan petang dan malam, Syafi datang ke bilik warden. Nanti kami ajar Syafi sampai Syafi khatam, sampai Syafi boleh hafal banyak surah buat bacaan solat. Nak tak?" soal Cikgu Maziah.

Buat pertama kali aku sebenarnya berasa benar-benar disayangi. Buat pertama kali aku rasa kewujudan aku diperhati dan diambil berat oleh seseorang. Aku segera senyum dan angguk Namun dalam masa yang sama aku terfikir aku nak belajar mengaji dengan apa? Mungkin menyedari apa yang bermain dibenak aku, Ustazah Ramlah bersuara...

"Nanti ustazah belikan Syafi Quran baru yang cantik, belikan rehal untuk Syafi. Syafi simpan kat bilik warden. Tak perlu kawan-kawan tahu. Kalau khatam nanti, ustazah janji ustazah atau Cikgu Maziah bawa Syafi balik kampung, kita buat majlis khatam Quran. Seronok. Nak?" Aku tunduk lagi dan angguk-angguk.

"Dah, pergi naik bilik bersiap, kita mula esok ya?" Cikgu Maziah menyampuk. Sekali lagi aku angguk kemudian minta diri untu beredar.

Sepanjang malam aku terfikir, pasti selama ini dua guru tersebut perhatikan aku setiap kali solat berjemaah. Mungkin mereka tengok aku tak tentu arah ikut kawan lain solat. Setiap hari pun aku akan pastikan aku duduk saf paling akhir. Abah tak pernah ambil tahu tentang urusan agama anak-anak. Emak hanya sesekali luangkan masa ajar aku mengaji. Mungkin kerana aku anak yang terang hati, sekali dua diajar aku sudah boleh baca sendiri walaupun tidak lancar. Lamunan aku terhenti bila dengar suara abang memanggil aku. Cepat-cepat aku keluar dari bilik.

"Cukup ke duit abang beri kalau nak pergi Kuala Lumpur?"

"Cukup. Pergi KL sekejap saja lepas tu Syafi ingat nak pergi rumah Cikgu Maziah atau pergi rumah kawan yang nama Cik Nah. Minggu ketiga warden semua dah masuk sekolah semula nanti Syafi pun dah boleh masuk juga macam sebelum ni," jelas aku. Abang seluk poket seluarnya kemudian hulur dua keping kertas warna biru kepada aku.

"Duit abang beri tu dah cukup," ujar aku kerana tidak mahu menyusahkan abang.

"Ambil ni tambah lagi seratus."

"Nanti abang nak guna duit juga."

"Aku abang, kau adik... ambil duit ni," ujar abang mula meninggi suara. Tidak dapat beralasan lagi akhirnya aku terpaksa menerima juga kerana sudah terlalu arif dengan sikap abang yang pantang dibantah nanti angin amarahnya akan menggila. Aku ucap terima kasih, kembali masuk ke bilik, kunci dan baring semula.

Hampir dua jam sekadar termenung melihat siling, akhirnya lampu di luar bilik ditutup menandakan abang sudah masuk ke biliknya. Aku bingkas bangun dan turut menutup lampu namun seperti selalu, mata ini tidak mahu lena. Wajah emak dan abah bersilih ganti. Ada masa aku harap abah berani cakap berdepan, aku ini bukan daripada benihnya. Jadilah lelaki jika tidak mahu dianggap dayus, lantas heretlah emak ke muka pengadilan. Kenapa hukum emak dan aku tanpa penghakiman?

Ada masa aku ingin tempelak emak yang terus setia walaupun sering diabai. Masih juga mengharap disayangi walau secara terang diri dibenci. Akhirnya harapan emak jadi satu bentuk permintaan yang tidak mampu diberi abah. Kalau sudah begitu akhirnya yang mencelah adalah bisik syaitan lantas tidak henti berantakan.

Aku jadi bahan pertikaian. Jika tidak suka kenapa tidak buang sahaja? Jika tidak mahu diakui lantas kenapa disakiti? Manusia memang pelik. Sudahlah tidak diakui lantas dididik pula di luar lahiriahnya. Jika yang lahir adalah bunga, kenapa pula dianggap kumbang? Kemudian rungut dan bising lagi kerana mula sedar silap diri dan berharapan celik mata yang dianggap kumbang menjadi bunga. Gila! Aku mengeluh sendiri dalam gelap malam.

Sesekali aku teringatkan kakak. Kakak menjadi harapan emak dan anak manja abah tapi dalam diam emak dan abah tak pernah tahu siapa mereka di hati kakak. Emak tidak pernah tahu dirinya dimusuhi dan abah juga tidak tahu dalam hati kakak ada benci untuknya. Jika kakak punya sayap pasti sudah lama kakak terbang lari. Aku pula adalah beban tanggungjawab yang tidak pernah diharap kakak bila dia perlu menjadi ibu kepada aku berbanding menjadi kakak.

Abang? Ah! Abang di mata kakak sudah lama mati. Sering aku lihat sorot mata kakak terhadap abang yang tiada lagi kasih, tiada lagi sayang. Hormat apatah lagi. Abang di mata kakak, hanya jasad tanpa roh. Wujudnya tidak lagi kelihatan. Salahkah kakak menjadi dirinya? Tidak. Sebagai manusia tidak sempurna, kakak berhak memusuhi emak dan membenci abah. Dia berhak menganggap aku beban yang tidak pernah dimahukannya. Dia berhak berhenti menerima kewujudan abang. Dia manusia bukan malaikat.

Ke kiri, ke kanan aku berkalih melayan segala yang bermain di fikiran sedang mata ini tetap tidak mahu mengalah. Tap! Tap! Tap! Kali ini bukan embun yang jatuh ke atas atap zink rumah tetapi dedai hujan yang semakin galak. Aku tarik selimut hingga ke kepala. Masih berharap mata ini mengalah. Namun tetap tidak berhasil. Akhirnya aku bingkas bangun, pasang lampu dan keluarkan kotak lukisan dari bawah katil.

Buku berkulit hitam tebal aku keluarkan bersama sebatang pensel Staedtler 2B. Aku congak-congak apa yang ingin aku lakarkan di lampirannya. Dari satu jam berganjak kepada dua, aku masih tekun melakar rasa yang tidak pernah punya suara dari jiwa ini. Sekadar bentuk silhoutte diri aku. Segalanya di oles hitam dengan garis kasar dan halus berselirat cuma aku biarkan bentuk separuh jantung bagai lompang kosong, putih dan separuh lagi di tapak tangan yang seakan di hulur kepada seseorang. Usai siap, aku perhati lakaran itu semahu hati kemudian aku masukkan semula buku ke dalam kotak kayu, kunci dan sorok ke bawah katil semula.

Leka melayan fikir dan rasa, sedar sahaja jam sudah berganjak ke angka lima. Aku bingkas bangun capai tuala, keluar dari bilik langsung ke dapur. Tepat pukul tujuh nanti aku perlu beredar ke bandar. Sekurangnya aku sediakan sarapan untuk abang. Mihun yang aku rendam semalam segera aku goreng. Kopi panas kesukaan abang aku bancuh dah letak dalam termos agar kekal panas.

Semuanya aku hidangkan di atas meja dan ditutup kemas dengan tudung saji. Aku tahu abang tidak akan bangun untuk hantar aku ke simpang jalan utama. Aku pun tidak berharap abang buat semua itu. Hari ini aku tak pasti pukul berapa abang akan pergi kerja. Shift kerja abang selalu berubah-ubah. Biarlah. Kalau aku tanya pun belum tentu abang akan layan pertanyaan aku.

Selesai membersihkan pinggan mangkuk dan mengemas dapur aku terus masuk mandi. Baju abang yang aku basuh semalam, aku keluarkan dari mesin basuh untuk aku sidai sebelum aku bertolak nanti. Tepat pukul enam lima puluh minit, aku sudah sedia untuk beredar. Bakul yang dipenuhi dengan baju abang aku bawa ke bawah ampaian, sidai satu-satu.

"Abang, nanti jangan lupa sarapan. Syafi dah sediakan ni. Baju abang jangan lupa angkat sebelum pergi kerja. Syafi basuh semalam dan dah sidaikan," nota itu aku tampal ke pintu bilik abang sebelum keluar dari rumah.

"Awalnya Syafi bangun sidai baju," tegur Kak Wati dari bawah bangsal kereta buat aku terkejut mengurut dada. Suka betul dia tegur aku tanpa beri salam dulu. Aku pandang ke arah Kak Wati yang senyum melihat aku. Aku pun turut senyum seperti selalu.

"Nak pergi ke bandar ke pakai cantik-cantik tu?" soal Kak Wati lagi. Aku senyum dan angguk lagi. Kak Wati pun turut senyum kemudian berlalu sambil menjinjit dua biji kepala yang dikumpul di sebelah bangsal. Mungkin Kak Wati nak guna untuk memasak agaknya. Aku lihat sahaja tubuh Kak Wati mula menjauh sebelum aku juga melangkah meninggalkan perkarangan rumah. Aku berdiri seketika di pintu pagar utama, sekadar melihat rumah dari jauh. Sedih? Entah.

Langkah kaki aku hayun perlahan-lahan meninggalkan tanah tempat lahir dan bermain kala kecil. Cuaca masih redup dan dingin. Sesekali aku teringat, ketika aku kecil dahulu, abang gemar membawa aku naik basikalnya jelajah kampung. Ada masa abang bawa aku ikut teman-temannya memancing. Ada masa sekadar bawa aku ke padang bola di kampung bersebelahan.

Bukan semua abang yang suka adiknya ikut serta dalam aktiviti hariannya. Lebih-lebih lagi adiknya itu perempuan. Namun abang tak pernah rasa malu untuk heret aku bila dirasakannya perlu. Kadang-kadang abang berkumpul dengan kawan-kawannya di simpang kampung dan bawa aku juga walaupun ada masa teman-teman mentertawakannya.

Jalan kampung ini masih sunyi. Tiada sesiapa selain aku. Aku lihat langit yang mula cerah, lihat pokok-pokok di kiri kanan jalan dan batu-batu kerikil di tanah yang aku pijak, senyum. Ketika tiba di simpang jalan utama, waktu sudah berganjak ke pukul 8.40 pagi. Berpeluh juga walaupun cuaca tidak panas. Selang beberapa minit, bas tiba. Aku sekali lagi berpaling melihat ke jalan yang aku susuri sebentar tadi. Sedih? Mungkin.

Bas meluncur membawa aku semakin jauh dari perkampungan yang aku diami selama dua belas tahun; kini aku kembali menjadi musafir. Sama ada musafir dalam mencari ilmu atau musafir mencari jiwa yang hilang, kedua-duanya mendewasakan satu jiwa kecil yang adakala teringin menjadi seperti anak muda lain seusia dengannya.

Setengah jam kemudian aku tiba di stesen bas utama lantas segera mencari kaunter yang menjual tiket ke Kuala Lumpur. Tiket bas Transnasional pada pukul 10.30 pagi adalah yang paling awal mampu aku perolehi. Aku tengok jam di tangan. Masih banyak masa untuk aku sarapan dan rehat seketika. Leka menjamu selera aku terfikir apa yang akan aku lakukan sejurus tiba di Kuala Lumpur nanti? Berapa hari aku nak berada di sana?

Waktu itu aku teringatkan kata-kata Kak Nita, "kalau sampai KL, call nombor ni", lantas aku segera keluarkan buku nota yang aku simpan di dalam poket beg. Halaman demi halaman aku selak sebelum terlihat nombor yang ditulis sendiri oleh Kak Nita. Aku bingkas bangun mencari telefon awam. Sejurus menemuinya, nombor telefon itu segera aku hubungi. Sekali, dua kali, tiga kali deringan di talian berlanjutan.

"Hello," suara perempuan di hujung talian itu amat aku kenali.

"Hello, Kak Nita. Syafi ni," ujar aku.

"Eh! Syafi call dari mana ni?" terdengar suara riang gadis itu.

"Bus Station."

"Nak ke mana? Kan sekolah still cuti."

"Nak ke KL."

"Datang dengan siapa? Tinggal kat mana nanti?" soal Kak Nita bertalu-talu.

"Macam biasa. Datang sendiri. Tinggallah kat mana belum decide. Macam selalulah."

"Datang rumah Kak Nita, jom. Rumah Kak Nita tak ada orang. Kak NIta dengan maid saja," pelawa gadis itu walaupun aku rasa dia sudah cukup arif dengan sikap aku yang tidak suka bergantung kepada sesiapa.

Selama mengenalinya, sudah beberapa kali aku turun ke Kuala Lunpur, dan tidak pernah sekali aku menumpang di rumah kenalan. Sama ada aku cari motel murah atau aku tidur di masjid sahaja. Aku sudah biasa. Ada masa Kak Nita menegur dan menghalang juga kerana risaukan keselamatan tapi bagi aku, duduk selesa di dalam rumah juga belum tentu selamat.

"Tak apalah Kak Nita. Nanti saya cari motel saja."

"Janganlah macam tu. For once, jom spend time dengan Kak Nita kat sini. Mommy dan daddy kat Nita ada urusan business di luar negara. Pembantu rumah pun datang sekejap untuk masak dan bersihkan pakaian saja bila mommy dan daddy tak ada. At least Syafi boleh temankan Kak Nita," pujuk gadis itu lagi.

"Syafi nak tidur di Masjid Jamek malam ni. Dah lama tak datang dan duduk kat situ."

"Jomlah ke rumah Kak Nita saja. Kak NIta tunggu Syafi kat Puduraya, ya?"

Puas dipujuk dan melihat baki duit di telefon semakin sedikit, hendak atau tidak, aku terpaksa mengalah kali ini. Kami berjanji bertemu di Puduraya sekitar pukul tiga petang, jangkaan bas yang aku naiki bakal tiba di sana. Aku kembali mencari tempat duduk untuk berehat semula.

Kembali mengelamun, teringatkan kakak. Kata emak kakak tidak ikut serta balik ke kampung bersamanya. Selama aku berada di rumah, kakak tidak pernah sekalipun menelefon. Bila aku tanya abang, seperti selalu jawapannya tidak tahu. Mungkin kakak mengikut kawan-kawannya bercuti.

Ada masa aku teringin ikut kakak bersiar-siar ke bandar atau berbual di biliknya. Tapi aku ibarat susuk tubuh yang asing baginya. Waktu kecil dahulu, kalau tidak abang, kakaklah yang akan menguruskan makan pakai aku setiap hari. Namun selepas aku tinggal di asrama, hubungan aku dan kakak jadi begitu dingin.

Jika sesekali aku pulang, kakak jarang ingin berbual dan menghabiskan masanya bersama aku tetapi sebaliknya lebih suka memerap di dalam biliknya. Masing-masing dalam dunia sendiri. Jika sekalipun kami berbual, akhirnya nanti pasti akan timbul rasa tidak puas hati kakak kepada aku dalam kata-katanya.

"Dah dihantar ke sekolah sains, yang sibuk nak ambil subjek seni kenapa? Fokus sajalah belajar sains. Tu kakak terima surat dari sekolah inform, Syafi akan masuk pertandingan lukisan antara negeri, betul ke?"

Aku hanya tunduk dan diam. Jika bersuara pun tiada guna. Aku sendiri tidak faham kenapa apa yang aku suka menjadi kebencian sesetangah orang. Adakah terlalu berdosa sekiranya aku gembira?

"Kalau mak tahu tak fikir ke buat hati mak sakit, lepas tu yang kena marah, kakak. Bukannya Syafi. Balik sekali-sekala pun bukannya nak tolong kerja rumah. Tau tak jiran-jiran dah sibuk bercakap mak ada dua anak lelaki bukannya seorang. Tahu tak mak malu?"

Aku terus diam. Ayat kakak bagaikan mentera yang sering dibacanya setiap kali tidak puas hati dengan aku. Adakah salah kalau aku lebih selesa menjaga lembu dan kambing berbanding duduk di dapur membuat kuih? Salahkan jika aku lebih selesa memotong rumput berbanding duduk menjahit baju? Bukankah aku buat apa yang aku mampu dan aku tahu. Apakah selamanya aku perlu mendahulukan apa yang orang suka berbanding apa yang aku suka? Sampai bila?

"Balik cuti bukannya nak menyenangkan hati mak abah, balik-balik buat mak abah bertekak," gumam kakak lagi sebelum dia mendengus kemudian beredar ke dapur.

Aku tetap diam tidak menjawab walau sepatah. Bukan aku tidak sakit hati. Bukan aku tidak sedih dan terasa. Mungkin aku tidak pernah tunjuk tapi aku pun manusia. Ada hati, ada perasaan. Cuma jika aku jawab segala rungutan kakak, aku tetap tidak beroleh apa pun, akhirnya tetap menjadi tempat dilepaskan amarah.

"Masuk bilik. Jangan layan cakap kakak tu. Nanti kau jadi macam abang. Pergi masuk bilik. Nanti masuk pertandingan tu buat cantik-cantik, kalau menang bagi abang tengok," tiba-tiba suara abang menegur buat aku terkejut.

Aku cuma berpaling melihat abang, senyum kemudian tanpa sepatah kata terus masuk ke bilik. Memerap seperti selalu. Setiap kali balik, siang hari aku memang jarang duduk di dalam rumah. Aku lebih senang duduk di kebun, buat kerja-kerja di luar rumah dan berehat di rumah pokok yang abang buatkan untuk aku.

Tidur di situ, makan di situ dan rehat di situ. Ya, pokok jambu batu yang tinggi dan rendang itu jadi saksi kesendirian yang pernah aku lalui. Dahulu, aku tidak faham kenapa abang beria-ia untuk buatkan rumah pokok di atas pohon jambu batu yang terletak tidak jauh dari rumah namun cukup jauh untuk aku dengar amuk abah dan emak atau bebel kakak.

Aku tidak pernah minta abang buatkan rumah pokok itu. Tahu-tahu ia sudah siap. Kukuh dan elok serta cukup selesa bagi aku berlindung dari panas dan hujan. Entah berapa kali juga emak mengugut untuk merobohkan rumah pokok tersebut tetapi aku pasti emak tidak mungkin berani melakukannya kerana takutkan reaksi abang.

Di situlah aku selalu habiskan masa, bercerita dengan kucing dan burung yang sesekali singgah. Di situlah aku habiskan bacaan dari satu buku kepada buku yang lain. Di situlah ada masa aku terjerit-jerit menyanyi dan di situlah ada ketikanya aku menangis sendiri.

Panggilan daripada wakil syarikat bas mengejutkan aku daripada lamunan. Aku segera periksa tiket bas. Sudah sampai masa untuk aku bertolak. Cepat-cepat aku turun ke tangga menghala ke tempat bas yang sudah sedia menunggu penumpang. Daerah kelahiran ini adakala seakan asing dan tidak mustahil menjadi terus asing bagi aku.

Previous: ASING
Next: DEBU

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh RUMIÈ AL-HADI