Home Novel Alternatif JELAGA
JELAGA
RUMIÈ AL-HADI
14/7/2020 00:36:14
34,246
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Senarai Bab
ASING

Ada masa kasih sayang pun terkadang
dilihat jelek dan dianggap picis
Apatah Lagi Cinta
bagi sesetengah manusia,
begitu MURAH untuk dihargai
atau MAHAL untuk dimiliki.
Malah terkadang,
kasih sayang dan cinta sering di salah erti
menjadikannya...
ASING


------------------------------------------------------------------



AKU masih berkira-kira untuk masak apa tengahari nanti dan dalam masa yang sama dikejutkan oleh bunyi grill pintu dapur yang dibuka. Wajah abang terjengul di muka pintu mengejutkan aku. Abang aku yang dulu segak kacak, jadi kegilaan gadis di kampung ini, sekarang keihatan seperti kelonsong yang kosong. Pandangan kami bertaut. Selepas tiga hari aku tinggal sendiri, hari ini aku akhirnya berteman.

"Bila Syafi sampai?" soal abang sambil sesekali terbatuk-batuk.

"Jumaat petang," jawab aku ringkas.

"Mak, abah dan kakak pergi mana?"

"Balik kampung."

"Kenapa Syafi tak ikut sama?"

"Kak Wati cakap mereka balik kampung hari Rabu," jawab aku acuh tak acuh sambil terus minum kopi. Teringat pula Cik Nah selalu komen selera aku macam orang tua sebab suka minum kopi.

"Abang dah sarapan? Tu... Syafi ada masak nasi goreng. Kalau nak telur dadar, Syafi gorengkan," ujar aku sambil melihat tubuh kurus abang beredar ke sinki.

"Abang boleh goreng sendiri. Berapa lama cuti kali ni?"

"Sebulan," jawab aku sepatah. Abang masih membongkok, membasuh mukanya di sinki.

Dulu, waktu aku kecil, abang menggantikan emak dan kakak menguruskan aku kerana emak dan abah keluar bekerja manakala kakak bersekolah sesi pagi. Tinggal hanya aku dan abang. Bangun saja tidur abang akan dukung aku ke dapur, gosok gigi dan basuh muka di sinki yang sama. Diam-diam aku rasa ingin peluk abang dan beritahu, aku rindu dia yang dahulu. Tapi keinginan aku itu terhenti dalam kotak fikir aku sahaja.

Abang datang menghampiri aku lalu. Kopi panas dalam mug aku dihirupnya. Aku biarkan saja. Abang memang begitu daripada dulu. Suka minum satu cawan dan makan satu pinggan dengan aku hingga ada ketikamya boleh sampai bergaduh kerana abang selalunya akan habiskan tanpa tinggalkan sebahagiannya untuk aku. Tiba-tiba abang seluk poket seluar jeans lusuhnya. Dicampak gulungan duit warna biru dan ungu ke meja.

"Ambil tu. Kalau tak larat tinggal sebulan, pergi jalan-jalan. Tak guna berharap orang faham. Cari hidup sendiri," ujar abang sambil kepala aku ditepuk-tepuk sebelum dia beredar masuk ke biliknya. Berkurung seperti kebiasaan. Entah berapa lama pula akan keluar dari bilik itu nanti.

Aku kutip duit yang dicampak abang. Aku kira satu-satu duit kertas yang bergumpal-gumpal itu. Lima ratus semuanya. Mungkin abang baru dapat gaji. Mungkin juga abang 'berniaga barang' yang mampu buat orang tumbuh kepak terbang ke bulan. Aku ambil duit pemberian abang dan masukkan ke dalam poket seluar.

Usai membersihkan pinggan dan mug, aku keluar dari rumah terus ke belakang rumah. Dua ekor lembu dalam kandang aku heret ke kebun dan aku ikat talinya ke pokok. Moga kenyang makan rumput dan lalang yang galak merimbun. Kemudian aku tarik pula tiga ekor kambing dan ikat ke pokok lain pula. Ayam di reban aku keluarkan dan beri dedak.

"Hai, orang bandar balik jadi gembala. Tak geli ke?" tiba-tiba Makcu Bedah tegur aku. Terperanjat juga, mujur dapat cover. Aku cuma sengeh macam biasa. Sengeh itu bagi aku adalah jawapan universal. Mudah.

Aku cepat-cepat sudahkan kerja kemudian berlalu masuk ke rumah. Duduk semula depan sinki sambil fikir nak masak apa. Aku mampu buat reban ayam, baiki atap rumah, baiki paip dan sinki rosak, tapi bila berkaitan dengan memasak, aku sentiasa gagal memuaskan hati sesiapa. Ah! Masaklah ala kadar sahaja. Bukan anak raja pun nak datang makan. Cuma aku dan abang. Silap-silap aku makan sendiri.

Masak nasi, goreng sayur kacang yang aku petik dari kebun, goreng telur dadar dan buat sambal belacan. Tung! Tang! Tung! Tang! Settle. Pandai-pandailah abang nanti kalau dia lapar. Semua sudah ada bawah tudung saji. Aku lantas naik ke bilik, capai tuala dan baju, terus masuk mandi. Lepas solat zuhur, aku kembali duduk termenung di verandah.

"Sebelum maghrib nanti semua pelajar perempuan kena ada di surau. Jangan lewat," ujar Kak Nita sebagai Ketua Badan Perwakilan Pelajar.

Pertama kali aku lihat gadis tinggi lampai itu waktu hari pertama pendaftaran pelajar baru. Aku lihat orang lain ditemani emah ayah dan adik-beradik yang lain. Aku cuma ditemani Pakcik Malik, pemandu teksi yang diupah abah untuk menghantar aku ke daerah asing itu. Pakcik Malik masih sudi angkatkan bagasi aku hingga ke bilik sejurus selesai proses pendaftaran sebelum dia beredar meninggalkan aku sendiri.

"Adik, tak baca arahan dalam surat untuk sesi pendaftaran ke?" Aku berpaling ke arah datang suara itu. Seorang gadis berbaju kurung dan blazer biru menegur aku.

"Kan dalam surat dah beritahu wajib pakai seragam rasmi sekolah. Kenapa datang pakai t-shirt dan seluar ni?"

"Saya terima surat dua hari lepas. Mak dan abah tak sempat nak sediakan semuanya," aku jawab sejujurnya. Aku datang hanya bawa apa yang ada tidak seperti rakan-rakan yang lain.

"Syafi? Siapa kat sini nama Syafi Shahri?" Aku segera berpaling. Seorang yang aku agak mungkin seorang guru memanggil-manggil nama aku di bahagian pelajar lelaki. Aku angkat tangan tinggi-tinggi. Gadis berbaju kurung dan blazer di hadapan aku kelihatan hairan. Aku biarkan sahaja dan masih terus angkat tangan tinggi-tinggi hingga akhirnya guru tersebut menyedari nama yang dipanggilnya berada di kelompok pelajar perempuan. Guru tersebut senyum dan datang menghampiri.

"Maaf, cikgu ingatkan pelajar lelaki. Lepas selesai sesi pendaftaran, hantar barang ke bilik, awak turun ke bilik warden, jumpa cikgu, ya?" Aku cuma angguk walaupun aku tak tahu di mana bilik cikgu tersebut.

Aku kembali duduk selepas guru tersebut menyerahkan sampul surat putih ke tangan aku. Pelajar lain cuma memerhati. Buat pertama kalinya aku menguruskan segalanya sendiri. Bukanlah sebelum ini aku terlalu bergantung kepada keluarga. Cuma kali ini aku menguruskan hidup aku sendiri ketika jauh daripada keluarga. Lamunan aku terhenti ketika terdengar bunyi telefon dari ruang tamu.

"Hello..."

"Ha, Kak Wati telefon kata Syafi balik. Mak dengan abah lama lagi kat kampung ni. Kakak pergi kursus katanya." Aku cuma dengar kata-kata emak.

"Kalau abang balik, suruh dia baiki paip bilik air dapur. Dah rosak. Mak nak ke rumah Pak Long ni," ujar emak lagi. Aku hanya mengiakan sahaja. Selepas emak mematikan talian aku masih termangu-mangu di hadapan telefon. Emak tidak bertanya pun khabar aku. Aku kembali semula ke verandah. Cuba membayangkan wajah emak dan abah. Cuba memikirkan rasa di hati mereka. Kosong.

Ada masanya aku sendiri berasa asing di sini. Asing dalam keberadaan keluarga. Asing dalam pandangan mereka. Malah asing dalam penerimaan mereka. Aku raba pipi aku, kiri dan kanan. Aku masih remaja lagi tahun ini. Tahun ini aku tingkatan tiga mengikut tanggapan semua orang kecuali pihak Pejabat Pendaftaran Negara dan pihak sekolah.

Aku tengok ibu jari yang menjadi tanda spesifik identiti setiap manusia termasuklah aku. Hakikatnya tidak ada siapa yang tahu selain keluarga dan pihak berkuasa tentang hakikat identiti aku.  Zahirnya aku tingkatan tiga, tentulah usia aku hanya lima belas tahun. Tambahan pula tubuh aku yang rendah, melidi... mungkin ada saja yang ingat aku masih sekolah rendah. Hakikat? Aku sudah lapan belas tahun. Jadi tahun hadapan aku bukan lagi remaja yang baru nak kenal dunia. Tahun hadapan aku sudah sembilan belas tahun.

Tapi disebabkan emak dan abah saling berantakan; emak terlalu inginkan anak lelaki seorang lagi. Abah pula tak yakin anak dalam perut emak itu anaknya. Yang menjadi mangsa adalah aku bila abah tidak mahu meletakkan namanya di hujung nama aku. Emak cuba selindung hakikat kisah ini daripada aku sehingga kini. Abah tak pernah berselindung tentang penerimaannya terhadap aku. Kakak sentiasa cuba menegakkan benar di pihak emak dan abang sekadar lihat dan pendam. Aku?

Aku lantas menjadi asing. Asing di kalangan rakan-rakan dan asing dalam keluarga sendiri. Lapan tahun aku bersekolah tanpa dokumen sah. Lapan tahun aku bersekolah atas ihsan pihak sekolah. Tahun ini adalah tahun yang ke sembilan aku turun naik pejabat pendaftaran dan turun naik mahkamah hanya untuk satu nama dan identiti. Gila! Tapi akhirnya ALLAH permudahkan lalu dapatlah aku kad biru tanda aku rakyat Malaysia, ada nama sah berbintikan abah dan ada tarikh aku lahir walaupun aku curiga tarikh itu benar atau tarikh yang terpaksa diadakan.

"Eh! Kenapa rambut awak macam budak lelaki tapi awak pakai baju sekolah perempuan? Awak pondan ke? Saya tanya mak saya kalau lelaki pakai baju perempuan tu, pondan," soal Salbi rakan sekolah rendah masa aku darjah satu. Wow! Aku cuma mampu terkebil-kebil sebab tak tahu nak jawab apa. Terfikir pula mak ayah mana yang sanggup label budak-budak sebagai pondan? Ngeri sungguh dengan sikap manusia dewasa.

Dari verandah rumah ini aku lihat pokok-pokok di keliling rumah sambil dengar burung murai yang daripada dahulu rajin betul hiburkan sunyi aku. Sesekali aku terdengar anak-anak jiran bertelingkah ketika bermain. Aku tengok jam di tangan. Sudah hampir waktu asar. Bila aku congak-congak, aku terfikir pula, tak sampai seminggu, fikiran aku sudah mula berselirat fikirkan perkara yang pasti tidak dapat aku ubah. Kalau sebulan? Apa akan jadi nanti?

"Syafi, awak tak boleh terus suka mengasingkan diri daripada kawan-kawan. Hidup kena berkawan. Kena bergaul. Kena kongsi masalah. Kalau ada masalah cakap dengan cikgu," kata-kata Cikgu Maziah bermain-main dalam kotak ingatan aku. Aku cuma pandang wajah Cikgu Maziah sekilas, senyum dan kemudian tunduk.

Itu pertama kali guru warden aku panggil ke biliknya selepas tujuh bulan aku belajar di sekolah itu. Tujuh bulan aku dalam dunia aku sendiri. Pergi dan balik dari kelas kemudian pergi pula ke kelas persediaan di sebelah petang dan malam. Rutin yang sama berkali-kali. Bila guru bertanya, aku akan jawab. Bila diberi tugasan, aku akan siapkan. Ya, aku murid yang tidak pernah punya masalah selain tidak banyak bercakap dan suka menyendiri. Hanya itu masalah aku dan ada masa aku sendiri tidak faham kenapa ia menjadi masalah sekiranya aku tidak pernah menyakiti sesiapa baik secara fizikal atau mental. Mungkin menjadi berbeza juga adalah sebahagian masalah.

"Syafi, kawan sebilik awak cakap mereka nampak awak duduk di birai tingkap pukul tiga pagi. Awak sedar tak apa awak buat tu bahaya dan awak takutkan kawan awak?" Aku cuma tunduk waktu dipanggil pengetua, warden dan guru kaunselor.

Adakah mencari ketenangan selepas penat mendengar hiruk-pikuk manusia  dan melayan kerenah mereka menjadi satu bentuk masalah? Aku keliru sebenarnya. Aku cuma mahu menikmati kesunyian, itu sahaja. Bukan aku berniat untuk terjun dari tingkap tingkat lima itu pun. Tiap hari juga aku bermasalah untuk tidur, untuk apa aku hanya baring di katil melihat siling jika aku boleh melihat bulan dan bintang di langit serta boleh melihat laut bersebelahan sekolah ini? Adakah salah jika aku ingin menikmati bunyi debur ombak dan menikmati bayu malam? Salahkah jika aku melihat hidup dari sudut yang berbeza? Jika tidur itu adalah selangkah ke alam mati, lantas jika mata aku tidak mahu pejam, berhijrah selangkah ke alam mati itu... salahkah untuk aku jaga dan hidup?

Sejak daripada hari itu aku dipindahkan ke bilik di tingkat satu kerana mereka tidak mahu menanggung risiko jika satu hari nanti aku bakal terjun bunuh diri dari tingkap bilik di tingkat lima. Aku cuma diam dan menurut perintah mereka. Ya, aku tidak pernah melawan sesiapa secara zahirnya. Cuma, manusia dewasa bagi aku waktu itu sangat lucu. Takut jika aku yang pelik ini bertindak bukan-bukan tetapi tidak kisah untuk secara tidak langsung menghukum secara halus hanya kerana aku berbeza; hanya kerana apa yang mengembirakan aku tidak sama seperti kelaziman tanggapan majoriti.

Sejak hari itu juga setiap kali waktu berganjak ke angka satu atau dua pagi, aku akan naik ke tingkat lima atau enam menggunakan tangga sebelah kiri bangunan aspuri. Setiap aras tangga itu berdinding kaca dan betul-betul menghala ke arah laut. Sekalipun aku tidak dapat mendengar lagi bunyi ombak dan berasa hembusan bayu malam, setidaknya aku masih mampu melihat langit malam, bulan, bintang dan ombak yang datang silih berganti. Maka setiap kali teman sebilik lena diulit mimpi aku akan ke situ dan kembali semula ke bilik bila waktu berganjak ke pukul empat atau lima pagi. Begitulah lazimnya.

"Saya nampak awak lepak di tangga tingkat lima semalam? Buat apa sorang-sorang kat situ? Tak takut ke?" soal Kak Nita selepas setahun aku menjalani rutin hidup aku tanpa menganggangu sesiapa. Aku cuma senyum dan geleng kepala.

"Satu sekolah panggil awak budak bisu, awak tahu tak? Senyum, geleng, angguk," ujar Kak Nita lagi. Aku senyum lagi.

Aku cuma terfikir, bagaimana dia tahu jika dia tidak berada bersama aku? Persoalan itu hanya berlegar dalam kepala aku sahaja. Aku tak berasa untuk bertanya kerana nanti ia akan menjadi satu sesi bual yang aku sendiri tidak berasa ingin melakukannya. Sejak hari itu juga Kak Nita selalu menemani aku di tangga tingkat lima atau enam dan seperti biasa dia lebih banyak bercakap berbanding aku. Ada masa kami sama-sama diam tak bercakap.

Bermula dari hari itu juga aku sedikit demi sedikit mula mengenali gadis bernama Haznita ini. Anak orang kaya yang petik jari semuanya datang ke riba. Ibunya doktor dan ayahnya jurutera. Lahir menjadi satu-satunya zuriat. Kami adalah dua susuk tubuh yang berlawanan antara satu sama lain. Aku anak si miskin yang kasut dan pakaian sekolah pun terpaksa ditaja para guru, segalanya serba kurang. Dia yang bak gadis Melayu terakhir, menjadi pujaan pelajar lelaki, punya segala-galanya. Aku? Aku budak tomboy yang tak suka bergaul dan bercakap dan berkemungkinan, wujudnya belum tentu diambil peduli. Kami hanya ada satu kesamaan, kami datang daripada keluarga yang bingit berantakan.

Sudah tiga tahun aku mengenali Kak Nita. Dua tahun kebelakangan ini aku menjadi pendengar setia segala rasa kecewa dan amarahnya. Orang yang tidak banyak bercakap selalu punya telinga sebesar langit yang mampu menyerap dengar dan bahu seutuh gunung untuk disandarkan resah tapi jangan berharap dia ada suara untuk memujuk. Jadi aku hanya dengar dan jadi tempat kepala Kak Nita selalu bersandar selepas puas menangis. Bila tiba siang hari, Kak Nita akan berubah tiga ratus enam puluh darjah. She''ll be that bubbly, funny and happiest girl everyone knows.

Sebelum aku pulang dari asrama tempohari, aku sengaja tidak ke dewan makan tetapi sebaliknya aku terus ke bilik Kak Nita. Cepat-cepat aku masukkan nota bertulis tangan ke dalam locker Kak Nita lalu segera beredar sebelum kehadiran aku diketahui orang lain. Mungkin kerana itu juga Cik Nah memberitahu aku, Kak Nita ada bertanya tentang aku. Fikiran aku kembali teringat semula akan apa yang aku tulis tempoh hari...

"Jika kaki dan jiwa saya tak terdaya untuk kekal sebulan di rumah, saya akan turun ke KL. Let's meet up, Kak Nita. Let's just meet up" – Syafi

Sejak aku belajar hidup berdikari secara total, setiap kali cuti panjang, aku memang tidak betah untuk tinggal lama di rumah. Paling lama pun aku hanya mampu bertahan seminggu sebelum angkat kaki kerana tidak sanggup untuk terus kekal melihat perang dalam rumah ini yang entah bila akan tamat. Aku pejam mata rapat-rapat, dan angin yang bertiup terdengar lebih lunak bersahut dengan bunyi daunan yang saling bersentuhan, menari mengikut lenggok angin. Indah.

"Syafi, Cikgu Maziah panggil ke bilik warden," soal Fairus. Saat itu bagai ditayangkan semula ke dalam ingatan aku tatkala mata aku dipejam. Tanpa banyak soal aku hanya menurut arahan Fairus untuk ke bilik warden.

"Syafi, masuk... masuk. Mari makan goreng pisang ni, cikgu pergi pasar malam tadi," ujar Cikgu Maziah. Permulaan aku dan guru warden itu mengenal hati budi. Mungkin Cikgu Maziah sedar pass outing aku tidak pernah bertanda selain digunakan untuk balik bercuti. Sejak hari itu setiap kali giliran outing pelajar perempuan, jika Cikgu Maziah tidak pulang ke kampungnya, aku akan dijamu dengan apa sahaja juadah yang dibelinya dari pasar malam berdekatan. Jika tidak, pulang sahaja dari kampung, pasti ada sahaja juadah yang dibawa untuk aku dengan syarat aku hanya boleh makan di bilik warden sahaja.

"Syafi tak suka pakai baju perempuan ke?" Pernah sekali Cikgu Maziah menyoal aku ketika kami makan bersama. Aku cuma senyum.
"Cikgu tanya bukan nak tengok Syafi senyum saja."

"Tak pernah ada baju perempuan. Baju perlu ada jantina ke, cikgu?" soal aku semula.

Jawapan dan soalan aku itu buat Cikgu Maziah dan Ustazah Ramlah terdiam. Sejujurnya itulah yang aku rasa. Jika pakaian ini berjantina jadi siapa dan apakah aku ini? Sejak dari hari itu Cikgu Maziah tidak pernah lagi menyentuh soal pakaian aku. Walau ada masa dia beri hint untuk aku pakai tudung tapi dia tidak pernah memaksa. Aku selesa dengan diri aku seadanya.

"Umur dah besar panjang, sampai bila nak pakai pakaian lelaki? Dibuat baju kurung masa raya pun tak mahu pakai. Apa kau nak jadi jantan ke? Balik-balik buat emak menangis!" bentak kakak waktu hari raya yang lepas.

Aku cuma perhati baju kurung yang emak jahit elok disangkut di dinding bilik. Selepas mandi sunat hari raya, aku sarung seluar jeans dan baju melayu teluk belanga warna hijau lembut yang abang belikan. Usai bersiap aku terus turun ke dapur dan bertembung dengan emak yang baru keluar dari bilik air utama. Mata emak tajam merenung aku. Seperti kebiasaannya, aku alihkan pandangan aku ke arah lain. Dalam masa yang sama kakak yang sibuk membasuh pinggan di sinki berpaling ke arah aku.

"Kalau nak anak atau adik perempuan kenapa masa lahir dulu tak layan macam anak perempuan? Pakaikan baju perempuan. Ajar duduk dapur, masak, jahit baju. Belikan kasut perempuan, alat solek semua. Sekarang nak memekak suruh budak tu pakai baju kurung kenapa?" suara abang tiba-tiba meninggi dari dalam bilik air dapur.

Aku perhati dari ekor mata, emak cepat-cepat beredar dari depan pintu bilik air dan kakak terus menunduk diam. Mungkin tidak mahu melihat abang naik angin dan mengamuk. Sejak abang menjangkau usia lapan belas tahun, sikapnya berubah daripada seorang yang pendiam dan pemalu kepada manusia pembengis. Semua orang dalam rumah ini tahu abang sebenarnya ketagihan dadah tetapi baik abah atau emak, masing-masing tidak pernah mahu mengakui hakikat itu kerana mungkin dengan mengaku bermakna ego dan maruah mereka akan punah-ranah.

Setiap kali hari raya, aku tidak pernah minta emak belikan atau jahitkan baju baru. Sejak kecil selalunya emak akan buatkan aku baju melayu lengkap bersama sampin dan songkok. Hampir empat belas tahun aku pakai baju melayu setiap kali raya. Hingga satu masa, tiba-tiba sahaja emak buatkan baju melayu dan minta aku terima dan pakai sahaja seolah aku tidak perlu punya rasa dan kehendak sendiri.

"Hari ni pakai baju abang beli. Esok pakai baju mak buat. Tak mahu pakai lama-lama, pakai sampai tengahari saja," ujar abang ketika datang ke dapur dan duduk bersila di sebelah aku. Tangannya sibuk menuang kopi ke cawan. Aku hanya diam.

"Dengar tak?!" suara abang mula meninggi. Aku segera angguk. Kemudian abang bingkas bangun namun sempat menyentuh lembut kepala aku sebelum masuk memerap di biliknya semula.

Hari raya bagi aku adalah waktu yang begitu asing di mana adakalanya aku terpaksa berlakon seperti orang lain, pakai baju cantik-cantik, masak masakan enak dan makan sama-sama semeja kemudian duduk depan emak abah tunduk mohon maaf. Hipokrit! Ya, tiap kali hari raya, aku rasa betul-betul hipokrit dan aku rasa seluruh keluarga aku turut hipokrit. Kasih sayang yang terlihat pada mata mereka menjadi begitu asing dari hari ke hari dan menjadikan aku semakin jauh terhenyak dalam dunia sendiri.

Previous: KABUR
Next: SARAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh RUMIÈ AL-HADI