Home Novel Alternatif JELAGA
JELAGA
RUMIÈ AL-HADI
14/7/2020 00:36:14
34,249
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Senarai Bab
INTI

Ditujukan kepada
Kamu yang mahu hidup ketika
CINTA cuba membunuh hati.
Alhamdulillah
Kamu bukan korban kali ini
cuma...
BERJELAGA


------------------------------------------------------------------



INGAT
Yang utamanya untuk kamu. Jangan kamu baca kemudian seharian kamu tidak keluar bilik kononnya apa yang aku cerita sungguh terkesan di hati, sampai kamu murung dan mengurung diri. Cukup hanya aku yang berhati tisu. Sepanjang hidup, bilik adalah dunia 20 x 20 kaki persegi. Jika tiba-tiba kamu terkesan dan jadi begitu, tolong dapatkan bantuan segera. Jangan kamu cenderung jadi seperti peminat tegar filem Hindustan; selepas tengok baru perasan kamu habiskan tisu berkoyan. Sebenarnya apa yang ditulis ini tidaklah sesedih mana, tidak seratus peratus gembira juga. Kamu terima sahaja sekadar biasa-biasa.

FIKIR
Untuk kamu yang bakal fikir apa yang kamu baca hanya picis rasa, kamu dipersila untuk hukum dan kecam tapi jangan lupa fikir juga tentang hati sendiri. Jika sekalipun kamu kental, jiwa bak besi waja, ada masa ia bakal berkarat juga. Hoi! Bukan senang nak buang karat. Jangan kamu fikir orang yang kecewa itu lemah, sekurangnya mereka sudah diuji untuk menjadi gagah. Kamu belum lagi.

RENUNG
Untuk kamu yang pernah menjadi sumber perjalanan hidup manusia lainnya, walaupun dalam bentuk robek hati, jangan kamu sangka ada benci dan kamu dimusuhi. Jangan juga sentiasa kamu pandang remeh akan perlakuan sendiri. Bukan semua yang patah hati mampu berdiri kembali. Bukan semua yang patah hati mampu mencari ganti hatinya. Entah-entah kamulah penyebab dirinya memilih untuk bersendiri hingga kini. Ngeri memberi cinta. Tak sanggup menagihnya juga Entah-entah kamulah penyebab dirinya mati, gantung diri. Sungguh. Jika kamu jadi penyebab patah hati terhadap yang tak memilih mati; bersyukurlah.

KALAU SEBALIKNYA?
ADA AKAL KAMU RENUNG-RENUNGLAH SESEKALI.
HIDUP INI BUKAN HANYA UNTUK KEPUASAN DIRI SENDIRI.

SUMBER
Kalau kamu tanya penulis lirik lagu-lagu jiwang daripada mana si penulis tersebut dapat ide? Jika dia jawab, “Oh! Ia tiada kene-mengena dengan yang hidup atau mati.” Tolong jadi bijak... JANGAN PERCAYA. 50% jawapan itu berkemungkinan dusta. Sungguh. Jadi sejujurnya apa yang kamu baca ini adalah pengalaman manusia berkeliling dan pastinya ada kena-mengena dengan yang hidup dan yang mati.

Dalam hidup ini, siapa yang tak pernah putus cinta? Siapa yang tak pernah kecewa? Penulis sendiri belum jumpa walau seorang yang hidupnya tak pernah dilanda duka. Sungguh. Jadi kalau kamu kata putus cinta dan segala macam rasa kecewa itu semuanya sama untuk setiap manusia, mungkin samada kamu belum benar-benar jumpa cinta yang buat kamu jatuh ke lubuk kecewa. Kalau ada antara kamu juga yang berlagak, mendabik dada, cakap kamu tak terkesan bila ditinggalkan dan diabai, kamu tak terkesan kala hati ditendang terajang, barangkali kamu belum cukup berhabis memberi hati dan belum cukup tahu tentang perasaan.

Jadi, kalau kamu tanya aku:

1. Cerita ini tentang siapa?
ANGGAP SAJA TENTANG KAMU
2. Cerita ini tentang apa?
ORANG PATAH HATI YANG MAHU HIDUP
3. Cerita ini untuk siapa?
 DIA ATAU KAMU

Pandai-pandailah kamu belajar memahami kalau kamu mahu bangun dan berlari semula selepas jatuh tergolek.

PILIH
Hak memilih hidup ada pada diri kamu. Mahu jadi manusia yang bagaimana? Mahu berhenti mengharung hidup sebelum mencuba atau mahu bangkit walau payah mengharung dugaaan yang satu hari mungkin mencorakkan jatuh bangun diri. Moga kita semua boleh memilih untuk terus hidup walaupun urat hati bersimpul selirat dan tak kurang yang putus-putus.

Next: KABUR

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh RUMIÈ AL-HADI
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham